Menurut Encyclopedia Brittanica permainan lawn bowls telah mula dimainkan sejal 5000 tahun sebelum masihi. Pendek kata semua permainan yang menggunakan bola telah 'dicipta' di zaman purba ini dengan menggunakan tengkorak manusia sebagai bola.
Sejarah moden pula mencatatkan pada tahun 1299 sebuah gelanggang atau 'green' telah dibina di Southampton, di selatan England. Green ini masih digunakan sehingga hari ini.
Pada 18 Julai 1588 Sir Francis Drake (jenama Drake Bowls diambil dari nama ini), seorang pahlawan Inggeris yang terkenal dan juga peminat sukan lawn bowls yang terkemuka, telah memerintahkan kelasi-kelasi kapalnya tunggu beliau habis bermain lawn bowls di Plymouth Hoe sebelum turun ke laut menentang armada Sepanyol yang sedang mara untuk menyerang England.
Raja-raja Inggeris pada masa yang sama pun telah mengharamkan permainan lawn bowls ini kerana bimbang rakyatnya akan menjadi terlalu asyik dalam sukan ini dan hilang kemahiran mereka dalam bidang panah memanah yang sangat perlu dalam peperangan. Bagaimanapun, sukan ini dimainkan secara sulit.
Raja Henry VII pula telah meluluskan akta mengenakan pembayaran 100 paun bagi lesen membina sebuah green. Pada pertengahan tahun 1800 satu jawatankuasa telah ditubuhkan dengan bantuan seorang peguam di Glasgow, Scotland dan telah menyediakan satu 'Code of Rules'.
Pada masa itu bowls (atau bola yang digunakan) adalah diperbuat (dibentuk) daripada kayu jenis 'lignum vitae', satu kayu keras yang tahan lasak. Kemudian sains moden telah mencipta vucanised rubber atau ebonite dan seterusnya pada hari ini bowls adalah diperbuat daripada plastic compound.
Sukan ini berkembang secara besar-besaran di merata dunia terutama sekali di negara dalam Komanwel seperti Australia, New Zealand, Afrika Selatan dan Kanada.
Pada sukan Komanwel yang lalu yang diadakan di Victoria, Kanada, lebih kurang 20 negara termasuk Malaysia mengambil bahagian dalam acara lawn bowls.
Sukan lawn bowls ini tidak diperkenalkan secara besar-besaran di Malaysia. Kerajaan British yang memerintah Malaya hanya membina tiga green iaitu di Kelab Tasik Perdana (Lake Club), Kelab Sukan Pulau Pinang (Penang Sports Club) dan Pengkalan Tentera Udara DiRaja Australia di Butterworth.
Dari tiga ini hanya green di Butterworth sahaja yang kekal sehingga tahun lalu.
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment