Keberanian adalah yang tumbuh dari dalam hati yang berupa ketabahan, kekuatan dan ketenangan dalam menghadapi masalah penting, mahupun perkara menakutkan.
Buah daripada sifat syaja'ah atau berani adalah berani untuk berkata dan berbuat sesuatu meskipun dalam keadaan takut dan bingung.
Kesempurnaan dan hiasan daripada sifat syaja'ah hendaklah sejalan dengan sikap kebijaksanaan atau hikmah.
Apabila keluar daripada batasan bijaksana ini dibimbangi akan bertindak melampau atau tekad mencampakkan diri dalam kebinasaan.
Perkara itu adalah sifat tercela seperti juga sikap pengecut.
Keberanian ialah sifat mulia yang berada di tengah-tengah antara sikap pengecut dan sikap melampau.
Perkara yang dapat menumbuhkan dan mengembangkan sifat berani adalah keimanan, tawakal yang kuat kepada Allah SWT, keyakinan yang penuh kepada Allah serta beriman dengan takdir Allah seperti hadis riwayat at-Tirmizi yang mengandungi pesanan Rasulullah SAW kepada Ibnu Abbas r.huma:
"Ketahuilah sekiranya satu umat sepakat untuk memberikan suatu manfaat kepada kamu, mereka tidak akan dapat memberi manfaat kepada kamu melainkan sesuatu yang Allah SWT memang telah tetapkan pada kamu. Dan sekiranya mereka sepakat untuk menimpakan mudarat kepada kamu, mereka tidak akan dapat menimpakan mudarat melainkan apa yang telah Allah SWT telah tetapkan buat kamu. Telah terangkat pena-pena dan telah kering catatan amal."
Lihat bagaimana Allah memuji sahabat yang berani menegakkan dan mempertahankan agama Allah SWT dalam al-Quran.
Contoh keberanian sahabat ketika hendak berperang menghadapi musuh-musuh Islam yang Allah SWT rakamkan dalam surah Ali Imran ayat 173 hingga ayat 175 bermaksud:
"Mereka yang diberitahu oleh orang kepada mereka bahawa kaum (kafir musyrikin) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu. Oleh itu, takutlah kepada mereka. Maka berita itu menambahkan iman kepada mereka, lalu berkata: "Cukuplah Allah (Penolong) kami, dan ia adalah sebaik-baik Pelindung. Maka mereka kembali dengan mendapat nikmat dan limpah kurnia daripada Allah, mereka tidak disentuh oleh sesuatu bencana pun, serta mereka pula menurut keredaan Allah. Dan Allah mempunyai limpah kurnia yang amat besar. Sesungguhnya mereka itu tidak lain hanyalah syaitan yang menakut-nakutkan pengikut-pengikutnya (kaum musyrik). Oleh itu janganlah kamu takut kepada mereka tetapi takutlah kepada-Ku, jika kamu benar-benar orang-orang yang beriman."
Sebagai motivasi untuk menghilangkan rasa takut lebih-lebih lagi ketika hendak bercakap dalam sesuatu majlis:
- Ubah fokus anda daripada takut kepada cinta apa yang anda lakukan
- Tanya kepada diri sendiri sekiranya terdapat perasaan bimbang, "Apakah bimbang ini membawa kebaikan kepada diri atau keburukan kepada diri?"
- Berlatih untuk berhenti berfikir mengenai masa depan dan habiskan masa sebanyak mungkin untuk masa kini
Kebimbangan, ketakutan dan kecemasan biasanya berlaku apabila kita terlalu memikirkan masa hadapan. Belajar untuk fokus masa sekarang dan anda akan berasa lebih bertenaga untuk mendapat kebahagiaan sekarang bukannya nanti.
Dicuplik dari ruangan Persoalan Agama Ustaz Zahazan di Berita Minggu 1 Januari 2012.
No comments:
Post a Comment