Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, November 22, 2012

Chan Sow Lin

Chan Sow Lin dilahirkan pada tahun 1845.

Chan Sow Lin berhijrah dari Tanah Besar China pada usia 16 tahun dengan matlamat untuk terlibat dalam bidang perlombongan bijih timah di Pulau Pinang namun ada pendapat mengatakan dia sebenarnya berasal dari Taiping, Perak.

Selepas bertahun-tahun membanting tulang empat kerat, dia berjaya mengumpulkan wang dan telah membuat keputusan berhijrah ke Kuala Lumpur bagi memulakan perniagaan perlombongan di situ.

Keputusannya sangat tepat apabila dia berjaya menjadi seorang ahli perniagaan yang kaya pada akhir abad ke-19 dan ke-20.

Chan Sow Lin menjadi salah seorang ahli lembaga pemegang amanah Sekolah Confucius Cina pada tahun 1910 yang ketika itu terletak di Kampung Attap. Seorang lagi dermawan Cina yang terlibat ialah Loke Chow Kit.

Bilangan pelajar di sekolah yang memberi peluang kepada kanak-kanak berketurunan Cina tempatan mendapat pendidikan bagi mengekalkan hubungan perdagangan dengan China itu meningkat saban tahun.

Premis yang sedia ada sudah tidak dapat menampung pelajar yang semakin ramai. Sow Lin dan Chow Kit masing-masing menyumbang sebanyak RM62,170 dan RM31,230 untuk premis baharu di Jalan Pudu, Kuala Lumpur.

Chan Sow Lin juga turut menyumbang kepada Hospital Tung Shin yang terletak di Jalan Pudu sekarang.

Kapitan Cina Kuala Lumpur terakhir, Yap Kwan Seng meninggal dunia pada tahun 1902 dan serta-merta jawatan berikut dimansuhkan.

Berikutan peristiwa itu, Residen Selangor, Sir Frank Swettenham telah melantik Sow Lin sebagai wakil masyarakat Cina dalam Majlis Negeri Selangor. Kuala Lumpur pada masa itu merupakan sebahagian daripada negeri Selangor.

Chan Sow Lin merupakan individu pertama yang membawa teknologi kapal korek dari Eropah ke Selangor yang mana sebelum itu aktiviti perlombongan menggunakan kaedah tradisional seperti mendulang dan pam kerikil.

Kemudian, melalui syarikatnya, Chan Sow Lin and Co. Ltd., dia memulakan perniagaan dalam induistri besi tuang pada tahun 1913.

Nama Chan Sow Lin diabadikan di sebuah kawasan industri di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Jalan Chan Sow Lin masih lagi wujud sehingga sekarang dan di persekitaran jalan itu banyak menempatkan premis kilang industri berat bagaimanapun syarikat Chan Sow Lin tiada di situ.

Chan Sow Lin telah dianugerahkan pingat Jaksa Pendamai daripada pejabat Residen Selangor pada tahun 1918.

Chan Sow Lin meninggal dunia pada umur 82 tahun dan memorialnya berada di tanah perkuburan Kwang Tong yang terletak di Jalan Kerayong, Kuala Lumpur.

-Kosmo!

No comments: