Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, June 4, 2013

Tapak Warisan Dunia

Pergerakan antarabangsa untuk memulihara Tapak Warisan Dunia bermula selepas Perang Dunia Pertama.

Pada 1972, Konvensyen Perlindungan Warisan Budaya dan Semula Jadi Dunia telah dibentuk untuk melindungi tapak warisan budaya dan pemuliharaan alam semula jadi.

Kriteria yang ditetapkan merangkumi tapak-tapak khusus seperti hutan, gunung, tasik, padang pasir, monumen, bangunan, kompleks atau bandar yang mempunyai nilai-nilai universal.

Penyenaraian Tapak Warisan Dunia diputuskan oleh 21 kumpulan-kumpulan negara yang dipilih oleh Perhimpunan Am Kumpulan-Kumpulan Kenegerian.

Sehingga kini terdapat lebih 962 Tapak Warisan Dunia yang diiktiraf oleh UNESCO.

Konvensyen itu turut diiktiraf 189 negara di seluruh dunia.


Tapak Warisan Dunia di Malaysia.

Terdapat empat lokasi yang diisytihar sebagai Tapak Warisan Dunia di Malaysia. Lokasi-lokasi tersebut ialah:
  1. Taman Negara Gunung Mulu
  2. Taman Kinabalu
  3. Bandaraya Melaka dan George Town
  4. Lembah Lenggong

Taman Negara Mulu

Taman Negara Gunung Mulu

Terletak di sebelah utara negeri Sarawak, Taman Negara Gunung Mulu (TNGM) merupakan salah satu daripada destinasi pelancongan yang terkenal di Malaysia.

Mempunyai keluasan lebih 544 kilometer persegi, ia mula diwartakan sebagai taman negara pada 3 Oktober 1974.

Dengan dikelilingi tiga buah gunung iaitu Gunung Mulu (2,376 meter), Gunung Api (1,750 meter) dan Gunung Benarat (1,585 meter), Taman Negara Mulu mempunyai kepelbagaian bio yang menakjubkan.

Kawasan hutan yang terdiri daripada jenis paya gambut, rawa, dipterokap, lumut serta tumbuhan gunung menempatkan ribuan spesies flora dan fauna.

Puncak Pinnacles pula menjadi mercu tanda bagi Gunung Mulu. Di banjaran Mulu terdapat 76 buah gua secara keseluruhan di mana hanya 24 buah sahaja yang baru diteroka oleh pengembara.

Antara gua yang terdapat di situ ialah Sarawak Chamber yang cukup besar dan luas dan dikatakan mampu memuatkan lapan jet jumbo 747, Gua Rasa atau Gua Air Jernih.

Taman Negara Gunung Mulu diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia pada bulan November 2000.


Taman Kinabalu

Taman Kinabalu

Taman Kinabalu yang terletak di negeri Sabah memakan masa kira-kira dua jam perjalanan dari Kota Kinabalu.

Taman Kinabalu merupakan taman negara seluas 75,370 hektar.

Di Taman Kinabalu juga terletaknya Gunung Kinabalu yang setinggi 4,095 meter dan diiktiraf sebagai gunung kelima tertinggi di Asia Tenggara.

Sir Hugh Low menjadi pendaki pertama yang menawan puncak Gunung Kinabalu pada tahun 1851.

Taman Kinabalu mempunyai antara 5,000 hingga 6,000 spesies tumbuhan berbunga, 621 spesies paku-pakis dan lebih 1,000 spesies orkid.

Taman Kinabalu diwartakan sebagai taman negara pada tahun 1964 dan diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada Disember 2000.


Bandaraya Melaka

Bandaraya Georgetown

Bandaraya Melaka dan George Town

Bandaraya Melaka dan George Town di Pulau Pinang menjadi laluan terpenting di rantau ini satu ketika dahulu.

Kedua-dua bandar raya ini memaparkan warisan kepelbagaian budaya serta tradisi Asia dan Barat yang masih terpelihara, tempat pertembungan pelbagai agama dan budaya.

Kehadiran pelbagai elemen melalui aktiviti perdagangan itu diterjemahkan melalui keunikan seni bina bangunan, masyarakat, bahasa, perayaan, tarian, busana, seni dan muzik, makanan serta cara hidup seharian.

Di Melaka, keunikan dan tradisi masyarakat Baba Nyonya, Chetti, Portugis dan Chingay masih diamalkan sehingga kini.

Bandar raya itu juga terkenal dengan warisan peninggalan penjajah daripada era kolonial Portugis, Belanda dan Inggeris.

Antara bangunan yang terkenal di Melaka ialah A Famosa, kota yang dibina Portugis sebaik sahaja berjaya menawan Melaka pada tahun 1511.

George Town di Pulau Pinang menjadi bandar raya kedua terbesar di Malaysia dengan bilangan penduduk melebihi 700,000 orang.

George Town banyak dipengaruhi penjajahan Inggeris bermula pada tahun 1786.

Dianggarkan terdapat lebih 4,000 bangunan bersejarah di bandar raya itu yang berunsurkan era kolonial, Islam, Cina, Anglo India dan sebagainya.

Antara bangunan warisan yang terdapat di George Town ialah Rumah Syed Al-Atas, Tokong Khoo Kongsi, Masjid Melayu Lebuh Acheh dan Tokong Yap.

Melaka dan George Town diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada tahun 2008 bagi kategori Tapak Budaya.


Muzium Arkeologi Lenggong

Lembah Lenggong

Sejak penemuan rangka Perak Man pada 2001 dan Perak Woman pada 2004, nama Lembah Lenggong yang terletak di daerah Hulu Perak terus dikenali di peringkat antarabangsa.

Penemuan-penemuan saintifik yang dilakukan oleh penyelidik tempatan sebelum ini telah membuka pintu rahsia kehidupan masyarakat awal di rantau ini.

Ia terbukti menyimpan rahsia besar sejarah kehidupan manusia dan sejarah tamadun manusia yang pernah wujud dipercayai sekitar 1.83 juta tahun lalu.

Kawasan itu juga dipercayai menjadi laluan keluar terawal manusia dari Afrika menuju ke Australia selain dianggap 'ibu kota' Malaysia.

Bukit Bunuh misalnya, menjadi pilihan penempatan awal manusia kerana ia kaya dengan pelbagai sumber alam dan keperluan untuk menyediakan peralatan batu.

Penemuan kapak genggam pada tahun 2009 membuktikan kawasan itu merupakan satu-satunya tapak manusia Paleolitik yang berfungsi sebagai bengkel membuat alat batu.

Di samping itu, terdapat beberapa bukti lain yang turut dijumpai di sekitar Kota Tampan dan Gua Teluk Kelawar seperti tembikar, peralatan gangsa dan sebagainya.

Pada 1 Julai 2012, Lembah Lenggong telah diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO menjadikan ia tapak keempat seumpamanya di negara ini.

Sumber: Artikel Tapak Warisan Dunia oleh Ammar Jazlan Mad Lela, Kosmo! 30 Ogos 2012

No comments: