Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, June 16, 2009

Stesen kereta api Ipoh

Stesen kereta api Ipoh juga dikenali sebagai Taj Mahal oleh masyarakat tempatan kerana rupa bentuknya yang seakan-akan Taj Mahal. Ianya merupakan mercutanda bagi bandaraya Ipoh kerana keunikan rupa bentuknya. Ianya dikelilingi oleh pelbagai jenis bunga-bungaan tempatan sebagai daya tarikan kepada pelancong.

Menurut kajian yang dibuat oleh syarikat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), sejarah keretapi Tanah Melayu bermula pada tahun 1885 iaitu landasan pertama dibina dari Taiping ke Port Weld (nama baharunya Kuala Sepetang). Nama yang digunakan pada masa itu ialah Perak State Railway.

Pada tahun 1901, setelah sistem perhubungan keretapi bersambung dengan negeri-negeri lain, ia dinamakan sebagai Federated Malay State Railway, dan pada tahun 1946 namanya ditukar kepada Keretapi Tanah Melayu.

Sekali lagi pada tarikh 1 Ogos 1992, Keretapi Tanah Melayu telah diperbadankan dan dikenali sebagai Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hingga ke hari ini.

Objektif asal pengangkutan keretapi adalah untuk membawa hasil getah, bijih timah dan lain-lain barang ke pelabuhan oleh penjajah Inggeris, tetapi kini telah berubah menjadi salah satu pengangkutan yang penting kepada pembangunan ekonomi negara.

Sebelum diambil alih oleh Pengurus Besar dari kalangan warganegara Malaysia yang pertama, Pengurus Besar pertama keretapi ialah C.E. Spooner C.M.G. iaitu dari tahun 1901 hingga 1909 dan selepas itulah pada tahun 1962 sehingga 1967 telah dipegang oleh Tan Sri Dato' Haji Ahmad Perang iaitu warganegara Malaysia pertama menjadi Pengurus Besar Keretapi Tanah Melayu.

Dari segi bangunan pula, memang ada sejarah tersendiri dengan reka bentuknya yang unik sejak pembinaan awal stesen keretapi berkenaan. Stesen Keretapi Ipoh dibina pada tahun 1917 oleh Syarikat Hindia Timur British serta bangunannya dibina bercirikan Islam dan reka bentuknya berbentuk Moorish sehingga ada yang menggelarnya sebagai Taj Mahal Ipoh.

Panggilan berkenaan mula menjadi bualan masarakat sekitar apabila melihat reka bentuk bangunan stesen keretapi berkenaan yang menghampiri reka bentuk seakan-akan Taj Mahal di India walaupun tidak sepenuhnya.

Dari segi kos pula, bagi pembinaan bangunan berkenaan sahaja pada waktu itu menelan belanja sebanyak RM335,000 manakala bangunan yang masih tersergam di bandaraya Ipoh itu adalah bangunan asal dan ia hanya diubahsuai di bahagian dalam sahaja pada 1 Jun 1993 sementara bentuk bangunan tidak diubahsuai.

Keluasan bangunan stesen keretapi Ipoh adalah 71,200 kaki persegi dan bahagian atas stesen keretapi kini telah dijadikan hotel bagi pengunjung yang datang melawat Ipoh. Bangunan dan tamannya yang cantik telah menjadi salah satu tempat menarik kepada pengunjungnya.

Sumber: Sinar Harian

No comments: