Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, November 30, 2012

Indah Water Konsortium

Indah Water Konsortium (IWK) adalah syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan. Diperbadankan, merupakan syarikat pembetungan nasional yang telah diamanahkan dengan tugas untuk membangunkan dan menyelenggara sistem pembetungan yang moden dan efisien untuk semua rakyat Malaysia.

Pada tahun 1994, Kerajaan Persekutuan telah menganugerahkan konsesi kepada syarikat untuk mengambil alih perkhidmatan pembetungan seluruh negara. Sebelum ini, ia di bawah tanggungan Pihak Berkuasa Tempatan.

Sejak itu, Indah Water telah mengambil alih perkhidmatan pembetungan daripada semua pihak kecuali Kelantan, Sabah, Sarawak dan Majlis Bandaraya Johor Baharu.

Sebarang kemusykilan, orang ramai boleh hubungi pihak IWK di talian bebas tol 1-800-88-3945 atau hantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip IWKmesej ke 36399.

Sekitar tahun 1950-an, tandas-tandas yang dibina di luar rumah dikenali sebagai jambatan angkut.

Ia berikutan kerja-kerja penyelenggaraan najis akan dilakukan secara manual iaitu Pihak Berkluasa Tempatan (PBT) di bawah pentadbiran masing-masing akan datang ke kawasan rumah tersebut untuk mengangkut tong najis lalu dibawa dengan lori dan dihantar ke suatu tempat khas untuk ditanam.

-Kosmo!, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)

Thursday, November 29, 2012

Persatuan Drama Amatur Cina Perak (Perak Chinese Amateur Dramatic Association)

Pada tahun 1903, sekumpulan pegawai-pegawai kecil, kerani-kerani, kakitangan bank dan para pelombong muda bertemu di Kelab Kesatuan Cina (Chinese Union Club) di 69, Hale Street (kini Jalan Tun Sambanthan) untuk bermain muzik Kantonis.

Pada tahun 1905, mereka telah membentuk Perak Chinese Dramatic Troupe (Kumpulan Drama Cina Perak) dan membuat persembahan di teater Cina di Leech Street (kini Jalan Bandar Timah) sebagai sumbangan kepada Canton Flood Relief Fund.

Dalam suatu persembahan di Kuala Lumpur, salah seorang pemain drama telah rebah dan meninggal dunia akibat serangan jantung. Setelah insiden tersebut, nama Kumpulan Drama Cina Perak telah ditukar kepada Persatuan Drama Amatur Cina Perak.

Ibu pejabat Persatuan Drama Amatur Cina Perak pada mulanya di Anderson Road (kini Jalan Raja Muda Musa). Setelah 11 tahun mereka beroperasi di sana, mereka membeli sebidang tanah di Osborne Street (kini Jalan Dato Tahwil Azar) dan membuat persembahan untuk mengutip dana bagi membina bangunan pejabat. Mereka juga mendapat sumbangan daripada Dr. Wu-Lien Teh yang terkenal dengan gelaran Manchurian plague fighter (pejuang wabak Manchuria).

Bangunan tiga tingkat yang ada sekarang dibuka pada tahun 1938. Meja besar yang dibuat daripada marmar dan diukir dengan nama 221 orang penderma diletakkan di bawah bangunan tersebut.

Pada bulan September 1945 hingga April 1946, bangunan tersebut telah diambil alih oleh tentera MPAJA (Malayan People's Anti-Japanese Army dan menjadikan bangunan tersebut sebagai markas mereka. Bangunan itu juga dijadikan tempat menyediakan makanan kepada anggota-anggota MPAJA di mana sumber makanan seperti daging, beras dan sayur-sayuran disumbangkan oleh penduduk setempat.

Pentadbiran Tentera British kemudian menjadikan keseluruhan bangunan tersebut sebagai kantin kepada Navy, Army and Air Force Institute (NAAFI kini dikenali sebagai PERNAMA) pada tahun 1946.

-Perak Tourism

Wednesday, November 28, 2012

Stress

Apakah Stress

Stress adalah tekanan yang wujud hasil tindak balas antara persekitaran kerja, beban kandungan kerja, keadaan organisasi, keupayaan pekerja, faktor sosio budaya dan faktor peribadi.

Tindakbalas yang negatif akan mengakibatkan gangguan emosi, masalah tingkah laku, perubahan biokimia dan hormon. Keadaan ini menambahkan lagi risiko penyakit mental dan fizikal.


Langkah-langkah mengatasi stress
  • Mengendalikan masa dengan bijak
  • Sentiasa bersikap terbuka, bertolak ansur dan merancang perubahan
  • Amalkan sikap tolong-menolong antara satu sama lain
  • Rancang kewangan dan perbelanjaan dengan teliti
  • Jauhi pengambilan alkohol, rokok dan dadah


Punca-punca stress
  • Pertentangan nilai moral dan etika
  • Masalah komunikasi yang tidak berkesan
  • Perubahan dalam bidang sains dan teknologi
  • Sistem pengurusan kerja yang tidak berkesan
  • Kurangnya kawalan keselamatan kerja
  • Kurangnya penghargaan dari organisasi dan peluang
  • Tempat kerja yang bising, merbahaya dan sesak


Tuesday, November 27, 2012

Rotavirus

Awal Februari 2012, Malaysia telah dikejutkan dengan wabak gastroenteritis akut (AGE) yang telah menyerang dua daerah di Perak.

Dua kes kematian tersebut masing-masing melibatkan bayi berusia 10 bulan dan dua bulan.

Virus tersebut dipercayai merebak melalui air.

Perak mencatatkan jumlah pesakit yang paling tinggi bagi jangkitan tersebut dengan rekod setakat 16 Februari lalu ialah sebanyak 3,444 kes.

Jangkitan rotavirus biasanya bermula dengan demam dan diikuti dengan tiga hingga lapan hari cirit-birit dan muntah-muntah.

Cirit-birt yang dimaksudkan itu lazimnya menyingkirkan lebih banyak cecair daripada tubuh.

Hampir setiap kanak-kanak akan dijangkiti rotavirus sekurang-kurangnya sekali sebelum menginjak usia lima tahun.

Virus ini telah dikenal pasti sebagai punca utama masalah cirit-birit dan 600,000 kematian akibat rotavirus dicatatkan setiap tahun di seluruh dunia.

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekitar tahun 2000 hingga 2003, sebanyak 10.6 juta kematian berlaku setiap tahun dalam kalangan kanak-kanak berusia kurang lima tahun yang kesemuanya disebabkan masalah cirit-birit.

Di Malaysia, data Kementerian Kesihatan Malaysia mendedahkan bahawa di antara tahun 1999 hingga 2000, dianggarkan satu daripada 37 kanak-kanak di bawah usia lima tahun dirawat sebagai pesakit luar akibat rotavirus, manakala satu daripada 67 orang ditahan dalam wad, sementara satu daripada 15,000 orang berdepan dengan kematian.

Sebaik sahaja kanak-kanak dijangkiti virus tersebut, mereka akan jatuh sakit dalam tempoh dua hari.

Jangkitan tersebut mungkin menunjukkan simptom-simptom ringan ataupun tiada langsung.

Kanak-kanak boleh dijangkiti virus beberapa kali dalam hidup mereka dan jangkitan kali pertama selalunya teruk.

Beberapa simptom yang biasa adalah seperti cirit-birit berdarah, muntah-muntah dengan kerap melebihi tiga jam, suhu badan mencecah 39.4 darjah Celsius ke atas dan tidak bermaya.

Kanak-kanak yang terkena virus juga akan menunjukkan simptom dehidrasi seperti mulut kering, menangis tanpa air mata, kencing sedikit atau tiada langsung serta mengantuk yang luar biasa.

Rotavirus mudah berjangkit. Ia merebak melalui sentuhan dengan najis dan seterusnya dijangkiti melalui makanan tercemar, air dan titisan pernafasan.

Rotavirus boleh bertahan selama beberapa hari pada permukaan keras dan keringn dan ia boleh hidup selama berjam-jam di tangan manusia.

Cirit-birit yang teruk boleh mengundang dehidrasi terutamanya dalam kalangan kanak-kanak kecil. Jika tidak dirawat, dehidrasi boleh menjadi suatu keadaan yang mengancam nyawa tanpa mengira puncanya.

Tiada rawatan dan ubat yang khusus untuk jangkitan rotavirus, walaupun terapi dehidrasi oral disyorkan.

Cecair rehidrasi boleh menggantikan kehilangan mineral lebih berkesan daripada air mahupun cecair lain.

Ibu bapa perlu lebih serius tentang penjagaan kebersihan anak-anak sepanjang masa.

Ibu-ibu yang menyusukan bayi disarankan meneruskan proses penyusuan kerana ia dapat membantu mencegah jangkitan rotavirus.

Kematian akibat jangkitan rotavirus lazimnya disebabkan kehilangan cecair dan elektrolit berpunca daripada muntah dan cirit-birit yang teruk.

Pemberian cecair dan elektrolit secara mencukupi dan segera merupakan teras utama dalam rawatan kes rotavirus gastroenteritis.

Pencegahan jangkitan rotavirus sebahagian besarnya adalah melalui amalan kebersihan diri.

Ini termasuk membasuh tangan dengan air dan sabun, minum air yang telah dimasak dan makan makanan yang telah dimasak dengan sempurna.

Sejak tahun 2006, dua jenis vaksin rotavirus telah disediakan sebagai pencegahan jangkitan rotavirus bagaimanapun ia belum menjadi sebahagian program pelalian negara.

Dipetik dari artikel Cirit-birit jadi petanda maut tulisan Nurul Izza Rosly yang disiarkan dalam akhbar Kosmo! bertarikh 6 Mac 2012.

Monday, November 26, 2012

Tangisan Gaza

Ketika umat Islam bergembira dengan kedatangan Awal Muharram, sekali lagi dunia digegarkan dengan kekejaman manusia yang tidak bertamadun iaitu rejim Zionis Israel.

Operasi yang dinamakan Pillar of Defence yang dilancarkan oleh rejim Zionis telah membunuh orang awam yang tidak berdosa.

Sebenarnya kezaliman dan keganasan rejim Zionis itu telah dilakukan sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu dan telah menimbulkan isu-isu kemanusiaan yang tiada penghujungnya.

Rejim Zionis Israel tidak pernah mengenal mangsa sama ada bayi dan kanak-kanak, lelaki, wanita mahupun warga tua. Mereka akan membunuh tanpa rasa belas kasihan dan hak.

Keganasan mereka ini telah dirakamkan oleh Allah SWT dalam surah an-Nisa' ayat 157 yang bermaksud:

"Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka dan mereka kufur akan ayat-ayat keterangan Allah dan mereka menbunuh Nabi-nabi dengan tiada suatu alasan yang benar dan mereka berkata: hati kami tertutup. Bahkan Allah telah memeterai hati mereka disebabkan kekufuran mereka. Oleh itu mereka tidak beriman kecuali sedikit sahaja diantaranya."

Persoalan besar ialah mengapa bangsa Yahudi berterusan menjadi ganas dan kejam tanpa ada rasa perikemanusiaan?

Ini disebabkan mereka terlalu taksub dengan bangsanya yang dianggap sebagai pilihan Tuhan, bangsa yang disayangi Tuhan, halal membunuh orang yang bukan Yahudi, mendapat sokongan kuat daripada negara kuasa besar dan beberapa negara Eropah malahan ada juga negara Islam yang bersekongkol dengan mereka.

Adalah amat dikesali dengan beberapa negara yang lantang menyuarakan dan mempertahankan hak-hak asasi manusia, demokrasi dan sebagainya tetapi tidak berlaku adil dan berlepas tangan apabila berlaku pencabulan hak asasi rakyat Palestin.

Penubuhan negara Israel secara haram diiktiraf sah oleh pihak barat tetapi mereka tidak mengiktiraf kedudukan rakyat Palestin di negara mereka sendiri.

Kekejaman dan keganasan Israel ke atas Palestin mengingatkan kita kepada keganasan Yakjuj dan Makjuj yang disebutkan dalam al-Quran.

Menurut pandangan seorang ulama, apa yang dimaksudkan Yakjuj dan Makjuj adalah merujuk kepada kuasa barat iaitu Amerika Syarikat dan Yahudi.

Profesor Dr. Muhammad Sayyid Tantawi, Syeikhul Azhar telah menggambarkan sifat keji bangsa ini melalui bukunya Israel fi al-Quran wa as-Sunnah, bahawa Israel sebagai bangsa penjenayah kejam yang tidak membezakan orang tua, wanita, kanak-kanak, masjid, rumah ibadat, tempat awam dan sebagainya.

Israel juga terkenal sebagai bangsa penjenayah yang kuat memusuhi Islam dan bangsa Arab. Golongan ini bukan sekadar ingin menguasai Palestin malah Jordan, Syria, Lubnan, Iraq, Semenanjung Sinai dan termasuklah Madinatul Munawwarah.

Sifat keji Bani Israel ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 78 yang bermaksud:

"Orang kafir Yahudi dari Bani Israel telah dilaknat (di dalam Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan menceroboh."

Tindakan yang tidak berperikemanusiaan oleh rejim Zionis Israel itu telah mencabuli undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa, Piagam Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan merupakan jenayah perang yang menyalahi Konvensyen Keempat Geneva 1949 Mengenai Perlindungan Orang Awam Semasa Perang.

Adalah satu hakikat bahawa Islam dan ummah tidak boleh bergantung kepada simpati dan bantuan golongan kuffar.

Oleh kerana itulah Allah SWT memberikan kita peringatan bahawa golongan kuffar tidak sekali-kali akan melindungi Islam dan ummah melainkan mereka dijadikan sanjungan dan pujaan.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 120 yang bermaksud:

"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu."

Islam mengajar kita bahawa umat Islam adalah bersaudara dan wajib dibela. Amatlah salah sekiranya kita membiarkan saudara kita di Palestin menderita tanpa kita melakukan apa-apa. Sedarlah, bahawa kita bukan sahaja wajib membela dan meringankan penderitaan saudara seagama kita di Palestin, tetapi kita sebagai umat Islam juga wajib turut sama mempertahankan kesucian Baitul Maqdis kerana ia adalah kiblat pertama umat Islam.

Sheikh Yusof al-Qardhawi dan Dr. Wahbah Zuhaili merupakan ulama terkemuka dunia menegaskan bahawa umat Islam wajib membantu saudaranya yang kesusahan dalam pelbagai aspek yang diperlukan walaupun terpaksa mengikat perut.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud:

"Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat."

Mungkin sekali imbas amat sukar bagi kita mengalahkan Israel dan sekutunya kerana mereka kerajaan yang kebal, berada di atas undang-undang antarabangsa dan boleh bertindak sesuka hati kerana ia dinaungi oleh kuasa barat.

Mereka juga memiliki peralatan ketenteraan dan senjata nuklear yang hebat, namun sebagai orang yang beriman, kita mesti percaya bahawa Allah Maha Berkuasa dan mengatasi segalanya.

Berdasarkan pedoman sejarah Islam, tentera Islam pernah berjaya menewaskan kubu kuat puak Yahudi dalam Peperangan Khaibar pada tahun 7 Hijrah. Dalam peperangan itu, Rasulullah SAW memimpin tentera Islam seramai 1,400 orang tentera mengepung selama 10 hari.

Tentera Islam diketuai Saidina Ali berjaya menewaskan pertahanan Yahudi dan mereka menyerah kalah.

Renungilah firman Allah SWT di dalam surah Ali-Imran ayat 160 yang bermaksud:

"Jika Allah menolong kamu maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika ia mengecewakan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman itu berserah diri."

-E-khutbah JAKIM

Amanah Ikhtiar Malaysia

Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) adalah sebuah badan amanah persendirian berdaftar di bawah Akta Amanah 1952.

Ia berperanan menyalurkan pembiayaan tanpa cagaran dan penjamin kepada isi rumah miskin secara sistematik dengan penyeliaan rapi.

Operasi bermula pada 17 September 1987, dua tahun selepas bergerak sebagai projek rintis yang dikenali sebagai Projek Ikhtiar.

Kini mempunyai 113 cawangan di seluruh Malaysia.

Mempunyai kira-kira 300,000 Sahabat AIM yang mendapat pembiayaan AIM, dengan jumlah tertinggi di Kelantan (lebih 42,000) dan diikuti oleh Kedah (kira-kira 37,000).

Sehingga Disember 2011, pembiayaan yang disalurkan AIM telah mencecah RM6.32 bilion.

Kadar bayaran balik pembiayaan sekitar 99.61 peratus.

-Kosmo!

Friday, November 23, 2012

Tulisan Jawi

Batu Bersurat Terengganu yang ditulis menggunakan tulisan jawi
Tulisan jawi telah wujud sejak sekitar tahun 1300Masehi di Kepulauan Melayu.

Perkembangannya berhubung kait dengan kedatangan Islam khususnya daripada orang Parsi.

Penemuan Batu Bersurat Terengganu pada tahun 1303 Masehi menjadi asas penting kewujudan tulisan jawi di negara ini.

Ia membuktikan bahawa tulisan tersebut sampai ke negara ini lebih awal berbanding tulisan rumi.

Kemunculan tulisan yang berasal dari tulisan Arab ini berkait rapat dengan kedatangan Islam ke Nusantara.

Tulisan jawi berkembang sejak zaman Kerajaan Islam Pasai, disebarkan ke Kerajaan Melaka, Kerajaan Johor dan Aceh pada abad ke-17.

Sejak itu ia menjadi tulisan yang digunakan dalam pelbagai urusan rasmi dan tidak rasmi di Nusantara.

-Utusan Malaysia

Thursday, November 22, 2012

Chan Sow Lin

Chan Sow Lin dilahirkan pada tahun 1845.

Chan Sow Lin berhijrah dari Tanah Besar China pada usia 16 tahun dengan matlamat untuk terlibat dalam bidang perlombongan bijih timah di Pulau Pinang namun ada pendapat mengatakan dia sebenarnya berasal dari Taiping, Perak.

Selepas bertahun-tahun membanting tulang empat kerat, dia berjaya mengumpulkan wang dan telah membuat keputusan berhijrah ke Kuala Lumpur bagi memulakan perniagaan perlombongan di situ.

Keputusannya sangat tepat apabila dia berjaya menjadi seorang ahli perniagaan yang kaya pada akhir abad ke-19 dan ke-20.

Chan Sow Lin menjadi salah seorang ahli lembaga pemegang amanah Sekolah Confucius Cina pada tahun 1910 yang ketika itu terletak di Kampung Attap. Seorang lagi dermawan Cina yang terlibat ialah Loke Chow Kit.

Bilangan pelajar di sekolah yang memberi peluang kepada kanak-kanak berketurunan Cina tempatan mendapat pendidikan bagi mengekalkan hubungan perdagangan dengan China itu meningkat saban tahun.

Premis yang sedia ada sudah tidak dapat menampung pelajar yang semakin ramai. Sow Lin dan Chow Kit masing-masing menyumbang sebanyak RM62,170 dan RM31,230 untuk premis baharu di Jalan Pudu, Kuala Lumpur.

Chan Sow Lin juga turut menyumbang kepada Hospital Tung Shin yang terletak di Jalan Pudu sekarang.

Kapitan Cina Kuala Lumpur terakhir, Yap Kwan Seng meninggal dunia pada tahun 1902 dan serta-merta jawatan berikut dimansuhkan.

Berikutan peristiwa itu, Residen Selangor, Sir Frank Swettenham telah melantik Sow Lin sebagai wakil masyarakat Cina dalam Majlis Negeri Selangor. Kuala Lumpur pada masa itu merupakan sebahagian daripada negeri Selangor.

Chan Sow Lin merupakan individu pertama yang membawa teknologi kapal korek dari Eropah ke Selangor yang mana sebelum itu aktiviti perlombongan menggunakan kaedah tradisional seperti mendulang dan pam kerikil.

Kemudian, melalui syarikatnya, Chan Sow Lin and Co. Ltd., dia memulakan perniagaan dalam induistri besi tuang pada tahun 1913.

Nama Chan Sow Lin diabadikan di sebuah kawasan industri di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Jalan Chan Sow Lin masih lagi wujud sehingga sekarang dan di persekitaran jalan itu banyak menempatkan premis kilang industri berat bagaimanapun syarikat Chan Sow Lin tiada di situ.

Chan Sow Lin telah dianugerahkan pingat Jaksa Pendamai daripada pejabat Residen Selangor pada tahun 1918.

Chan Sow Lin meninggal dunia pada umur 82 tahun dan memorialnya berada di tanah perkuburan Kwang Tong yang terletak di Jalan Kerayong, Kuala Lumpur.

-Kosmo!

Wednesday, November 21, 2012

Salasilah Kesultanan Kedah

Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Sultan Badlishah bersama Tuanku Sultanah Haminah Hamidun
Oleh AHMAD SYAHIR KASSIM dan NORLIDA AKMAR IDROS

MENGIKUT Hikayat Merong Maha Wangsa, Kedah diasaskan oleh Merong Maha Wangsa dengan gelaran Sultan Mudzaffar Shah. Baginda memerintah dari tahun 1136 hingga 1179. Apabila menyentuh sejarah kesultanan yang panjang, ia pasti berkait rapat dengan salasilah keturunan diraja itu hingga ke hari ini.

Setelah dihitung dari kurun ke-11 hingga abad ke-20, Kedah mempunyai 28 Sultan dengan pemerintah ketika ini ialah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14 menggantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 13 Disember lalu.

Sebelum keberangkatan Tuanku Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda berkenan melantik Jemaah Pemangku Sultan yang terdiri daripada adinda dan anakanda baginda.

Jemaah itu dipengerusikan oleh adinda baginda Tunku Bendahara, Datuk Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah.

Tiga lagi ahli jemaah ialah adinda baginda, Tunku Temenggong, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah, Tunku Laksamana, Datuk Seri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan anakanda baginda, Tunku Panglima Besar, Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim.

Seri Paduka ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 11 April lalu secara gilang-gemilang di Istana Negara yang baharu di Jalan Duta, Kuala Lumpur manakala hari ini, 2 Jun, merupakan tarikh sambutan rasmi keputeraan Seri Paduka. Tuanku Abdul Halim dilahirkan pada 28 November 1927 di Istana Anak Bukit, Alor Setar.

Tuanku Abdul Halim bertemu jodoh dengan Almarhumah Tuanku Sultanah Bahiyah pada Mac 1956 dan istiadat perkahwinan berlangsung di Istana Seri Menanti, Negeri Sembilan.

Almarhumah merupakan puteri sulung Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Abdul Rahman Muhammad yang juga Yang di-Pertuan Agong pertama Persekutuan Tanah Melayu.

Baginda berangkat ke England pada bulan Februari 1949 hingga 1955 bagi melanjutkan pelajaran di Wadham College, Oxford dalam bidang Sains Kemasyarakatan dan Pentadbiran Awam.

Menurut tokoh sejarah Kedah, Datuk Wan Shamsuddin Mohd. Yusof, baginda berkenalan dengan Almarhumah ketika belajar di England.

Katanya, proses perkahwinan baginda berdua mengikut adat istiadat silam yang dimulai dengan majlis merisik, meminang, hantar belanja dan mas kahwin, akad nikah seterusnya kenduri kahwin.

“Proses itu sama seperti kebiasaan yang dibuat rakyat dengan menghantar rombongan meminang. Seperti lazimnya, beberapa barang hantaran berupa cenderamata termasuk cincin dan tepak sirih berisi buah pinang melambangkan majlis meminang,” katanya.

Wan Shamsuddin memberitahu, kemuncak istiadat ialah pada hari ketiga apabila berlangsung upacara mandi-manda iaitu aktiviti simbah-menyimbah air. Acara diadakan di pentas khas yang dipanggil Panca Persada.

“Pada istiadat itu, baginda berdua saling menyiram air antara mereka selain turut dimeriahkan dengan kehadiran pembesar negeri dan rakyat jelata,” ujarnya membuat kajian tentang sejarah Kesultanan Kedah mulai tahun 1956.

Hasil perkahwinan diraja ini, Tuanku berdua dikurniakan tiga puteri iaitu Tunku Soraya, Tunku Sarina (mangkat) dan Tunku Puteri Intan Safinaz.

Pada 26 Ogos 2003, Tuanku Sultanah Bahiyah mangkat di Istana Kuala Chegar, Anak Bukit.

Istiadat perkahwinan

Pada 9 Januari 2004 telah berlangsung satu istiadat gilang-gemilang permasyhuran Che Puan Haminah Hamidun pula sebagai Sultanah Kedah yang baru dengan gelaran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah Kedah.

Tuanku Sultanah Haminah dilahirkan di Bagan Serai, Perak dan berkahwin dengan Tuanku Sultan Abdul Halim pada 25 Disember 1975.

Mengimbas perkahwinan ayahanda Tuanku Abdul Halim, Sultan Badlishah Sultan Abdul Hamid pula, baginda menikahi Tunku Sofiah Tunku Mahmud pada tahun 1943 di Istana Anak Bukit.

Menurut Wan Shamsuddin, istiadat perkahwinan baginda berdua berlangsung penuh meriah selama tiga hari dengan dihadiri pembesar negeri dan rakyat jelata.

“Istiadat perkahwinan baginda mengikut adat resam dan turun-temurun sejak Sultan Abdul Hamid. Upacara mandi-manda ini turut dibuat pada istiadat perkahwinan baginda berdua,” kata pengkaji sejarah berusia 79 tahun ini.

Hasil perkahwinan Sultan Badlishah dan Tunku Sofiah, baginda dikurniakan tiga putera, Tunku Abdul Hamid, Tunku Abdul Halim dan Tunku Mansor selain dua puteri Tunku Hamidah dan Tunku Sakinah.

Menurut salasilah Kesultanan Kedah, Tunku Sofiah adalah anak saudara Tunku Abdul Hamid kerana Tunku Mahmud merupakan adinda Tunku Abdul Hamid.

Bagi Wan Shamsuddin, perkahwinan Tunku Sofiah dan Sultan Badlishah yang merupakan sepupu adalah bagi mengukuhkan hubungan dalam kalangan institusi kekeluargaan kerabat diraja Kedah.

Sultan Badlishah juga pernah berkahwin dengan Tunku Asma Sultan Sulaiman iaitu kerabat diraja Terengganu dan dikurniakan tujuh anak iaitu Tunku Husna, Tunku Kamariah, Tunku Anuar, Tunku Bishariah, Tunku Badriyatul Jamil, Tunku Abdul Hamid Thani dan Tunku Salehuddin.

Lapan kali kahwin

Berlainan pula bagi nenda Tuanku Abdul Halim, Tuanku Abdul Hamid Halim Shah yang merupakan Sultan Kedah Ke-26 dalam institusi beraja Kedah yang memerintah dari tahun 1882 hingga 1943.

Baginda adalah anakanda Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah atau Halim Shah yang merupakan Sultan Kedah Ke-24 yang memerintah dari tahun 1854 hingga 1879.

Sultan Ahmad Tajuddin dicatatkan dalam salasilah mempunyai dua orang isteri iaitu Wan Jah Long Nik Abidin dan Wan Hajar Wan Ismail. Sultan Abdul Hamid adalah anak kepada Wan Hajar manakala Sultan Kedah yang Ke-25 ialah Sultan Zainal Rashid Muadzam Shah II (1879 hingga 1881) pula adalah anak Wan Jah.

Menurut salasilah Kesultanan Kedah, Sultan Abdul Hamid berkahwin sebanyak lapan kali dengan menikahi wanita Siam dan keturunan Sharifah selain wanita bernama Che Sofiah.

Isteri baginda ialah Che Spachendra, Che Laraseh, Che Samanirat, Che Manjalara, Sharifah Meriam, Sharifah Seha, Sharifah Fatimah dan Che Sofiah.

Menurut Wan Shamsuddin, perkahwinan dengan wanita keturunan Siam merupakan perkahwinan politik bagi mengeratkan hubungan antara kerajaan Kedah dan Siam.

Katanya, Sultan Abdul Hamid mempunyai 45 anak iaitu 23 putera dan 22 puteri. Sultan Badlishah merupakan anak daripada isteri baginda bernama Che Sofiah.

“Menariknya dalam salasilah ini ialah Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang merupakan Perdana Menteri Malaysia pertama adalah adik-beradik Sultan Badlishah dan bapa saudara kepada Tuanku Abdul Halim sekarang.

“Tunku Abdul Rahman merupakan anak Sultan Abdul Hamid daripada isteri baginda, Che Manjalara,” katanya.

SULTAN-SULTAN NEGERI KEDAH

1. Sultan Al-Muzaffar Shah (1136 - 1179)

2. Sultan Muadzam Shah (1179 - 1201)

3. Sultan Muhammad Shah (1201 - 1236)

4. Sultan Mazzil Shah/Mathal Shah (1236 - 1280)

5. Sultan Mahmud Shah I (1280 - 1321)

6. Sultan Ibrahim Shah (1321 - 1373)

7. Sultan Sulaiman Shah I (1373 - 1422)

8. Sultan Ataullah Muhammad Shah (1422 - 1472)

9. Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Shah (1472 - 1501)

10. Sultan Mahmud Shah II (1506 - 1546)

11. Sultan Mudzaffar Shah II (1546 - 1602)

12. Sultan Sulaiman Shah II (1602 - 1625)

13. Sultan Rijaludin Muhammad Shah (1625 - 1651)

14. Sultan Muhyiddin Mansur Shah (1651 - 1661)

15. Sultan Dhiauddin Mukarram Shah (1661 - 1687)

16. Sultan Ataullah Muhammad Shah II (1687 - 1698)

17. Sultan Abdullah Al Muadzam Shah (1698 - 1706)

18. Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah I (1706 - 1709)

19. Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Muadzam Shah II (1710 - 1778)

20. Sultan Abdullah Mukarram Shah (1778 - 1797)

21. Sultan Tunku Dhiauddin Raja Muda Kayang (1797 - 1803)

22. Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II (1803 - 1843)

23. Sultan Zainal Rasyid Al Muadzam Shah I (1843 - 1854)

24. Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah (1854 - 1879)

25. Sultan Zainal Rasyid Al Muadzam Shah II (1879 - 1881)

26. Sultan Abdul Hamid Halim Shah (1881 - 1943)

27. Sultan Badlishah (1943 - 1958)

28. Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (1958 hingga kini)

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 25 Jun 2012

Tuesday, November 20, 2012

Taiping

Pemandangan di Taman Tasik Taiping, imej dari www.trekearth.com
Taiping bermaksud aman selamanya dalam bahasa Hakka.

Taiping terletak di atas permukaan muka bumi yang tinggi terutamanya di bahagian Bukit Larut.

Ia merupakan lokasi paling kerap menerima taburan hujan di Malaysia iaitu sekitar 4,000 mm setahun.

Lantaran itu juga keadaan muka buminya sentiasa lembap terutama di Taman Tasik Taiping.

Namun begitu, keadaan tersebut tidak menyebabkan Taiping dilanda banjir kecuali kawasan paya bakau di sebelah barat.

Landskap di Taiping masih mengekalkan ciri-ciri peninggalan sejarah.

Bangunannya bercirikan seni bina kolonial seperti utilitarian, neo-classical, palladian dan minnan.

Mengikut sejarah, Taiping dahulunya dikenali sebagai Klian Pauh.

Bandar itu menjadi tumpuan setelah penemuan bijih timah oleh Long Jaafar.

Kemakmuran dan kekayaan menerusi lombong bijih timah menyebabkan British telah membangunkan Taiping menjadi sebuah bandar pentadbiran yang serba lengkap.

Namun pada 1937, kedudukannya sebagai ibu negeri telah berpindah ke Ipoh.

Keluasan daerah Taiping adalah 186,46 kilometer.

Populasi penduduk Taiping adalah 217,647.

Majlis Perbandaran Taiping (MPT) telah menyenaraikan Taiping mempunyai 31 perkara yang direkodkan sebagai pertama di Malaysia. Antaranya ialah:
  • Membuka aktiviti lombong bijih pertama (1844)
  • Resort di kawasan bukit - Maxwell Hill (1844)
  • Kolam renang - Coronation Swimming Pool (1870)
  • Masjid - Masjid Tengku Menteri (1870)
  • Rumah rehat (1870)
  • Sekolah Inggeris - Central School Kamunting (1878)
  • Taman tasik - Taman Tasik Taiping (1880)
  • Muzium - Muzium Perak (1883)
  • Penjara - Taiping Gaol (1885)
  • Landasan kereta api - dari Port Weld ke Taiping (1885)
  • Menara jam - Taiping Clock Tower (1890)
  • Esplanade - Esplanade (1890)
  • Akhbar berbahasa Melayu - Seri Perak (Jun 1893)
  • Kolej Perguruan - Maktab Perguruan Melayu 
  • Perpustakaan - Perpustakaan Merdeka

- Kosmo!

Monday, November 19, 2012

Penyakit Hepatitis

Penyakit ini mengakibatkan sel-sel hati rosak seterusnya menyebabkan fungsi hati tidak lagi dapat menghapuskan pigmen hempedu.

Kerosakan hati mengakibatkan pigmen hempedu akan dirembeskan ke dalam usus.

Jenis-jenis Hepatitis:

Terdapat 5 jenis Hepatitis iaitu A, B, C, D dan E namun dunia perubatan mengesahkan wujud juga Hepatitis F hingga G.

Untuk Hepatitis A dan E ia tidak akan menyebabkan penyakit hati yang kronik seperti sirosis dan kanser hati berbanding Hepatitis B, C dan D.

Punca

Hepatitis A disebabkan oleh virus HAV yang didapati daripada makanan dan minuman yang tercemar.

Hepatitis B dibawa oleh virus HBV.

Hepatitis C disebabkan oleh virus HVC. Ia berpunca dari berkongsi jarum suntikan, pemindahan darah, melalui luka dengan alat peribadi seperti pisau cukur, akupuntur dan tatu.

Hepatitis D disebabkan oleh virus HDV. Seseorang itu hanya dijangkiti virus tersebut sekiranya ia pernah mendapat Hepatitis B.

Hepatitis E dijangkiti oleh virus HEV yang didapati oleh makanan yang tercemar.

Simptom
  • Demam
  • Letih
  • Kurang selera makan
  • Pening kepala
  • Loya dan muntah-muntah
  • Sakit perut
  • Kencing berwarna kuning teh
  • Kehilangan berat badan

Imunisasi

Vaksin Hepatitis A boleh memberi perlindungan selama 12 bulan bagi dos yang diambil pertama kali dan 10 tahun selepas dos yang kedua. Vaksin ini disyorkan kepada golongan berisiko tinggi termasuklah:
  • Golongan yang melancong ke negara sedang membangun. 
  • Pekerjaan berisiko tinggi contohnya: bidang kesihatan, pekerja kumbahan.
  • Golongan yang mengamalkan gaya hidup berisiko tinggi.
  • Pusat jagaan kanak-kanak atau institusi yang menyediakan kemudahan.
  • Individu yang mempunyai penyakit hati yang kronik.

Vaksin Hepatitis boleh mencegah daripada jangkitan Hepatitis B. Virus Hepatitis B (HBV) menyebabkan masalah hati yang serius dan boleh menyebabkan kematian.

Vaksin Hepatitis C selalunya diberikan kepada mereka yang mahu menunaikan haji, umrah dan bertugas atau melancong di negara-negara yang berisiko tinggi.

Kadar pesakit Hepatitis A di Malaysia: 1.1/100,000 penduduk (1998).

Terdapat 5.24 peratus populasi Malaysia menghidap Hepatitis B (1999).

Dianggarkan 1 peratus populasi Malaysia menghidap Hepatitis C.

- Kosmo!, Kementerian Kesihatan Malaysia

Friday, November 16, 2012

Terlalu fikir masa depan punca dilanda resah

Dalam bahasa Arab syaja'ah bererti berani. Keberanian hakikatnya adalah kesabaran dan ketabahan serta berani melakukan perkara yang baik dan bermanfaat sama ada dalam bentuk perkataan atau perbuatan.

Keberanian adalah yang tumbuh dari dalam hati yang berupa ketabahan, kekuatan dan ketenangan dalam menghadapi masalah penting, mahupun perkara menakutkan.

Buah daripada sifat syaja'ah atau berani adalah berani untuk berkata dan berbuat sesuatu meskipun dalam keadaan takut dan bingung.

Kesempurnaan dan hiasan daripada sifat syaja'ah hendaklah sejalan dengan sikap kebijaksanaan atau hikmah.

Apabila keluar daripada batasan bijaksana ini dibimbangi akan bertindak melampau atau tekad mencampakkan diri dalam kebinasaan.

Perkara itu adalah sifat tercela seperti juga sikap pengecut.

Keberanian ialah sifat mulia yang berada di tengah-tengah antara sikap pengecut dan sikap melampau.

Perkara yang dapat menumbuhkan dan mengembangkan sifat berani adalah keimanan, tawakal yang kuat kepada Allah SWT, keyakinan yang penuh kepada Allah serta beriman dengan takdir Allah seperti hadis riwayat at-Tirmizi yang mengandungi pesanan Rasulullah SAW kepada Ibnu Abbas r.huma:

"Ketahuilah sekiranya satu umat sepakat untuk memberikan suatu manfaat kepada kamu, mereka tidak akan dapat memberi manfaat kepada kamu melainkan sesuatu yang Allah SWT memang telah tetapkan pada kamu. Dan sekiranya mereka sepakat untuk menimpakan mudarat kepada kamu, mereka tidak akan dapat menimpakan mudarat melainkan apa yang telah Allah SWT telah tetapkan buat kamu. Telah terangkat pena-pena dan telah kering catatan amal."

Lihat bagaimana Allah memuji sahabat yang berani menegakkan dan mempertahankan agama Allah SWT dalam al-Quran.

Contoh keberanian sahabat ketika hendak berperang menghadapi musuh-musuh Islam yang Allah SWT rakamkan dalam surah Ali Imran ayat 173 hingga ayat 175 bermaksud:

"Mereka yang diberitahu oleh orang kepada mereka bahawa kaum (kafir musyrikin) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu. Oleh itu, takutlah kepada mereka. Maka berita itu menambahkan iman kepada mereka, lalu berkata: "Cukuplah Allah (Penolong) kami, dan ia adalah sebaik-baik Pelindung. Maka mereka kembali dengan mendapat nikmat dan limpah kurnia daripada Allah, mereka tidak disentuh oleh sesuatu bencana pun, serta mereka pula menurut keredaan Allah. Dan Allah mempunyai limpah kurnia yang amat besar. Sesungguhnya mereka itu tidak lain hanyalah syaitan yang menakut-nakutkan pengikut-pengikutnya (kaum musyrik). Oleh itu janganlah kamu takut kepada mereka tetapi takutlah kepada-Ku, jika kamu benar-benar orang-orang yang beriman."

Sebagai motivasi untuk menghilangkan rasa takut lebih-lebih lagi ketika hendak bercakap dalam sesuatu majlis:
  1. Ubah fokus anda daripada takut kepada cinta apa yang anda lakukan
  2. Tanya kepada diri sendiri sekiranya terdapat perasaan bimbang, "Apakah bimbang ini membawa kebaikan kepada diri atau keburukan kepada diri?"
  3. Berlatih untuk berhenti berfikir mengenai masa depan dan habiskan masa sebanyak mungkin untuk masa kini

Kebimbangan, ketakutan dan kecemasan biasanya berlaku apabila kita terlalu memikirkan masa hadapan. Belajar untuk fokus masa sekarang dan anda akan berasa lebih bertenaga untuk mendapat kebahagiaan sekarang bukannya nanti.

Dicuplik dari ruangan Persoalan Agama Ustaz Zahazan di Berita Minggu 1 Januari 2012.

Monday, November 12, 2012

Hepatitis A

Apakah jangkitan Hepatitis A?

Hepatitis adalah jangkitan atau radang hati akibat virus yang dipindahkan melalui najis, makanan atau air tercemar.

Apakah gejala dan tanda-tanda Hepatitis A?

Ia mengambil masa 15 hingga 40 hari untuk menjadi penyakit Hepatitis A. Kadar jangkitan lebih 1,000 kali lebih tinggi daripada taun dan 10 hingga 100 kali lebih tinggi daripada demam kepialu tetapi jarang membawa kematian.

Gejala dan tandada termasuk

Hilang selera makan, loya, demam, muntah-muntah, sakit perut, lesu, penyakit kuning dan air kencing kotor.

Adakah terdapat rawatan khusus?

Tiada rawatan khusus bagi Hepatitis A. Rawatan am ialah:
  • mendapatkan rehat yang cukup dan minum banyak air
  • elak daripada minum alkohol
  • individu yang dijangkiti harus berada di rumah sehingga tiada lagi kesan jangkitan (seminggu selepas sakit)

Bolehkah Hepatitis A dicegah?

Hepatitis A boleh dicegah melalui penjagaan kebersihan diri, meminum air bersih, membasuh buah dan sayur sebelum dimakan serta mengambil suntikan vaksin Hepatitis A.

-Kosmo!, www.infosihat.gov.my

Wednesday, November 7, 2012

Kopi rangsang rawatan Hepatitis C

Pesakit Hepatitis C dengan masalah hati yang kronik mungkin mendapat manfaat dengan meminum kopi dalam tempoh rawatan.

Demikian menurut kajian dalam jurnal rasmi Institut Persatuan Gastroenterological Amerika (AGA), Gastroenterology.

Pesakit yang menerima rawatan penginterferon dan ribavirin tetapi meminum tiga atau lebih cawan kopi setiap hari adalah dua kali lebih berkemungkinan untuk sembuh berbanding mereka yang tidak berbuat demikian.

"Pengambilan kopi memang dikaitkan dengan enzim hati yang rendah, merendahkan merebaknya penyakit hati dan mengurangkan risiko kanser hati," kata penulis utama kajian, Neal Freedman daripada Institut Kanser Nasional.

-Kosmo!

Tuesday, November 6, 2012

Jalan pantas untuk pesakit kanser prostat

Kajian melibatkan 1,455 lelaki di Amerika Syarikat yang didiagnosis dengan kanser prostat peringkat awal mendapati terdapat hubungan antara senaman berjalan secara pantas dengan merendahkan kanser prostat daripada merebak, demikian menurut kajian saintis di University of California, San Fransisco dan Sekolah Kesihatan Awam Harvard.

Lelaki yang berjalan pantas sekurang-kurangnya pada kelajuan 1.6 kilometer sejam selama tiga jam setiap minggu selepas didiagnosis dengan kanser didapati hampir 60 peratus kurang berisiko berlakunya kewujudan semula kanser atau memerlukan rawatan kedua.

"Apa yang penting di sini ialah tahap aktiviti itu kerana hanya dengan berjalan pantas baru pesakit lelaki dapat merasai faedahnya," kata Erin Richman, Felo Kedoktoran di University of California yang merupakan penulis kajian yang diterbitkan dalam jurnal Cancer Research.

Dalam satu kajian lebih awal oleh June Chan dari universiti sama dengan kerjasama Sekolah Kesihatan Awam Harvard menunjukkan aktiviti fizikal selepas diagnosis dapat mengurangkan kesan berkaitan penyakit itu.

-Kosmo!

Monday, November 5, 2012

Berat kurang bila tidur cukup

Jika anda mahu meningkatkan peluang mengurangkan berat badan, turunkan aras stres anda dan dapatkan tidur yang cukup kerana kajian terkini Kaiser Permanente menunjukkan orang yang cuba menghilangkan 10 paun (4.5 kilogram) berat badan akan lebih mudah merealisasikannya jika mereka tidak tertekan dan tidur lebih enam jam.

Penyelidikan yang disiarkan dalam International Journal of Obesity pada 29 Mac 2011 adalah hasil kajian melibatkan hampir 500 peserta yang mana tidur, tekanan, kemurungan, waktu menonton televisyen dan skrin komputer dikaitkan dengan kehilangan berat badan.

Mereka yang tidak tertekan dan tidur lebih enam jam tetapi kurang daripada lapan jam berbanding yang lain ternyata berjaya berbuat demikian dalam masa yang lebih pantas.

-Kosmo!

Friday, November 2, 2012

Kulit epal lawan kanser

Saranan para ibu yang biasanya menggalakkan epal dimakan dengan kujlitnya kini mendapat sokongan saintifik daripada para penyelidik di New York apabila berjaya mengasingkan bahan kimia pada kulit epal.

Dalam kajian oleh Rui Hai Liu dan Xiangju He, mereka mendapati pengambilan epal dikaitkan dapat mebgurangkan risiko masalah kesihatan kronik seperti kanser paru-paru, penyakit jantung dan angin ahmar.

Saranan tradisional memakan epal dengan kulitnya sekali sebelum ini adalah kerana 75 peratus daripada serat buah itu terletak pada kulitnya.

Bagaimanapun saintis telah berjaya menunjukkan kulit epal juga mengandungi phytochemical yang memberi kesan baik melawan kanser.

Hai Liu dan He memproses 109 kilogram epal dan mengekstark phytochemical daripada 11 kilogram kulitnya sebelum menjalankan ujian antikanser dalam kultur makmal.

Antara ujian antikanser tersebut termasuklah sel kanser hati, payudara dan kolon selain mengenal pasti kumpulan berpotensi dalam menentang kanser.

-Kosmo!

Thursday, November 1, 2012

Tai chi bantu pesakit selepas kemoterapi

Menurut Persatuan Kanser Amerika Syarikat, lebih 11.4 juta rakyat AS kini hidup dengan kanser malah, terdapat banyak rawatan yang disediakan datang dengan kesan sampingan negatif seperti penurunan kemahiran kognitif contohnya kefasihan berbicara dan kehilangan memori.

Seorang ahli psikologi di Universiti Missouri, Stephanie Reid-Arndt menemui bukti yang menunjukkan seni mempertahankan diri tai chi mungkin dapat membantgu masalah tersebut.

Ia menyokong pendapat saintis-saintis yang banyak mengatakan tai chi memberi impak baik kepada kesihatan emosi dan fizikal.

Dia yang juga seorang pembantu profesor dan mempengerusikan Jabatan Kesihatan Psikologi di Sekolah Profesion Kesihatan berkata, secara umumnya ramai mengetahui tai chi membantu meningkatkan kualiti hidup tetapi, kajian menunjukkan ia juga memberi kesan kepada pesakit kanser yang menerima rawatan kemoterapi.

"Pergerakan perlahan dalam tai chi sesuai kepada pelbagai peringkat kecergasan yang menjadikannya relevan dengan mereka yang baru menjalani kemoterapi," katanya lagi.

Kajian yang dilakukannya melibatkan pemantauan ke atas sekumpulan wanita yang mempunyai sejarah kemoterapi dan menyertai kelas tai chi.

Mereka yang menjalani senaman selama satu jam sebanyak dua kali seminggu selama 10 minggu berjaya mencatatkan peningkatan dalam kesihatan psikologi dan keupayaan kognitif.

-Kosmo!