Pengikut dan Ex-smgrian
Friday, June 26, 2009
Yayasan Perak
Yayasan Perak berfungsi menyediakan bantuan pendidikan untuk anak-anak negeri Perak yang menuntut di sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian awam (IPTA).
Pemohon yang ingin memohon bantuan pelajar miskin IPTA mesti memenuhi tiga syarat iaitu pemohon, ibu atau bapa mestilah anak Perak.
Pemohon mesti mempunyai surat tawaran menuntut IPTA dan pendapatan ibu bapa atau penjaga mestilah RM1,000 ke bawah.
Pemohon yang ingin memohon bantuan boleh menghubungi Yayasan Perak melalui nombor 05-2552929 atau datang sendiri ke Wisma Yayasan Perak di No 111, Jalan Sultan Idris Shah, Ipoh.
Sumber: Sinar Harian
The Royal Belum
Keunikan belantara Royal Belum dengan pelbagai habitat flora dan fauna yang menakjubkan berhubung kait dengan lagenda asal Belum.
Nama Hutan Belum diambil daripada nama asal perkampungan Melayu iaitu Kampung Belum Lama meliputi enam perkampungan kecil.
Hutan Belum yang diwartakan sebagai Taman Negeri Perak telah diisytiharkan semula sebagai 'The Royal Belum' oleh Sultan Perak, DYMM Sultan Azlan Shah, pada 31 Julai 2003.
Ia berkeluasan 117,500 hektar, terletak di daerah Hulu Perak bersempadan dengan Taman Negara Halabala, Thailand di bahagian utaranya.
Kawasan ini hanya boleh dihubungi melalui pengangkutan air dari Pulau Banding yang mengambil masa satu jam setengah.
Sumber: Sinar Harian
Asal-usul Bota
Mengikut kepercayaan penduduk tempatan, nama kawasan ini diambil bersempena sejenis gergasi yang wujud di sini. Bota ialah sejenis gergasi besar yang hidup dalam tanah, menyembunyikan diri dalam gua di dalam tanah.
Bota akan keluar daripada tempat persembunyian pada waktu tertentu sahaja. Kebanyakan masanya dihabiskan di dalam tanah dan jarang dilihat oleh manusia.
Menurut nenek di kawasan ini, badan gergasi Bota ini menyerupai warna tanah itu sendiri terutama di kawasan berlumpur, di tepi rimbunan buluh kuning dan di tepian sawah padi di mana ikan puyu dan tilan biasa ditemui.
Makanannya didapati di dalam tanah juga dan sesekali akan mencari makanan dalam bentuk daging manusia atau haiwan. Manusia dan haiwan bukanlah makanan kegemarannya kerana ia hanya keluar sesekali sahaja terutama pada rembang petang.
Gergasi Bota ini dikaitkan dengan kehilangan seseorang. Jika seseorang penduduk didapati hilang, mereka percaya Bota yang bertanggungjawab dan penduduk tersebut melanggar pantang 'kewujudan' Bota di sesuatu kawasan.
Sumber: Sinar Harian
Sungai Kelah Spring Sungkai
Sumber air panas ini dijumpai pada tahun 1966 dan berkeluasan anggaran 6.35 hektar serta pernah dilawati Tan Sri Dr. Yusuf Noh pada tahun 2000 dan 2001. Dengan kerjasama kerajaan negeri Perak dan FELDA, pembangunan di kawasan ini dimulakan pada Jun 2003.
Jarak untuk tiba di destinasi ini kira-kira 12 kilometer dari pekan Sungkai. Sumber air panas ini adalah sumber terbanyak dan terpanas di Malaysia. Air panas ini mengandungi sulfur.
Bayaran yang dikenakan untuk memasuki destinasi ini mengikut peringkat umur dan hari.
Pada hari Isnin hingga Jumaat, RM2 dikenakan kepada golongan dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak. Waktu dibuka adalah dari jam 8 pagi hingga 7 malam.
Destinasi ini terbahagi kepada tiga fasa. Fasa pertama merangkumi pembinaan tandas, pagar dan kolam mandi mata air panas yang menelan belanja sebanyak RM3.5 juta. Fasa kedua pembinaan surau dan kafeteria menelan belanja sebanyak RM2.2 juta manakala fasa ketiga merangkumi pembinaan chalet.
Sumber: Sinar Harian
Manjung

Istiadat menandatangani perjanjian penyerahan semula Jajahan Dinding kepada kerajaan Perak diadakan pada 16 Februari 1935 bertempat di hadapan Rest House Lumut.
Bersempena dengan peristiwa itu, Jajahan Dinding ditukar namanya kepada Iskandar District dan Tanah Merah (Lumut) ditukar namanya kepada Port Iskandar. Sultan Perak pada ketika itu juga berkenan melantik Raja Shahriman bin Raja Abdul Hamid sebagai Orang Besar Jajahan.
Bagi memperingati peristiwa tersebut di Masjid Al-Adli (di bandar Lumut) melambang kesyukuran di atas penyerahan Jajahan Dinding kepada kerajaan Perak.
Manjung dahulunya menjadi jajahan takluk Beruas apabila ia dikalahkan dalam satu pertempuran dengan bantuan bala tentera dari Melaka, kini memasukkan pula Beruas di bawah pentadbirannya.
Sehingga tahun 1935 jajahan itu tidak dianggap sebagai sebahagian daripada negeri Perak. Lantaran itu pembangunan di situ berjalan agak lembap meskipun ia mempunyai banyak potensi yang boleh dimajukan, khususnya dari segi perdagangan antarabangsa. Hanya selepas 1935, barulah usaha memajukan jajahan Dinding dipergiatkan tetapi tidak untuk menjadikan Lumut sebagai pelabuhan.
Ini disebabkan terikat dengan perjanjian sulit antara kerajaan negeri Selat dengan kerajaan Perak di mana ia dipersetujui yang kerajaan Perak tidak akan berbuat demikian, jika tidak jajahan Dinding tidak akan dikembalikan kepada Perak.
Jajahan Dinding dan bandar Lumut sebagai pusat pentadbirannya mengambil masa yang agak panjang untuk membangun. Hampir enam dekad lamanya baru ada usaha mengembalikan kegemilangannya.
Tokoh terlibat Nakhoda Mohamad Taib adalah orang bertanggungjawab dalam pembangunan awal daerah Manjung yang dahulunya dikenali dengan nama daerah Dinding.
Sejarah bermula di Kuala Sepit di sekitar 1857 dan beliau juga dikenali dengan nama Tok Noda mendapat perkenan dari Sultan Muazzam Shah untuk membangunkan daerah Dinding setelah ramai yang gagal sebelum ini kerana serangan ganas pihak lanun.
Dengan semangat dan iltizam yang tinggi beliau berjaya menyelesaikan masalah itu. Laluan laut yang selamat menggalakkan pedagang untuk ke Kuala Sepit dan bermulalah kemajuan dan kemakmuran daerah ini.
Sumber: Sinar Harian
Muzium Geologi

Ia ditadbir Bahagian Perkhidmatan Teknikal, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia.
Bangunan muzium ini adalah sebahagian daripada kompleks Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia terletak di Jalan Sultan Azlan Shah, Ipoh atau turut dikenali sebagai Tiger Lane.
Fungsi utama muzium ini adalah mempamerkan spesimen berkaitan bidang Geosains dan aktiviti perlombongan di Malaysia serta memperkenalkan kepada orang ramai tentang aktiviti Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia.
Muzium ini dibuka kepada orang ramai hanya pada waktu pejabat dan lawatan secara berkumpulan dialu-alukan dan jika memerlukan penerangan atau iringan, sila maklumkan kepada pentadbir secara rasmi mengenai lawatan berkenaan.
Sumber: Sinar Harian, muziumgeologi.blogspot.com
Thursday, June 25, 2009
Sekolah Menengah Kebangsaan Hamid Khan
Pada akhir tahun 1976, dua blok bangunan dua tingkat sekolah ini telah siap dibina dengan mengandungi sebuah pejabat am, pejabat pengetua, pejabat penolong kanan, bilik guru, perpustakaan, dua makmal Sains Paduan, dua bilik Sains Rumah Tangga, sebuah bilik lukisan dan 14 bilik darjah.
Sekolah ini pada asalnya ingin dinamakan Sekolah Perempuan Island Glades, sebelum menjadi sekolah campur dengan nama Sekolah Menengah Island Glades.
Namun akhirnya, sekolah ini dinamakan Sekolah Menengah Hamid Khan selepas menerima cadangan daripada UMNO cawangan Jelutong.
Pada tahun 1977, sekolah ini mempunyai 272 pelajar yang ditempatkan dalam empat kelas Tingkatan Peralihan dan tiga kelas Tingkatan Satu manakala bilangan guru seramai 12 orang.
Sekolah ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Dr. Michael Toyad pada 25 Julai 1977.
Pada tahun 1981, sekolah ini menjadi sekolah menengah penuh dengan adanya kelas Tingkatan Lima.
Namun demikian, pada ketika itu, pelajar Sains Tulen dihantar ke sekolah lain kerana guru Sains Tulen serta makmal Sains tidak mencukupi.
Mulai tahun 1997, sekolah ini dikenali dengan nama Sekolah Menengah Kebangsaan Hamid Khan dan merupakan sekolah satu sesi.
Sumber: Sinar Harian
Pekan Slim

Pekan Slim dan Slim River berasal dari ladang-ladang getah pada zaman penjajahan British di Tanah Melayu. Ramai buruh ladang dibawa masuk dari Sri Lanka dan selatan India untuk menjadi buruh ladang, menebang hutan, menanam pokok getah dan menoreh getah.
Peladang British membina rumah ladang yang lengkap dengan bilik, bekalan air, elektrik, jalan raya, kuil, masjid, klinik, sekolah dan lain-lain. Ladang ini berkembang menjadi pekan dan bandar seperti Slim River, Behrang dan Bidor.
Pada kemaraan tentera Jepun dari utara Semenanjung Malaysia ke selatan menuju Singapura, jambatan Slim River menjadi medan pertempuran utama antara tentera British dengan tentera Jepun.
Sumber: Sinar Harian
Wednesday, June 24, 2009
Sejarah Pekan Sayong
Pekan Sayong adalah kawasan majoriti penduduk Melayu yang terletak di daerah Kuala Kangsar. Ia terletak bersebelahan dengan Sungai Perak dan jambatan sebelum sampai ke bandar Kuala Kangsar.
Sayong atau sayung berasal daripada sisa papan yang dipotong tetapi dalam bentuk menyerong atau rencong.
Papan sayung bermakna papan lebihan yang tidak tepat ukurannya. Sayong terkenal dengan perusahaan kecil membuat labu daripada tanah liat atau pelbagai seramik lain.
Penduduk Sayong dipercayai berasal dari Hilir Perak yang dibawa Sultan Perak terdahulu ke Kuala Kangsar. Tukang yang mahir dalam seni bina rumah, perabot dan seni seramik di bawa bersama-sama Sultan yang bersemayam di Hilir Perak ke Hulu Perak iaitu di Kuala Kangsar.
Sumber: Sinar Harian
Temoh
Pekan Temoh terletak di dalam mukim Chenderiang, daerah Batang Padang, Perak. Ia terletak antara Kampar dan Tapah. Nama pekan ini berasal dari sebatang sungai iaitu Sungai Temu. Ia adalah sebuah persimpangan dua batang sungai. Semasa pendaftaran nama, orang British menamakan sebagai Temoh, disebabkan mereka kerap makan keju.
Sumber: Sinar Harian
Gunung Pari
Gunung Pari merupakan gunung yang paling dekat dengan Gunung Peninjau, cuma jajaran Gunung Pari dan Gunung Peninjau agak terpisah, tetapi berada bersebelahan.
Bagi generasi lama tempatan, gunung ini disebut Gunung Pari-Pari yang berada dalam Hutan Simpan Keladang Saiong dan menjadi sebahagian dari Banjaran Keledang.
Jajaran Gunung Pari merentang dari Ulu Chepor di timur ke Kanthan di barat dan hutan sekunder di Gunung Pari ini dipenuhi pokok bertam selain pokok balak.
Pendakian ke puncak Gunung Pari boleh dimulakan sama ada dari Kanthan atau dari Ulu Chepor atau pendaki boleh buat Trans Pari dalam sehari manakala permulaan dari Kanthan adalah di kawasan projek ternakan itik, Kanthan.
Puncak ini tidak mempunyai tanda rasmi dan tanda yang ada cuma kayu pokok yang dipacak. Secara geografinya puncak gunung ini sebenarnya cuma permatang dan ketinggian direkodkan 990 meter dari paras laut.
Sumber: Sinar Harian
Loghat Perak 8
Bertohor
Maksud: Berlapar/menahan diri daripada makan
Contoh ayat: "Masak tempoyak punya pasei, aku sanggup bertohor tengah hari ini".
Ayat moden: "Masak tempoyak punya pasal, aku sanggup berlapar tengah hari ini".
Tengin
Maksud: Bodoh, bengap (sangat)
Contoh ayat: "Bukan sekali aku tego, udah banyak kali! Ngape tengin kamu ni?"
Ayat moden: "Bukan sekali aku tegur, sudah banyak kali! Kenapa kamu ni bodoh sangat".
Maksud: Berlapar/menahan diri daripada makan
Contoh ayat: "Masak tempoyak punya pasei, aku sanggup bertohor tengah hari ini".
Ayat moden: "Masak tempoyak punya pasal, aku sanggup berlapar tengah hari ini".
Tengin
Maksud: Bodoh, bengap (sangat)
Contoh ayat: "Bukan sekali aku tego, udah banyak kali! Ngape tengin kamu ni?"
Ayat moden: "Bukan sekali aku tegur, sudah banyak kali! Kenapa kamu ni bodoh sangat".
Tuesday, June 23, 2009
Info Pertanian Daerah Hilir Perak
Tanaman kelapa di daerah ini melibatkan kawasan seluas 750 hektar di Mukim Bagan Datoh dan Hutan Melintang.
Hilir Perak juga mempunyai jelapang padinya yang tersendiri meliputi kawasan seluas 2,961 hektar di sekitar mukim Sungai Manik dan Labu Kubong digunakan untuk penanaman padi.
Selain kelapa, seluas 250 hektar di mukim Hutan Melintang, Bagan Datoh digunakan untuk penanaman pisang.
Mukim Changkat Jong pula adalah kawasan yang sesuai untuk penanaman keladi secara komersil.
Seluas 50 hektar kawasan mukim tersebut digunakan untuk tanaman tersebut.
Sumber: Sinar Harian
Masjid Lama Jalan Kota
Masjid Lama Jalan Kota dibina pada tahun 1893 oleh keluarga Ngah Ibrahim bagi menggantikan bangunan asal beberapa madrasah yang berstruktur kayu dari pengaruh seni bina Belanda.
Seni bina tersebut menjadi inspirasi kepada arkitek masjid pertama yang dibina daripada batu di bandar Taiping ketika itu seterusnya menjadikannya masjid yang tertua di sini.
Menurutnya, batu yang digunakan untuk membina masjid ini diimport daripada India.
Di bahagian luar masjid, terdapat makam terawal dan bersejarah antara makam terkebal adalah makam isteri Ngah Ibrahim, Toh Puan Halimah Laksamana Mohd Amin yang meninggal dunia pada 12 Disember 1899.
Sumber: Sinar Harian
Loghat Perak 7
Ceghun-ceghin
Maksud: Badan rasa tak sihat atau nak demam
Contoh ayat: "Sejak dua menjak ini, cuaca paneih beno...badan pun udah ghase ceghun-ceghin dah ni".
Ayat moden: "Keadaan cuaca yang panas dan tak menentu ini menyebabkan badan pun rasa macam nak demam sahaja".
Libang-libu
Maksud: Perasaan tak tentu arah, tak sedap hati, kurang tenteram
Contoh ayat: "Ke mana perginya bapak kamu ini, dari tadi tak nampak-nampak. Libang-libu aku dibuatnya".
Ayat moden: "Bapa kamu ini ke mana perginya, sejak tadi aku tak nampak. Aku rasa tak sedap hati pula.
Sumber: Sinar Harian
Maksud: Badan rasa tak sihat atau nak demam
Contoh ayat: "Sejak dua menjak ini, cuaca paneih beno...badan pun udah ghase ceghun-ceghin dah ni".
Ayat moden: "Keadaan cuaca yang panas dan tak menentu ini menyebabkan badan pun rasa macam nak demam sahaja".
Libang-libu
Maksud: Perasaan tak tentu arah, tak sedap hati, kurang tenteram
Contoh ayat: "Ke mana perginya bapak kamu ini, dari tadi tak nampak-nampak. Libang-libu aku dibuatnya".
Ayat moden: "Bapa kamu ini ke mana perginya, sejak tadi aku tak nampak. Aku rasa tak sedap hati pula.
Sumber: Sinar Harian
Monday, June 22, 2009
Majlis Sukan Universiti Malaysia
Majlis Sukan Universiti Malaysia atau dikenali sebagai MASUM mula ditubuhkan pada tahun 1974 di atas inisiatif pegawai-pegawai sukan universiti pada ketika itu untuk mengadakan pertandingan sukan dalam kalangan kakitangan universiti tempatan.
Pertandingan itu adalah permulaan terhadap pembangunan kesukanan di antara universiti tempatan dan pada tahun berikutnya (1975), sukan antara pelajar-pelajar universiti pula diadakan.
Pada tahun 1981, Gabungan Universiti Malaysia (GUM) ditubuhkan hasil daripada inisiatif Timbalan-timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ketika itu.
Sebelum penubuhan GUM, semua aktiviti sukan di IPTA dikendalikan secara 'ad-hoc' di kalangan IPTA.
Nama GUM telah ditukar kepada Majlis Sukan Universiti dan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (MASUIPTIM) pada tahun 1983 dan pada tahun 1985, nama MASUIPTIM telah ditukar secara rasmi dan dinamakan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM).
Sumber: Sinar Harian
Karai
Karai merupakan sebuah pekan di tebing Sungai Perak, Perak, Malaysia berhampiran dengan bandar Kuala Kangsar dan Sungai Siput Utara.
Nama Karai wujud dalam peta-peta lama negeri Perak berbanding dengan bandar lain di Perak. Ini mungkin kerana jalan sungai menjadi nadi utama pengangkutan ketika itu untuk mengangkut bijih timah.
Sumber: Sinar Harian
Jalan Pahang, Tapah
Jalan Pahang merupakan jalan protokol bagi bandar Tapah, di sepanjang jalan ini menghala ke Cameron Highlands terdapat perkampungan Orang Asli puak Semai.
Di Batu Tujuh terdapat sebuah Taman Caravan Kuala Woh yang merupakan hutan lipur paling indah di Perak.
Sebelum persimpangan masuk ke Kuala Woh, terdapat sebuah sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan Batu Tujuh yang merupakan sekolah Orang Asli terbesar di Perak.
Batu 14 juga menawarkan sebuah lagi pusat pelancongan menarik iaitu Lata Iskandar. Pelbagai hasil hutan seperti tongkat ali, kacip fatimah, orkid hutan serta kraf tangan Orang Asli seperti sumpit ada dijual sepanjang jalan ini.
Di akhir jalan ini di Cameron Highlands, terdapat persimpangan untuk ke Simpang Pulai berhampiran dengan bandar Ipoh serta ke Gua Musang, Kelantan.
Sumber: Sinar Harian
Batu Bersurat Pangkor
Batu Bersurat terletak di Kampung Teluk Gadong, Pulau Pangkor (15 minit dari Jeti Pulau Pangkor). Ianya berhampiran dengan kawasan rumah nelayan di tepi pantai dan berhadapan dengan Kota Belanda (10 meter dari kota tersebut).
Batu itu dipercayai hidup oleh penduduk tempatan kerana ia mampu membesar dari saiz asalnya yang agak kecil.
Lakaran yang diukir di permukaan Batu Bersurat tersebut ialah berbentuk seekor harimau yang sedang menumpaskan sesuatu (dipercayai seorang budak lelaki) dan terdapat dua bulatan berbentuk daun dan juga perkataan-perkataan Belanda serta Inggeris yang berbunyi "If Carlo 1743".
Tahun yang tercatat dikatakan sebagai tahun pendudukan semula Belanda di Pulau Pangkor selepas diusir oleh penduduk yang diketuai oleh Panglima Kulup sekitar 1690-an.
Sejarah Batu Bersurat jika dikaji dari sudut zaman peristiwa itu berlaku, ukiran yang terdapat pada batu itu menceritakan kisah seorang budak lelaki, anak kepada pembesar Belanda hilang dan dipercayai dibaham harimau.
Walau bagaimanapun mengikut sumber penduduk, kisah ini merupakan rekaan semata-mata oleh Belanda untuk menutup malu sebenarnya anak pembesar Belanda dilarikan oleh lanun.
Sumber: Sinar Harian
Tanjong Rambutan
Tanjong Rambutan ialah sebuah pekan kecil di daerah Kinta yang terletak di timur laut bandar raya Ipoh di negeri Perak.
Jarak pekan ini dari Ipoh adalah 15 kilometer dan ia merupakan sebuah mukim di mana terdapat beberapa kampung serta taman perumahan yang majoriti penduduknya merupakan masyarakat Melayu.
Tanjong Rambutan biasanya sinonim dengan perkataan pesakit mental kerana pekan ini menempatkan Hospital Bahagia, salah satu hospital kesihatan mental yang terkenal di Malaysia.
Tanjong Rambutan juga terletak di Hulu Sungai Kinta menyebabkan Tanjong Rambutan juga dikenali sebagai Ulu Kinta. Sungai Kinta mengalir melalui bandar Ipoh, Batu Gajah, Tanjong Tualang dan bertemu dengan Sungai Perak di Kampung Gajah, Perak.
Kini Tanjong Rambutan semakin menarik perhatian orang ramai kerana barang-barang lelongnya yang murah serta kesempatan untuk mengunjungi Hospital Bahagia yang juga didatangi oleh pelatih-pelatih yang menjalankan latihan praktikal.
Maktab Perguruan Hulu Kinta dan sebuah kem pasukan polis hutan juga terletak di Tanjong Rambutan.
Sumber: Sinar Harian
Friday, June 19, 2009
Sepak Takraw


Dalam sejarah Melayu menceritakan mengenai Raja Muhammad, putera Sultan Mahmud Syah tertanggal tanjaknya akibat terkena bola raga tendangan Tun Besar, anak kepada Bendahara Melaka, Tun Perak. Tun Besar telah dibunuh oleh Raja Muhammad kerana perkara yang mengaibkannya itu.
Terdapat gelaran pemain dalam sukan sepak takraw iaitu tekong adalah pemain yang melakukan sepak mula dan mengawal bahagian belakang gelanggang.
Apit kiri mengawal bahagian hadapan gelanggang dan memikul tugas utama mematikan bola di gelanggang lawan.
Apit kanan mengawal bahagian hadapan gelanggang dan memikul tugas utama mematikan bola di gelanggang lawan.
Sumber: Sinar Harian, Wikipedia
Futsal

Tujuannya adalah memasukkan bola ke gawang lawan dengan kaki. Selain lima pemain utama, setiap pasukan juga dibenarkan memiliki pemain simpanan.
Maksud lain futsal juga adalah versi bola sepak tertutup yang secara rasmi diselia badan pentadbiran antarabangsa bola sepak, Fédération Internationale de Football Association (FIFA).
Namanya berasal daripada bahasa Portugis futebol de salão, dan bahasa Sepanyol fútbol sala/de salón. Kedua-duanya bermaksud bola sepak dalam dewan.
Futsal dimainkan lima pemain dalam satu pasukan dan salah seorang daripadanya merupakan penjaga gol.
Antara perbezaan bola sepak dengan futsal adalah padang bola sepak menggunakan gelanggang yang besar berbanding futsal yang agak kecil.

Kawasannya yang lebih kecil memaksa pemain meningkatkan tahap kemahiran serta membuat keputusan dengan lebih cepat.
Kesalahan seperti rempuhan bahu dan melakukan gelongsor terhadap pihak lawan dilarang sama sekali.
Selain itu, mana-mana pasukan yang mengumpulkan kesalahan keenam bagi setiap separuh masa akan dihukum dengan sepakan penalti kedua.
Seterusnya kesalahan berikut juga akan dihukum dengan sepakan penalti kedua dan kesalahan ini dinamakan kesalahan terkumpul.
Sumber: Sinar Harian
Sekolah Menengah Kebangsaan King Edward VII
Bermula dengan 13 murid, bilangan tersebut bertambah menjadi 55 pada akhir 1884. Pada tahun 1885 gelanggang gimnastik dibina di Sekolah Pusat itu sehingga menyebabkan keperluan untuk bangunan baru dan kawasan yang lebih luas.

Kawasan yang dipilih adalah tempat terletaknya Sekolah Rendah King Edward (I) sekarang. Bangunan baru mula dibina pada tahun 1904 hingga 1905 dan menelan kos RM93,000. Mr. R.F. Stainer, Guru Besar ke-2 Sekolah Pusat mencadangkan nama sekolah ditukar kepada Sekolah King Edward VII bersempena dengan pertabalan raja berkenaan pada tahun 1901.
Sumber: Sinar Harian
Enggor
Enggor terletak di sebelah barat Sungai Siput, Perak Darul Ridzuan dan berhampiran Karai, Salak Utara, Liman Kati dan Kuala Kangsar. Enggor mempunyai beberapa kampung antaranya Karai, Jamuan, Salak Baru, Salak Utara, Kampung Tersusun Salak Stesyen, Taman Delima, Taman Salak, Ladang Eng Wah, Ladang Changkat Salak, Rumah Awam Salak dan Jalan Kati.
Enggor mempunyai empat sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Karai, Sekolah Menengah Simpang Beluru, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Karai dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Sey Wah.
Kemudahan pengangkutan ialah stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Salak Utara, manakala organisasi asas ialah TNB Distributions Sdn. Bhd.
Sumber: Sinar Harian
Thursday, June 18, 2009
Lawn Bowls

Sejarah moden pula mencatatkan pada tahun 1299 sebuah gelanggang atau 'green' telah dibina di Southampton, di selatan England. Green ini masih digunakan sehingga hari ini.

Raja-raja Inggeris pada masa yang sama pun telah mengharamkan permainan lawn bowls ini kerana bimbang rakyatnya akan menjadi terlalu asyik dalam sukan ini dan hilang kemahiran mereka dalam bidang panah memanah yang sangat perlu dalam peperangan. Bagaimanapun, sukan ini dimainkan secara sulit.

Pada masa itu bowls (atau bola yang digunakan) adalah diperbuat (dibentuk) daripada kayu jenis 'lignum vitae', satu kayu keras yang tahan lasak. Kemudian sains moden telah mencipta vucanised rubber atau ebonite dan seterusnya pada hari ini bowls adalah diperbuat daripada plastic compound.
Sukan ini berkembang secara besar-besaran di merata dunia terutama sekali di negara dalam Komanwel seperti Australia, New Zealand, Afrika Selatan dan Kanada.
Pada sukan Komanwel yang lalu yang diadakan di Victoria, Kanada, lebih kurang 20 negara termasuk Malaysia mengambil bahagian dalam acara lawn bowls.
Sukan lawn bowls ini tidak diperkenalkan secara besar-besaran di Malaysia. Kerajaan British yang memerintah Malaya hanya membina tiga green iaitu di Kelab Tasik Perdana (Lake Club), Kelab Sukan Pulau Pinang (Penang Sports Club) dan Pengkalan Tentera Udara DiRaja Australia di Butterworth.
Dari tiga ini hanya green di Butterworth sahaja yang kekal sehingga tahun lalu.
Sumber: Sinar Harian
Institut Kemahiran MARA
Institut Kemahiran MARA atau IKM ialah tempat di mana latihan kemahiran dijalankan. IKM pertama dibina pada tahun 1968 di Melaka dan kini terdapat 14 buah IKM di seluruh negara.
IKM pada asalnya adalah sebuah 'Sekolah Tukang' iaitu pusat latihan yang melahirkan tukang membuat sesuatu.
Antara kursus yang ditawarkan IKM ialah dalam bidang elektronik, kejuruteraan automotif, bangunan dan mekanikal.
Sumber: Sinar Harian.
Wednesday, June 17, 2009
Air Terjun Sungai Tesong
Air terjun ini terletak berhampiran dengan kolam air panas Sungai Klah. Di Sungai Tesong ini anda boleh menikmati keindahan alam sekitar yang belum diusik sambil menyegarkan badan dengan air sungai yang dingin dan nyaman. Selain itu anda boleh melihat perkampungan Orang Asli di sepanjang jalan menuju ke kawasan perkelahan ini.
Sumber: Sinar Harian
Tuesday, June 16, 2009
SUKMA
Sukan Malaysia atau ringkasnya SUKMA adalah satu acara sukan peringkat kebangsaan di bawah anjuran Majlis Sukan Negara Malaysia, Majlis-majlis Sukan Negeri, Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM), Majlis Sukan Universiti Malaysia dan Majlis Sukan Polis DiRaja Malaysia.
SUKMA adalah merupakan kejohanan 'beraneka sukan' (multi-sports competition) dan berkonsepkan 'Mini Sukan Olimpik' di Malaysia yang melibatkan atlet remaja. SUKMA diadakan secara dwi tahunan dan berselang-seli mencungkil bakat atlet-atlet remaja di peringkat negeri dan daerah bagi menggalakkan penglibatan secara mendalam dalam sukan yang dipertandingkan.
Objektif
- Untuk mempertingkatkan mutu sukan dan menggalakkan pertumbuhan bilangan penyertaan di peringkat negeri dan daerah terutama dalam sukan-sukan yang diberi keutamaan.
- Menggalakkan dan mempertingkatkan prestasi kepegawaian seperti jurulatih, pegawai-pegawai teknikal dan pentadbir-pentadbir sukan.
- Menggalakkan pembinaan kemudahan sukan yang baru serta membaikpulih kemudahan-kemudahan yang sedia ada di peringkat negeri dan daerah.
- Menjadi asas pemilihan atlet-atlet bagi mewakili negara ke peringkat antarabangsa di masa hadapan.
- Menjadikan sebagai usaha meningkatkan integrasi nasional dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Keistimewaan Tanjung Malim
Tanjung Malim terkenal kerana adanya Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dulu Maktab Perguruan Sultan Idris.
Ia juga terkenal sebagai tempat persinggahan bas ekspres yang mengikut jalan lama, sebelum wujudnya Lebuhraya Utara-Selatan.
Selepas terbinanya lebuh raya, bandar Tanjung Malim hampir ditinggalkan dan di sini terdapat gerai kuih pau atau Pau Tanjung Malim yang sangat enak.
Tanjung Malim sekarang lebih dikenali apabila kerajaan negeri Perak memulakan rancangan membangunkan bandar baru iaitu Bandar Behrang 2020 dan Bandar Raya Proton.
Sumber: Sinar Harian
Aktiviti perlombongan di Kampar
Pada peringkat awal, aktiviti perlombongan di Kampar dijalankan secara mengorek lubang kecil untuk mendapatkan tanah yang mengandungi bijih serta mendulangnya di tebing Sungai Keranji dan Sungai Kampar serta di kawasan rendah yang mengandungi takungan air.
Kegiatan tradisional kebanyakannya dilakukan orang Cina dan Eropah menambahkan kepesatan kegiatan ekonomi perlombongan bijih timah, apabila mereka memperkenalkan melombong cara pam palung dan kapal korek.
Kedua-dua cara perlombongan ini boleh mengeluarkan hasil bijih timah dalam jumlah yang berlipat ganda banyaknya dan dapat menyumbangkan peluang pekerjaan kepada penduduk Kampar dan kawasan-kawasan sekitarnya.
Keadaan ini berterusan sehinggalah menjelangnya kemerosotan pasaran timah pada awal tahun 1983.
Sumber: Sinar Harian
Stesen kereta api Ipoh

Menurut kajian yang dibuat oleh syarikat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), sejarah keretapi Tanah Melayu bermula pada tahun 1885 iaitu landasan pertama dibina dari Taiping ke Port Weld (nama baharunya Kuala Sepetang). Nama yang digunakan pada masa itu ialah Perak State Railway.
Pada tahun 1901, setelah sistem perhubungan keretapi bersambung dengan negeri-negeri lain, ia dinamakan sebagai Federated Malay State Railway, dan pada tahun 1946 namanya ditukar kepada Keretapi Tanah Melayu.
Sekali lagi pada tarikh 1 Ogos 1992, Keretapi Tanah Melayu telah diperbadankan dan dikenali sebagai Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hingga ke hari ini.
Objektif asal pengangkutan keretapi adalah untuk membawa hasil getah, bijih timah dan lain-lain barang ke pelabuhan oleh penjajah Inggeris, tetapi kini telah berubah menjadi salah satu pengangkutan yang penting kepada pembangunan ekonomi negara.
Sebelum diambil alih oleh Pengurus Besar dari kalangan warganegara Malaysia yang pertama, Pengurus Besar pertama keretapi ialah C.E. Spooner C.M.G. iaitu dari tahun 1901 hingga 1909 dan selepas itulah pada tahun 1962 sehingga 1967 telah dipegang oleh Tan Sri Dato' Haji Ahmad Perang iaitu warganegara Malaysia pertama menjadi Pengurus Besar Keretapi Tanah Melayu.
Dari segi bangunan pula, memang ada sejarah tersendiri dengan reka bentuknya yang unik sejak pembinaan awal stesen keretapi berkenaan. Stesen Keretapi Ipoh dibina pada tahun 1917 oleh Syarikat Hindia Timur British serta bangunannya dibina bercirikan Islam dan reka bentuknya berbentuk Moorish sehingga ada yang menggelarnya sebagai Taj Mahal Ipoh.
Panggilan berkenaan mula menjadi bualan masarakat sekitar apabila melihat reka bentuk bangunan stesen keretapi berkenaan yang menghampiri reka bentuk seakan-akan Taj Mahal di India walaupun tidak sepenuhnya.
Dari segi kos pula, bagi pembinaan bangunan berkenaan sahaja pada waktu itu menelan belanja sebanyak RM335,000 manakala bangunan yang masih tersergam di bandaraya Ipoh itu adalah bangunan asal dan ia hanya diubahsuai di bahagian dalam sahaja pada 1 Jun 1993 sementara bentuk bangunan tidak diubahsuai.
Keluasan bangunan stesen keretapi Ipoh adalah 71,200 kaki persegi dan bahagian atas stesen keretapi kini telah dijadikan hotel bagi pengunjung yang datang melawat Ipoh. Bangunan dan tamannya yang cantik telah menjadi salah satu tempat menarik kepada pengunjungnya.
Sumber: Sinar Harian
Balai Polis Kampung Baru
Balai Polis Kampung Baru adalah balai polis di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh. Lebih kurang dalam tahun 1870 Kampung Bharu ialah kawasan hutan. Atas kehendak pentadbiran daerah dan pemerintah ketika itu, bancian telah dibuat terhadap pekerja buruh yang berpendapatan rendah antara $25 ke bawah dan telah diperuntukkan sebidang tanah untuk membina rumah tempat tinggal.
Setelah sekian lama penghuni mendiami tempat ini tanpa sebarang nama. Kalau ada orang bertanya mengenai nama tempat ini, penghuni di sini akan menjawab "tempat ini baru dibuka dan akan dijadikan kampung".
Oleh kerana tempat ini baru dibuka, maka perkataan kampung itu pun telah ditambah dengan panggilan KAMPUNG BARU dan terasmilah panggilan tersebut hingga ketika ini.
Penduduk yang mendiami tempat ini pada masa itu hanyalah melibatkan kaum India yang kebetulan diambil bekerja sebagai buruh ladang getah. Selang beberapa ketika datang pula kaum Cina dalam kelompok yang kecil dengan menjalankan perniagaan tinggal dan berumah tangga di sini.
Kepadatan penduduk telah mulai bertambah dari semasa ke semasa dan lama kelamaan banjiran penduduk dari pelbagai kaum telah mula bertambah dan ada kaum seperti India, Cina, Melayu dan lain-lain bangsa.
Sumber: Sinar Harian
Bola Keranjang

Mata diperoleh dengan melontar bola memasuki keranjang dan pasukan yang markahnya lebih banyak apabila tamat permainan dikira pemenang.
Lontaran lompat biasa dari dalam lingkungan dikira dua mata, di luar lingkungan bernilai tiga mata dan setiap lontaran percuma bernilai satu mata.

Mss Luther H. Gulick adalah orang yang mempertanggungjawabkan Naismith mencipta satu permainan berpasukan yang boleh dimainkan semasa musim sejuk.
Permainan rasmi pertama telah berlansung di gimnasium YMCA pada 20 Januari 1892. Hanya sembilan pemain terlibat dalam permainan ini dalam gelanggang bola keranjang yang cuma separuh saiz gelanggang NBA pada hari ini.
Terdapat beberapa perubahan yang dilakukan dalam permainan tersebut. Pada tahun 1893, gegelang besi yang dipasangkan beg jaring digunakan untuk menggantikan bakul. Korda diletakkan bersama jaring supaya bola dapat jatuh ke tanah.
Sumber: Sinar Harian
Sejarah bahagian pengurusan masjid
Sejarah penubuhan Bahagian Pengurusan Masjid adalah berasal daripada salah sebuah unit dalam Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Perak Darul Ridzuan, mulai 1986 iaitu selepas penyusunan semula carta organisasi Jabatan Hal Ehwal Agama Perak.
Pada keseluruhannya Unit ini bertanggungjawab kepada Jabatan Agama Islam Perak secara khusus mengenai masjid dan surau dalam negeri Perak dari sudut pentadbiran, pengurusan dan membantu usaha pembangunan.
Sebelum unit ini diwujudkan, pentadbiran dan pengurusan masjid adalah di bawah Bahagian Wakaf dan Masjid Jabatan Hal Ehwal Ugama Perak. Pada Mei 2000 Unit Kariah telah dipindahkan ke Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri), Ipoh dan dinaik taraf menjadi Bahagian Pengurusan Masjid.
Bagaimanapun Bahagian ini hanyalah diwujudkan atas dasar Pentadbiran Jabatan Agama Islam Perak sahaja dan kini menunggu kelulusan daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.
Kewujudan Bahagian Pengurusan Masjid ini adalah selaras dengan kehendak Enakmen Pentadbiran Agama Islam 1992 Bahagian IV (Masjid dan Tempat Ibadah).
Pada masa ini, terdapat sebanyak 580 masjid dan hampir 2,000 surau dalam negeri Perak yang didaftarkan dalam pentadbiran bahagian ini.
Objektif
- Mengembalikan fungsi dan peranan Masjid sebagaimana yang dikehendaki oleh Syarak.
- Menjadikan masjid sebagai pusat kegiatan umat Islam, pusat penyebaran ilmu dan maklumat dan pemangkin kepada kemajuan umat Islam di dunia dan di akhirat.
- Merealisasikan umat Islam sebagai umat yang terbaik.
Sumber: Sinar Harian
Homestay Selama
Perkampungan Homestay (enap desa) Selama merangkumi dua tempat iaitu perkampungan Bagan Baru dan perkampungan Sungai Seputih. Kedua-dua perkampungan ini mempunyai daya penarik yang berbeza.
Terdapat pelbagai aktiviti menarik yang disediakan kepada tetamu yang berkunjung ke sini seperti persembahan kebudayaan, program lawatan ke tempat menarik di sekitar daerah Selama.
Setiap pengunjung yang hadir ke tempat ini pasti berasa teruja dan berpuas hati dengan keadaan sekeliling yang begitu nyaman dan segar kerana dikelilingi pokok yang menghijau.
Pihak yang berminat boleh menghubungi Koperasi Pekebun Kecil Daerah Selama/Kerian Bhd, Pejabat Risda Stesen, 34100 Selama, Perak.
Sumber: Sinar Harian
Tumang Resort
Satu lagi pusat rekreasi yang terdapat di Tanjong Malim adalah Tumang Resort yang terletak di Ulu Slim.
Tumang Resort adalah hak milik persendirian dan dibangunkan lengkap dengan chalet, basikal dan kelengkapan berkhemah dan aktiviti motivasi atau kem pasukan beruniform.
Kemudahan yang lengkap menyebabkan ia menjadi tarikan pengunjung untuk mengadakan pelbagai aktiviti.
Tumang Resort mula mendapat perhatian daripada pasukan beruniform sekolah di Tanjong Malim, persatuan seperti Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM).
Sumber: Sinar Harian
Thursday, June 11, 2009
Sekolah Menengah Teknik Lebuh Cator
Sekolah Menengah Teknik Lebuh Cator (dahulu dikenali sebagai Sekolah Menengah Vokasional Cator Avenue) merupakan antara sekolah vokasional yang terawal di negara ini.
Sekolah ini ditubuhkan pada tahun 1930 dan pada mulanya dikenali sebagai Sekolah Perdagangan Kerajaan. Tujuan sekolah ini ditubuhkan adalah untuk mengisi tenaga kerja di Bengkel Pusat Kereta Api di Negeri-negeri Melayu Bersekutu.
Pada tahun 1950 nama sekolah ini ditukar kepada Sekolah Rendah Perdagangan dan Teknikal. Ia menawarkan kursus Kejuruteraan Mekanikal, Amalan Bengkel Bata dan Kayu serta Kejuruteraan Elektrik dan Kimpalan.
Pada tahun 1963 sekolah ini dinaik taraf menjadi Sekolah Menengah Perdagangan dan mula menerima kemasukan pelajar lepasan Tingkatan Tiga. Dua kursus baru iaitu Automotif dan Servis Radio dan Televisyen diperkenalkan.
Pada tahun 1968 nama sekolah ini ditukar menjadi Sekolah Menengah Vokasional, Ipoh.
Pada tahun 1991 sekolah ini menjadi perintis kepada aliran vokasional dan kemahiran.
Pada tahun 1997 sekolah ini telah dinaik taraf kepada Sekolah Menengah Teknik Lebuh Cator dan menawarkan satu aliran teknikal iaitu Perdagangan, tujuh aliran vokasional dan satu aliran kemahiran.
Sumber: Sinar Harian
Tapah Road
Tapah Road adalah sebuah pekan kecil sembilan kilometer dari bandar Tapah dalam perjalanan menuju ke bandar Teluk Intan.
Tapah Road menarik kerana ada sebuah stesen kereta api menuju ke Padang Besar di utara dan Singapura di selatan.
Di bandar Tapah, tiada stesen kereta api, oleh itu penduduk sekitar Hilir Perak dan Perak Selatan yang ingin menggunakan perkhidmatan kereta api perlu pergi ke stesen kereta api Tapah di Tapah Road. Terdapat landasan kereta api antara Tapah Road dengan warf di Teluk Intan untuk mengangkut getah, bijih timah dan kayu balak semasa zaman penjajahan British di Tanah Melayu.
Jambatan besi dibina menyeberangi Sungai Bidor untuk membolehkan kereta api sampai ke pangkalan warf (pengkalan) di tepi Sungai Perak. Tetapi kini perkhidmatan tersebut dihentikan terutama setelah sekumpulan gajah melanggar kereta api di Sungai Kerawai pada tahun 1888.
Syarikat Gamuda JV dan MTD telah membesarkan dan memperbaiki landasan kereta api dan stesen kereta api di Tapah Road. Projek ini ditangguhkan pada awal tahun 2004 berikutan masalah kewangan tetapi kemudian disambung semula.
Sumber: Sinar Harian
Pusat Latihan KEMAS Gopeng

Pusat Latihan KEMAS Gopeng mula beroperasi pada Februari 2009 dengan jumlah kakitangan seramai 58 orang.
Ia melibatkan kawasan seluas kira-kira 1.6 hektar dan kos pembinaan berjumlah hampir RM6 juta.
Pusat ini menyediakan kemudahan latihan yang berkualiti dan berkesan kepada anggota KEMAS bagi meningkatkan kualiti kerja dari semasa ke semasa.
Selain itu, ia turut menyediakan kemudahan latihan/tempat bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran masyarakat setempat.
Sumber: Sinar Harian
Wednesday, June 10, 2009
Langkap
Langkap adalah sebuah pekan berhampiran dengan bandar Teluk Intan. Aktiviti ekonomi utama di sini ialah perniagaan dan sawah padi yang diusahakan pesawah dari kaum Cina dan Melayu. Pada zaman darurat, terjadi pertempuran antara pengganas Komunis dengan penduduk Melayu di Jambatan Sungai Tunku berhampiran dengan Sungai Manik.
Pengganas Komunis terdiri daripada kaum Cina yang menyertai Parti Komunis Malaya (PKM) dan MPAJA (Malayan Peoples' Anti Japanese Army).
Selepas pertempuran dan didamaikan oleh pemimpin PKM seperti Abdullah CD, pengganas Komunis ini kembali berundur ke kawasan Langkap, Chui Chak dan Teluk Intan.
Sumber: Sinar Harian
Rumah Za'ba
Rumah Za'ba adalah sebuah bangunan bersejarah yang terdapat di dalam Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI. Rumah ini yang dahulunya dihuni oleh salah seorang daripada mereka yang membawa kemerdekaan kepada negara Malaysia iaitu Pendita Za'ba. Rumah Za'ba ini juga mengalami sedikit pengubahsuaian dan penambahbaikan kerana keadaan asalnya yang telah rosak dan usang.
Sumber: Sinar Harian
Muzium Darul Ridzuan
Bangunan Muzium Darul Ridzuan ini terletak di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, Ipoh berhampiran dengan bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.
Bangunan ini telah dibina pada tahun 1926 oleh Foo Choong Yit, iaitu seorang pengusaha lombong berbangsa Cina dan dibina untuk dijadikan kediaman beliau bersama-sama keluarganya.
Bangunan yang memiliki ciri-ciri rekabentuk British ini masih berkeadaan yang asal dan mempunyai lapan buah bilik di tingkat atas dan dua bilik di tingkat bawah.
Sejarah penubuhan Muzium Darul Ridzuan bermula dari rancangan untuk menubuhkan sebuah muzium yang pertama di Bandaraya Ipoh pada 27 Januari 1989, oleh satu jawatankuasa yang telah dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri ketika itu.
Tujuan penubuhan muzium ini adalah untuk memelihara sejarah perlombongan dan perhutanan di Bandaraya Ipoh bagi menyimpan dan mengekalkan segala warisan sejarah yang ditinggalkan oleh perusahaan perlombongan bijih timah dan perusahaan hasil perhutanan.
Konsep penubuhan muzium juga adalah berlandaskan kepada evolusi Bandaraya Ipoh yang kukuh berdiri hasil daripada perlombongan bijih timah dan kayu-kayan suatu masa dahulu.
Sumber: Sinar Harian
Tuesday, June 9, 2009
Sukan di Perak
Salah satu warisan daripada zaman penjajah yang besar kemungkinan akan berkekalan ialah sukan. Permainan yang paling popular di negara ini tidak dapat disangkal ialah bola sepak. Tetapi masyarakat Barat di negara ini juga dahulu minat dalam sukan seperti tenis, kriket dan ragbi.
Seorang pegawai Inggeris yang banyak memberi galakan kepada sukan ialah Kol. R.S.F. Walker. Beliau sendiri amat handal dalam bidang kriket dan bola sepak. Maka di Taiping pada tahun 1889 telah diadakan untuk kali pertama perlawanan kriket antara negeri Perak melawan Selangor. Selanjutnya pertemuan antara dua negeri itu bukan hanya diadakan setiap tahun, bahkan pasukan Pulau Pinang dan Singapura juga menyertai perlawanan antara negeri menjadikan keadaan amat meriah.
Selain daripada Walker, Frank Swettenham dan E.W. Birch juga pernah memberi galakan kepada kriket dan seperti Walker, mereka berdua ini juga mewakili Perak.
Walker juga memainkan peranan utama memulakan perlawanan bola sepak di Perak. Beliau telah mendermakan piala untuk dipertandingkan oleh berbagai pasukan.
Taiping, sebagai bandar terkemuka di Perak telah diwakili oleh empat pasukan iaitu bandar Taiping, Taiping Recreation Club (TRC), Sekolah King Edward VII dan Matang.
Pasukan lain yang pernah menyertai pertandingan itu ialah Kuala Kangsar, Ipoh, Batu Gajah, Tapah dan Teluk Anson. Bola sepak kemudian begitu popular di daerah Larut sehingga di kawasan Matang.
Sumber: Sinar Harian.
Universiti Pendidikan Sultan Idris
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah diisytiharkan sebagai sebuah universiti pada 1 Mei 1997.
Ia adalah universiti pendidikan pertama negara ini. Sejarah UPSI bermula pada 29 November 1929 apabila The Sultan Idris Training College (SITC) for Malay Teachers dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Negeri-negeri Melayu pada ketika itu, Sir W. George Maxwell.
Kumpulan pertama penuntut berjumlah 120 orang dan tenaga pengajar seramai empat orang.
Bagi memenuhi tuntutan Laporan Razak, SITC ditukarkan nama kepada Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) yang khusus untuk melatih guru-guru sekolah rendah dalam tahun 1957.
Tradisi sebagai maktab bagi penuntut lelaki telah dipecahkan mulai Januari 1975 apabila ia mula menerima 140 penuntut perempuan.
Pada tahun 1987, MPSI telah dinaikkan ke taraf Institut dan digelar Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI).
Sumber: Sinar Harian
Sungai Kerawai
Sungai Kerawai yang terletak di Teluk Intan ini terkenal dalam sejarah pengangkutan di Malaysia kerana kereta api yang melalui kawasan itu telah dilanggar oleh seekor ibu gajah yang ingin menyelamatkan sekumpulan gajah lain yang sedang melintasi landasan kereta api pada tahun 1888. Antara saksi yang melihat kerja-kerja membaiki semula landasan dan membetulkan kereta api yang terbalik ialah Tok Sidang Kampung Air Mati, Kampung Gajah, Perak iaitu Allahyarham Abdul Hamid Abdul Rahman. Kepala gajah tersebut telah diawet dan kini dipamerkan di Muzium Taiping, Perak.
Sumber: Sinar Harian
Subscribe to:
Posts (Atom)
