Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, June 27, 2013

Agihan tepat, zakat berkat


Zakat dari segi syarak ialah mengeluarkan sebahagian harta tertentu diberikan kepada asnaf-asnaf yang berhak menerimanya setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak.

Mengeluarkan zakat adalah termasuk dalam rukun Islam yang lima. Oleh itu, setiap orang Islam yang memiliki harta yang telah memenuhi syarat-syaratnya adalah wajib menunaikannya sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah an-Nur ayat 56 yang bermaksud:

"Dan dirikan oleh kamu akan sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Rasul Allah; supaya kamu beroleh rahmat."

Rasulullah SAW pula memberikan peringatan dan ancaman yang tegas kepada mereka yang enggan mengeluarkan zakat sebagaimana sabdanya yang bermaksud:

"Barangsiapa yang Allah berikan kepadanya harta, tetapi dia tidak mengeluarkan zakatnya, maka pada hari kiamat kelak hartanya itu dijadikan berupa Syuja’ Aqra’ (Ular jantan yang botak, kepalanya mengandungi banyak racun) yang memiliki dua titik hitam di atas dua matanya melilit lehernya. Kemudian ia menggigit kedua tulang rahangnya sambil berkata, ‘Aku adalah hartamu, aku adalah simpananmu. Lalu baginda SAW membaca (ayat 180 surah Ali Imran): ’Sekali-kali janganlah orang-orang yang bakhil menyangka…’." - Hadis riwayat al-Bukhari.

Al-Hafiz Imam Ibnu Katsir RA di dalam kitab Tafsir Ibnu Katsir ketika mentafsirkan ayat 180 surah al-Baqarah yang dimaksudkan oleh Baginda SAW ini, berkata:

"Janganlah sekali-kali orang yang bakhil menyangka bahawa dia mengumpulkan harta itu akan baik dan bermanfaat baginya. Sebaliknya hal itu akan membahayakannya dalam (urusan) agamanya dan kemungkinan juga dalam (urusan) dunianya. Allah memberitakan tentang hartanya pada hari kiamat dengan firman-Nya: “Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan di leher mereka, kelak pada hari kiamat."

Begitu juga dengan pandangan Dr. Yusof al-Qaradawi yang merumuskan di dalam kitabnya Fiqh al-Zakah dengan mengatakan:

"Seorang muslim yang mengingkarinya (yakni kewajipan zakat) adalah dihukum kafir (murtad), fasik jika ia melarikan diri (enggan menunaikannya), diizinkan (kepada ulil amri) mengambil secara paksa (yakni melalui tindakan undang-undang) orang yang menegahnya, dan diisytiharkan perang dengan tujuan menunaikannya kepada sesiapa yang enggan dan berkeras."

Antara hikmah ibadah zakat ialah barakah atau keberkatan yang dikurniakan Allah SWT kepada pembayar dan penerima zakat termasuk juga pada harta yang telah dizakatkan itu sendiri.

Barakah adalah suatu nikmat Allah yang tidak dapat dilihat dan disentuh tetapi dapat dirasai dan dinikmati kesannya dalam kehidupan seharian.

Setiap muslim pasti bercita-cita inginkan keberkatan dalam kehidupan dan urusan sehariannya kerana dengan keberkatan jiwa menjadi tenang, hati menjadi lapang, nafsu dapat dikawalkan, setiap urusan sentiasa mendapat panduan, mudah dan senang, kekurangan harta tidak menjadi kerisauan.

Firman Allah SWT di dalam surah at-Taubah ayat 103 yang bermaksud:

"Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui."

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili ketika mentafsirkan ayat ini di dalam kitab Tafsir al-Munir berkata:

Al-tazkiah bermaksud kata nama keterangan yang menunjukkan penyucian sesuatu yang bersangatan dan menambah kebaikan pada harta, ataupun ianya juga bermaksud menyuburkan dan memberikan keberkatan pada harta kerana sesungguhnya Allah swt menjadikan kekurangan yang terhasil dengan sebab mengeluarkan zakat sebagai faktor berlakunya penyuburan harta sepertimana yang disebutkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Muslim dan al-Tirmizi daripada Abu Hurairah RA bahawa Baginda SAW bersabda : Sedekah (yakni zakat) tidak akan mengurangkan harta.

Justeru, nas ini jelas memerintahkan Rasulullah SAW dan juga pemerintah Islam agar menguatkuasakan kutipan zakat ke atas sebahagian daripada orang-orang Islam yang berharta dan cukup syarat-syaratnya dengan kadar tertentu bagi tujuan membersihkan diri mereka daripada segala sifat buruk dan keji serta menyuburkan harta mereka.

Hasilnya, di dunia, harta kekayaan yang dimiliki mereka akan bertambah subur dan berkembang, manakala di akhirat kelak pula harta kekayaan ini menjadi aset dan penyelamat diri mereka daripada azab dan kemurkaan Allah SWT.

Zakat hendaklah diagihkan kepada mereka yang berhak menerimanya. Justeru, menjadi tanggungjawab pemerintah untuk melaksanakannya dengan memperkenalkan pelbagai bentuk skim bantuan zakat untuk diagihkan kepada asnaf zakat.

Sebagai contoh melalui Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang mempunyai sebanyak 27 skim bantuan zakat yang dilaksanakan, manakala Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebanyak 81 skim bantuan.

Perlu diketahui bahawa setiap jenis bantuan zakat yang diperkenalkan oleh Majlis Agama Islam Negeri perlu melalui keputusan dan kelulusan Jawatankuasa Fatwa Negeri agar menepati kehendak maqasid syariyyah dan hukum hakam syarak.

Berdasarkan kepada keperluan tersebut, pihak kerajaan persekutuan melalui Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri-Negeri seluruh Malaysia sentiasa bekerjasama dan berusaha gigih menganjurkan program dan aktiviti-aktiviti bagi mempromosi kesedaran dan kefahaman mengenai zakat.

Renungilah firman Allah SWT di dalam surah al-A'raf ayat 96 yang bermaksud:

"Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan."

sumber: e-khutbah JAKIM

Wednesday, June 26, 2013

Islah dan integriti

Berdasarkan kepada kamus Idris al-Marbawi islah memberi maksud sebagai kebaikan atau pembaikan.

Dalam konteks yang lebih luas ianya membawa makna perubahan ke arah kebaikan. Walaupun perubahan boleh dilihat daripada pelbagai sudut, seperti perubahan dari satu tempat ke satu tempat lain, perubahan dalam profesion atau pekerjaan atau mungkin juga perubahan daripada satu ideologi kepada ideologi lain.

Namun apa yang paling penting di sini ialah perubahan sahsiah setiap individu kepada suatu keadaan yang lebih baik khususnya melalui penghayatan sifat mahmudah dan integriti yang sangat dituntut oleh agama Islam.

Sahsiah atau peribadi mulia hanya dapat dibina melalui pengorbanan setiap insan dengan semangat yang kental untuk melakukan kebaikan.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 148 yang bermaksud:

"Dan bagi setiap umat ada kiblat yang dihadapkannya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (pada hari Kiamat); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."

Islah dan penghayatan integriti boleh mengambil semangat hijrah yang menjadi penanda aras dalam membina tamadun Islam.

Hijrah juga adalah suatu proses bagaimana Rasulullah SAW mempersiapkan asas dan landasan terbaik untuk membolehkan kebaikan yang ada di dalam agama Islam itu sendiri dilaksanakan.

Perubahan yang paling penting daripada proses ini adalah penyucian diri (tazkiatun nafs), membersihkan sifat syirik dan segala penyakit hati yang merosakkan tauhid dan nilai kemanusiaan.

Demikianlah juga penghayatan integriti yang mengajak kita supaya meninggalkan semua sifat-sifat negatif atau mazmumah seperti membazirkan masa, boros, ponteng kerja, tidak menepati janji, suka menangguhkan kerja sehingga membawa kepada perkara yang lebih serius seperti penipuan, rasuah, penyelewengan, salah laku dan salahguna kuasa.

Manusia yang berintegriti bukan sahaja memastikan diri dan keluarganya menjauhi sifat-sifat mazmumah, bahkan akan sentiasa berusaha mengamalkan sifat-sifat mahmudah yang selari dengan fitrahnya dan terangkum sebagai akhlak mulia yang dituntut oleh Islam.

Hujatul Islam Imam Ghazali telah memperincikan sebahagian akhlak mulia antaranya sebagai penyabar, lemah-lembut, bersyukur, redha, ikhlas, murah hati, berkata benar selain jujur, amanah dan bertanggungjawab.

Mengulas perkara ini, Dr. Wahbah az-Zuhaily dalam Tafsir al-Munir menyatakan bahawa manusia adalah sebaik-baik kejadian kerana diberikan anggota badan yang lengkap dan sempurna, makan dengan tangannya, mempunyai keistimewaan dengan ilmu, pemikiran, tutur bicara serta mampu mengurus kehidupan.

Semua kelebihan ini memungkinkan manusia itu menjadi khalifah yang berkuasa di muka bumi sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Perubahan manusia ini jika dihalakan kepada kebaikan membawa banyak keuntungan. Namun jika dihalakan kepada kejahatan, maka integriti dan akauntabiliti manusia akan tercalar.

Renungilah pesanan Rasulullah SAW daripada Jabir R.A. tentang kesungguhan iblis yang sentiasa berprestasi cemerlang untuk menyesatkan manusia iaitu:

"Singgahsana iblis berada di lautan. Dari sana dia mengirim pasukannya untuk membuat fitnah (mengacau atau membawa bencana untuk) umat manusia. Maka siapa yang lebih besar membuat bencana, dialah yang lebih besar jasanya (terhormat) di kalangan mereka." - Hadis Riwayat Muslim

Manusia yang hilang integriti sama ada dari segi zahir atau batin akan merosakkan hubungannya dengan Allah SWT, sesama manusia dan sengan makhluk Allah yang lain seperti haiwan, tumbuh-tumbuhan serta alam persekitaran.

Di dalam al-Quran telah dirakamkan beberapa individu yang tercemar integritinya seperti Firaun yang zalim, penasihat kanannya yang korup iaitu Haman dan Qarun yang mengampu Firaun.

Begitu juga disebutkan beberapa kaum yang rosak integriti kemanusiaannya lalu dihapuskan oleh Allah SWT dari muka bumi ini seperti kaum Thamud umat Nabi Saleh, umat Nabi Lut dan kaum Aad umat Nabi Hud.

Pendedahan azab kaum-kaum tersebut di dalam al-Quran, berkait rapat dengan pencemaran integriti yang paling tinggi iaitu mensyirikkan Allah SWT, maka sewajarnya azab itu menjadi pengajaran kepada manusia.

Berdasarkan kesan buruk yang menimpa umat terdahulu, jelas bahawa kaum yang tercemar integritinya mempunyai kaitan dengan amalan seorang jahiliyah.

Mohamad Qutb dalam bukunya Masyarakat Islam menjelaskan terdapat empat ciri jahiliyah iaitu:
  1. Syirik dalam ibadah
  2. Wujud sikap menjauhi agama Allah
  3. Wujud Taghut (penegak kesesatan) yang memujuk manusia agar jangan mematuhi hukum Allah
  4. Menjatuhkan hukuman secara tidak adil kerana mengikut hawa nafsu.

Setiap amal manusia sentiasa diperhatikan oleh dua malaikat Raqib dan Atiq yang berada di kanan dan kiri untuk melaksanakan tugas merekodkan amalan baik dan buruk yang dilakukan manusia pada setiap masa.

Jadikan hari ini lebih baik daripada semalam dengan melaksanakan perubahan di samping memohon pertolongan Allah SWT.

Sebaik-baik manusia ialah mereka yang melakukan kebaikan di sepanjang kehidupannya sebagaimana yang disebutkan oleh Baginda Rasulullah SAW:

"Sebaik-baik manusia ialah orang yang panjang umur dan bagus amalannya." - Hadis Riwayat Ahmad

Renungi juga firman Allah SWT di dalam surah al-Israa' ayat 9 yang bermaksud:

"Sesungguhnya Al-Qur'an ini memberi petunjuk ke jalan yang betul, dan memberi berita gembira kepada orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal salih, bahawa mereka beroleh pahala yang besar."

sumber: e-khutbah JAKIM

Tuesday, June 25, 2013

Tasik Bukit Merah

Landasan keretapi merentasi Tasik Bukit Merah, imej dari glimpse4glee.blogspot.com

Tasik Bukit Merah dibina pada tahun 1906.

Ia terletak di Mukim Semanggol dan Beriah, Bagan Serai, Perak merupakan tasik buatan manusia tertua di Malaysia.

Tasik seluas 2,800 hektar itu berfungsi membekalkan air secara berterusan kepada penduduk daerah Kerian dan sebahagian daerah Larut, Matang dan Selama yang kini dianggarkan berjumlah melebihi 200,000 orang.

Air tasik yang bersumber daripada beberapa batang sungai seperti Sungai Kerian dan Sungai Kurau itu menjadi sumber pengairan padi kira-kira 10,000 pesawah daerah Kerian yang turut dikenali sebagai Jelapang Padi Perak.

Tasik Bukit Merah merupakan habitat semula jadi bagi banyak spesies tumbuhan dan haiwan.

Antara ikan air tawar yang menghuni tasik berkenaan ialah lampam, kaloi, toman, ketutu dan belida.

Ia juga merupakan habitat asal arowana emas Malaysia yang merupakan spesies ikan termahal dunia.

Dasat tasik berkenaan yang terdiri daripada tanah liat berpasir dan kandungan airnya yang mempunyai pH antara 6.8 dan 7.4 menyumbang faktor ikan hiasan terunggul itu hanya sesuai membiak di kawasan berkenaan.

-Kosmo!

Monday, June 24, 2013

Ubat tiruan


Ubat tiruan ialah ubat palsu yang tidak mempunyai kesan.

Meskipun mempunyai kesan tetapi bukanlah kesan yang dikehendaki.

Pembungkusan ubat tiruan atau ubat palsu juga tidak ditutup dengan rapi.

Labelnya tidak dicetak secara jelas dan maklumat tentang kandungan ubat juga tidak lengkap.

Keadaan fizikal dan rasa ubat tiruan juga lain daripada ubat yang asli.

Ubat tiruan juga menggunakan bahan kimia terlarang yang boleh membahayakan kesihatan.

Antara bahan-bahan kimia terlarang yang sering digunakan dalam ubat tiruan:

Hidroquinone - Mengakibatkan kesan sampingan seperti kulit terbakar, kulit kering, kegatalan kulit, kulit kemerahan, ruam dan lain-lain masalah kulit yang serius, kanser dan masalah genetik.

Raksa - Masalah sistem saraf, buah pinggang, penglihatan, kecacatan pada bayi serta menjejaskan tahan kesuburan pada lelaki dan wanita.

Plumbum - Kerosakan buah pinggang, kesukaran belajar, daya tumpuan dan daya intelek yang rendah, bayi yang dilahirkan kecil saiznya atau ringan berat badannya, sperma lelaki berkualiti rendah dan bilangannya kecil.

Bagaimana untuk mengelak daripada terbeli ubat tiruan atau palsu:
  • Kenali ubat anda
  • Tempat terbaik untuk membeli ubat adalah farmasi
  • Jangan beli ubat yang dijual di tepi jalan
  • Berhati-hati dengan ubat yang mempunyai pembungkusan dan label yang tidak jelas dan tidak betul.
  • Periksa dan baca label pada pembungkusnya dan kertas sisipan.
  • Pastikan anda beli ubat yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia yang mempunyai nombor pendaftaran MAL dan label hologram Meditag.

-Kosmo!

Thursday, June 20, 2013

Harmonikan masyarakat


Sejak kebelakangan ini perkembangan politik semasa di negara kita agak merisaukan. Pertelagahan di kalangan pemimpin dalam mengejar kuasa dan pangkat akan menghilangkan keyakinan orang bawahan dan rakyat terhadap kepimpinannya.

Perlu disedari bahawa pemimpin adalah golongan yang bertanggungjawab memenuhi keperluan masyarakat sama ada dari segi jasmani (hal-hal yang berkaitan dengan pendidikan, kebajikan, kesihatan, ekonomi) dan rohani (hal-hal yang berkaitan dengan akidah, syariah, akhlak dan kemanusiaan).

Sikap sebegini sebenarnya telah membuktikan pemimpin yang tidak bermoral akan menimbulkan perpecahan di kalangan masyarakat serta menghancurkan sesebuah negara.

Apabila pemimpin asyik dengan pertelingkahan serta lupa dengan tanggungjawab membela nasib rakyat menyebabkan rakyat merasa bosan.

Keadaan bosan yang berterusan ini mampu menggugat sistem bernegara kerana rakyat sudah hilang kepercayaan kepada kepimpinan.

Kita juga perlu insaf dan sedar bahawa pertelagahan di kalangan pemimpin Islam merupakan satu kerugian besar kepada agama, negara dan rakyat jelata.

Kita perlu ingat bahawa kelemahan kepimpinan Islam menyebabkan pihak tertentu mengambil peluang memperhebatkan tekanan dengan mencabar kedudukan keistimewaan orang Melayu, institusi Raja sebagai Ketua Agama Islam serta mempertikai Islam dalam perlembagaan di negara ini.

Dalam sejarah tamadun Islam, telah terbukti bagaimana pemimpin yang bertelagah sesama sendiri dengan menabur janji serta melempar fitnah adalah penyebab utama tumbangnya sebuah kerajaan.

Renungi kembali apa yang berlaku kepada kerajaan Umaiyah, Abbasiah dan Uthmaniah. Apabila kepimpinan bertelagah untuk merebut kuasa, maka kerajaan itu akan hancur.

Ingatlah bahawa Rasulullah SAW dalam sebuah hadisnya pernah menegah umat Islam daripada meminta-minta untuk menjadi pemimpin dalam urusan pentadbiran negara.

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa suatu ketika Abdul Rahman bin Samurah telah ditegur oleh Rasulullah SAW:

"Wahai Abdul Rahman bin Samurah, janganlah engkau meminta diangkat menjadi penguasa di suatu wilayah. Kerana jika yang demikian diberikan kepada engkau lantaran permintaan, nescaya engkau dibiarkan, tidak diberi pertolongan. Tetapi jika diberikan kepada engkau bukan kerana engkau memintanya, nescaya engkau diberi pertolongan."

Hadis ini menjelaskan bahawa dalam Islam, jawatan pemimpin adalah satu tanggungjawab yang berat. Ia bukan suatu status yang direbut bagi mendapatkan sanjungan dan keistimewaan tertentu.

Oleh sebab itu, Islam menegaskan bahawa jawatan kepimpinan tidak boleh ditagih-tagih mengikut desakan naluri dan nafsu semata-mata. Bahkan, dalam proses pemilihan pemimpin atau pentadbir hendaklah dilakukan dengan adil yang berasaskan kepada kelayakan, karisma dan ciri kepimpinan serta bertakwa, berakhlak tinggi, bertanggungjawab, sabar, boleh merancang dan bijak melaksanakan tugas.

Imam al-Baihaqi meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya:

"Sesungguhnya pemimpin yang adil itu adalah bayangan Allah di bumi yang menjadi tempat berlindung bagi setiap orang yang dizalimi."

Allah SWT telah mengingatkan bahawa kepimpinan yang paling berkesan ialah kepimpinan melalui tauladan sebagaimana yang dicontohi oleh Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 128 yang bermaksud:

"Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri, yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahanmu, yang sangat inginkan kebaikan bagimu, (dan) amat belas lagi penyayang kepada orang yang beriman."

Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa pemimpin yang bersikap belas kasihan, penyayang, prihatin terhadap kebajikan rakyat adalah bukti ketinggian iman mereka.

Kepimpinan yang beramanah dan bertanggungjawab dalam masyarakat mencerminkan suasana kepimpinan yang dapat diterima oleh rakyat.

Ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 124 yang bermaksud:

"Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia". Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: "(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)". Allah berfirman: "(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim."

Apa yang jelas, terdapat dua perkara asas dalam ayat ini.
  1. Kepimpinan bukan sekadar perjanjian antara pemimpin dengan rakyat, tetapi ia juga merupakan ikatan perjanjian dengan Allah SWT.
  2. Kepimpinan hendaklah mementingkan keadilan dalam melaksanakan sesuatu tanggungjawab yang diamanahkan.

Memegang kuasa melalui jalan yang salah dan tidak beretika seperti salahguna kuasa, rasuah dan sebagainya hanya memberi keseronokan sementara waktu untuk diri sendiri tetapi ianya memberi kesan penderitaan jangka panjang kepada negara dan rakyat jelata dan sewajarnya mereka yang mengamalkan budaya ini tidak diberi ruang sebagai pemimpin di negara ini.

Pemimpin perlu merapatkan saf, eratkan perpaduan di antara mereka demi masa depan rakyat dan negara. Elakkan dari berlakunya pertelagahan sesama sendiri bagi mencapai kejayaan di dalam perjuangan.

Pemimpin perlu bertindak selari dengan apa yang dikata atau yang dijanjikan untuk menjadi pemimpin yang disayangi dan dihormati.

Pemimpin hendaklah bertanggungjawab menjaga kebajikan dan kesejahteraan orang yang dipimpin di dunia dan akhirat.

Pemimpin juga perlu menginsafi bahawa mengkhianati amanah kepimpinan adalah satu dosa besar yang akan menerima hukuman Allah di akhirat nanti.

Seandainya pemimpin bertelagah, rakyat akan berpecah.

Renungilah firman Allah SWT dalam surah as-Syuara' ayat 215 - 217 yang bermaksud:

"Dan hendaklah engkau merendah diri kepada pengikut-pengikutmu dari orang yang beriman. Kemudian jika mereka berlaku ingkar kepadamu, maka katakanlah: Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu lakukan! Dan berserahlah kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani."

-E-khutbah JAKIM

Wednesday, June 19, 2013

Bertih jagung tinggi antioksidan


Reputasi bertih jagung sebagai snek yang baik untuk kesihatan mendapat perhatian selepas para saintis melaporkan ia mempunyai antioksidan polifenol yang lebih tinggi daripada buah-buahan dan sayur-sayuran.

Joe Vinson, pelopor dalam analisis komponen sihat dalam coklat, kekacang dan makanan biasa lain, menerangkan bahawa polifenol lebih pekat di dalam bertih jagung yang mempunyai hanya empat peratus air.

Penemuan lebih memeranjatkan ialah kulit bertih jagung iaitu bahagian yang dibenci ramai kerana mudah terselit pada gigi, memiliki kepekatan polifenol dan serat sekali gus menjadikan bertih jagung snek sempurna.

Vinson bagaimanapun memberitahu, cara penyediaan dan hidangan bertih jagung merosakkan imejnya kerana ia dimasak dalam bekas penuh dengan minyak, bersalut mentega atau mentega palsu yang digunakan di kebanyakan panggung wayang.

Ia juga dicampur garam, minyak dan gula lalu menjadikannya mimpi ngeri nutrisi yang penuh dengan lemak dan kalori.

Bertih jagung juga tidak dapat menggantikan buah-buahan dan sayur-sayuran segar dari segi vitamin dan nutrien lain yang kritikal untuk kesihatan.

-Kosmo!

Tuesday, June 18, 2013

Biji kopi hijau turunkan berat badan


Saintis telah melaporkan bukti baharu bahawa biji kopi hijau atau yang tidak dipanggang boleh menyumbang kepada penurunan berat badan untuk tempoh yang singkat.

Dalam satu kajian yang dibentangkan di National Meeting and Exposition of the American Chemical Society (ACS) kali ke-243, saintis Joe Vinson dan rakan penyelidiknya menerangkan mengenai sekumpulan individu dengan berat badan berlebihan mengambil sebahagian daripada biji kopi hijau setiap hari.

Hasilnya, mereka dapat menurunkan 10 peratus daripada berat badan. Pengambilan beberapa kapsul ekstrak kopi hijau setiap hari dengan pemakanan rendah lemak dan diet sihat serta senaman yang kerap merupakan cara selamat, berkesan serta murah untuk menurunkan berat badan.

Kajian itu melibatkan 16 orang dengan masalah obesiti berusia 22 hingga 26 tahun yang mengambil kapsul ekstrak dan plasebo selama 22 minggu.

Peserta kehilangan berat purata 7.7 kilogram termasuk purata 10.5 peratus penurunan berat badan keseluruhan dan 16 peratus lemak tubuh.

Dia percaya keberkesanan tersebut terjadi kerana bahan yang dipanggil asid klorogenik yang hilang apabila biji kopi dipanggang.

-Kosmo!

Monday, June 17, 2013

Sakit jantung faktor risiko kanser prostat


Dalam sebuah kajian skala besar yang melibatkan golongan lelaki, penyelidik dari Duke Cancer Institute, Amerika Syarikat mendapati terdapat perhubungan antara masalah arteri koronari dengan kanser prostat.

Analisis yang turut menguji ubatan prostat itu juga merumuskan kemungkinan bahawa kedua-dua penyakit itu berkongsi punca yang sama.

Jika disahkan penyakit jantung merupakan faktor risiko kanser prostat, ia mungkin dapat dicegah dengan perubahan gaya hidup.

Jean-Alfred Thomas II, felo pasca kedoktoran Bahagian Urologi yang merupakan penulis utama kajian yang diterbitkan dalam jurnal kanser dalam talian, Cancer Epidemiology, Biomakers and Prevention memberitahu, apa yang baik untuk jantung mungkin baik untuk prostat.

Kanser prostat, sama seperti penyakit arteri koronari yang menyebabkan kematian ramai orang dewasa di Amerika Syarikat.

Ia kanser kedua paling bahaya dalam kalangan lelaki selepas kanser paru-paru dengan purata 240,000 kes baharu dilaporkan setiap tahun dan 34,000 kematian.

Risiko lelaki dengan masalah arteri koronari untuk mendapat kanser prostat ialah 35 peratus dan perangkaan itu meningkat mengikut masa.

-Kosmo!

Friday, June 14, 2013

Khasiat susu ibu


Susu ibu sangat baik untuk bayi dan ia juga memberikan faedah buat ibu serta keluarga.

Susu ibu merupakan makanan terbaik dan terunggul dicipta khas untuk bayi.

Komposisi zat yang terkandung dalam susu ibu pada waktu pagi, tengah hari dan malam adalah berlainan.

Susu yang keluar pada usia bayi sehari lebih banyak kandungan lemak.

Bayi akan mendapat semua zat makanan yang diperlukan, terhindar daripada jangkitan-jangkitan penyakit seperti cirit-birit berbanding susu formula yang mendedahkan mereka dengan risiko masalah kerana air dan botol susu yang tidak bersih.

Susu ibu juga mengandungi antibodi-antibodi untuk mengelak dan mencegah jangkitan respiratori (pernafasan), jangkitan telinga dan pneumonia.

Susu ibu juga mengurangkan risiko Insiden Sindrom Kematian Mengejut.

Kesan daripada zat-zat yang diperoleh daripada susu ibu dapat mengelakkan kesan jangka panjang dari segi obesiti, darah tinggi dan diabetes.

Kandungan susu ibu juga dapat membantu perkembangan otak bayi agar menjadi cerdik dan cerdas.

Ia membantu perkembangan psikomotor, emosi dan sosial yang lebih baik.

Susu ibu juga meningkatkan daya intelek (IQ) yang lebih baik.

Susu ibu juga boleh mengelakkan bayi kembung perut dan memudahkan penghadaman bayi.

Susu ibu juga mengeratkan ikatan kasih antara ibu dan bayi.

Penyusuan badan juga dapat mempercepatkan pengecutan rahim selepas bersalin. Secara tidak langsung, si ibu kurang mendapat masalah pendarahan selain tubuh akan cepat kembali ke bentuk asal kerana sentiasa mengeluarkan lemak melalui susu dan dibakar ketika proses menyusu.

Ia juga dapat mengurangkan risiko barah payudara, ovari, rahim dan osteoporosis.

Penyusuan ibu dapat membantu ekonomi keluarga kerana tidak perlu membeli susu formula yang mahal harganya.

Penyusuan ibu ialah satu kemahiran yang perlu dipelajari agar para ibu dapat menyusukan bati dengan betul dan efektif.

Kegagalan memberikan penyusuan efektif menyebabkan bayi tidak dapat membesar dengan baik.

Penyusuan tidak efektif dan dengan teknik yang tidak betul akan menyebabkan puting terluka, bengkak susu dan sebagainya.

Cara-cara penyusuan ibu yang efektif

Semua bayi perlu diberikan susu ibu sejak lahir hingga enam bulan secara ekslusif.

Selepas enam bulan, para ibu disarankan memberikan makanan pelengkap tanpa menghentikan penyusuan kerana selepas enam bulan pemberian susu sahaja adalah tidak mencukupi.

Teknik penyusuan bayi

Badan bayi perlu lurus, rapat dengan ibu, mukanya menghadap payudara.

Jika bayi tidak menghisap payudara berkemungkinan bayi tersebut dalam keadaan tidak selesa.

Apabila bayi berada dalam posisi menyusu, mulutnya akan terbuka luas dan barulah diberikan susu.

Mulut bayi perlu masuk dalam semua kawasan areola (kawasan hitam payudara) dan bukannya hisap puting sahaja yang boleh menyebabkan luka puting.

Sekiranya bayi menolak susu ibu ini adalah kerana mereka mengalami keliru puting (akibat pemberian susu melalui botol).

Jangan berikan susu dengan botol dan ajar bayi minum dengan cawan sedikit demi sedikit. Dengan kedudukan 45 darjah, bayi akan minum seperti kucing dan lama-kelamaan apabila sudah biasa, bayi akan minum susu dengan banyak.

Para ibu disyorkan agar merancang jadual penyusuan dua minggu sebelum kembali bekerja.

Susu perlu diperah dalam tempoh berpantang selepas bayi selesai menyusu bagi memastikan stok mencukupi.

Apabila susu kerap diperah, lebih banyak susu dihasilkan.

Sekiranya si ibu letih, sedih, marah dan stres ia akan mempengaruhi penghasilan hormon oksitosin yang menyebabkan pengeluaran susu terhenti.

Bagi melancarkan pengeluaran oksitosin, ibu perlu duduk di tempat yang sunyi, lihat gambar bayi dan mendengar muzik-muzik lembut. Keadaan tersebut akan membolehkan susu keluar.

Berdasarkan kepada Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Ketiga (NHMS III, 2006), peratus ibu yang pernah menyusukan bayi dengan susu ibu telah meningkat daripada 88.6 peratus pada tahun 1996 kepada 95 peratus.

Ramai antara mereka tidak dapat meneruskan penyusuan secara eksklusif selama enam bulan seperti yang disarankan.

Hanya 14.5 peratus ibu menyusui bayi mereka secara eksklusif pada enam bulan pertama.

Menurut NHMS III, 2006, ini merupakan peratus yang paling rendah di rantau Asia Tenggara.

Walau bagaimanapun, berdasarkan laporan Pengawasan Pemakanan Kebangsaan, penyusuan ibu secara eksklusif pada umur enam bulan telah meningkat kepada 23.3 peratus pada tahun 2011.

Sumber: Artikel Skil Menyusu Badan Perlu Dipelajari oleh Nurul Izza Rosly, Kosmo! 14 September 2012

Thursday, June 13, 2013

Atasi rasa rendah diri


Rasa rendah diri ialah perasaan yang diciptakan oleh minda kita sendiri.

Perasaan ini menyebabkan seseorang itu gagal dalam apa yang dilakukannya.

Orang yang merasa rendah diri tidak mampu bergaul dan bersahabat dengan orang lain kerana menganggap diri mereka serba kekurangan.

Cara untuk mengatasi perasaan rendah diri:
  1. Banyakkan berkawan dan bergaul.  Jangan peduli siapa pun mereka.  Semakin kita mengenal orang lain dan semakin orang lain mengetahui siapa diri kita, kita akan mula mengenali diri kita yang sebenarnya.
  2. Jangan berasa rendah diri semata-mata ingin menjadi orang lain.  Terima hakikat bahawa setiap orang ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.

sumber: Artikel Atasi Rasa Rendah Diri oleh Dr. Mohd Awang Idris, Kosmo! 14 September 2012.

Monday, June 10, 2013

Sape

Sape ialah sejenis alat muzik tradisional pribumi Sarawak. Sape cukup terkenal bagi suku kaum Kayan dan Kenyah. Ia dimainkan untuk muzik hiburan serta mengiringi tarian seperti Datun Julud dan Ngajat, sejenis tarian pahlawan.

Sape mempunyai empat utas tali.

Tali-tali sape diperbuat daripada rotan yang diraut halus. Kini, dawai-dawai halus pula digunakan sebagai tali sape kerana lebih mudah diperoleh dan bunyinya lebih mantap.

Badan sape berbentuk bujur dan panjang yang diperbuat daripada kayu.

Bahagian muka sape rata sahaja manakala bahagian belakang sape pula ditebuk sebagai kotak bunyi. Sape dimainkan dengan cara meribanya seperti gambus.

Tali sape dipetik menggunakan jari. Kemudian jari tangan yang satu lagi menekan tali-tali pada batangnya. Melodi hanya dimainkan oleh satu tali sahaja.

Tali yang tiga hanya menghasilkan dengung. Sape dimainkan untuk hiburan, mengiringi upacara berubat dan mengiringi persembahan tarian tradisional seperti Ngajat.

-Kosmo!

Friday, June 7, 2013

Hikmah kebersihan jiwa dalam peristiwa Isra' Mikraj

Replika Kubah as-Sakhrah di Taman Tamaddun Islam, Terengganu.  Kubah ini dikatakan menempatkan sebuah batu besar yang menjadi tempat Rasulullah SAW berdiri sewaktu peristiwa Isra' Mikraj.  Kubah as-Sakhrah yang sebenar terdapat di Palestin.

Menurut sebahagian ulama, peristiwa Isra' Mikraj ini berlaku pada malam 27 Rejab setahun sebelum Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah.

Peristiwa ini adalah perjalanan suci Rasulullah SAW bagi memenuhi jemputan Allah SWT.

Peristiwa Isra' Mikraj ini juga sebenarnya membuka cerita kepada kita tentang hakikat alam semesta ini. Bagaimana kedudukannya, susunan langit yang tujuh serta tujuh petala bumi namun, yang pentingnya dalam Isra' Mikraj adalah petunjuk, pedoman dan panduan untuk kita yakni umat di akhir zaman.

Firman Allah SWT dalam surah al-Israk ayat 1 yang bermaksud:

"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."

Bagaimanapun, sebelum berlaku Isra' Mikraj, Rasulullah SAW menjalani pembedahan dada yang dilakukan oleh Malaikat Jibril untuk membersihkan hati daripada ketulan hitam bernama 'alaqah iaitu tempat syaitan membisikkan perasaan was-was dan dimasukkan hikmat, ilmu dan iman.

Setelah itu, Allah SWT mengatur program kerohanian untuk Rasulullah SAW iaitu program Isra' Mikraj menghadap Allah SWT dalam tempoh satu malam sahaja.

Peristiwa ini menjadi bukti kekuasaan Allah SWT ke atas hamba-Nya dalam membina dan memantapkan pegangan akidah.

Perjalanan suci Rasulullah SAW ini melibatkan beberapa amalan luar biasa iaitu perjalanan dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis, Palestin.

Rasulullah SAW menjadi imam solat kepada Rasul-Rasul sedangkan mereka itu telah lama wafat dan menghadap Allah di Sidratul Muntaha untuk menerima perintah solat lima waktu secara berhadapan terus dengan Allah SWT.

Perjalanan yang melibatkan dua masjid tertua di dunia dan paling suci dalam Islam menjadi petanda betapa hubungan akrab antara Masjidil Haram dengan Masjidil Aqsa berkaitan pertalian kiblat dan pusat gerakan Rasul-Rasul terdahulu menegakkan syiar Islam.

Replika Masjidil Haram di Taman Tamadun Islam, Terengganu

Kemudian Rasulullah SAW menjadi imam kepada beberapa Nabi dalam suasana alam kerohanian itu dan bersalaman satu sama lain menunjukkan bahawa para Nabi semuanya akur terhadap kedudukan Baginda sebagai Rasul terakhir yang menyempurnakan syariat agama Allah SWT.

Pertemuan Rasulullah SAW dengan Allah SWT di Sidratul Muntaha dalam suasana alam kerohanian itu tanpa ditemani Malaikat Jibril adalah pertemuan kemuncak sebagai penghargaan dan penghormatan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW yang menyempurnakan Islam sebagai agama global untuk manusia.

Inilah bukti kekuasaan dan kebesaran Allah SWT yang mampu melakukan apa sahaja yang diinginkanNya.

Salah satu pengajaran dalam peristiwa Isra' Mikraj ialah persediaan teliti Rasulullah SAW dalam penyucian hati atau kalbu. Proses penyucian hati ini akan mengukuhkan kepercayaan kita bahawa dalam pertemuan dengan Allah SWT, seseorang dituntut membersihkan jiwa dan raganya daripada pelbagai sifat keji.

Dengan jiwa yang bersih, penuh keimanan dan ketakwaan, maka akan beroleh kemudahan untuk berkomunikasi secara khusyuk dengan Allah SWT dan membawa hasil yang menguntungkan.

Kebersihan dan penyucian hati amat penting dalam membentuk keperibadian manusia. Pakaian yang bersih apabila kita pakai akan menjadi kotor. Semakin lama kita pakai, maka semakin kotor pakaian tersebut.

Cuba bayangkan bagaimana rupa dan baunya jika pakaian itu tidak dibasuh, demikian juga dengan tubuh badan kita. Semakin hari semakin kotor, berbau busuk dan terdedah kepada pelbagai penyakit jika kita tidak mandi dan membersihkannya dengan sempurna.

Begitu jugalah hati manusia, setiap manusia tanpa mengira kedudukan pangkat dan keturunan ketika dilahirkan adalah dalam keadaan bersih.

Bagaimanapun, manusia ini mempunyai sifat kelemahannya. Manusia menginginkan pangkat, kedudukan, kemuliaan, penghormatan, kekayaan dan kesenangan.

Dalam keadaan sedar memenuhi keperluan hidup itu, maka manusia kadangkala melakukan dosa kecil atau besar. Dosa ini akan menjadi titik hitam di dalam hati.

Semakin banyak kesalahan maka semakin tebal titik hitam dalam hati seseorang. Kelemahan dan kegagalan manusia menyelenggara dan meningkatkan prestasi penyucian hati telah menjerumuskan individu atau keluarga dalam perbuatan yang bercanggah dengan hukum Allah SWT dan hak asasi manusia.

Antara tanda-tanda semakin tebal titik hitam dalam hati manusia ialah:
  1. Malas melakukan ketaatan dan amal kebaikan.
  2. Tidak tersentuh hatinya apabila mendengar ayat-ayat al-Quran.
  3. Tidak tersentuh dengan perkara yang terjadi seperti berlakunya peristiwa yang dapat memberikan pelajaran sebagai contoh kematian, sakit, bencana dan sebagainya.
  4. Berlebihan mencintai dunia serta melupakan akhirat.
  5. Berkawan dengan orang yang melakukan maksiat.
  6. Kemaksiatan yang berterusan.
  7. Meremehkan dosa kecil.
  8. Tidak memperdulikan sumber makanan.

Bagaimana cara kita membaiki, menyelenggara dan meningkatkan prestasi hati kita supaya ianya terus selari dengan akidah, akhlak dan syariat Islam?

Pada masa ini umat Islam terdedah kepada pelbagai bentuk cabaran yang menguji kekuatan akidah umat Islam. Pelbagai fahaman dan ideologi moden seperti kapitalisme, materialisme, liberalisme, pluralisme, komunisme serta unsur-unsur negatif yang mempengaruhi umat Islam telah melanda dengan mudahnya.

Kita juga digemparkan dengan isu murtad dan cubaan memurtadkan umat Islam. Kita dihimpit dengan budaya songsang seperti Black Metal, budaya punk, gejala gay, seks bebas dan sebagainya.

Gejala ini berlaku disebabkan oleh beberapa perkara antaranya kepincangan keimanan dan kecemaran hati umat Islam yang digelapkan oleh perbuatan mereka sendiri.

Hati adalah pusat kesedaran, pusat penggerak setiap gerak geri kaki tangan, mulut, mata, fikiran dan pancaindera kita. Alangkah indahnya pergaulan antara manusia dalam masyarakat apabila rata-rata manusia yang hidup dalam masyarakat mempunyai hati yang putih bersih kerana dapat menjamin masyarakat hidup dengan aman damai.

Inilah masanya untuk umat Islam sedar dan meletakkan kepentingan Islam di dalam hatinya melebihi segala kepentingan yang lain. Umat Islam wajib mempertahankan kesucian dan kedaulatan agama Islam sebaik yang mungkin dan bertindaklah berdasarkan kebijaksanaan dan keimanan.

Janganlah disebabkan menurut emosi, kesucian agama Islam digadaikan dan dibiarkan tergugat.

Renungilah firman Allah SWT di dalam surah al-Ankabut ayat 45 yang bermaksud:

"Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahikan kepadamu dari Al-Qur'an, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan."

sumber: e-khutbah JAKIM

Pelan Pembangunan Pendidikan


Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) merupakan kajian terbaharu sejak kali terakhir kajian mengenai sistem pendidikan negara dibuat pada tahun 1956 dan 1960 dengan terhasilnya Laporan Razak dan Laporan Rahman Talib.

Ia bertujuan menilai semula prestasi pendidikan negara, menjelaskan aspirasi baharu sistem pendidikan, meningkatkan standard dan merapatkan jurang pencapaian, menyediakan pelan pembangunan pendidikan dan pelan tindakan untuk melaksanakan transformasi sistem pendidikan.

Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN) yang diadakan berjaya melibatkan lebih 50,000 orang untuk memberikan input melalui temu bual bersemuka, perbincangan kumpulan fokus, sesi dialog dan interaksi online menerusi portal, Facebook dan Twitter.

Panel DNPN telah mengemukakan 209 perakuan kepada Kementerian Pelajaran dan 90 peratus perakuan itu telah dimasukkan dalam laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan.

Fokus PPP tertumpu kepada sembilan bidang keutamaan iaitu memartabatkan profesion perguruan, meningkatkan kepimpinan sekolah, meningkatkan kualiti sekolah, memantapkan standard kurikulum dan pentaksiran, meningkatkan penguasaan pelbagai bahasa, penglibatan ibu bapa, sektor swasta dan sosial, meningkatkan kesediaan murid untuk pendidikan tinggi dan pasaran kerja, memperbaiki kecekapan dan keberkesanan sumber serta membina kemampuan dan keupayaan sistem penyampaian.

Proses pelaksanaan melibatkan tiga peringkat dalam tempoh 15 tahun bermula 2013.

-Kosmo!

Thursday, June 6, 2013

Nong Taib


Nong Taib atau nama penuhnya Haji Nong Taib bin Santan ialah sahabat kepada pahlawan Mat Kilau dan Tok Bahaman. Beliau juga turut dikenali dengan gelaran Pawang Nong kerana kepakarannya mengubati penyakit secara tradisonal.

Haji Nong Taib bin Santan dilahirkan di Kampung Sempiat, Tanjung Besar, Kuala Lipis, Pahang pada tahun 1874 (menurut wikipedia bagaimanapun di dalam artikel Menghargai jasa Nong Taib, Maznah Abu Bakar, Kosmo! 1 September 2012, tarikh yang diberikan ialah 1882).

Haji Nong Taib bersama tujuh rakannya telah membuka sebuah kampung yang dinamakan Kampung Ulu Cheka pada tahun 1907 dan dilantik sebagai Ketua Kampung sehingga tahun 1966.

Menurut cucu beliau yang juga merupakan Ketua Kampung Ulu Cheka sekarang, encik Nazri Che Husin, Haji Nong Taib ialah seorang pendekar silat cekak.

Haji Nong Taib pernah beberapa kali hendak ditangkap oleh tentera Jepun bagaimanapun sering menemui kegagalan. Haji Nong Taib juga dikatakan telah 'memagari' Kampung Ulu Cheka daripada diceroboh tentera Jepun dan pengganas komunis.

Haji Nong Taib juga telah menubuhkan pasukan kawalan Home Guard dan polis simpanan yang telah melindungi Kampung Ulu Cheka dari serangan pengganas komunis malahan Haji Nong Taib pernah terlibat dalam pertempuran dengan pengganas komunis di Maran, Pahang.

Pertempuran itu yang dikenali sebagai Peperangan Perlok pernah dirakamkan oleh Tan Sri Abdul Samad Idris di dalam bukunya, Askar Melayu 50 Tahun terbitan Pustaka Budiman Sdn. Bhd.

Setelah menyelamatkan seorang pembesar negeri yang ditahan komunis di Tong Kiat, Maran pada tahun 1945, Haji Nong Taib telah diistiharkan sebagai Pawang Diraja oleh Sultan Pahang.

Antara pengiktirafan lain yang diterima oleh Haji Nong Taib ialah pingat British Empire Medal (BEM) yang dihantar sendiri oleh Jeneral Sir Gerald Templer, pingat Ahli Mangku Negara (AMN) dan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) daripada Kerajaan Persekutuan serta Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) daripada kerajaan negeri Pahang.

Nama Sekolah Kebangsaan Ulu Cheka juga telah ditukar kepada Sekolah Kebangsaan Pawang Nong sebagai penghormatan kepada Haji Nong Taib.

Haji Nong Taib meninggal dunia pada 10 November 1977 di Kampung Ulu Cheka dan meninggalkan dua orang isteri serta 11 orang anak. Beliau telah dimakamkan di perkarangan Masjid Kampung Ulu Cheka, Jerantut, Pahang.

Sumber asal: artikel Menghargai jasa Nong Taib, Maznah Abu Bakar, Kosmo! 1 September 2012, wikipedia,

Tuesday, June 4, 2013

Tapak Warisan Dunia

Pergerakan antarabangsa untuk memulihara Tapak Warisan Dunia bermula selepas Perang Dunia Pertama.

Pada 1972, Konvensyen Perlindungan Warisan Budaya dan Semula Jadi Dunia telah dibentuk untuk melindungi tapak warisan budaya dan pemuliharaan alam semula jadi.

Kriteria yang ditetapkan merangkumi tapak-tapak khusus seperti hutan, gunung, tasik, padang pasir, monumen, bangunan, kompleks atau bandar yang mempunyai nilai-nilai universal.

Penyenaraian Tapak Warisan Dunia diputuskan oleh 21 kumpulan-kumpulan negara yang dipilih oleh Perhimpunan Am Kumpulan-Kumpulan Kenegerian.

Sehingga kini terdapat lebih 962 Tapak Warisan Dunia yang diiktiraf oleh UNESCO.

Konvensyen itu turut diiktiraf 189 negara di seluruh dunia.


Tapak Warisan Dunia di Malaysia.

Terdapat empat lokasi yang diisytihar sebagai Tapak Warisan Dunia di Malaysia. Lokasi-lokasi tersebut ialah:
  1. Taman Negara Gunung Mulu
  2. Taman Kinabalu
  3. Bandaraya Melaka dan George Town
  4. Lembah Lenggong

Taman Negara Mulu

Taman Negara Gunung Mulu

Terletak di sebelah utara negeri Sarawak, Taman Negara Gunung Mulu (TNGM) merupakan salah satu daripada destinasi pelancongan yang terkenal di Malaysia.

Mempunyai keluasan lebih 544 kilometer persegi, ia mula diwartakan sebagai taman negara pada 3 Oktober 1974.

Dengan dikelilingi tiga buah gunung iaitu Gunung Mulu (2,376 meter), Gunung Api (1,750 meter) dan Gunung Benarat (1,585 meter), Taman Negara Mulu mempunyai kepelbagaian bio yang menakjubkan.

Kawasan hutan yang terdiri daripada jenis paya gambut, rawa, dipterokap, lumut serta tumbuhan gunung menempatkan ribuan spesies flora dan fauna.

Puncak Pinnacles pula menjadi mercu tanda bagi Gunung Mulu. Di banjaran Mulu terdapat 76 buah gua secara keseluruhan di mana hanya 24 buah sahaja yang baru diteroka oleh pengembara.

Antara gua yang terdapat di situ ialah Sarawak Chamber yang cukup besar dan luas dan dikatakan mampu memuatkan lapan jet jumbo 747, Gua Rasa atau Gua Air Jernih.

Taman Negara Gunung Mulu diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia pada bulan November 2000.


Taman Kinabalu

Taman Kinabalu

Taman Kinabalu yang terletak di negeri Sabah memakan masa kira-kira dua jam perjalanan dari Kota Kinabalu.

Taman Kinabalu merupakan taman negara seluas 75,370 hektar.

Di Taman Kinabalu juga terletaknya Gunung Kinabalu yang setinggi 4,095 meter dan diiktiraf sebagai gunung kelima tertinggi di Asia Tenggara.

Sir Hugh Low menjadi pendaki pertama yang menawan puncak Gunung Kinabalu pada tahun 1851.

Taman Kinabalu mempunyai antara 5,000 hingga 6,000 spesies tumbuhan berbunga, 621 spesies paku-pakis dan lebih 1,000 spesies orkid.

Taman Kinabalu diwartakan sebagai taman negara pada tahun 1964 dan diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada Disember 2000.


Bandaraya Melaka

Bandaraya Georgetown

Bandaraya Melaka dan George Town

Bandaraya Melaka dan George Town di Pulau Pinang menjadi laluan terpenting di rantau ini satu ketika dahulu.

Kedua-dua bandar raya ini memaparkan warisan kepelbagaian budaya serta tradisi Asia dan Barat yang masih terpelihara, tempat pertembungan pelbagai agama dan budaya.

Kehadiran pelbagai elemen melalui aktiviti perdagangan itu diterjemahkan melalui keunikan seni bina bangunan, masyarakat, bahasa, perayaan, tarian, busana, seni dan muzik, makanan serta cara hidup seharian.

Di Melaka, keunikan dan tradisi masyarakat Baba Nyonya, Chetti, Portugis dan Chingay masih diamalkan sehingga kini.

Bandar raya itu juga terkenal dengan warisan peninggalan penjajah daripada era kolonial Portugis, Belanda dan Inggeris.

Antara bangunan yang terkenal di Melaka ialah A Famosa, kota yang dibina Portugis sebaik sahaja berjaya menawan Melaka pada tahun 1511.

George Town di Pulau Pinang menjadi bandar raya kedua terbesar di Malaysia dengan bilangan penduduk melebihi 700,000 orang.

George Town banyak dipengaruhi penjajahan Inggeris bermula pada tahun 1786.

Dianggarkan terdapat lebih 4,000 bangunan bersejarah di bandar raya itu yang berunsurkan era kolonial, Islam, Cina, Anglo India dan sebagainya.

Antara bangunan warisan yang terdapat di George Town ialah Rumah Syed Al-Atas, Tokong Khoo Kongsi, Masjid Melayu Lebuh Acheh dan Tokong Yap.

Melaka dan George Town diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada tahun 2008 bagi kategori Tapak Budaya.


Muzium Arkeologi Lenggong

Lembah Lenggong

Sejak penemuan rangka Perak Man pada 2001 dan Perak Woman pada 2004, nama Lembah Lenggong yang terletak di daerah Hulu Perak terus dikenali di peringkat antarabangsa.

Penemuan-penemuan saintifik yang dilakukan oleh penyelidik tempatan sebelum ini telah membuka pintu rahsia kehidupan masyarakat awal di rantau ini.

Ia terbukti menyimpan rahsia besar sejarah kehidupan manusia dan sejarah tamadun manusia yang pernah wujud dipercayai sekitar 1.83 juta tahun lalu.

Kawasan itu juga dipercayai menjadi laluan keluar terawal manusia dari Afrika menuju ke Australia selain dianggap 'ibu kota' Malaysia.

Bukit Bunuh misalnya, menjadi pilihan penempatan awal manusia kerana ia kaya dengan pelbagai sumber alam dan keperluan untuk menyediakan peralatan batu.

Penemuan kapak genggam pada tahun 2009 membuktikan kawasan itu merupakan satu-satunya tapak manusia Paleolitik yang berfungsi sebagai bengkel membuat alat batu.

Di samping itu, terdapat beberapa bukti lain yang turut dijumpai di sekitar Kota Tampan dan Gua Teluk Kelawar seperti tembikar, peralatan gangsa dan sebagainya.

Pada 1 Julai 2012, Lembah Lenggong telah diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO menjadikan ia tapak keempat seumpamanya di negara ini.

Sumber: Artikel Tapak Warisan Dunia oleh Ammar Jazlan Mad Lela, Kosmo! 30 Ogos 2012

Monday, June 3, 2013

Penyakit lembu gila


Penyakit lembu gila mula dikesan pada lembu di United Kingdom pada tahun 1985.

Penyakit dikenali sebagai BSE (bovine spongiform encephalopathy) ini merupakan penyakit saraf yang bukan sahaja berbahaya kepada lembu tetapi juga kepada manusia.

BSE bukan virus atau bakteria sebaliknya protein tidak normal yang menyerang bahagian otak menyebabkan gangguan saraf kepada lembu.

Manusia yang termakan daging lembu yang tercemar dengan jangkitan penyakit tersebut boleh mendapat penyakit saraf yang hanya boleh dikesan selepas 10 tahun berada dalam badan manusia.

Pada peringkat awal jangkitan, manusia mengalami simptom psikiatri termasuk murung dan perubahan tingkah laku sebelum mengalami masalah berjalan dan pergerakan secara tidak sedar.

Pada saat akhir hayat pesakit biasanya akan mengalami koma dan kematian biasanya berlaku dalam tempoh setahun selepas pesakit itu menderita.

-Kosmo!