Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, November 27, 2012

Rotavirus

Awal Februari 2012, Malaysia telah dikejutkan dengan wabak gastroenteritis akut (AGE) yang telah menyerang dua daerah di Perak.

Dua kes kematian tersebut masing-masing melibatkan bayi berusia 10 bulan dan dua bulan.

Virus tersebut dipercayai merebak melalui air.

Perak mencatatkan jumlah pesakit yang paling tinggi bagi jangkitan tersebut dengan rekod setakat 16 Februari lalu ialah sebanyak 3,444 kes.

Jangkitan rotavirus biasanya bermula dengan demam dan diikuti dengan tiga hingga lapan hari cirit-birit dan muntah-muntah.

Cirit-birt yang dimaksudkan itu lazimnya menyingkirkan lebih banyak cecair daripada tubuh.

Hampir setiap kanak-kanak akan dijangkiti rotavirus sekurang-kurangnya sekali sebelum menginjak usia lima tahun.

Virus ini telah dikenal pasti sebagai punca utama masalah cirit-birit dan 600,000 kematian akibat rotavirus dicatatkan setiap tahun di seluruh dunia.

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekitar tahun 2000 hingga 2003, sebanyak 10.6 juta kematian berlaku setiap tahun dalam kalangan kanak-kanak berusia kurang lima tahun yang kesemuanya disebabkan masalah cirit-birit.

Di Malaysia, data Kementerian Kesihatan Malaysia mendedahkan bahawa di antara tahun 1999 hingga 2000, dianggarkan satu daripada 37 kanak-kanak di bawah usia lima tahun dirawat sebagai pesakit luar akibat rotavirus, manakala satu daripada 67 orang ditahan dalam wad, sementara satu daripada 15,000 orang berdepan dengan kematian.

Sebaik sahaja kanak-kanak dijangkiti virus tersebut, mereka akan jatuh sakit dalam tempoh dua hari.

Jangkitan tersebut mungkin menunjukkan simptom-simptom ringan ataupun tiada langsung.

Kanak-kanak boleh dijangkiti virus beberapa kali dalam hidup mereka dan jangkitan kali pertama selalunya teruk.

Beberapa simptom yang biasa adalah seperti cirit-birit berdarah, muntah-muntah dengan kerap melebihi tiga jam, suhu badan mencecah 39.4 darjah Celsius ke atas dan tidak bermaya.

Kanak-kanak yang terkena virus juga akan menunjukkan simptom dehidrasi seperti mulut kering, menangis tanpa air mata, kencing sedikit atau tiada langsung serta mengantuk yang luar biasa.

Rotavirus mudah berjangkit. Ia merebak melalui sentuhan dengan najis dan seterusnya dijangkiti melalui makanan tercemar, air dan titisan pernafasan.

Rotavirus boleh bertahan selama beberapa hari pada permukaan keras dan keringn dan ia boleh hidup selama berjam-jam di tangan manusia.

Cirit-birit yang teruk boleh mengundang dehidrasi terutamanya dalam kalangan kanak-kanak kecil. Jika tidak dirawat, dehidrasi boleh menjadi suatu keadaan yang mengancam nyawa tanpa mengira puncanya.

Tiada rawatan dan ubat yang khusus untuk jangkitan rotavirus, walaupun terapi dehidrasi oral disyorkan.

Cecair rehidrasi boleh menggantikan kehilangan mineral lebih berkesan daripada air mahupun cecair lain.

Ibu bapa perlu lebih serius tentang penjagaan kebersihan anak-anak sepanjang masa.

Ibu-ibu yang menyusukan bayi disarankan meneruskan proses penyusuan kerana ia dapat membantu mencegah jangkitan rotavirus.

Kematian akibat jangkitan rotavirus lazimnya disebabkan kehilangan cecair dan elektrolit berpunca daripada muntah dan cirit-birit yang teruk.

Pemberian cecair dan elektrolit secara mencukupi dan segera merupakan teras utama dalam rawatan kes rotavirus gastroenteritis.

Pencegahan jangkitan rotavirus sebahagian besarnya adalah melalui amalan kebersihan diri.

Ini termasuk membasuh tangan dengan air dan sabun, minum air yang telah dimasak dan makan makanan yang telah dimasak dengan sempurna.

Sejak tahun 2006, dua jenis vaksin rotavirus telah disediakan sebagai pencegahan jangkitan rotavirus bagaimanapun ia belum menjadi sebahagian program pelalian negara.

Dipetik dari artikel Cirit-birit jadi petanda maut tulisan Nurul Izza Rosly yang disiarkan dalam akhbar Kosmo! bertarikh 6 Mac 2012.

No comments: