Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, January 30, 2012

Pemikiran puca kita gagal


Oleh MOHD. AWANG IDRIS

Sesi persekolahan sudah pun bermula. Ramai daripada kita kembali sibuk menghantar dan mengambil anak ke dan dari sekolah. Saban hari kita juga mengharapkan kejayaan anak-anak, baik dalam bidang akademik atau sahsiah diri.

Bagaimanapun, harapan semata-mata tidak memadai untuk membuahkan kejayaan kepada mereka. Ada isu psikologi yang sesekali menyebabkan impian kita tergendala. Ia boleh berpunca daripada ibu bapa, guru-guru atau ahli masyarakat. Namun, hal ini jarang kita sedari.

Dalam kehidupan seharian, ada satu simptom yang selalu berlaku, walaupun kita mungkin tidak menyedarinya.

Ia berlaku dalam kognitif pemikiran kita. Simptom ini yang dinamakan sebagai nujuman penyempurnaan kendiri atau dalam istilah bahasa Inggeris, self fulfilling prophecy.

Simptom ini berlaku apabila kita meramalkan sesuatu tingkah laku terlebih dahulu. Kemudiannya, ia disusuli dengan tindakan-tindakan kita bagi membolehkan tingkah laku yang kita andaikan itu benar-benar berlaku.

Misalnya, Ali mengandaikan bahawa Abu ialah seorang yang sombong. Andaian tersebut menyebabkan setiap kali Ali terserempak dengan Abu, dia tidak akan bertegur sapa atau menghulurkan senyuman.

Pendidikan

Tentulah, Abu juga tidak akan menegur Ali juga kerana tidak ada wajah mesra daripada Ali. Hasilnya, Abu yang mungkin bukan seorang yang sombong, kemudiannya benar-benar menjadi individu yang sombong.

Pernahkah ini berlaku dalam hidup anda? Ia selalu berlaku tetapi kita tidak menyedarinya. Ia selalu terjadi, tetapi kita tidak mengetahuinya.

Bagaimana pula dalam konteks pendidikan anak-anak? Di sekolah, biasanya terdapat kecenderungan guru mengandaikan pelajar yang duduk di barisan belakang sebagai malas dan tidak berminat dalam pembelajaran. Sesekali mereka juga diandaikan sebagai pelajar yang nakal. Hasilnya, guru tersebut tidak memberi perhatian kepada pelajar di barisan belakang. Keutamaan hanya diberikan kepada pelajar barisan hadapan. Disebabkan kurang perhatian, pelajar di barisan belakang kemudiannya benar-benar gagal dan menjadi mereka yang nakal.

Dalam keadaan ini bagaimanakah simptom ini berlaku?

Kita juga sering melihat anak-anak sekolah yang ponteng dan melepak di belakang bangunan atau kaki lima pusat beli-belah. Sesekali kita juga melihat mereka merokok atau melakukan sesuatu yang tidak bermoral. Walaupun kita tahu bahawa anak-anak ini berkemungkinan ponteng sekolah, tetapi kita tidak menegurnya. Minda psikologi kita telah terlebih awal memberikan isyarat bahawa mereka ini anak-anak nakal dan tidak berminat dengan pelajaran. Masa depan mereka bakal binasa kerana kedegilan mereka.

Justeru tidak ada ahli masyarakat yang mengambil tahu, walaupun gejala ponteng ini hanya berlaku di belakang kawasan perumahan mereka, hasilnya pelajar-pelajar tersebut benar-benar menjadi pelajar yang bermasalah. Mereka ini asalnya mungkin hanya sekadar suka-suka. Natijah daripada pemikiran kita tadi, mereka juga mungkin bermasalah pada kemudian hari.

Semua ini sebenarnya ialah reaksi psikologi yang selalu berlegar dalam kehidupan kita tanpa kita sedari.

Mata pelajaran Sains dan Matematik telah dianggap sebagai subjek yang sukar. Bahkan, kita selalu menyebutnya. Selain guru Sains dan Matematik, guru-guru lain juga menyebutnya.

Kurang minat

Pelejar-pelajar yang pernah gagal dalam Matematik dan Sains juga selalu menyebutnya. Terpedaya dengan mitos yang dikembangkan dalam masyarakat, anak-anak kita juga menyangka bahawa Sains dan Matematik ialah subjek yang sukar. Kesannya, mereka tidak berminat untuk mengulangkaji mata pelajaran tersebut.

Mereka juga yakin gagal dalam subjek tersebut. Lama-kelamaan, akibat kurang berminat dan tidak mengulangkaji, Sains dan Matematik yang asalnya mungkin sekadar subjek seperti subjek yang lain, menjadi mata pelajaran yang benar-benar susah. Mereka pula gagal.

Inilah sebenarnya kekangan minda yang selalu membantutkan kejayaan anak-anak kita di sekolah. Kita mengandaikan bahawa dengan menghantar anak-anak ke sekolah setiap hari, mereka akan membawa pulang sesuatu yang membahagiakan.

Namun, kita terlupa, adakalanya kita sendirilah yang meramal kegagalan mereka. Mudah-mudahan kita semua terhindar daripada simptom ini.

Penulis ialah pensyarah psikologi di Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti Malaya. Beliau memiliki kelulusan PhD dalam bidang psikologi dari University of South Australia. Beliau telah memulakan kerjaya di pelbagai organisasi swasta sebelum menceburkan diri dalam dunia akademik. Kajian beliau banyak tersiar di beberapa buah jurnal antarabangsa.

Dicuplik daripada akhbar Kosmo! bertarikh 20 Januari 2012.

Sunday, January 29, 2012

Berjimat cermat amalan mulia


Islam adalah agama yang mengatur segala kehidupan umatnya yang merangkumi pelbagai aspek antaranya ialah dari sudut ekonomi, sosial, politik dan sebagainya. Hal ini adalah bersesuaian dengan asas-asas yang menyentuh persoalan untuk mengurus kehidupan agar ianya lenih sempurna teratur dan sesuai dengan keperluan semasa.

Agama Islam telah menetapkan beberapa peringkat keperluan bagi umatnya:
  1. al-Dharuriat iaitu keperluan yang mendesak.
  2. al-Hajiaat iaitu keperluan yang dihajati.
  3. al-Thasiniat iaitu keperluan yang lebih baik
  4. al-Kamaliat iaitu keperluan yang lebih lengkap

Namun begitu, dalam mengurus kehidupan kita, Islam mewajibkan kita mengatur perbelanjaan kepada perkara-perkara asas dan keperluan yang benar-benar mendesak iaitu al-Dharuriat.

Menurut Imam as-Syatibi bahawa:

"al-Dharuriat adalah sesuatu yang harus dilakukan agar mendapat kemaslahatan di dunia dan akhirat, jika al-Dharuriat ini tidak dilaksanakan maka kemaslahatan itupun tidak akan ada tetapi yang akan timbul adalah kerosakan, kesengsaraan dan kerugian yang besar."

Sebagai seorang Islam tentunya kita menyedari bahawa dalam menjalani kehidupan ini Allah SWT telah mengurniakan berbagai-bagai nikmat yang tidak terhitung banyaknya sama ada dalam bentuk keamanan, kesejahteraan, kesihatan, kebahagiaan, kekayaan, umur yang panjang dan sebagainya.

Firman Allah SWT di dalam surah an-Nahl ayat 18 yang bermaksud:

"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tiadalah kamu dapat menghitungnya; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Namun begitu, kadang kala dengan nikmat yang melimpah ini menyebabkan seseorang itu lupa dan lalai bahawa sebahagian itu adalah ujian dari Allah SWT kepada hamba-hambaNya.

Sebagai umat Islam kita dituntut agar mensyukuri segala pemberian dari Allah SWT. Kita hendaklah mengurus segala perbelanjaan untuk keperluan hidup dengan sebaik-baiknya setiap masa sama ada di waktu senang, lebih-lebih lagi di waktu susah.

Sekiranya kita mengabaikan perkara tersebut dikhuatiri kesan daripada kelalaian kita menguruskan perbelanjaan hidup boleh menyebabkan negara kita berada dalam mundur dan terkebelakang.

Sesungguhnya Islam tidak melarang umatnya berbelanja tetapi agama Islam mendidik umatnya tentang kaedah berbelanja secara berhemah iaitu dengan memberi keutamaan dan mendahului kepada perkara-perkara penting sahaja.

Dalam hal ini Profesor Dr. Yusuf Qardhawi ada mengatakan bahawa:

"Sebahagian umat Islam kini kerap mendahulukan perkara yang kurang penting berbanding perkara yang penting. Perkara penting adalah urusan-urusan wajib yang termaktub dalam syariat Islam. Antara perkara tersebut ada yang besar, penting dan utama dan ada pula yang kecil, ringan, kurang penting dan kurang utama iaitu asasi, cabang (furu’), dan rukun."

Perlu difahami gaya hidup berhemah berkait rapat dengan sifat berjimat cermat dan tidak membazir. Islam melarang dan menegah umatnya daripada membazir kerana ianya perbuatan keji.

Islam menyifatkan perbelanjaan boros dan pembaziran adalah perbuatan keji kerana ia tidak memberi faedah kepada masyarakat dan menjauhkan lagi jurang golongan kaya dan miskin. Jika dasar berhemah ini diambil kira, maka hak-hak serta kebajikan fakir dan orang miskin dapat ditunaikan sepanjang masa.

Sesungguhnya orang yang membazir adalah saudara syaitan dan syaitan amat suka kepada orang yang boros dan berbelanja mengikut kehendak nafsu. Firman Allah SWT di dalam surah al-Israk ayat 27 yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya."

Ibn Mas'ud dan Ibn Abbas RA mentafsirkan ayat ini, bahawa pembaziran itu bermaksud perbelanjaan atau menggunakan harta benda bukan pada tempatnya yang sebenar. Begitu juga dengan pandangan Imam Syafie bahawa pembaziran itu ialah membelanjakan harta benda bukan pada jalannya.

Rasulullah SAW sendiri hidup dalam keadaan yang amat sederhana, walaupun bukit dan gunung-ganang yang ada di sekitarnya pernah ditawarkan agar ianya dijadikan emas dan perak, akan tetapi Rasulullah SAW menolaknya dan tetap memilih cara hidup yang sederhana.

Diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Mas'ud RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Apakah kedudukan aku di dunia ini? Tidakkah aku di dunia ini melainkan seumpama seorang pengembara yang berteduh di bawah pokok kemudian berlalu meninggalkannya."

Diriwayatkan juga bahawa dapur Rasulullah SAW hampir 60 hari tidak berasap. Baginda dan isteri-isterinya hanya menjamah buah tamar dan air. Bukan kerana tidak mampu tetapi Rasulullah SAW suka untuk hidup dalam keadaan sederhana dan tidak melakukan pembaziran serta berbelanja mengikut hawa nafsu.

Dalam penjimatan penggunaan sumber tenaga, Rasulullah SAW menyeru umat Islam supaya tidak membazir dalam pengambilan wudu' atau air sembahyang. Rasulullah SAW bersabda kepada Saad bin Abi Waqqas RA ketika beliau berwudu':

"Daripada Abdullah bin Amru bin Al-‘As bahawa Rasulullah SAW lalu berdekatan Saad yang sedang berwudhuk. Sabda Baginda: Pembaziran jenis apakah ini, wahai Saad? Maka Saad berkata: Dalam wuduk pun ada pembaziran? Rasulullah SAW menjawab: Ya, walaupun kamu berwuduk dalam sungai yang sedang mengalir." - (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan Ahmad)

Bagaimanapun dalam dasar hidup berhemah ini kita juga hendaklah menjauhi sifat bakhil dan kedekut. Dengan mengamalkan sifat bakhil dan kedekut ini melambangkan bahawa kita tidak bersyukur kepada Allah SWT dan tidak menunaikan tanggungjawab serta amanah Allah.

Firman Allah SWT dalam surah al-Furqaan ayat 67 yang bermaksud:

"Dan mereka yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan perbelanjaan mereka adalah betul sederhana."

Sebagai manusia yang beriman dan berintegriti, kita hendaklah mengamalkan sikap berjimat cermat serta menjauhi sifat membazir agar mendapat keberkatan dari Allah SWT. Malahan dengan mengamalkan sikap berjimat cermat ia akan mendatangkan banyak faedah kepada diri kita dalam banyak perkara di antaranya, kita akan mendapat pahala dan keberkatan dari Allah SWT.

Kita juga akan terselamat dari muflis akibat hutang dan berbelanja berlebihan menurut hawa nafsu serta kita juga akan mempunyai simpanan yang dapat menjamin hidup kita di saat menghadapi kesusahan.

Renungilah firman Allah SWT dalam surah Luqman ayat 20 yang bermaksud:

"Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kamu nikmat-Nya yang zahir dan yang batin? Dalam pada itu, ada di antara manusia orang yang membantah mengenai (sifat-sifat) Allah dengan tidak sebarang pengetahuan atau petunjuk; dan tidak berdasarkan Kitab Allah yang menerangi kebenaran."

sumber: e-khutbah JAKIM

Thursday, January 26, 2012

Menjana Kekuatan Ekonomi Islam


Di dalam al-Quran dinyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW diutuskan sebagai rahmat bagi semesta alam seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Anbiyaa' ayat 107. Bagaimanapun salah satu penyakit umat Islam yang menghalang bagi mencapai rahmat itu ialah kemiskinan dan kebodohan.

Di negara kita umat Islam mewakili 60% daripada penduduk tetapi mereka hanya menguasai 20% sahaja daripada kekayaan negara. Majoriti umat Islam pada hari ini hanya sekadar kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Persoalannya, bagaimana umat Islam berada di kedudukan terkebelakang dalam pencapaian ekonomi sehingga kemiskinan itu menjadi sinonim dalam kehidupan umat Islam?

Menurut Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), unjuran kadar inflasi negara kita akan meningkat kepada paras 3.25 peratus pada tahun ini berbanding 2.9 peratus pada tahun 2010. Ini adalah disebabkan oleh peningkatan harga keperluan asas iaitu harga makanan, kos pengangkutan serta kos pinjaman.


Pembangunan ekonomi adalah asas utama kepada keutuhan sesebuah negara. Oleh yang demikian, Islam juga sangat menganjurkan umatnya supaya membangunkan ekonomi dan meningkatkan taraf kehidupan ke arah yang lebih maju dan dalam masa yang sama tidak mengabaikan pembangunan dari aspek keperibadian dan akhlak.

Kesan daripada rezeki yang diusahakan mengikut acuan syariah dan tadbir urus berdasarkan perundangan Allah SWT akan mendapat keberkatan dan limpahan rezeki dan kurniaan dari Allah SWT seperti mana firman Allah dalam surah al-Isra' ayat 30 yang bermaksud:

"Sesungguhnya Tuhanmulah Yang meluaskan rezeki bagi sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), dan ia juga Yang menyempitkannya (menurut Yang demikian). Sesungguhnya ia Maha mendalam pengetahuannya, lagi Maha melihat akan hamba-hambanya."

Kegiatan ekonomi adalah merupakan suatu fardhu kifayah ke atas setiap Muslim seperti mana sabda Rasulullah SAW daripada Zubair bin al-Awwam RA yang bermaksud:

"Sesungguhnya seorang daripada kamu membawa seutas talinya dan pergi ke bukit lalu pulang dengan membawa seberkas kayu di atas bahunya. Kemudian ia menjualkannya, maka Allah akan memelihara kehormatannya, dan itu lebih baik baginya daripada ia meminta-minta manusia yang kadang-kadang diberi atau ditolak."

Dalam usaha untuk melonjakkan imej umat Islam maka dituntut umatnya bekerja bersungguh-sungguh untuk meningkatkan ekonomi dan kekayaan negara sejajar dengan tuntutan meningkatkan kualiti dan kesejahteraan hidup.

Sabda Rasulullah SAW:

"Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan ia melakukan dengan tekun(memperbaiki dan mempertingkatkannya)." - (Hadis Riwayat al-Baihaqi)

Agama Islam amat menganjurkan umatnya supaya berusaha dalam mencapai kebahagiaan kehidupan dengan cara yang selari menurut syariah dan meninggalkan segala yang bertentangan dengan ajarannya. Maka hasilnya, kita dapati pada akhir-akhir ini, sistem kewangan dan pengeluaran produk halal (Halalan Thoiyiban) yang berlandaskan Islam telah mendapat perhatian dan pilihan masyarakat.


Sistem dan produk Islam seperti pajak gadai Ar-Rahnu, akaun simpanan, pelaburan, pembiayaan, pensijilan produk halal dan lain-lain lagi. Bahkan bank-bank tempatan di seluruh Malaysia juga telah menjadikan sistem kewangan Islam sebagai salah satu produk mereka.

Transformasi yang berlaku ini, menunjukkan kepada kita bahawa acuan dan sistem ekonomi dan kewangan Islam telah menghasilkan impak yang besar demi memartabatkan ajaran agama Islam ke seluruh alam. Pada tahun 2010 sahaja, menurut Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia telah menyenaraikan sebanyak 846 sekuriti yang patuh Syariah tersenarai di Bursa Malaysia.

Justeru, janganlah memandang ringan dengan urusan dan sistem muamalah yang terdapat di negara kita kerana ia merupakan suatu kewajipan yang mesti kita patuhi dan laksanakan bagi meningkatkan ekonomi umat Islam dalam kehidupan.

Firman Allah SWT dalam surah al-An'am ayat 152 yang bermaksud:

"Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik, sehingga ia baligh; dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil. Kami tidak memberatkan seseorang melainkan sekadar kesanggupannya. Dan apabila kamu berkata maka hendaklah kamu berlaku adil, sekali pun orang itu ada hubungan kerabat; dan janji Allah hendaklah kamu sempurnakan. Yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu beringat."

Umat Islam perlu sedar bahawa untuk memantapkan dan mengukuhkan ekonomi umat Islam adalah tidak mudah. Walaupun kebanyakan negara-negara Islam kaya dengan sumber galian dan khazanah alam yang dianugerahkan oleh Allah SWT, kita lemah dalam memanfaatkan anugerah Allah SWT tersebut.

Justeru umat Islam perlu mengambil kesempatan ini dengan tidak lagi bergantung kepada sistem kapitalis dan sosialis yang bersifat tidak seimbang. Sistem ekonomi kapitalis menyebabkan kekayaan dikendalikan atau dikuasai hanya oleh segelintir pihak sahaja atau dapat dikatakan yang kaya bertambah kaya, yang miskin papa kedana dan terus berada dalam kepompong kemiskinan.

Dalam konflik yang sedemikian rupa, pastinya menjadikan implikasi negatif kerana menimbulkan banyak permasalahan yang rumit bagi masyarakat yang berada dalam penindasan dan kezaliman dimana mereka yang miskin akan terus dikalahkan oleh kelompok kaya yang menguasai sumber daya ekonomi lebih banyak.

Sheikh al-Imam Dr. Yusof Al-Qardawi pernah berkata bahawa:

"Kekuatan ekonomi Islam kita terbengkalai. Kita hidup di bumi Allah yang paling strategik, paling baik dan paling subur. Bumi yang paling banyak galian yang tersimpan dalam perutnya dan kekayaan yang bertebaran di atasnya. Malangnya kita menyalahgunakan kekayaan, tidak berani berusaha di bumi sendiri dalam menghasilkan keluaran dari galian sedangkan bahan mentahnya dikeluarkan dari bumi kita. Maka jadilah kita dalam banyak keadaan adalah sebagai pengguna bukannya pengeluar, pengimport bukan pengilang atau pengeksport. Kadangkala kita menghasilkan produk yang tidak diperlukan dan tidak dapat dipasarkan. Dalam masa yang sama kita mengabaikan dalam menghasilkan barang atau produk yang sangat kita perlukan dan mempunyai permintaan yang tinggi. Kita sangat berbangga memiliki kereta mewah antarabangsa, sedang kita tidak tahu pun untuk mengeluarkan basikal sebagai produk buatan sendiri."

Marilah sama-sama kita melaksanakan dan memastikan sistem dan pendekatan berlandaskan konsep syariah terus dipertingkatkan dan dimajukan. Dengan cara ini insya Allah ekonomi umat Islam dapat dipertingkatkan dan dapat melonjakkan imej umat Islam di mata dunia.

Percayalah bahawa sekiranya kita umat Islam ingin dilihat sebagai umat yang maju dan dihormati, maka kita harus bangkit dan berusaha untuk meningkatkan tahap ekonomi masing-masing. Ini merupakan konsep 'jihad' yang mesti dipegang oleh umat Islam.

Kita juga perlu melihat kesan ekonomi individu Islam ke atas ekonomi umat Islam keseluruhannya. Sikap mengabaikan keperluan pengukuhan ekonomi akan melemahkan kedudukan ekonomi serta martabat umat Islam dan akibatnya memudahkan kita dieksploitasi dan dijajah oleh orang lain.

Renungilah firman Allah SWT dalam surah an-Najm ayat 39-41 yang bermaksud:

"Dan bahawa sesungguhnya tidak ada bagi seseorang melainkan apa yang diusahakannya.Dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan kepada-Nya pada hari kiamat kelak. Kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna."

sumber: e-khutbah JAKIM

Wednesday, January 25, 2012

Asal usul nama negeri Perak

Berbagai-bagai tafsiran telah dibuat mengenai pengambilan nama "PERAK" sebagai sebuah negeri yang besar.

Menurut satu cerita yang menarik sebagaimana yang dititahkan sendiri oleh Almarhum Paduka Seri Sultan Idris A'fifullah Shah (Sultan Perak ke-33) mengatakan di zaman kerajaan Melayu Melaka sebelum wujudnya nama negeri Perak, negeri Perak terbahagi kepada tiga daerah iaitu Beruas, Manjung dan Janin (Hulu Perak di bawah pemerintahan Tun Sab'an).

Manjung dan Beruas dibawah takluk Melaka. Penghulu Manjung ketika itu ialah Tok Mahsuka. Dikatakan ketiga-tiga Ketua Daerah telah bermesyuarat untuk menyatukan daerah-daerah mereka menjadi satu negeri dengan memakai nama yang khusus. Mereka bercadang untuk menamakan MELAKA tetapi didapati tidak begitu sesuai kerana Negeri Melaka masih wujud walaupun dibawah kekuasaan Portugis. Lantas mereka teringatkan pula bahawa salah satu punca utama yang membawa kepada keunggulan, kebesaran dan keharuman nama Melaka ialah peranan dan tanggung jawab Bendahara Tun Perak. Maka ketiga-tiga Ketua Daerah tersebut bersetuju untuk menamakan negeri baru ini sebagai Negeri Perak.

Oleh sebab pada ketika itu Negeri Perak belum mempunyai Raja lalu Tok Mahsuka berkehendakkan supaya Negeri baru ini mempunyai Raja yang berdaulat.

Hikayat Merong Mahawangsa pula mengatakan bahawa nama Negeri Perak ini ada kaitannya dengan cerita putera Raja Marong Mahapudi Sat yang di katakan telah pergi meneroka untuk membuka sebuah negeri baru, Putera tersebut telah sampai sebuah sungai besar dan terdapat pula bertasik, melingkungi tiga atau empat buah pulau. Putera tersebut telah berkata.. " Tempat ini elok dijadikan sebuah negeri...", lalu baginda pun memanah ke udara dengan menggunakan sebilah anak panah yang diperbuat daripada 'perak' dan busarnya dinamakan 'Indera Sakti'. Apabila anak panah tersebut jatuh terjunam ke atas sebuah daripada pulau-pulau yang berkenaan maka dinamakanlah tempat itu sebagai Pulau Indera Sakti dan negerinya dinamakan Negeri Perak.

Dalam cerita-cerita yang lain terdapat juga kisah-kisah seperti:
  • seekor ikan Haruan besar mengicah-ngicah anaknya hingga air sungai menjadi keruh putih berkilat saperti perak.
  • Warna bijih timah yang putih berkilat apabila dipanah cahaya matahari dan berbagai-bagai cerita lagi.

Adunan daripada fakta sejarah dan unsur lagenda hingga terciptanya nama 'Negeri Perak' itu menggambarkan bahawa pemilihan nama "PERAK" itu sangat bertetapan dengan kekayaan khazanah yang dikandungi oleh bumi Perak itu sendiri. Justeru kekayaan ini lah pergolakan sejarah Negeri Perak semakin bergelora satelah empayar Kerajaan Melayu Melaka berpecah pada tahun 1511 dan munculnya kuasa-kuasa Portugis, Acheh, Bugis, Siam, Minangkabau, Belanda dan akhir sekali Inggeris yang berkeliaran di merata perairan Nusantara ini.

sumber: wikipedia

Monday, January 23, 2012

Menghargai nyawa

Nyawa adalah tanda hidupnya manusia. Selagi seseorang itu masih bernyawa maka selagi itulah ia berpeluang meneruskan kehidupan di dunia ini. Tetapi apabila nyawa telah tiada lagi maka berakhirlah episod kehidupan manusia.

Memberi nyawa dan mencabut nyawa adalah hak mutlak Allah SWT yang tiada sesiapapun boleh mempertikaikannya. Lantaran itu Allah SWT boleh memendekkan umur seseorang dengan kehendak dan kuasaNya dan dengan kehendak dan kuasaNya jugalah Dia boleh memanjangkan umur seseorang.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 70 yang bermaksud:

"Dan Allah yang menciptakan kamu; kemudian Ia mewafatkan kamu; dan ada pula di antara kamu yang dikembalikannya kepada peringkat umur yang lemah sehingga menjadilah ia lupa akan sesuatu yang telah diketahuinya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa."

Kita hendaklah bersyukur kepada Allah SWT kerana menghidupkan kita melalui nyawa yang diberikannya dan dengan nyawa itulah kita dapat menikmati indahnya kehidupan, menikmati keindahan alam, merasai sedapnya makanan dan menggunakan segala nikmat kurniaan Allah SWT kepada kita.

Apabila nyawa telah terpisah daripada badan, semua itu tidak berguna lagi. Oleh yang demikian, kita wajib menghargai nyawa sendiri atau nyawa orang lain. Menghargai nyawa bermaksud memelihara dan menjaganya dengan sebaik mungkin dengan mengelakkan diri daripada terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan perbuatan atau tindakan yang boleh menghilangkan nyawa atau dengan kata lain menyebabkan kematian.

Berdasarkan laporan dan pemerhatian di akhbar-akhbar dan media massa, isu kemalangan jalan raya adalah penyebab yang terbesar kepada kematian. Menurut laporan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) bahawa lebih daripada 6 ribu orang mati akibat kemalangan jalan raya dengan purata 18 kematian sehari atau 1 kematian setiap 1 jam 20 minit.

Kajian oleh Kementerian Kesihatan, kemalangan jalan raya adalah punca keempat kematian di negara kita dan sekiranya ia tidak dibendung, kemalangan jalan raya boleh menjadi punca utama kematian menjelang tahun 2020.

Pada tahun 2010, sebanyak 6,872 kematian akibat kemalangan jalan raya, yang mana 4,036 kematian melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal. Kajian yang dibuat oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menyatakan bahawa 30% daripada kematian yang melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal ialah golongan berumur 16 ke 25 tahun berbangsa Melayu dan daripada jumlah tersebut 40% daripadanya tidak mempunyai lesen memandu.

Perbuatan-perbuatan yang menimbulkan mudharat dan merbahaya yang boleh membawa kepada kematian seperti menunggang motosikal secara merbahaya, tidak mematuhi peraturan jalan raya, memandu namun tidak memiliki lesen memandu adalah tindakan-tindakan yang tidak menghargai nyawa.

Walaupun tindakan seperti itu tidak menyebabkan kehilangan nyawa secara langsung tetapi lama kelamaan atau silap percaturan boleh menyebabkan kematian atau sekurang-kurangnya memusnahkan keselesaan dan kesempurnaan hidup.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud:

"Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya."


Jalan raya merupakan satu kemudahan awam yang menjadi penghubung kepada kita dari satu tempat sama ada dari bandar ke desa atau sebaliknya. Ianya bukanlah tempat untuk kita menunjukkan kehebatan atau keberanian kita memandu kenderaan, kerana itulah menjadi tanggungjawab kepada kita semua sebagai pengguna menjaga dan memelihara kemudahan ini dan menjadikannya sebagai suatu tempat yang selamat dan bukannya tempat kecelakaan.

Adalah tidak dapat dinafikan dan diakui bahawa punca utama kemalangan jalan raya di negara ini adalah disebabkan perilaku pengguna itu sendiri yang menyebabkan kerugian harta benda, kecederaan, kecacatan anggota badan bahkan boleh membawa kepada kematian.

Seperkara lagi yang menjadi antara punca utama kehilangan nyawa di negara kita pada masa kini ialah kebakaran. Menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia pada tahun 2010 jumlah kebakaran mengikut jenis bangunan adalah sebanyak 5,240 kes yang berlaku.

Keselamatan kebakaran hendaklah diambil perhatian yang serius oleh kita semua kerana kebakaran itu boleh membunuh. Api semasa kecil menjadi kawan tetapi setelah besar ia menjadi lawan.

Pelbagai cerita telah dipaparkan oleh media berkaitan kebakaran, apa yang menyedihkan ialah apabila kebakaran bukan sahaja memusnahkan harta benda, tetapi juga menyebabkan kehilangan nyawa yang tidak boleh ditukar ganti. Lebih menyedihkan apabila kehilangan orang yang tersayang, tempat tinggal dan kehilangan punca mata pencarian.


Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya, itulah ungkapan yang sewajarnya difikirkan bersama-sama bagi mengambil langkah keselamatan secara berterusan, pemeriksaan ke atas semua kelengkapan keselamatan kebakaran perlulah dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan alat keselamatan sentiasa berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan.

Kesedaran masyarakat terhadap bahaya kebakaran dan aspek keselamatan perlu dipertingkatkan sama ada di rumah, di pejabat, di sekolah, di masjid dan surau, di pusat membeli-belah dan sebagainya.

Sedarkah kita bahawa keselamatan dan kesejahteraan rakyat tidak dapat kita kecapi tanpa pengorbanan dan ketabahan setiap anggota-anggota penyelamat khasnya dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Pengorbanan yang mereka curahkan tanpa mengira masa, tempat dan keadaan dan tidak pernah mengharapkan penghargaan dan pujian dari kita, namun sebagai umat yang bersyukur, kita hendaklah menghargai mereka sebagai tanda terima kasih dan syukur kita kepada Allah SWT.

Marilah sama-sama kita menyatakan kesyukuran kita ke hadrat Allah SWT kerana telah melimpahkan rahmat dan kasih sayangNya dengan menjaga keselamatan dan kesejahteraan kita.

Marilah sama-sama kita menghargai nyawa yang diberikan oleh Allah SWT dengan mengelak diri dari melakukan perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan dan memudaratkan kehidupan.

Marilah sama-sama kita mendidik anak-anak kita agar mereka mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan. Janganlah kita membiarkan anak-anak kita memandu kenderaan tanpa lesen dan menunggang motosikal dengan bebas tanpa menggunakan topi keledar kerana itu semua mengundang kepada kecelakaan.


Tanggungjawab menjaga keselamatan kebakaran dan menyelamat adalah tanggungjawab bersama dan bukanlah tanggungjawab Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia semata-mata. Oleh itu marilah kita bersama-sama menjadikan budaya menjaga keselamatan kebakaran ini amalan hidup kita, insya Allah kejadian yang tidak diingini akan dijauhi oleh Allah SWT.

Renungilah firman Allah SWT dalam surah al-An'am ayat 17 yang bermaksud:

"Dan jika Allah menimpakan sesuatu kemudharatan kepada engkau, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan dia sendiri; dan jika dia melimpahkan sesuatu kebaikan kepada engkau, maka Dia adalah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu."

sumber: e-khutbah JAKIM

Monday, January 16, 2012

Punca kemerosotan kesihatan manusia

SERING kita membuat pelbagai tanggapan apabila berdepan dengan masalah berat badan, kemurungan, keletihan, cepat marah, sakit otot, sakit sendi, masalah tidur dan stres.

Adakah ia mempunyai kaitan dengan keadaan persekitaran, pola pemakanan, tabiat dan gaya hidup ataupun kerana menghidap penyakit tertentu?

Masalah tersebut merupakan beberapa perubahan negatif yang menjejaskan kesihatan ramai wanita, sama ada dalam lingkungan usia 20-an, 30-an mahupun 40-an. Lelaki juga tidak terkecuali.

Seringkali simptom-simptom itu mudah dikaitkan dengan sikap malas atau kegagalan menyusun rutin harian secara rasional. Hakikatnya, ramai yang tidak menyedari bahawa ia berlaku kerana masalah ketidakseimbangan hormon.

Hormon memberikan pengaruh yang besar pada tubuh badan, cerminan penampilan dan emosi. Badan manusia bergantung pada hormon untuk tidur, bangun pagi setiap hari, berfikir dengan jelas, membantu pertumbuhan, mengekalkan kesihatan, berat badan dan paras rupa.

Ia juga mempengaruhi mood, kemampuan seksualiti, keinginan seksualiti, kesuburan, kulit, rambut, penglihatan dan suhu badan. Pendek kata, ia memainkan peranan penting dalam perkembangan tubuh badan dan minda.

Namun, bermula umur 25 tahun, manusia mengalami kemerosotan perlahan dalam pengeluaran hormon lalu menyebabkan penurunan fungsi normal tubuh dan penuaan.

“Banyak penyakit berpunca daripada ketidakseimbangan hormon. Antaranya ialah letih, murung, darah tinggi, kegemukan, masalah tidak boleh tidur, obesiti dan malas.

“Tidak terkecuali adalah masalah tidak subur, lesu, mudah keguguran, haid tidak betul, migrain dan senggugut,” ujar Pakar Antipenuaan, Perubatan Regeneratif dan Estetik, Dr. Wan Julia Sham Ariffin.

Peningkatan usia

Jelas Wan Julia, ketidakseimbangan hormon terjadi kerana beberapa faktor penyebab iaitu peningkatan usia, pemakanan tidak sihat, kurang senaman, pencemaran alam sekitar, kebisingan dan juga radiasi.

Akibatnya, berlaku gangguan yang menyebabkan komunikasi antara sel melalui hormon menjadi kurang efektif lalu menyumbang kepada mutasi sel. Keadaan itu sekali gus menyebabkan kemerosotan tahap imunisasi.

Wan Julia menambah, ramai doktor kini tidak mengaitkan sesuatu penyakit itu dengan hormon. Sebaliknya, mereka hanya merawat pesakit tanpa melihat penyebabnya.

“Dalam badan kita mempunyai pelbagai hormon iaitu hormon estrogen, hormon pertumbuhan manusia, melatonin, pregnenolon, progesteron, testosteron, kortisol, dehidroepiandrosteron (DHEA) dan tiroid. Setiap daripadanya mempunyai fungsi unik.

MASALAH keletihan dan lesu adalah petanda bahawa seseorang itu mempunyai masalah hormon

“Misalnya, hormon estrogen dan progesteron adalah untuk sistem reproduktif wanita manakala testosteron pula untuk lelaki. Pregnenolon untuk ingatan, kortisol untuk imuniti dan stres,” ujarnya.

Wan Julia memberi senario contoh; merawat seseorang yang tidak boleh tidur dengan ubat tidur hanya akan menyebabkan seseorang itu berhadapan dengan stres kerana masalah tersebut akan sentiasa berulang.

Mereka seharusnya memastikan paras melatonin, kortisol, progesteron dan serotonin berada pada paras optimum terutamanya bagi wanita yang berada dalam lingkungan usia pramenopaus atau menopaus.

“Kekurangan hormon akan menyebabkan seseorang itu tua sebelum masanya. Individu itu juga bakal berhadapan dengan pelbagai jenis penyakit seperti sakit sendi, sakit pinggang, kuku pecah, stres, lingkaran hitam bawah mata dan muka cengkung,” katanya sambil memberitahu kekurangan atau berlebihan hormon tidak baik untuk kesihatan seseorang.

Faktor penyumbang

Banyak perkara yang boleh menyumbang kepada masalah ketidakseimbangan hormon iaitu tekanan daripada persekitaran, toksik, makanan, dadah, alkohol, bahan kimia dan makanan segera.

“Makanan segera boleh menyebabkan obesiti kerana ia mengandungi banyak gula yang akan menyerang insulin sekali gus mempengaruhi paras kortisol, estrogen dan progesteron.

“Ia berakhir dengan sindrom metabolik seperti kencing manis, kolesterol tinggi, obesiti dan darah tinggi,” ujarnya.

Menurut Wan Julia, hormon-hormon di dalam badan memerlukan mineral yang seimbang, vitamin dan antioksidan untuk berfungsi.

Senaman juga merupakan salah satu cara untuk menggalakkan pengeluaran hormon. Malangnya, kebanyakan orang pada hari ini tidak mempunyai masa untuk bersenam tetapi ada masa pula untuk berjumpa doktor dan ambil ubat-ubatan.

Wan Julia sempat mengulas mengenai masalah gemuk tanpa sebab dan obesiti dalam kalangan kanak-kanak yang sibuk diperkatakan kini.

“Ramai yang terlepas pandang bahawa ia adalah masalah ketidakseimbangan hormon. Mereka sebaliknya menuding jari kepada pesakit, dan kemudian hanya merawat simptom penyakit tetapi tidak mempedulikan puncanya.

Golongan berisiko

Mereka yang terlalu sibuk dan tiada masa untuk menjaga kesihatan serta tiada masa untuk beriadah mempunyai kecenderungan untuk berdepan dengan masalah ketidakseimbangan hormon.

“Selain itu, orang yang tidak cukup tidur, orang gemuk, orang yang makan makanan segera, juga berisiko.

“Antara lelaki dan wanita, wanita lebih berisiko mengalami masalah ketidakseimbangan hormon kerana sistem tubuh wanita adalah lebih kompleks,” katanya.

Wanita yang tidak beranak turut dalam senarai golongan berisiko kerana setiap kali mengandung, hormon akan meningkat 200 peratus iaitu 10 hingga 20 kali ganda tinggi daripada biasa. Jadi, wanita-wanita yang tidak beranak berisiko berhadapan dengan masalah ketidakseimbangan hormon.

Masalah ketidakseimbangan hormon boleh diperbaiki atau dirawat dengan menyeimbangkannya melalui rawatan penggantian hormon semula jadi (bioidentical hormone replacement therapy) dan bukannya hormon sintetik.

Fungsi hormon sintetik adalah sama seperti hormon semula jadi tetapi ia mempunyai struktur molekul yang berbeza. Tubuh manusia lazimnya menerimanya sebagai benda asing namun reaksi dan tindak balasnya boleh menyebabkan kanser.

KEADAAN perut buncit pada lelaki merupakan salah satu petanda kekurangan hormon testosteron dan penambahan hormon estrogen yang membuatkan seseorang itu mengalami mood tidak menentu dan mudah marah-marah.

Hindari simptom

“Begitupun, kita seboleh-bolehnya mahu mengelakkan orang daripada pengambilan ubat-ubatan (dadah), maka mereka boleh berikan penumpuan kepada senaman, nutrisi pemakanan seimbang dan hormon semula jadi bagi memperbetulkan ketidakseimbangan hormon,” ujarnya.

Wan Julia memberitahu, sains membuktikan manusia boleh lari daripada simptom-simptom penuaan dengan tiga cara iaitu senaman, pemakanan sihat (suplemen) dan menyeimbangkan hormon (seimbangkan dengan hormon dan bukannya dengan ubat).

“Bagaimana untuk mengetahui seseorang itu mengalami masalah ketidakseimbangan hormon atau tidak? Seseorang itu akan nampak tua berbanding usia, keletihan, kemurungan, tidak bersemangat, kurang ceria, penampilan kurang menarik dan tidak bertenaga.

“Rawatannya mudah sahaja. Pertama sekali, seseorang itu perlu membuat ujian darah yang komprehensif untuk lihat paras hormon-hormon yang bermasalah. Bukan buat ujian darah biasa,” jelasnya.

Selepas doktor mengenal pasti hormon apa yang kurang, seseorang pesakit itu akan diberikan hormon sama ada dalam bentuk kapsul, pil, suntikan, krim ataupun patch selain diberi nasihat mengenai aspek pemakanan, suplemen antioksidan serta jenis senaman yang perlu dilakukan.

Pesakit kanser dan mereka yang berisiko kanser perlu lebih berhati-hati apabila mengambil rawatan hormon.

Menurutnya, rawatan hormon bukan dilakukan untuk jangka masa pendek kerana ada segelintir hormon perlu diambil sepanjang hayat.

“Hormon yang digunakan dalam rawatan pula bukannya hormon sintetik tetapi hormon semula jadi.

“Segala permasalahan ada penyelesaiannya. Jika anda mempunyai tanda-tanda seperti yang diperkatakan, berjumpalah dengan pakar antipenuaan untuk lihat sama ada paras hormon anda normal atau tidak,” pesannya.

Hidup lebih sihat dan bertenaga

Sebelum ini Ilya Maisarah Ahmad, 40, mudah melenting, pemarah, bersifat sarkastik, berfikiran negatif, bersangka buruk, tidak fokus, kerap sakit kepala, suka menyendiri dan pendiam malah pernah terfikir tidak mahu meneruskan kehidupan.

Dek kerana masalah tersebut, ahli keluarga dan teman-teman rapat sering terasa hati dengan perubahan sikap dirinya.

Namun, Ilya tidak pernah terlintas bahawa kelakuan peliknya itu merupakan tanda-tanda masalah ketidakseimbangan hormon.

"Saya mengetahuinya secara tidak sengaja iaitu awal tahun 2011 selepas ujian darah menunjukkan bacaan hormon stres sangat rendah iaitu 23 berbanding bacaan normal, 200.

Selepas mendapat rawatan, Ilya merasakan dirinya lebih terkawal dan rasional dalam setiap tindakan, tidur malam yang lebih berkualiti, lebih bertenaga, tidak lesu dan kepala lebih ringan.

"Doktor sendiri mengakui tidak pasti selama mana saya harus bergantung pada ubat. Doktor mengesyorkan saya mengamalkan kehidupan sihat seperti senaman, mengambil pemakanan sihat dan suplemen kesihatan bagi membantu meningkatkan tahap keupayaan hormon stres."

Dalam pada itu, seorang wanita bekerjaya yang juga ibu kepada empat orang anak, Jennifer, 37, berhadapan dengan rutin harian yang penuh tekanan.

Pada mulanya Jennifer menganggap dirinya yang kepenatan setiap hari merupakan keadaan yang normal tatkala usianya semakin meningkat.

"Sebelum ini saya selalu kepenatan, tidak cukup tidur, stres, lesu ketika bangun pagi seolah-olah tidak pernah tidur, murung dan tiada keinginan seks."

"Suami mengesyaki sesuatu yang tidak kena dan menyarankan supaya saya mendapatkan bantuan dan mendapatkan rawatan di Genesis Center for Wellness, Tennessee, Amerika Syarikat," katanya sambil memberitahu paras insulin dalam darahnya tinggi, tiada hormon progestron dan sedikit testosteron.

Selepas tiga bulan mendapat rawatan, keadaan Jennifer semakin baik dan lebih bertenaga seperti wanita berusia 20-an.

"Saya menjadi wanita baharu yang lebih bertenaga, berat badan turun 14 kilogram, keinginan seks kembali, lebih fokus, kurang tidur tapi masih bertenaga dan lebih positif," ceritanya.

Senaman merupakan salah satu aktiviti yang dapat membantu meningkatkan tahap pengeluaran hormon.

Dicuplik dari akhbar Kosmo!

Friday, January 13, 2012

Kudrat dituntut


Seorang pekerja ataupun buruh ialah mereka yang bekerja dengan menerima upah atau ganjaran dalam pelbagai bentuk, sama ada ganjaran itu tinggi atau rendah, berpangkat atau tidak, hakikatnya kita semua adalah pekerja.

Kita bekerja berdasarkan matlamat yang sangat penting iaitu membawa perubahan daripada negatif kepada positif, lemah kepada kuat, mundur kepada maju dan terbaik kepada cemerlang.

Justeru, kudrat pekerja dituntut demi menjalin kecemerlangan dan kemajuan sesebuah negara di masa depan. Persoalan besar timbul ialah bagaimanakah cara kita untuk membawa perubahan menuju kecemerlangan ini?

Kecemerlangan tidak akan datang bergolek tanpa usaha yang gigih, tidak datang melayang tanpa tekad dan azam yang kuat. Kecemerlangan seluruh warga pekerja memerlukan cara tersendiri untuk mencapainya.

Selari dengan ajaran Islam, Allah SWT telah menegur umat manusia supaya berani membuat perubahan dalam semua aspek kehidupan. Sikap ini dikenal pasti memajukan lagi prestasi dan kualiti keinsanan seseorang.

Firman Allah SWT dalam surah ar-Ra'd ayat 11 yang bermaksud:

"Bagi setiap seorang ada malaikat penjaganya dari hadapan dan belakangnya, yang menjaganya dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila dikehendaki oleh Allah keburukan kepada sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolak, dan tidak ada pelindung bagi mereka selain daripada-Nya."

Kecemerlangan sesebuah organisasi terletak pada aset utamanya iaitu modal insan. Modal insan mestilah berilmu, memiliki kemahiran yang bersesuaian dan berfikiran strategik supaya sentiasa relevan dengan peredaran masa dan perubahan persekitaran.

Perkhidmatan yang melangkaui jangkaan pelanggan adalah salah satu petanda positif. Pekerja mesti memiliki kemahiran yang bersesuaian bagi menghadapi cabaran semasa, tenaga kerja yang relevan adalah satu daripada cabaran terbesar yang dihadapi oleh perkhidmatan masa kini.

Sebagaimana yang dimaklumkan bahawa tahap prestasi pekerja di negara ini amat membanggakan dan menuju sasaran ke-10 terbaik di dunia (2011), namun penambah baikan dari semasa ke semasa amatlah perlu bagi memperbaiki segala kelemahan yang dikenal pasti untuk mengekalkan kecemerlangan.


Sebagai pekerja Muslim kita mestilah menerapkan nilai-nilai Islam dalam pekerjaan seperti bersifat jujur, amanah, taat, tekun, dedikasi, bijak dan lain-lain lagi. Kita juga mestilah mempunyai tekad dan keazaman bagi menghadapi hari esok dengan lebih baik dari hari ini.

Islam sentiasa mendorong, memberi motivasi dan menganjurkan umatnya bekerja, berusaha dan berikhtiar dengan penuh ketekunan bagi mencapai kesejahteraan dan kegemilangan dalam kehidupan seharian.

Ingatlah bahawa perubahan menuju hasanah (kebaikan) bermula dari dalam diri setiap individu. Para pekerja yang kurang berkemahiran perlulah mempertingkatkan keupayaan mereka. Jika tidak, mungkin ada di kalangan mereka yang kurang berkemahiran ini tidak lagi diperlukan dalam perkhidmatan.

Sebagai pekerja kita juga mesti berusaha seberapa daya untuk memberi sumbangan kepada kemajuan negara dan kesejahteraan masyarakat, kita mestilah memainkan peranan sebagai rakan dalam mencapai kesejahteraan bukan beban yang menyusahkan orang lain.

Tingkatkan kemahiran, tambahkan pengetahuan, hanya dengan cara inilah kita mampu untuk melaksanakan tugas sebenar sebagai khalifah di muka bumi ini. Allah SWT telah menetapkan dalam sunnah kehidupan bahawa kejayaan itu adalah hasil daripada kerja tekun dan dedikasi. Inilah antara maksud jihad yang dituntut oleh Islam.

Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah azza wajalla sangat suka (bahkan cinta) jika seseorang daripada kamu, apabila melakukan kerja, maka dia bekerja dengan tekun."

Umumnya manusia yang berperibadi cemerlang berjaya menyempurnakan tugasnya berdasarkan kekayaan ilmu pengetahuan, penghayatan dan pengamalan ilmunya serta melaksanakan tugas yang sentiasa mencapai atau melepasi ukuran cemerlang.

Mereka juga digambarkan melalui tingkah laku yang sentiasa berhemah, berbudi pekerti mulia dan menerima tanggungjawab sebagai amanah sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Kahfi ayat 103 - 105 yang bermaksud:

"Katakanlah: Mahukah kami khabarkan kepada kamu akan orang yang rugi amal-amal perbuatannya?. Orang yang sia-sia usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul pada apa yang mereka lakukan. Merekalah orang yang ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan pertemuan dengan-Nya; maka gugurlah amal-amal mereka; maka Kami tidak akan memberi timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari Kiamat kelak."

Berdasarkan maksud ayat ini dapat difahami 'mereka yang rugi' itu termasuklah mereka yang tidak amanah. Sifat amanah adalah pakaian khalifah Allah SWT.

Sebagai khalifah kita bertanggungjawab mengurus alam dan segala isinya supaya manfaat dan keberkatannya dapat dinikmati. Justeru, bagi memakmurkannya kualiti pengurusan dalam pelbagai aspek kehidupan sangat diperlukan.

Kualiti tersebut adalah tuntutan bekerja secara profesional melalui perancangan yang strategik dari sudut masa, wang dan tenaga yang kesemuanya berteraskan nilai-nilai amanah dan integriti. Rasulullah SAW adalah contoh seorang pekerja dan pengurus yang unggul berkeperibadian tinggi yang sentiasa berusaha melakukan perubahan untuk maju dalam sektor pekerjaan.

Sebagai individu yang menjadi warga kepada organisasi kita tidak dapat lari daripada menerima kesan perubahan ini. Jika kita tidak cepat bertindak menyesuaikan diri dengan perubahan ini dikuatiri kita tidak akan mampu menyampaikan perkhidmatan seperti yang dituntut oleh masyarakat luar yang telah berubah mengikut persekitaran.

Ingatlah bahawa bagi melahirkan organisasi yang gemilang, individu yang menggerakkan organisasi perlulah terlebih dahulu melakukan perubahan ke arah kecemerlangan.

Marilah kita muhasabah diri, sejauh manakah kedudukan kita dalam dunia pekerjaan ini?

Adakah kita telah membawa perubahan kepada diri, keluarga, organisasi, negara dan kepentingan agama kita?

Kita sebagai pekerja hendaklah bersyukur dan meneruskan usaha ke arah perkhidmatan cemerlang, bekerja dalam konteks amal soleh dan nilai-nilai murni bagi memastikan perubahan yang lebih positif terus dicapai.

Marilah sama-sama kita menanam tekad dan azam menghayati tujuan bekerja menurut Islam. Tingkatkan usaha ke arah yang terbaik, sentiasa memperbaiki prestasi kerja, berusaha melaksanakan pelbagai tugas, mempunyai sifat-sifat positif terhadap diri dan pandangan pihak lain, bersedia menerima teguran, saling menghormati dan bertolak ansur dan akhirnya peka kepada kehendak pelanggan serta perubahan persekitaran. Mudah-mudahan dengan cara ini segala kerja dan usaha kita diberkati dan diredai oleh Allah SWT.

Renungilah firman Allah SWT di dalam surah at-Taubah ayat 105 yang bermaksud:

"Katakanlah (wahai Muhammad), beramallah kamu akan segala yang diperintahkan, maka Allah SWT. dan Rasul-Nya serta orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada Allah SWT. yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan nyata. Kemudian Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan."

sumber: e-khutbah JAKIM

Thursday, January 12, 2012

Kepimpinan taklif, bukannya tasyrif (kemuliaan)





Kemajuan sesebuah negara adalah sangat bergantung kepada urus tadbir yang ada hubung kaitnya dengan ketepatan memilih pemimpin yang benar-benar berfungsi sebagai seorang pemimpin dan pentadbir.


Kepakaran dan kemahiran serta perwatakan peribadi amatlah mempengaruhi corak kepimpinan dan menentukan jatuh bangunnya sesebuah negara. Ketepatan memilih pemimpin ini juga dapat menjamin kehidupan yang harmoni dan memastikan segala sistem kehidupan dilaksanakan dengan berkesan.

Sabda Rasulullah SAW:

"Sesiapa melantik orang yang tidak layak menjadi pemimpin, maka sesungguhnya ia telah membuang kalung Islam daripada tengkuknya." - (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Rasulullah SAW juga telah berpesan kepada umatnya bahawa perlu ada di kalangan umatku yang menjadi pemimpin di dalam sebuah organisasi ataupun masyarakat demi melaksanakan amal makruf dan mencegah kemungkaran.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Daud RA yang bermaksud:

"Dan apabila ada tiga orang keluar mengembara maka salah seorang daripadanya hendaklah dilantik menjadi ketua."

Ini bertujuan jika berlakunya perselisihan pendapat di kalangan mereka, maka satu keputusan dapat dibuat melalui perlantikan seorang ketua.

Seorang ulama terkenal iaitu Dr. Abdul Aziz Izat al-Khayyat di dalam kitabnya an-Nuzum as-Siyasi fi al-Islam menyatakan:

"Adalah menjadi keperluan asas bagi sesebuah masyarakat untuk mewujudkan pemerintah yang menjaga hal ehwalnya serta mentadbir urusan kehidupan anggotanya. Jika tidak wujud kuasa yang membelanya nescaya kehidupan manusia akan menjadi kucar-kacir dengan yang kuat menelan dan menguasai yang lemah dan tak berdaya. Budaya ini berdasarkan tabiat semula jadi manusia yang sentiasa cenderung kepada permusuhan dan melakukan kezaliman. Oleh yang demikian, seluruh umat manusia sejak dari zaman dulu lagi telah sepakat tentang perlunya wujud golongan yang menjalankan tugas pemerintahan dari kalangan mereka, tanpa mengira apa gelarannya."

Memimpin sesebuah negara adalah suatu taklif (tanggungjawab) bukannya tasyrif (kemuliaan) yang diberikan oleh Allah SWT. Mereka yang diberi taklif dan tanggungjawab serta amanah ini perlu tunduk dan patuh kepada Allah SWT sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 72 yang bermaksud:

"Sesungguhnya kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan ( pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan."

Al-Mawardi di dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyyah menyatakan:

"Pemerintahan adalah satu amanah dan disyariatkan bagi mengantikan tugas kenabian dalam memelihara agama dan mentadbir urusan dunia umat Islam. Ijmak ulama menetapkan bahawa melantik pemerintah yang mampu melaksanakan tanggungjawab pemerintah dikalangan umat Islam hukumnya adalah wajib."

Begitu juga pandangan Ibnu Taimiyyah di dalam kitabnya al-Siyasah al-Syarieyyah dengan mengatakan bahawa:

"Perlu diketahui tanggungjawab memerintah adalah sebahagian daripada kewajipan agama yang paling besar, malah agama tidak dapat ditegakkan tanpa pemerintah. Ini adalah kerana manusia perlu berkumpul dalam memenuhi keperluan hidup mereka dan perkumpulan itu memerlukan adanya ketua."

Pemilihan pemimpin ataupun khalifah merupakan satu ikatan kontrak yang dipersetujui dengan rakyat sama ada melalui proses penyerahan kuasa atau pilihanraya. Berdasarkan kepada ini, maka kedaulatan dan kuasa yang ada pada pemimpin adalah merupakan satu kontrak sosial yang disepakati antara pemerintah dengan rakyat.

Untuk menjamin kuasa ini dilaksanakan dengan sebaik mungkin dan tidak disalahgunakan demi kebaikan rakyat, maka pemimpin yang berkeupayaan sama ada dari segi jasmani dan rohani perlulah dipilih. Mereka juga perlulah menguasai ilmu siasah dan pentadbiran, berketurunan baik-baik dan adil dalam melaksanakan tugasan yang diamanahkan.

Menurut al-Mawardi lagi bahawa:

"Sesungguhnya pemimpin yang kehendaki ialah mereka yang tinggi budi pekerti dan akhlak yang merangkumi ciri takwa dan warak, mereka ini seorang yang sentiasa bercakap benar, amanah, bersih diri dari perkara haram dan meragukan, sentiasa tenang dalam keadaan biasa dan marah, kualiti maruahnya dihayati dalam semua urusan agama dan dunia."

Sehubungan dengan itu, Islam amat menekankan kepimpinan yang berintegriti, cemerlang, berkualiti dan terbukti unggulnya. Kepimpinan itu semestinya disokong oleh keimanan kepada Allah SWT, cinta dan menghayati sunnah Rasulullah SAW serta berakhlak mulia dimana ianya mampu mengadakan hubungan yang baik dan harmoni dengan semua peringkat masyarakat.

Ciri-ciri kepimpinan ini akan memberi kesan kepada masyarakat, mereka akan menghormati dan menyanjungi corak kepimpinan yang diberikan. Kita dapat melihat kepimpinan Khalifah Umar al-Khattab RA yang boleh dijadikan contoh kerana beliau adalah seorang pemimpin yang sangat disayangi oleh rakyatnya atas perhatian dan tanggungjawabnya yang luar biasa terhadap rakyat.

Sesungguhnya umat Islam amat beruntung kerana mempunyai seorang tokoh yang boleh dijadikan panduan dalam merealisasikan asas kepimpinan ini iaitu Rasulullah SAW. Baginda adalah contoh yang dikagumi bukan sahaja oleh umat Islam malah disanjungi oleh musuh-musuh Islam kerana mempunyai kebolehan dalam memimpin dan bertanggungjawab penuh ke atas perlaksanaannya. Baginda memikul tanggungjawab dengan penuh amanah selari dengan kehendak Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW:

"Ingatlah bahawa setiap daripada kamu adalah penjaga dan setiap penjaga bertanggungjawab terhadap apa yang dijaganya. Dan seorang pemimpin itu bertanggungjawab terhadap orang yang dipimpinnya." - (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Adalah menjadi tanggungjawab bagi setiap pemimpin memenuhi keperluan rakyatnya sama ada dari segi jasmani ataupun rohani dengan menyediakan segala keperluan dan kemudahan sama ada hal-hal yang berkaitan dengan pendidikan, kebajikan, kesihatan, ekonomi dan pengurusan dan dari segi rohani iaitu hal yang berkaitan dengan akidah, syariah, akhlak dan kemanusiaan.

Kepimpinan yang beramanah dan bertanggungjawab dalam masyarakat mencerminkan suasana kepimpinan yang cemerlang dan diredhai oleh Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 124 yang bermaksud:

"Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia". Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: "(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)". Allah berfirman: "(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim."

Terdapat dua perkara asas dalam ayat ini iaitu:
  1. Kepimpinan bukan sekadar perjanjian antara pemimpin dengan masyarakat, tetapi ia juga merupakan ikatan perjanjian antara pemimpin dengan Allah SWT.
  2. Kepimpinan hendaklah mementingkan integriti dalam melaksanakan sesuatu tanggungjawab.

Marilah sama-sama kita melaksanakan tanggungjawab kita demi agama, bangsa dan negara dengan memilih pemimpin yang benar-benar beretika, bertindak selari dengan apa yang dikata atau yang dijanjikan, bertanggungjawab menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat yang dipimpin di dunia dan di akhirat.

Sebagai pemimpin yang dipilih hendaklah sentiasa sedar dan insaf bahawa tugasan ini adalah satu taklif bukannya tasyrif. Ingatlah bahawa mengkhianati amanah kepimpinan adalah satu dosa besar yang akan menerima hukuman Allah di akhirat nanti.

Renungilah firman Allah SWT di dalam surah asy-Syu'araa' ayat 215 - 217 yang bermaksud:

"Dan hendaklah engkau merendah diri kepada pengikut-pengikutmu dari orang yang beriman. Kemudian jika mereka berlaku ingkar kepadamu, maka katakanlah: Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu lakukan! Dan berserahlah kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani."

sumber: e-khutbah JAKIM

Wednesday, January 11, 2012

Amalan bersedekah membawa berkat


Sedekah adalah satu sunnah dan amalan para sahabat yang sangat mulia. Dalam tradisi Islam ia ada beberapa tahap seperti zakat, sedekah, derma dan hadiah.

Zakat adalah amalan yang wajib ditunaikan oleh umat Islam yang berkemampuan manakala sedekah adalah amalan sunat yang dituntut. Ia merupakan pemberian sesuatu kepada orang yang memerlukan dengan tujuan mahu mendekatkan diri kepada Allah SWT dan merupakan amalan yang mulia serta mencakupi perkara yang mendatangkan kebaikan dari sekecil-kecil sehinggalah sebesar-besarnya.

Tuntutan bersedekah ini tidak ada ertinya tanpa kita yang bersedekah menyandarkan niat yang ikhlas kerana Allah SWT demi untuk kebajikan pihak yang memerlukan dan tidak mengharapkan pujian atau balasan, bahkan semata-mata untuk mencari keredhaan Allah SWT dan menjunjung ketaatan kepada-Nya serta memupuk kasih sayang kepada manusia dan masyarakat seluruhnya.

Keutamaan bersedekah ini amat digalakkan oleh Islam dan telah dijelaskan oleh Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 261 yang bermaksud:

"Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya."

Berdasarkan ayat ini, kurniaan ganjaran sedekah memiliki pulangan yang tidak boleh dinilai harganya di dunia dan di akhirat. Ini dikuatkan lagi melalui firman Allah SWT di dalam surah Saba' ayat 39 yang bermaksud:

"Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya, dan ia juga yang menyempitkan baginya, dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya, dan Dialah jua sebaik-baik Pemberi rezeki."

Untuk mencari keredhaan dan keberkatan Allah SWT dalam amalan bersedekah atau menderma kita hendaklah mematuhi peraturan dan adab tertentu antaranya ialah hendaklah merahsiakannya dalam bersedekah dan itu lebih baik daripada menzahirkannya walaupun ikhlas.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 271 yang bermaksud:

"Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu memberikannya kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah lebih baik bagi kamu, dan Allah akan menghapuskan daripada kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (Ingatlah) Allah amat mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan."

Apa yang dilakukan oleh ulama' salaf, kita dapati mereka merahsiakan sedekah mereka daripada pengetahuan manusia dan masyarakat umum, hinggakan ada di antara mereka sengaja mencari orang fakir dan miskin yang buta. Mereka memberi sedekah kepada golongan itu supaya tidak diketahui siapakah yang memberinya.

Mereka juga memberi derma atau sedekah dengan memasukkan atau mengikatnya kepada seseorang yang fakir dan miskin pada pakaiannya ketika sedang tidur. Namun begitu kita juga dibolehkan untuk mewar-warkan pemberian tersebut bagi tujuan menggalakkan masyarakat melakukan sedekah.

Ibnu Abil Ja'ad berkata:

"Sedekah itu menutup tujuh puluh pintu keburukan dan keutamaan antara sedekah secara terang-terangan dengan yang disembunyikan itu ialah bahawa yang kedua lebih utama dari yang pertama dengan tujuh puluh kali ganda."

Kita dituntut mendermakan daripada harta milik kita yang paling baik dan daripada benda-benda yang kita sayangi dan menghulurkannya dengan wajah yang berseri-seri dalam keadaan gembira, bukannya dengan muka yang masam atau kecewa.

Kita hendaklah menghindarkan diri daripada sifat ungkit-mengungkit sehingga boleh menyakiti hati orang yang diberi sedekah.

Menurut Imam Sufian Ath-Thauri:

"Sesiapa yang mendermakan sesuatu atau daripada sesuatu yang diharamkan, ia diumpamakan seperti seseorang yang membersihkan pakaian dengan air najis atau kencing. Tentulah pakaian itu tidak akan bersih, kecuali dengan air yang suci, begitulah juga dosa itu tidak dapat dihapuskan kecuali dengan yang halal."

Mereka yang diberkati sedekahnya akan mendapat penghormatan yang tinggi daripada Allah SWT dan malaikat sentiasa mendoakan kebaikan kepadanya. Saidina Umar RA pernah berkata dalam doanya:

"Ya Allah! Jadikanlah kelebihan rezeki itu pada orang-orang yang merupakan orang-orang pilihan antara kita, sebab barangkali mereka itu akan mengembalikan rezeki tadi kepada orang-orang yang berhajat di antara kita."

Sabda Rasulullah SAW:

"Tidaklah seseorang muslim yang memberi pakaian kepada orang muslim yang lain, kecuali ia di dalam lindungan Allah SWT selama pakaian itu masih ada, sekalipun sehelai kain." - (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

Keutamaan sedekah hendaklah diberikan kepada orang yang bertaqwa, ahli ibadat, kalangan orang fakir atau miskin, kaum kerabat kita yang memerlukan dan sebagainya. Menurut Nabi Muhammad SAW apabila kita memberi sedekah kepada kaum kerabat, kita akan memperolehi dua pahala iaitu pahala menghubungkan silaturrahim dan pahala sedekah itu sendiri.

Seperkara lagi yang perlu diambil perhatian oleh kita sebagai seorang Muslim ialah berkenaan dengan zakat dan cukai. Mengeluarkan zakat dan membayar cukai merupakan satu tuntutan dalam agama kita kerana dengannya kita dapat membantu negara dan masyarakat.

Ketahuilah bahawa dengan tidak membayar zakat dan cukai adalah satu bentuk hutang yang mesti dijelaskan. Sikap suka berhutang boleh mendatangkan kesan buruk kepada individu, masyarakat dan kerajaan.

Rakyat akan merana dan pendapatan negara akan lemah disebabkan golongan yang cuai membayar hutang. Bayangkan betapa banyak kerajaan kehilangan pendapatan akibat daripada budaya melengah-lengahkan bayaran cukai. Kesan buruknya banyak projek pembangunan yang dirancang tidak dapat dilaksanakan dengan sewajarnya. Sekiranya zakat dan cukai dijelaskan, sudah pasti hasil pungutan itu dapat diagih dan digunakan untuk menyedia pelbagai keperluan asas kepada seluruh rakyat dan negara.

Marilah sama-sama kita mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan mengamalkan amalan yang mulia ini dengan membantu sesama kita. Dengan kita bersedekah, mengeluarkan zakat serta membayar cukai, mudah-mudahan hidup kita sentiasa diberkati oleh Allah SWT.

Renungilah firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 264 yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat."

sumber: e-khutbah JAKIM