Pengikut dan Ex-smgrian
Friday, July 29, 2011
Islam dan hubungan antara manusia
Islam telah mengatur prinsip-prinsip dasar semua bidang kehidupan umat manusia. Termasuk di dalamnya adalah konsep toleransi dan hubungannya dengan penganut agama lain. Allah SWT menciptakan manusia di muka bumi dengan berbagai macam suku bangsa, ras, agama dan etnik. Untuk itu Allah SWT mengajarkan konsep toleransi dengan tujuan untuk mewujudkan perdamaian umat manusia di muka bumi ini.
Allah SWT berfirman dalam surah al-An'aam ayat 108 yang bermaksud:
"Dan janganlah kamu menghina apa yang mereka sembah selain dari Allah, kerana mereka kelak akan mencaci Allah secara melampaui batas tanpa ilmu pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan."
Berdasarkan ayat ini, jelas bahawa perbezaan agama sebenarnya bukan penghalang terjalinnya kerukunan dan kedamaian di antara sesama manusia. Meskipun kita bergaul dengan orang yang berbeza iktikad keyakinan tetapi kedamaian hidup tetap menjadi keutamaan. Allah SWT mengizinkan umatNya untuk menjalin kerjasama dan berbuat baik kepada mereka yang menganut agama bukan Islam.
Allah SWT mengajar kita bagaimana untuk menghormati dan melindungi hak orang lain. Pengajaran paling penting adalah kita hendaklah berlaku adil terhadap sesama manusia. Atas dasar inilah agama Islam menolak sikap membeza-bezakan darjat ketinggian sesuatu kumpulan manusia di atas dasar-dasar bangsa, warna kulit, bahasa, kewarganegaraan dan seumpamanya.
Islam menetapkan bahawa menentukan darjat manusia semata-mata di atas alasan tersebut sebagai satu manifestasi jahiliyah yang menyesatkan. Ingatlah bahawa bumi yang kita diami ini sejak dahulu hingga ke akhir tamadun kemanusiaan adalah berasal daripada keturunan yang satu. Oleh kerana itu kita sebagai manusia adalah bersaudara dalam status sebagai manusia. Kita dituntut untuk saling kenal-mengenali dan melenyapkan perbezaan yang ada sesama kita.
Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud:
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antaramu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya."
Penghormatan terhadap orang lain boleh dihayati menerusi sirah Nabawiyah. Perhatikanlah ketika peristiwa Piagam Madinah yang terkenal di dalam sejarah Islam. Baginda telah menyeru umat Islam agar sentiasa menjaga hak keharmonian sesama manusia. Ia merupakan lambang keadilan Islam terhadap umat manusia keseluruhannya.
Di antara butir-butir kesepakatan yang terkandung dalam Piagam Madinah ialah sesiapa yang hidup dan tinggal di wilayah Madinah, baik Islam atau pun bukan Islam, dengan syarat tidak berbuat zalim, maka hendaklah mereka dilindungi dan diberi keamanan di bawah kekuasaan Islam yang suci. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dengan maksudnya:
"Sesiapa yang menzalimi seorang kafir yang diberi janji perlindungan oleh negara Islam (mu’ahad) atau mengurangi haknya atau memaksanya melakukan sesuatu di luar kekeuasannya atau mengambil sesuatu yang menjadi miliknya tanpa kerelaan hatinya, maka saya adalah penentangnya di hari Kiamat nanti."
Seharusnya umat Islam memahami tuntutan keadilan dan sikap bertoleransi ini. Namun toleransi yang dimaksudkan bukanlah bererti kita mengakui doktrin keyakinan mereka kerana di dalam persoalan akidah Islam tidak sama sekali berkompromi dengan kesyirikan. Toleransi yang dimaksudkan oleh Islam ialah di dalam muamalah harian di samping akhlak baik yang dihayati ketika berkomunikasi dengan penganut agama lain. Ini merupakan dakwah bil hal yang memberi impak positif kepada perkembangan Islam.
Apakah kita telah melaksanakan seruan Baginda Rasulullah SAW agar sentiasa bermuamalah dengan baik terhadap sesama manusia walaupun berbeza antara agama? Apakah kita telah mencontohi akhlak Baginda Rasulullah SAW ketika berurusan dengan bukan Islam yang berlindung di bawah pemerintahan Islam?
Menerusi akhlak dan sikap toleransi ini, insya Allah dengan izinNya masyarakat bukan Islam akan tertarik untuk mengenali ajaran Islam secara lebih dekat lagi. Mudah-mudahan dengan kita kembali merenung dan menilai perjalanan hidup Baginda, kita mampu berdakwah dengan akhlak dan toleransi yang telah digariskan oleh agama kita kepada mereka yang bukan beragama Islam. Semoga dengan itu juga, kita mampu menterjemahkan Islam sebagai agama Rahmatan lil 'Alamin.
Marilah kita bersama-sama mengambil peluang ini untuk mengeratkan silaturrahim sesama Islam dan meningkatkan dakwah kepada bukan Islam melalui kerjasama dalam bidang keilmuan dan kepakaran tertentu yang dimiliki oleh mereka. Menerusi sifat-sifat yang dinyatakan tadi akan mampu melenyapkan salah faham mereka terhadap Islam selama ini hasil dari propaganda media barat yang memusuhi Islam.
Renungilah dan hayati firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 64 yang bermaksud:
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil, akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah". Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesunggguhnya kami adalah orang-orang Islam."
sumber: e-khutbah JAKIM
Thursday, July 28, 2011
Kehidupan di dunia penentu kebahagiaan di akhirat
Kehidupan di akhirat adalah kehidupan yang berkekalan dan tiada berkesudahan. Ganjaran dan balasan di akhirat sangat setimpal dengan amalan setiap makhluknya. Ini adalah bukti keadilan Allah SWT. Sesungguhnya kehidupan akhirat itu berkait rapat dengan kehidupan kita semasa di dunia ini. Jika amalan kita soleh, maka sejahtera dan berbahagialah kita di akhirat kelak tetapi sekiranya amalan kita buruk, maka derita dan sengsaralah kita.
Ibadah solat, puasa, berzakat dan mengerjakan haji hanya mengambil sebahagian kecil daripada masa hidup di dunia ini sahaja. Selebihnya kita banyak mempergunakannya untuk mengejar kebahagiaan hidup di dunia dengan pelbagai pekerjaan lain.
Persoalan penting di sini ialah adakah masa yang kita habiskan untuk mengejar kebahagiaan hidup dunia itu tergolong dalam amalan soleh sebagai bekalan di akhirat nanti? Umpamanya cara kita mendapatkan keperluan makanan, pakaian, rumah, kenderaan, pangkat, memperjuangkan agama dan bangsa, mempertahankan tanah air dan sebagainya.
Jelasnya Islam menuntut supaya umatnya sentiasa memperhati dan mengawasi setiap amal yang dikerjakan. Ini kerana di akhirat nanti Allah SWT akan bertanya kepada umat manusia tentang segala nikmat yang mereka perolehi semasa di dunia dahulu. Ini bertepatan dengan peringatan yang disampaikan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:
"Dari Abi Barzah al-Aslami, RA dari Nabi s.a.w, sabdanya : “Tidak berganjak kedua kaki seseorang dari tempat berdirinya di mahkamah Tuhan pada hari kiamat sehingga ia disoal tentang umurnya pada perkara apakah ia dihabiskan dan tentang ilmunya untuk apakah ia gunakan dan tentang harta bendanya dari manakah ia dapati dan pada perkara apakah ia belanjakan dan juga tentang tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan dan kecergasannya?"
Allah SWT menciptakan manusia supaya menyembahNya dan bertindak sebagai khalifah di muka bumi ini. Manusia ditugaskan untuk memikul amanah besar dalam kehidupan yang pendek ini dan bukan sekadar berseronok-seronok. Bahkan manusia tidak dijadikan hanya untuk hidup di dunia yang kecil dan binasa ini sahaja, tetapi mereka dijadikan pula untuk kehidupan yang kekal abadi.
Setiap pekerjaan kita di dunia ini perlu berkonsep memperhambakan diri kepada Allah SWT dalam sebarang kegiatan sama ada politik, ekonomi, pendidikan, sosial, hiburan, sukan dan sebagainya. Memperhambakan diri kepada Allah SWT dalam sesuatu pekerjaan duniawi mestilah antara lain mematuhi perkara-perkara berikut:
- Perlaksanaan sesuatu pekerjaan hendaklah diniatkan kerana mencari keredhaan Allah.
- Hendaklah sesuatu pekerjaan adalah perkara yang diharuskan oleh syarak. Adalah berdosa menjalankan kegiatan yang diharamkan oleh syarak.
- Hendaklah sesuatu pekerjaan itu dilaksanakan dengan cara-cara yang diharuskan oleh syarak, yang berprinsipkan ta'abuddi dan mementingkan kemaslahatan ummah. Haram sama sekali kegiatan yang dilaksanakan dengan kaedah yang dipengaruhi oleh runtunan hawa nafsu dan tipu daya syaitan.
Tegasnya, dalam mencapai apa juga tujuan dan matlamat dalam kehidupan, Islam telah menetapkan panduannya iaitu bercirikan ta'abuddi dan ihsan dan tidak sama sekali menghalalkan semua cara. Menghayati tiga prinsip tersebut akan terhasillah sesuatu pekerjaan yang kita lakukan sebagai ibadah yang menjadi bekalan untuk kebahagiaan hidup di akhirat. Inilah makna pengabdian diri yang sebenar kepada Allah SWT sepertimana perintahNya dalam surah ad-Zariat ayat 56 yang bermaksud:
"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah-Ku."
Nilailah semula segala amalan dan perkataan yang dibudayakan dalam kehidupan harian agar tidak mengikut hawa nafsu dan bisikan syaitan yang bercanggah dengan perintah Allah SWT. Semoga dijauhkan Allah daripada tergolong di kalangan hamba-hamba Allah yang dimufliskan menjadi faqir, miskin, melarat dan papa kedana di akhirat kelak disebabkan amalan-amalan di dunia yang tidak tergolong dalam amalan soleh di sisi Allah SWT.
Renungilah firman Allah dalam surah Hud ayat 15 hingga 16 yang bermaksud:
"Sesiapa yang berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya, maka Kami penuhi usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan daripadanya. Mereka tidak beroleh di akhirat kelak selain daripada neraka, dan gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batallah apa yang mereka telah kerjakan."
sumber: e-khutbah JAKIM
Wednesday, July 27, 2011
Di ambang Ramadhan
Di dalam al-Quran tidak menyebut bulan Muharram tetapi kita membuat sambutan meriah Maal Hijrah. Demikian juga di dalam al-Quran tidak menyebut bulan Rabiul Awal tetapi umat Islam menyambut Maulidur Rasul dengan penuh kehebatan. Bagaimanapun Allah menyebut secara khusus dalam al-Quran tentang kelebihan dan keberkatan bulan Ramadhan. Ini menunjukkan bulan Ramadhan adalah bulan yang amat istimewa kepada umat Islam kerana waktu malam dan siang ia menyajikan pelbagai keberkatan. Oleh itu Ramadhan merupakan satu bulan mulia yang sentiasa ditunggu dengan penuh kegembiraan.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud:
"Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Qur'an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan perbezaan (antara yang benar dan yang salah)."
Berdasarkan ayat ini maka jelas bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh keberkatan yang perlu umat Islam kejar dan ambil kesempatan.
Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang diberkati. Allah memerintahkan berpuasa di dalamnya. Dalam bulan Ramadhan dibuka segala pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan dibelenggu segala syaitan. Dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan. barangsiapa tidak diberikan kepadanya kebajikan malam itu, berert telah diharamkan baginya segala rupa kebajikan."(Hadis Riwayat Ahmad)
Kadang kala terdapat di kalangan kita mengamalkan ibadah puasa berpuluh-puluh tahun atau berbelas tahun tetapi tidak berupaya membentuk insan soleh. Mengenai perkara ini, Rasulullah SAW melalui sabdanya mengingatkan umat Islam dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad yang mafhumnya:
"Terdapat umat Islam berpuasa tetapi tidak memperolehi apa-apa kecuali sekadar lapar semata-mata. Betapa ramai orang bersolat malam tetapi tidak memperolehi apa-apa melainkan sekadar berjaga malam semata-mata."
Persoalan besar timbul ialah mengapa kita berpuasa, bersolat dan mengamalkan ibadat yang lain tetapi tidak dapat memenuhi standard piawaian yang ditetapkan Allah dan hukum syarak. Keadaan ini berlaku kerana ibadah itu dibuat tanpa ilmu, tidak membuat persiapan teliti dan dibuat sekadar ikut-ikutan.
Beberapa langkah boleh diikuti sebagai persiapan menyambut Ramadhan beberapa hari lagi:
- Membuat persediaan dari sudut ilmu. Kita perlu faham tentang selok-belok hukum puasa, syarat-syarat sah dan batal puasa dan amalan-amalan yang dituntut dalam bulan Ramadhan seperti membaca al-Quran, adab-adab beriktikaf dalam masjid, qiyamullail, sedekah dan lain-lain ibadah. Pemahaman yang jelas tentang puasa akan memberi kesan yang mendalam kepada diri seseorang.
- Mulai sekarang kita hendaklah membuat persediaan mental dan rohani untuk menghadapi suasana Ramadhan yang secara intensif melatih umatNya mendekati Allah dan membentuk akhlak yang mulia.
- Membuat persediaan dari segi fizikal atau tubuh badan bagi memastikan tahap kesihatan yang baik. Kesihatan yang baik akan menentukan kita boleh melaksanakan ibadah dengan sempurna. Oleh itu, pastikan kualiti dan mutu makanan itu berzat, makan secara sederhana, persekitaran rumah yang bersih dan tidur yang cukup.
- Kita perlu berjimat cermat dan amalan ini akan membolehkan kita melaksanakan zakat dan memperbanyakkan sedekah kepada mereka yang memerlukannya.
- Ibu bapa bertanggungjawab membimbing dan menentukan ahli keluarga membuat persiapan teliti serta mewujudkan suasana keimanan seperti berjemaah solat fardu dan berjemaah tarawih di rumah atau di masjid.
"Dan orang-orang yang beriman serta beramal Soleh, kami akan tempatkan mereka dalam mahligai-mahligai di Syurga yang mengalir dibawahnya beberapa sungai, demikianlah balasan yang sebaik-baiknya bagi orang-orang yang beramal soleh."
sumber: e-khutbah JAKIM
Tuesday, July 26, 2011
AIDS mengancam kesejahteraan manusia
Allah SWT telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik rupa dan sifat. Allah SWT juga telah memuliakan manusia berbanding makhluk-makhlukNya yang lain. Anugerah kemuliaan ini tidak lain adalah kerana manusia mempunyai kemampuan menguasai kebijaksanaan dengan akal fikiran. Dengan akal fikiran manusia mampu membezakan antara yang hak dan yang batil.
Apabila akal fikiran manusia sentiasa dimanfaat dengan baik serta diasah sehingga mencapai tahap kematangan, maka akan bertambahlah kematangan dan pengalaman dalam hidup. Seterusnya bertambahlah nilai keimanan dalam diri seseorang serta menjadikan mereka lebih dekat dan takut dengan Allah SWT.
Allah SWT berfirman di dalam surah al-Fathir ayat 28 yang bermaksud:
"Dan demikian pula diantara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut kepada Allah (melanggar perintah-Nya) dari kalangan hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Pengampun."
Maka atas dasar inilah Islam sentiasa menggesa setiap umatnya agar mencari ilmu dan menjaga akal fikiran serta berusaha menjadi insan yang berguna untuk diri, keluarga, masyarakat dan negara.
MANUSIA SEBAGAI PEMIKUL AMANAH ALLAH
Berdasarkan kemuliaan manusia berbanding dengan makhluk-makhluk Allah yang lain maka telah diberi kepada manusia sifat khusus iaitu tanggungjawab memikul amanah Allah yang tidak tertanggung oleh makhluk-makhluk lain.
Walaupun makhluk itu besar dan gagah berbanding manusia seperti matahari, bulan, bintang, bukit-bukau, haiwan dan sebagainya namun makhluk-makhluk ini hanya besar pada bentuknya sahaja tetapi kecil pada kebolehan dan kesanggupan untuk menjadi makhluk Allah yang terbaik bagi memikul amanahNya.
Kerana itu Allah SWT telah membekalkan manusia dengan akal fikiran semenjak manusia dilahirkan lagi. Sekiranya akal ini dikembangkan, maka dengannya manusia akan dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk dalam tindakan atau yang benar dan yang salah dalam keyakinan.
Kemudian Allah telah menurunkan kepada manusia petunjukNya yang berisi ketegasan tentang baik dan buruk atau apa yang benar dan yang salah seperti FirmanNya dalam surah al-Insan ayat 3 yang bermaksud:
"(kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka) sesungguhnya kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadanya) sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun ia berlaku kufur (dengan menginkari kebenaran atau menderhaka)."
AIDS PENYAKIT YANG BELUM ADA PENAWAR
Bagaimanapun keistimewaan dan kemuliaan akal fikiran manusia yang dikurniakan oleh Allah demi kesejahteraan hidup manusia telah pun dicemari dan dirosakkan. Perkara yang dimaksudkan ialah penyakit AIDS yang kini menjadi penyakit sejagat yang belum ada ubat dan penawarnya.
AIDS atau akronim untuk Acquired Immune Deficiency Syndrome, dalam bahasa Melayunya Sindrom Kurang Daya Menahan Penyakit adalah disebabkan oleh sejenis virus yang dikenali sebagai Human Immunodeficiency Virus atau ringkasnya HIV yang menyebabkan kegagalan sistem tubuh untuk melawan penyakit kerana HIV telah memusnahkan sel yang bertanggungjawab melawan penyakit disebabkan oleh kuman, bakteria, virus dan lain-lain.
Penyakit AIDS mula dikesan sejak tahun 80'an dan berbagai usaha telah dilakukan untuk mencegah dan mengubati penyakit ini namun masalah ini masih membelenggu kitaran hidup masyarakat di seluruh dunia dan juga negara kita. Masalah AIDS ibarat duri dalam daging kerana sentiasa menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat mahupun penggubal polisi negara.
Secara kasarnya AIDS telah membunuh lebih 25 juta orang sejak ia mula dikesan pada tahun 1981. Mengikut statistik kematian akibat Aids untuk tahun 2007 yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak 305 kematian dicatatkan di negeri bersempadan Kelantan dan diikuti Johor dengan 197 kematian. Manakala Selangor dengan 173 kematian.
Jumlah yang menghidap HIV/Aids di tiga buah negeri itu juga merupakan angka yang tertinggi bagi tahun yang sama. Selangor mencatatkan jumlah tertinggi penghidap baru untuk tahun 2007 dengan 897 kes diikuti Kelantan dengan 722 kes dan Johor dengan 719 kes.
Berdasarkan fakta yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia itu, ianya cukup menakutkan kita. Di antara punca merebaknya penyakit AIDS ialah melalui saluran yang sememangnya diharamkan oleh Allah SWT. AIDS juga mendapat nama jolokan yang baru iaitu sindrom Angkara Iblis Dadah Seks. Nama jolokan ini diberikan kerana AIDS sinonim dengan aktiviti yang diharamkan seperti seks bebas, homoseksual, lesbian dan penagihan dadah secara perkongsian jarum suntikan yang telah tercemar dengan kuman HIV. Meskipun ada juga kes seseorang itu dijangkiti kuman HIV secara tidak disengajakan namun punca utama AIDS merebak adalah kerana aktiviti yang dilarang itu.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menetapkan tarikh 1 Disember setiap tahun sebagai Hari AIDS Sedunia sejak tahun 1988. Hari AIDS Sedunia merupakan satu kempen untuk meningkatkan kesedaran berkaitan penyakit AIDS atau bahaya HIV. Melalui kempen ini pesakit-pesakit HIV dan orang awam dapat mengetahui tentang bahaya penyakit AIDS dan juga HIV.
Malaysia juga turut sama berusaha menangani wabak AIDS bersama-sama negara lain dengan memberi komitmen di peringkat serantau dan dunia dalam konteks pencegahan dan kawalan HIV.
Kementerian Kesihatan Malaysia telah menjalankan aktiviti saringan HIV di kalangan penagih dadah yang bakal berkahwin dan yang telah berumahtangga. Saringan ini dijalankan untuk mencegah jangkitan HIV daripada disebarkan kepada pasangan mereka seperti isteri dan anak-anak. Ujian darah kepada bakal pengantin dan ujian HIV tanpa nama dijalankan di klinik kesihatan kerajaan secara percuma.
Sebaik-baiknya kita menginsafi diri sejauh mana kita telah menjalankan amanah Allah menjaga diri, keluarga dan mereka yang berada di bawah jagaan kita agar mereka selamat dari penyalahgunaan dadah dan perkara-perkara mungkar yang boleh menjerumus diri ke lembah kehinaan dan azab siksaan api neraka Allah SWT.
Usaha untuk membendung masalah AIDS adalah tidak wajar dibebankan kepada pihak tertentu dan disalahkan pihak tertentu. Setiap ahli masyarakat bermula daripada individu, keluarga, masyarakat dan negara hendaklah menghayati ajaran Islam yang merupakan sistem hidup yang lengkap mengatur hidup manusia.
Jangan terpedaya dengan hasutan dunia dan hawa nafsu sehingga kita merasakan tidak berdosa melakukan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah kerana hanya orang yang beriman dan mempunyai akidah yang betul sahajalah dapat menjiwai ajaran Islam dan menghayatinya dalam kehidupan mereka.
Allah SWT berfirman di dalam surah an-Nur ayat 51 yang bermaksud:
"Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada kitab Allah dan Rasul-Nya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu diantara mereka, hanyalah mereka berkata : " kami dengar dan kami taat" dan mereka itulah yang beroleh kejayaan."
PERKARA-PERKARA YANG BOLEH MENCEGAH AIDS
Di antara perkara-perkara yang boleh mencegah dan mengawal diri, keluarga dan masyarakat kita dari terjebak dan terjerumus dengan gejala dadah serta perkara-perkara mungkar yang mengundang kepada penyakit AIDS:
- Anak-anak hendaklah dididik dengan didikan agama yang sempurna. Tanamkan penghayatan akidah dalam hati dan jiwa mereka di samping sentiasa mengawasi dan memastikan mereka tidak mengabaikan kewajipan ibadah kepada Allah SWT.
- Ibu bapa hendaklah menjadi contoh terbaik kepada anak-anak dan sentiasa memberi tunjuk ajar yang terbaik kerana anak-anak merupakan amanah dari Allah SWT.
- Jauhkan anak-anak dan keluarga kita daripada sebarang bentuk hiburan yang melalaikan dan pastikan mereka sentiasa menutup aurat serta jangan biarkan mereka bergaul bebas sesama lelaki dan perempuan yang boleh mendekatkan kepada zina.
- Kerjasama semua pihak amat penting dalam membendung wabak AIDS terutama kempen mencegah HIV dan AIDS.
- Para pendidik, ketua-ketua dan para pemimpin masyarakat dari sekecil-kecilnya hinggalah sebesar-besarnya, hendaklah sama-sama mendidik generasi dan umat Islam dengan penghayatan roh Islam yang sebenar dengan sentiasa memberi contoh tauladan yang baik.
Sebagai penutup, renungi dan hayati firman Allah SWT di dalam surah al-Taubah ayat 71 yang bermaksud:
"Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain, mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberikan zakat serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana)."
sumber: e-khutbah JAKIM, Kementerian Kesihatan Malaysia
Monday, July 25, 2011
Gaya Hidup Di Dunia Membayangi Ahli Syurga Atau Neraka
Sebagai seorang Muslim kita wajib mempercayai akan adanya syurga dan neraka yang mana setiap manusia akan mengalaminya. Orang yang beramal soleh akan ke Syurga manakala orang yang ingkar akan ke Neraka. Semua orang Islam yang beriman berkeyakinan sedemikian.
Persoalan besar timbul ialah apakah kita menyedari bahawa gaya hidup dan tingkah laku kita sehari-hari itu termasuk sebagai persediaan sebagai ahli Syurga atau telah pun tergelincir sebagai ahli Neraka.
Gaya hidup dan tingkah laku manusia yang beruntung ialah hidup yang selalu diisi dengan amalan soleh iaitu melaksanakan hak-hak Allah, mengerjakan kebajikan dan melakukan perbuatan yang membawa kebaikan kepada masyarakat atau manusia umumnya.
Ketahuilah bahawa setiap kebajikan atau kejahatan yang dilakukan manusia akan dicatat, direkod dan dikumpulkan oleh Allah SWT dengan perantaraan malaikat-malaikatnya untuk diperhitungkan dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.
Allah SWT menjadikan kita di dunia bukan dengan tujuan sia-sia atau secara main-main tetapi ada tanggungjawab tertentu. Kerana itulah manusia diberi akal fikiran supaya tidak terikut-ikut dengan gaya hidup binatang. Dengan demikian amat rugilah manusia jika manusia bertingkah ;aku seperti haiwan.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Mukminun ayat 115 yang bermaksud:
"Maka adakah patut kamu menyangka bahawa kami hanya menciptakan kamu sia-sia sahaja? Dan kamu tidak akan dikembalikan kepada kami?"
Dengan demikian kita sebagai manusia yang berakal hendaklah celik akal dan celik mata supaya kehidupan kita selari dengan ajaran Islam dan menjauhi daripada gaya hidup yang penuh dengan budaya maksiat. Manusia yang bebas daripada budaya maksiat akan membentuk masyarakat yang bertamadun dan berintegriti.
Orang yang baik bukan hanya sekadar melakukan kebaikan sahaja tetapi mestilah juga meninggalkan segala keburukan dan mencegahnya. Seseorang itu tidak dinamakan baik apabila ia pada sebelah pagi memberi sedekah kepada orang miskin tetapi apabila sebelah petang pula melakukan kejahatan seperti rasuah atau penyalahgunaan kuasa.
Oleh itu untuk menggalakkan kita tidak rugi atau menyesal, ambillah kesempatan dalam tempoh hidup yang pendek ini kita gunakan untuk melakukan kebaikan sebanyak-banyaknya dan menghindarkan perbuatan yang merosakkan masyarakat. Sebagai renungan, perhatikan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Seorang lelaki telah melalui sebatang jalan dan ternampak satu ranting pokok yang berduri lalu dialihkannya ke tepi. Maka Allah melimpahkan kasihnya kepada lelaki tersebut dan diberikan keampunan keatasnya." (Hadis Sahih al-Bukhari)
Menurut hadis ini, walaupun menjauhkan sebatang duri daripada tengah jalan kelihatan mudah tetapi pekerjaan berkebajikan ini dianggap oleh Allah sebagai satu kebajikan yang besar kerana boleh mengurangkan kesusahan dan penderitaan manusia sejagat.
Janganlah berangan-angan ingin memasuki Syurga Allah SWT sedangkan usaha dan gaya hidup kita dipenuhi dengan budaya maksiat. Oleh kerana itu, setiap kita yang mengaku beriman dan ingin ke Syurga perlu membuktikannya dengan melakukan amal ibadah dan amal soleh yang bersungguh-sungguh.
Sebagai persediaan menjadi manusia yang soleh maka kita perlu mengambil langkah berikut:
- Memperbanyakkan amal soleh dan menjauhi kejahatan
- Memastikan kehidupan kita sehari-hari tidak bercanggah dengan hak-hak Allah dan hak-hak manusia
- Memperbanyakkan kebajikan kepada manusia seperti membantu mengurangkan kesusahan dan mempercepatkan urusan yang melibatkan kepentingan manusia
- Memastikan dalam kehidupan seharian tidak mencampur adukkan perkara yang halal dan perkara yang haram.
Allah SWT berfirman di dalam surah al-Hasyr ayat 20 yang bermaksud:
"Tidaklah sama ahli Neraka dan ahli Syurga. Ahli Syurga merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan."
sumber: e-khutbah JAKIM
Friday, July 22, 2011
Islam Agama Perdamaian
Ajaran Islam yang ditegakkan oleh Nabi Muhammad SAW untuk kesejahteraan sekalian alam. Sejarah telah membuktikan bahawa kehidupan manusia sebelum diutuskan Baginda SAW atau lebih dikenali dengan zaman Jahiliah adalah dalam keadaan yang penuh dengan pelbagai kezaliman seperti pembunuhan, permusuhan dan keganasan. Sistem politik, ekonomi dan sosial masyarakat didapati tidak berfungsi dengan baik. Golongan lemah sentiasa ditindas dan golongan yang kuat terus menjadi kuat dan berkuasa. Peperangan dan pembunuhan berlaku secara berleluasa di sana-sini. Anak-anak dibunuh dengan kejam tanpa perikemanusiaan, golongan wanita dipermainkan dan diperalatkan.
Apabila tertegaknya Islam, kedamaian, kesejahteraan, kebahagiaan, keharmonian dan keamanan dalam masyarakat dapat dikembalikan. Persaudaraan dapat dibina, wanita-wanita telah diberikan kedudukan dan golongan lemah juga telah terbela. Inilah janji Allah yang terkandung dalam firman-Nya dalam surah al-Anbiyaa ayati 107 yang bermaksud:
"Dan tiadalah kami mengutuskan kamu, melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam."
Misi inilah yang telah disebarkan oleh junjungan Nabi Muhammad SAW semasa menyampaikan misi dakwah kepada Hercules Maharaja Rom seperti mana yang terkandung di dalam suratnya yang berbunyi "Ø£َسْÙ„ِÙ…ْ تَسْÙ„َÙ…ْ" iaitu yang bermaksud terimalah Islam nescaya kamu selamat dan sejahtera.
Islam adalah agama berteraskan konsep penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah SWT berpandukan ajaran al-Quran dan as-Sunnah. Dasar utama yang diperjuangkan oleh Islam ialah mewujudkan kedamaian dan kesejahteraan kepada semua. Keganasan, permusuhan, pembunuhan dan perpecahan bukanlah dari ajaran Islam. Pengertian kalimah Islam itu sendiri sudah membawa makna penyerahan, kedamaian dan kesejahteraan abadi untuk sekalian alam.
Perkataan Islam berasal dari bahasa Arab "Ø£َسْÙ„َÙ…َ ÙŠُسْÙ„ِÙ…ُ Ø¥ِسْلاَÙ…ًا" yang bermaksud tunduk, patuh dan juga selamat, sejahtera serta damai. Nama Islam itu sendiri adalah diberi oleh Allah SWT, berbeza dengan agama-agama yang lain seperti Kristian, Yahudi dan Buddha yang merujuk kepada individu, kaum atau pengasas ajaran tersebut. Sedangkan agama Islam adalah agama yang merujuk kepada nama yang diberikan oleh Allah SWT sepertimana FirmanNya dalam surah Ali Imran ayat 85 yang bermaksud:
"Dan sesiapa yang mencari Agama selain Agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang yang rugi."
Al-Quran menjelaskan kepada kita bahawa para Rasul dan Islam yang diperjuangkan tidak pernah sunyi daripada tentangan dan serangan musuh-musuhnya. Kitab-kitab suci termasuk al-Quran diingkari serta diperburukkan dengan pelbagai label. Demikian juga dengan para RasulNya yang difitnah dengan pelbagai tuduhan seperti tukang sihir, tukang tilik, orang gila, pemecah masyarakat dan sebagainya. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT dengan FirmanNya dalam surah al-An'am ayat 112 yang bermaksud:
"Dan demikianlah kami jadikan bagi tiap-tiap jin itu musuh dari syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengah yang lain kata-kata dusta yang indah-indah untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika dikehendaki Tuhanmu, tentulah mereka tidak melakukannya. Maka biarkan mereka dan apa yang mereka ada-adakan itu."
Demikian juga Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 120 yang bermaksud:
"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu)."
Jika demikian penegasan Allah SWT, maka tidak hairanlah apa yang berlaku sekarang ini di mana kesucian Islam difitnah oleh musuh-musuh Islam dari pelbagai sudut. Fitnah dan pembohongan jahat sekarang ini telah dilakukan pula oleh seorang Ahli Parlimen Belanda melalui filem ciptaannya 'FITNA' yang memutarbelitkan beberapa ayat al-Quran yang dakwanya Islam menganjurkan keganasan.
Filem tersebut benar-benar fitnah dan propaganda jahat untuk memperburuk-burukkan Islam dan memporak-perandakan ummah. Begitu juga dengan seorang paderi Kristian di Amerika Syarikat yang mendakwa al-Quran sebagai pencetus kepada keganasan dan merancang untuk membakar al-Quran sempena memperingati kejadian 11 September 2001.
Adalah satu hakikat bahawa perpecahan ummah akan membuka peluang kepada musuh-musuh Islam untuk mengambil kesempatan melemahkan ummah dan Islam. Munculnya beberapa fitnah dan serangan terhadap Islam mutakhir ini adalah kerana runtuhnya perpaduan ummah. Oleh kerana itulah Allah SWT melarang keras terhadap segala elemen perpecahan. Ini selaran dengan amaran Allah SWT di dalam surah Ali Imran ayat 103 yang bermaksud:
"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (Agama Islam), dan janganlah kamu bercerai berai."
Justeru itu, semua pihak di negara kita tanpa mengira fahaman hendaklah bersatu padu atas satu matlamat perjuangan, iaitu memelihara agama dan negara dari dicerobohi oleh musuh dari dalam dan luar negara.
Firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 60 yang bermaksud:
"Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap bersedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya."
sumber: e-khutbah JAKIM
Thursday, July 21, 2011
Menghayati dan memahami hakikat insan
Allah SWT telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik rupa dan kejadian. Allah SWT juga telah memuliakan manusia berbanding makhluk-makhlukNya yang lain.
Firman Allah SWT di dalam surah at-Tin ayat 4 yang bermaksud:
"Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)."
Berdasarkan ayat tersebut, para ulama bersepakat mengatakan bahawa kemuliaan manusia berbanding makhluk-makhluk Allah yang lain adalah disebabkan kemampuan manusia menguasai kebijaksanaan dengan akal fikiran dimana akal fikiran manusia mampu membezakan antara yang baik dan yang buruk atau di antara yang hak dengan yang batil.
Namun begitu kemuliaan dan keagungan tersebut tidak datang begitu sahaja, sebaliknya ia perlu dipenuhi dengan syarat-syaratnya iaitu manusia perlu beriman kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya serta mengerjakan amal soleh.
Sebaliknya jika manusia tidak beriman dan tidak berpegang dengan apa yang diperintahkan oleh Allah, maka ia akan dicampakkan ke tempat yang serendah-rendahnya iaitu azab api neraka. Malahan manusia tidak berhak untuk menerima gelaran kemuliaan tersebut.
Firman Allah SWT dalam surah at-Tin ayat 5 hingga 6 yang bermaksud:
"Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), kami kembalikan dia keserendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus."
Menyedari hakikat kemuliaan dan keistimewaan yang diberikan oleh Allah SWT kepada manusia begitu tinggi, maka seharusnya kita bersyukur dan sentiasa berusaha menjaga kemuliaan tersebut, terutamanya menjaga nikmat akal dan nikmat tubuh badan. Kerana itu sebagai tanda syukur dan berterima kasih, kita perlu menggunakan kedua-dua nikmat tersebut dengan betul dan sebaik-baiknya. Disamping mensyukuri, kita juga dituntut untuk memahami tanggungjawab terhadap diri sendiri dan tanggungjawab terhadap Allah SWT.
Dengan memahami tanggungjawab terhadap diri sendiri atau dengan menjaga amanah diri, iaitu mengetahui serta sedar bahawa segala anggota badan seperti mata, telinga, tangan, kaki dan anggota-anggota yang lain merupakan amanah Allah SWT. Begitu juga menjaga akal, menjaga kebersihan diri, menjaga kesihatan, menutup aurat dan sebagainya merupakan sebahagian daripada amanah yang telah ditetapkan oleh Islam.
Memelihara setiap anggota dan pancaindera dari digunakan untuk perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT menjadi tanggungjawab dan tuntutan yang terkandung dalam pengertian amanah yang perlu dijaga dan dipelihara bagi tujuan kebaikan serta mendapat keredhaan daripada Allah SWT sepanjang masa.
Bagi mereka yang tidak menjaga akal dan tubuh badan dengan sempurna dan ditambah lagi dengan menggunakan bahan-bahan terlarang seperti meminum arak, menyalahguna dadah, terlibat dengan pil ecstasy, pil kuda, ubat batuk dan sebagainya. Bukan sahaja boleh merosakkan akal fikiran malahan boleh memudaratkan tubuh badan serta mengundang kemurkaan Allah SWT.
Apabila manusia tidak menggunakan akal fikiran atau terlibat dengan bahan-bahan yang boleh merosakkan akal fikiran seperti penyalahgunaan dadah dan pil khayal, maka ketika itu manusia tidak layak lagi menjadi makhluk Allah yang paling mulia. Hal ini sebagaimana yang digambarkan oleh Allah SWT dalam surah al-A'raf ayat 179 yang bermaksud:
"Dan Sesungguhnya kami jadikan untuk neraka Jahannam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah) dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti-bukti kekuasaan Allah), dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat) ; mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. mereka Itulah orang-orang yang lalai."
Dari ayat tersebut, jelaslah bahawa apabila manusia mengabaikan akal fikiran serta tidak digunakan mengikut fitrah ia diciptakan oleh Allah, maka manusia ketika itu tidak layak lagi dimuliakan bahkan martabatnya menjadi lebih rendah dari binatang ternak.
Mereka yang terlibat dengan penagihan dadah, bukan sahaja mengakibatkan akalnya menjadi rosak bahkan tubuh badannya turut menjadi rosak, lebih-lebih lagi akan dijangkiti HIV atau AIDS yang akhirnya membunuh diri sendiri akibat perkongsian jarum suntikan.
Penyakit AIDS amat membimbangkan kita semua kerana sehingga kini masih tiada kaedah perubatan atau penawar berkesan yang boleh mengubatinya.
Berdasarkan kepada kajian yang dilakukan oleh pakar-pakar perubatan terdapat 3 faktor utama yang menyebabkan berlakunya AIDS atau dijangkiti HIV positif iaitu:
- Disebabkan oleh hubungan seks sejenis atau homoseksual di antara lelaki dengan lelaki.
- Disebabkan oleh seks bebas iaitu bertukar-tukar pasangan.
- Disebabkan oleh penyalahgunaan dadah dengan cara bertukar atau berkongsi jarum suntikan.
Janganlah kita membenarkan diri dan akal fikiran kita terjebak dengan unsur-unsur maksiat atau dirosakkan oleh bahan-bahan perosak seperti dadah dan sebagainya yang akan menghentikan sama sekali fungsi akal dan menjatuhkan martabat diri dan keluarga dalam kehinaan.
Kekuatan iman dan akidah yang mantap perlu ditanam di dalam diri setiap muslim kerana kekuatan ini sahajalah cara yang boleh menyelamat kita sama ada agama, akal, nyawa, keturunan, maruah dan harta benda. Tanpa keimanan yang kukuh kita akan gagal menikmati kesejahteraan dan keselamatan hidup yang hakiki.
Berusahalah menjadikan diri dan keluarga serta masyarakat agar sentiasa berada di dalam rahmat dan pertolongan Allah SWT sepanjang masa. Bersama-sama mempertingkatkan hubungan dengan Allah SWT seperti:
- Sentiasa mendekatkan diri dengan Allah SWT dengan melakukan ibadah wajib dan ibadah sunat serta menjauhi segala laranganNya.
- Berusaha membina keimanan yang mantap serta jiwa yang kental, kerana melalui keimanan kepada Allah SWT sahajalah yang dapat mengawal dan mencegah kemungkaran.
- Bertanggungjawab mendidik anak-anak dan mereka yang dibawah jagaan kita terutamanya memastikan setiap makanan yang diberikan dari sumber yang halal, bersih dan berzat serta menjauhi dari sumber yang subhah, apatah lagi dari sumber yang haram seperti rasuah, riba', penipuan dan sebagainya.
- Peranan masyarakat juga penting terutama mengambil tahu hal-hal yang berlaku di sekeliling di samping membantu perkara-perkara yang baik serta berusaha mencari jalan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah dan bukannya menimbulkan masalah dalam masyarakat.
- Hidupkan budaya amar ma'ruf nahi mungkar dalam kehidupan seperti sentiasa menjaga batasan dalam pergaulan, menjaga aurat, menjauhi perkara-perkara tidak berfaedah serta menjaga akhlak dengan merasa malu dan takut untuk melakukan perkara-perkara mungkar termasuk penyalahgunaan dadah.
Sebagai penutup, renungi dan hayatilah firman Allah SWT di dalam surah al-Anfal ayat 27 yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)."
Foto koleksi Jain Mahmud
sumber: e-khutbah JAKIM
Wednesday, July 20, 2011
Al-Quran dan As-Sunnah Merupakan Panduan Umat
Kehidupan Baginda Rasulullah SAW umpama intan permata yang berkerlipan dari segenap penjuru. Setiap kerlipan itu penuh dengan panduan dan pengajaran untuk dipelajari serta dihayati oleh umatnya. Kehidupan umat Islam akan menjadi indah dengan diwarnai oleh sifat-sifat kesopanan dan kesusilaan yang bersumberkan wahyu Ilahi sebagaimana Sabda Rasulullah SAW, "Sesungguhnya aku diutuskan adalah untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak."
Sesungguhnya Baginda Rasulullah SAW telah meninggalkan kita buat selama-lamanya namun kita amat bertuah kerana Baginda Rasulullah SAW telah meninggalkan dua perkara kepada umatnya sebagai panduan hidup iaitu kitab Allah dan sunnahnya sebagai pedoman bagi seluruh umatnya untuk dikaji, dihayati dan diamalkan dalam kehidupan.
Kitab suci al-Quran atau Kalam Allah diturunkan kepada Baginda Rasulullah SAW melalui malaikat Jibril a.s. secara berperingkat-peringkat selama 23 tahun. Penurunannya adalah mengikut suasana semasa yang berlaku ketika itu, yang memerlukan istinbat hukum.
Kandungan al-Quran itu merangkumi ayat-ayat yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan manusia seperti mengatur cara hidup bermasyarakat, cara beribadat, pembahagian harta pusaka, urusan kekeluargaan, urusan pentadbiran dan pembangunan negara, urusan pendidikan, ekonomi dan sebagainya. Kesemua kandungan ini tetap menjadi sumber rujukan yang unggul dan abadi sehingga ke hari kiamat.
Al-Quran merupakan wahyu dan mukjizat kepada Baginda Rasulullah SAW. Ia juga merupakan kitab yang terakhir yang diturunkan ke dunia ini manakala membaca dan mempelajarinya merupakan suatu ibadah kepada Allah SWT. Selain daripada itu, al-Quran juga mempunyai rahsia dan hikmah yang tinggi. Kunci kerahsiaan perlu digali, pintu hikmahnya perlu diterokai supaya arah tuju perjalanan hidup kita sentiasa dalam keredhaan Allah SWT. Kita juga diwajibkan untuk mempercayai kitab al-Quran kerana ia merupakan pelengkap kepada kesempurnaan rukun iman seseorang Muslim selain kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasul-RasulNya.
Sebagai umat yang mengaku beriman dengan kitab al-Quran, kita mestilah menjadikan al-Quran sebagai kitab bacaan dan rujukan utama dalam kehidupan. Menjadikan al-Quran sebagai benteng kepada godaan dunia serta sentiasa memohon dilindungi Allah SWT. Oleh yang demikian, dalam kesibukan harian, kita hendaklah berusaha sedaya upaya meluangkan masa diri dan keluarga kita untuk mencari keredhaan Allah SWT melalui pembacaan al-Quran.
Peninggalan nabi yang kedua ialah as-Sunnah. As-Sunnah membawa maksud apa-apa sahaja yang disandarkan kepada Rasulullah SAW dari segi ucapan, perbuatan dan perakuan. Apa jua yang dilafazkan oleh Baginda Rasulullah SAW bukanlah terbit dari hawa nafsunya tetapi merupakan kata-kata yang berpandukan wahyu Allah SWT sebagaimana Firman Allah SWT di dalam surah an-Najm ayat 3 hingga 4 yang bermaksud:
"Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berbohong dengan Agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri, Segala yang diperkatakan itu (samada Al-Quran ataupun Hadis ) tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan kepada-Nya."
Kita seharusnya merasa bangga jika mutiara as-Sunnah Rasulullah SAW yang merupakan khazanah peninggalan sentiasa menjadi bahan rujukan kepada setiap percakapan atau penulisan. Mengikut kepada suasana hari ini, terdapat orang yang lebih berbangga jika pengucapan atau penulisannya bersandarkan kepada pendapat sarjana-sarjana barat yang tidak diketahui asal-usulnya, sementara sangat sedikit usaha membawa hujah-hujah dan dalil-dalil yang bersandarkan as-Sunnah.
Al-Quran dan as-Sunnah yang menjadi pegangan seluruh umat Islam di dunia ini adalah dua sumber utama perundangan Islam. Umat Islam wajib menerima kedua-duanya tanpa menolak salah satu darinya kerana kedua-duanya adalah sumber rujukan yang mampu menjadi penunjuk arah dalam kehidupan di samping berupaya menangani pelbagai halangan, cabaran dan ancaman terhadap akhlak dan moral masyarakat.
Jadikan amalan membaca al-Quran setiap hari sekurang-kurangnya satu ayat sehari dan mengikut kaedah yang betul bagi mengelak kesalahan pada makna sebenar. Begitu juga dengan hadis Rasulullah SAW, ia perlu diteliti supaya kita tidak tandus mencari panduan hidup. Dalam masa yang sama kita perlu merujuk kepada golongan pakar dalam kedua-dua bidang tersebut bagi mengelak sebarang kekeliruan dan salah faham. Ini adalah penting bagi memastikan apa yang disampaikan bertepatan dengan disiplin ilmu. Mudah-mudahan kita semua mencapai kejayaan dalam menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan dan pedoman hidup.
sumber: e-khutbah JAKIM
Tuesday, July 19, 2011
Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Ibu Bapa Mendidik Anak
Pada akhir tahun dan awal tahun kebiasaannya pihak sekolah dan ibu bapa menjadi pihak yang paling sibuk kerana dalam urusan pendidikan. Menurut sumber Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 2009 terdapat 5.4 juta orang pelajar di sekolah rendah dan sekolah menengah. Sementara itu pula, menurut sumber Kementerian Pengajian Tinggi pada sesi 2009/2010 sebanyak 139,207 orang pelajar membuat permohonan untuk memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam bagi memenuhi kekosongan berjumlah 68,084 tempat untuk program Ijazah dan 40,500 tempat untuk program Diploma di seluruh negara. Perangkaan ini memberi cabaran yang besar kepada ibu bapa dan anak-anak kita dalam merebut peluang pengajian.
Sebagaimana kita ketahui bahawa matlamat utama pengurusan pendidikan adalah untuk melihat manusia sebagai modal yang dinamakan modal insan dan merupakan aset tenaga yang sungguh penting dan bermakna kepada kegiatan ekonomi, pembangunan negara mahu pun kemajuan bangsa dan negara. Modal ini perlu digilap, dibangunkan dan diuji bagi menentukan kemampuan sebelum dimanfaatkan. Kualiti hidup tidak sahaja diukur daripada memiliki ijazah dari dalam dan luar negara tetapi diukur juga dengan kekuatan akhlak dan peribadi yang menampilkan nilai kemanusiaan yang tinggi.
Dalam usaha membentuk modal insan yang berkualiti, maka kecemerlangan bidang pendidikan tidak hanya diberikan oleh pihak sekolah bahkan ia bergantung kepada ibu bapa di rumah. Kedua-dua institusi ini iaitu rumahtangga dan sekolah saling memerlukan dalam menentukan kecemerlangan anak-anak.
Allah SWT berfirman dalam surah at-Tahrim ayat 6 yang bermaksud:
"Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu api Neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; Penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan."
Keluarga adalah asas menentukan dasar pembinaan akhlak anak-anak. Bila tumpuan ibu bapa terhadap keluarga berkurangan, maka kadar keciciran anak-anak semakin meningkat. Anak pada peringkat awal pembesaran dan pendewasaan memerlukan ibu bapa sebagai orang terawal penunjuk jalan teladan yang baik. Menurut prinsip pendidikan Islam, saat kritikal dalam proses membina teras nilai murni, akhlak mulia, kasih sayang dan komunikasi yang mesra sebenarnya bermula dari dalam perut ibu lagi sehinggalah anak itu mencapai akil baligh. Dalam tempoh kritikal ini, ibu bapa tidak boleh melepaskan diri dalam mendidik anak-anak walau apa jua sekalipun.
Jika kita tidak mengambil berat, maka anak-anak akan terdedah dengan gejala rosak akidah, hilang kemuliaan akhlak dan maruah juga ketinggalan dalam pendidikan. Kita tidak mahu anak-anak menjadi keliru, tidak tahu memilih yang baik atau yang buruk dalam kehidupan mereka.
Menurut Yusuf al-Qardawi, Tokoh Maal Hijrah 1431H bahawa kesan yang paling menonjol akibat kelemahan kualiti keibubapaan hari ini adalah terpisahnya atau tercabutnya akhlak anak-anak yang memudahkan dan mendedahkan mereka dalam krisis gejala sosial.
Satu kisah pada zaman Rasulullah SAW, seorang sahabat yang berjemaah bersama kerap keluar dari jemaah awal sebelum sempat berdoa. Baginda bertanyakan kepada sahabat tersebut kenapa balik tergesa-gesa sebelum sempat berdoa. Sahabat itu menerangkan dia mempunyai anak kecil yang ibunya baru meninggal dunia. Dia takut anaknya mengambil dan memakan buah tamar jiran yang gugur di halaman rumahnya dan ditakuti akan menjadi darah dagingnya. Sahabat itu menjelaskan daging yang disuburkan dari benda yang haram itu tidak layak masuk syurga. Mendengarkan penjelasan itu, Baginda diam, tidak berkata apa-apa dan hanya memerhatikan sahaja sahabat itu pulang ke rumah.
Pencapaian prestasi anak-anak kita dalam pelajaran bergantung kepada perancangan dan penilaian bersungguh-sungguh dari ibu bapa sendiri. Dalam menjamin keberkesanan fungsi ibu bapa menentukan kejayaan pendidikan anak-anak, maka ibu bapa perlu menetapkan sekurang-kurangnya enam petunjuk prestasi utama atau KPI ibu bapa seperti berikut:
- Memastikan anak-anak menunaikan solat fardhu 5 kali sehari sama ada secara berjemaah atau bersendirian.
- Memastikan anak-anak mempelajari dan memahami al-Quran setiap hari.
- Memastikan anak-anak mendapat makanan halal, berzat dan memenuhi keperluan vitamin setiap hari.
- Menyemak buku-buku latihan dan kerja setiap mata pelajaran sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu.
- Menetapkan sasaran setiap mata pelajaran anak-anak sekurang-kurangnya mencapai markah 80%.
- Mengadakan perjumpaan dengan guru kelas sekurang-kurangnya sekali dalam setiap semester atau penggal bagi mendapat maklumbalas prestasi pembelajaran anak-anak.
Ibu bapa yang cemerlang adalah mereka yang berjaya meletakkan generasi pewaris berjaya membentuk modal insan yang berkualiti dan soleh.
Renungi dan hayati Firman Allah SWT dalam surah al-An'am ayat 165 yang bermaksud:
"Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Ia hendak mengujimu pada apa yang dikurniakan-Nya kepadamu. Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat azab seksa-Nya, dan sesungguhnya Ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
sumber: e-khutbah JAKIM
Monday, July 18, 2011
Doa ibu membawa ke syurga
Dalam Islam, tuntutan agar berbuat baik kepada ibu bapa adalah merupakan perintah Allah SWT yang wajib kita tunaikan. Sebagai seorang anak, kita diperintahkan agar sentiasa melakukan kebaikan terhadap mereka seperti bersikap lemah lembut, berbudi bahasa, tidak berlaku kasar dan selalu ingat dan menghargai jasa serta pengorbanan yang telah diberikan kepada kita selama ini.
Ibu bapa kita telah bersusah payah memelihara dan menjaga kita siang dan malam dengan mengorbankan waktu, tenaga, perasaan, wang ringgit dan sebagainya demi memberikan yang terbaik untuk kita. Atas dasar itulah maka Islam menetapkan bahawa tanggungjawab melakukan kebaikan kepada ibu bapa amat besar sehingga ia digandingkan dengan perintah mentauhidkan Allah SWT.
Allah SWT berfirman di dalam surah al-Isra' ayat 23 yang bermaksud:
"Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "uh" dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)."
Ajaran Islam juga menyuruh kita agar sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada kedua ibu bapa kita.
Firman Allah SWT di dalam surah Luqman ayat 14 yang bermaksud:
"Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapa mu dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)."
Sesungguhnya begitu besar sekali peranan dan pengorbanan kedua ibu bapa, lebih-lebih lagi buat si ibu sehingga Islam mengangkat darjat seorang ibu lebih dari seorang bapa.
Berdasarkan Sabda Rasulullah SAW:
"Daripada Muawiyah bin Haidatal Qusyairi katanya aku bertanya Rasulullah SAW, siapakah orang yang paling patut aku berbuat baik?, Rasulullah SAW menjawab : ibumu, kemudian aku bertanya lagi siapa?, Rasulullah menjawab : ibumu, kemudian aku bertanya lagi siapa? Rasulullah menjawab: ibumu, kemudian aku bertanya lagi siapa? Rasulullah menjawab : bapamu, kemudian orang yang paling hampir denganmu dan seterusnya." - Hadis Riwayat at-Tirmizi.
Menurut maksud hadis di atas, Baginda Rasulullah SAW telah menggariskan satu dasar bahawa Islam amat mengutamakan kepada si ibu sebagai insan yang layak menerima segala layanan yang terbaik dari setiap anak-anaknya ini kerana segala pengorbanan yang ditanggung oleh ibu sepanjang tempoh kehamilan diikuti dengan proses melahirkan, kemudian memelihara untuk membesarkan kita adalah satu tempoh yang amat sukar. Namun begitu, ia berjaya diatasi dengan sebab rasa kasih sayang yang mendalam dalam diri si ibu beserta sokongan dari si bapa.
Memandangkan begitu banyak jasa dan pengorbanan oleh ibu, maka selayaknyalah ibu diberi penghormatan yang begitu tinggi.
Ini bertepatan sekali dengan Sabda Nabi Muhammad SAW:
"Syurga itu berada di bawah telapak kaki ibu-ibu."
Hal ini dapat dilihat dalam kisah Alqamah, di mana beliau begitu sukar untuk melafazkan kalimah syahadah di saat sakaratul maut kerana perasaan ibunya yang terguris di atas layanannya walaupun Alqamah kuat beribadah tetapi beliau telah melakukan sesuatu yang mengguris perasaan ibunya, lalu ibunya merasa kecil hati dengan tindakannya sehingga ibunya sukar untuk memaafkannya. Peristiwa ini perlu dijadikan iktibar oleh kita semua, semoga perkara yang dialami oleh Alqamah tidak terjadi kepada kita.
Berdasarkan kisah Alqamah, janganlah sesekali kita melakukan perkara-perkara yang boleh mengguris perasaan dan menyakitkan hati ibu kita. Terutama kepada golongan remaja yang sering terlibat dengan masalah sosial di mana perbuatan dan perilaku tersebut boleh mengguris perasaan dan mengecewakan harapan ibu yang impikan setiap anak mereka menjadi insan berguna dan sentiasa menjaga nama baik keluarga bukan dengan menjatuhkan maruah keluarga.
Terdapat kes-kes yang mengecewakan telah berlaku dan dipaparkan di dalam media seperti ibu bapa didera oleh anak sendiri, malahan ada yang sanggup membunuh ibu bapa mereka sendiri apabila permintaan mereka tidak dipenuhi atau dihalang oleh ibu bapa. Perbuatan derhaka seperti ini adalah disebabkan telah hilangnya nilai keimanan dalam diri dan jiwa kerana telah dikuasai oleh syaitan serta kewarasan akal fikiran hilang disebabkan oleh pengaruh pil khayal, dadah dan sebagainya. Mereka yang derhaka kepada ibu bapa perlu bertaubat kepada Allah SWT dan memohon ampun di atas segala dosa-dosa yang telah dilakukan, mudah-mudahan hidup akan diberkati dan dijauhkan dari azab seksaan api neraka Allah SWT.
Untuk menghargai segala jasa ibu dan bapa, maka berbagai cara boleh kita lakukan untuk menghiburkan hati mereka antaranya dengan memperuntukkan masa untuk menziarahi ibu bapa, bercuti bersama-sama ibu bapa, membawa ibu bapa bersiar-siar ke tempat yang menarik, menghadiahkan sesuatu yang menjadi kesukaan mereka, sentiasa mendoakan ibu bapa dan melakukan apa sahaja yang menyenangkan hati ibu bapa sebagai tanda penghargaan serta kasih sayang seorang anak kepada ibu dan bapanya.
Persoalannya, adakah kita telah melakukan hal-hal sedemikian kepada ibu dan bapa kita? Adakah hanya sekadar tibanya hari raya, hari ibu atau hari bapa barulah kita tertanya-tanya di mana dan bagaimana keadaan ibu dan bapa kita? Sedangkan ajaran Islam menegaskan bahawa ibu dan bapa hendaklah diberikan perhatian dan layanan pada setiap masa. Sebagai anak, kita perlulah sentiasa mentaati dan mendoakan kesejahteraan serta keampunan bagi kedua ibu bapa agar hidup kita diberkati Allah. Jika ibu bapa kita telah meninggal dunia, hadiah yang paling bermakna untuk mereka yang amat kita kasihi ialah mendoakan kesejahteraan untuk mereka agar Allah Taala sentiasa merahmati dan mengampunkan segala dosa-dosa mereka.
Allah SWT berfirman di dalam surah al-Isra' ayat 24 yang bermaksud:
"Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata) : ‘Wahai Tuhan kami! Cucuri rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku semasa kecil."
sumber: e-khutbah JAKIM
Ibu bapa kita telah bersusah payah memelihara dan menjaga kita siang dan malam dengan mengorbankan waktu, tenaga, perasaan, wang ringgit dan sebagainya demi memberikan yang terbaik untuk kita. Atas dasar itulah maka Islam menetapkan bahawa tanggungjawab melakukan kebaikan kepada ibu bapa amat besar sehingga ia digandingkan dengan perintah mentauhidkan Allah SWT.
Allah SWT berfirman di dalam surah al-Isra' ayat 23 yang bermaksud:
"Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "uh" dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)."
Ajaran Islam juga menyuruh kita agar sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada kedua ibu bapa kita.
Firman Allah SWT di dalam surah Luqman ayat 14 yang bermaksud:
"Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapa mu dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)."
Sesungguhnya begitu besar sekali peranan dan pengorbanan kedua ibu bapa, lebih-lebih lagi buat si ibu sehingga Islam mengangkat darjat seorang ibu lebih dari seorang bapa.
Berdasarkan Sabda Rasulullah SAW:
"Daripada Muawiyah bin Haidatal Qusyairi katanya aku bertanya Rasulullah SAW, siapakah orang yang paling patut aku berbuat baik?, Rasulullah SAW menjawab : ibumu, kemudian aku bertanya lagi siapa?, Rasulullah menjawab : ibumu, kemudian aku bertanya lagi siapa? Rasulullah menjawab: ibumu, kemudian aku bertanya lagi siapa? Rasulullah menjawab : bapamu, kemudian orang yang paling hampir denganmu dan seterusnya." - Hadis Riwayat at-Tirmizi.
Menurut maksud hadis di atas, Baginda Rasulullah SAW telah menggariskan satu dasar bahawa Islam amat mengutamakan kepada si ibu sebagai insan yang layak menerima segala layanan yang terbaik dari setiap anak-anaknya ini kerana segala pengorbanan yang ditanggung oleh ibu sepanjang tempoh kehamilan diikuti dengan proses melahirkan, kemudian memelihara untuk membesarkan kita adalah satu tempoh yang amat sukar. Namun begitu, ia berjaya diatasi dengan sebab rasa kasih sayang yang mendalam dalam diri si ibu beserta sokongan dari si bapa.
Memandangkan begitu banyak jasa dan pengorbanan oleh ibu, maka selayaknyalah ibu diberi penghormatan yang begitu tinggi.
Ini bertepatan sekali dengan Sabda Nabi Muhammad SAW:
"Syurga itu berada di bawah telapak kaki ibu-ibu."
Hal ini dapat dilihat dalam kisah Alqamah, di mana beliau begitu sukar untuk melafazkan kalimah syahadah di saat sakaratul maut kerana perasaan ibunya yang terguris di atas layanannya walaupun Alqamah kuat beribadah tetapi beliau telah melakukan sesuatu yang mengguris perasaan ibunya, lalu ibunya merasa kecil hati dengan tindakannya sehingga ibunya sukar untuk memaafkannya. Peristiwa ini perlu dijadikan iktibar oleh kita semua, semoga perkara yang dialami oleh Alqamah tidak terjadi kepada kita.
Berdasarkan kisah Alqamah, janganlah sesekali kita melakukan perkara-perkara yang boleh mengguris perasaan dan menyakitkan hati ibu kita. Terutama kepada golongan remaja yang sering terlibat dengan masalah sosial di mana perbuatan dan perilaku tersebut boleh mengguris perasaan dan mengecewakan harapan ibu yang impikan setiap anak mereka menjadi insan berguna dan sentiasa menjaga nama baik keluarga bukan dengan menjatuhkan maruah keluarga.
Terdapat kes-kes yang mengecewakan telah berlaku dan dipaparkan di dalam media seperti ibu bapa didera oleh anak sendiri, malahan ada yang sanggup membunuh ibu bapa mereka sendiri apabila permintaan mereka tidak dipenuhi atau dihalang oleh ibu bapa. Perbuatan derhaka seperti ini adalah disebabkan telah hilangnya nilai keimanan dalam diri dan jiwa kerana telah dikuasai oleh syaitan serta kewarasan akal fikiran hilang disebabkan oleh pengaruh pil khayal, dadah dan sebagainya. Mereka yang derhaka kepada ibu bapa perlu bertaubat kepada Allah SWT dan memohon ampun di atas segala dosa-dosa yang telah dilakukan, mudah-mudahan hidup akan diberkati dan dijauhkan dari azab seksaan api neraka Allah SWT.
Untuk menghargai segala jasa ibu dan bapa, maka berbagai cara boleh kita lakukan untuk menghiburkan hati mereka antaranya dengan memperuntukkan masa untuk menziarahi ibu bapa, bercuti bersama-sama ibu bapa, membawa ibu bapa bersiar-siar ke tempat yang menarik, menghadiahkan sesuatu yang menjadi kesukaan mereka, sentiasa mendoakan ibu bapa dan melakukan apa sahaja yang menyenangkan hati ibu bapa sebagai tanda penghargaan serta kasih sayang seorang anak kepada ibu dan bapanya.
Persoalannya, adakah kita telah melakukan hal-hal sedemikian kepada ibu dan bapa kita? Adakah hanya sekadar tibanya hari raya, hari ibu atau hari bapa barulah kita tertanya-tanya di mana dan bagaimana keadaan ibu dan bapa kita? Sedangkan ajaran Islam menegaskan bahawa ibu dan bapa hendaklah diberikan perhatian dan layanan pada setiap masa. Sebagai anak, kita perlulah sentiasa mentaati dan mendoakan kesejahteraan serta keampunan bagi kedua ibu bapa agar hidup kita diberkati Allah. Jika ibu bapa kita telah meninggal dunia, hadiah yang paling bermakna untuk mereka yang amat kita kasihi ialah mendoakan kesejahteraan untuk mereka agar Allah Taala sentiasa merahmati dan mengampunkan segala dosa-dosa mereka.
Allah SWT berfirman di dalam surah al-Isra' ayat 24 yang bermaksud:
"Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata) : ‘Wahai Tuhan kami! Cucuri rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku semasa kecil."
sumber: e-khutbah JAKIM
Friday, July 15, 2011
Suburkan kehidupan dengan kemuliaan iman
Iman merupakan nikmat Allah SWT yang tidak ternilai dalam kehidupan manusia. Tinggi atau rendahnya martabat manusia di sisi Allah SWT akan ditentukan oleh tahap keimanan yang ada dalam diri seseorang. Sesiapa yang paling tinggi dan sempurna imannya, maka dialah yang paling mulia di sisi Allah SWT.
Allah berfirman di dalam al-Quran surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud:
"Sesungguhnya semulia-mulia kamu disisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya diantara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah amat mengetahui lagi mendalam pengetahuannya ( akan keadaan dan amalan kamu )."
Iman merupakan pegangan atau kepercayaan dan keyakinan di dalam hati yang tidak berbelah bagi terhadap Allah SWT serta tidak mengandungi sedikitpun perasaan syak dan ragu-ragu. Ketaqwaan dan keyakinan teguh akan memberi kesan yang positif bagi kehidupan manusia terutama dalam soal beribadat, mengawal tingkah laku, hubungan pergaulan sesama manusia dan sebagainya. Oleh yang demikian, sebagai ukuran sama ada kita benar-benar beriman atau sebaliknya, Allah SWT telah menjelaskan di dalam surah al-Anfal ayat 2 hingga 4.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah yang apabila disebut nama Allh (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada tuhan mereka jualah mereka berserah. Orang-orang yang mendirikan sembahyang dan mendermakan sebahagian dari apa yang kami kurniakan kepada mereka. Merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan mendapat pangkat yang tinggi di sisi tuhan mereka dan keampunan serta limpah kurnia yang mulia (di syurga)."
Berdasarkan maksud ayat di atas, terdapat lima kunci penentu yang menjelaskan bahawa seseorang itu dianggap benar-benar beriman kepada Allah SWT iaitu:
- Apabila disebut nama Allah akan merasa gementar hati-hati mereka.
- Apabila dibaca ayat-ayat Allah semakin bertambah iman mereka.
- Sentiasa berserah diri kepada Allah SWT pada setiap waktu.
- Sentiasa menjaga solatnya dan taat kepada semua perintah Allah SWT.
- Apabila dikurniakan rezeki oleh Allah maka dibelanjakan ke jalan yang diredhai Allah SWT.
Sesungguhnya dalam kehidupan ini kita tidak dapat lari dari menghadapi ujian dan cubaan dari Allah SWT terutamanya dalam usaha mencari kesenangan dan kebahagiaan hidup. Oleh kerana itu, adalah tidak tepat sangkaan sesetengah manusia yang beranggapan bahawa hidup ini hanya untuk bersenang-lenang, bermewah-mewahan dan bersuka ria semata-mata atau sebaliknya menganggap hidup ini penuh dengan penderitaan, dukacita dan segala macam musibah.
Oleh itu, kita seharusnya faham bahawa semua kejadian ini pada hakikatnya adalah lumrah hidup kita sebagai manusia dan ianya merupakan Sunnah Allah. Bagi mereka yang beriman akan mengambil kesempatan ini untuk melakukan segala amalan kebajikan sebanyak-banyaknya. Ianya tidak akan dilepaskan begitu sahaja dengan menjadikan ujian sebagai dorongan untuk beriman kepada Allah SWT, bukan sebaliknya.
Hal ini sebagaimana telah digambarkan oleh Allah SWT dalam surah al-Ankabut ayat 2 hingga 3 yang bermaksud:
"Apakah Manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata kami beriman sedangkan mereka belum diuji dengan sesuatu percubaan, dan demi sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka dengan ujian yang demikian nyatalah apa yang diketahui oleh Allah tentang orang-orang yang beriman dan nyata pula apa yang diketahui tentang orang-orang yang berdusta."
Ayat ini dengan jelas memberikan pengertian yang cukup bermakna kepada kita semua bahawa hubungan manusia dengan kehidupan sememangnya sangat berkait rapat dengan ujian dan cubaan. Di samping itu, ayat ini juga menjelaskan bahawa seseorang manusia itu tidak cukup dan tidak memadai dengan membuat pengakuan lisan sahaja dengan mengakui "kami telah beriman kepada Allah" sedangkan mereka belum diuji. Kerana setiap ujian dan cubaan dari Allah SWT merupakan penanda penentu untuk mengetahui siapakah yang benar-benar beriman kepada-Nya dan siapakah pula yang hanya membuat pengakuan lisan sahaja, sedangkan pada hakikatnya mereka berdusta kepada Allah SWT.
Selain itu, kita juga perlu sedar bahawa ujian dan dugaan dari Allah SWT itu bukan hanya dalam bentuk kesusahan atau dalam bentuk penderitaan sahaja kerana sesungguhnya terdapat ujian lain dari Allah SWT kepada manusia yang berupa ujian dengan harta kekayaan, kemewahan, sanjungan, penghormatan pangkat dan sebagainya.
Firman Allah SWT dalam surah al-Anbia ayat 35 yang bermaksud:
"Setiap diri akan merasa kematian dan kami ujikan sekalian kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai satu percubaan dan kepada kamilah kamu sekalian akan kembali."
Sebenarnya ujian yang berbentuk kesusahan, penderitaan dan kesakitan merupakan ujian yang ringan kerana maksud dari ujian itu adalah semata-mata untuk menguji sejauh mana kesabaran kita menerima qada' dan qadar dari Allah SWT sebaliknya ujian melalui nikmat kesenangan dan kekayaan serta pangkat kebesaran pula merupakan ujian yang berat kerana ramai umat Islam yang gagal dalam ujian tersebut. Ini disebabkan apabila mereka gagal dan lupa kepada amanah dan tanggungjawabnya sebagai seorang muslim yang diciptakan oleh Allah SWT untuk mengabdikan diri kepada-Nya.
Sabda Rasulullah SAW:
"Akan datang satu masa (zaman) di kalangan umatku, mereka sangat sukakan lima (5) perkara dan melupakan lima (5) perkara yang lain. Mereka sukakan penghidupan lalu melupakan mati, mereka sukakan dunia dan melupakan akhirat, mereka sukakan harta kekayaan dan melupakan hari perhitungan( akhirat), mereka sukakan rumah-rumah besar dan melupakan kubur, mereka sukakan ciptaan Allah dan melupakan Allah yang menciptakan."
Tanamkan di dalam diri kita ikrar keimanan yang sebenar-benarnya kepada Allah SWT dan hendaklah kita menyedari betapa rugi seandainya kita mengabaikan soal keimanan kepada Allah SWT. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa:
- Mengukuh dan memantapkan keimanan kepada Allah SWT agar ia tidak menurun ke paras yang akan membahayakan hidup kita di dunia dan di akhirat.
- Mengakui bahawa kehidupan di dunia ini sememangnya tidak dapat lari dari ujian dan dugaan Allah SWT yang merupakan sunnah Allah.
- Hendaklah berserah diri kepada Allah SWT setiap masa dan membelanjakan rezeki yang dikurniakan ke jalan yang diredhai serta tidak melakukan pembaziran.
- Hendaklah menerima setiap ujian dan dugaan dengan penuh kesabaran dan ketabahan sebagai hamba Allah yang pasrah dengan ketentuan qada' dan qadar.
Foto oleh Jain Mahmud
sumber: e-khutbah JAKIM
Thursday, July 14, 2011
Membentuk anak-anak menjadi insan cemerlang
Anak-anak merupakan aset yang paling berharga kepada kedua-dua ibu bapa. Mereka merupakan penyeri atau perhiasan dalam sesebuah rumahtangga. Apatah lagi jika anak-anak berkenaan menjadi anak yang soleh dan berbakti kepada keluarga, masyarakat dan negara. Sudah tentu kedua ibu bapanya mendapat nikmat di dunia. Manakala ganjaran pahala di akhirat begitu tinggi dan besar ertinya yang bakal diterima di akhirat kelak.
Sebaliknya, jika anak-anak yang tidak mendengar nasihat ibu bapa, degil, engkar, liar, melakukan dosa dan maksiat kepada Yang Maha Esa, sudah pasti ianya menjadi beban kepada keluarga, masyarakat dan negara.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Anfal ayat 28 yang bermaksud:
"Ketahuilah bahawa harta benda kami dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar".
Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mencorakkan anak-anak seperti mana yang dikehendaki oleh Islam, bukan mengikut corak yang mereka pilih atau sukai. Oleh itu, anak-anak perlu dididik, diasuh dan dijaga dengan sebaik-baiknya supaya hidupnya kelak sentiasa beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.
Proses pendidikan anak-anak bermula di peringkat awal lagi, iaitu semasa masih dalam kandungan. Bermula dari sini proses pertumbuhan janin mengikut cara amalan pemakanan dan doa si ibu bapa. Dalam hal ini juga, Rasulullah SAW amat menekan kepada keutamaan memilih pasangan yang beragama daripada memilih lain-lain kriteria, dalam usaha mempastikan agar zuriat yang bakal dilahirkan nanti adalah anak-anak yang soleh.
Sabda Rasulullah SAW:
"Dari Abu Hurairah r.a. katanya : Nabi s.a.w. bersabda : Kahwini wanita kerana empat perkara : kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya, dan kerana agamanya. Maka utamakan isteri yang beragama pasti tidak akan rugi".
Oleh sebab itu, menjadi faktor utama bahawa ibu bapa yang melahirkan anak, hendaklah ibu yang beriman kepada Allah SWT dalam erti kata lain, ibu yang taat menjalankan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Begitu juga halnya dengan soal pemakanan yang diambil oleh ibu-ibu yang mengandung. Mereka hendaklah makan makanan yang halal, bersih dan berzat kerana ianya boleh mempengaruhi perkembangan dan pembesaran anak-anak sama ada dari aspek fizikalnya mahupun tabiat akhlaknya. Pengambilan makanan dari sumber-sumber yang tidak halal (haram), nescaya akan meninggalkan kesan yang negatif kepada anak-anak yang bakal dilahirkan seperti kecacatan, kerencatan akal fikiran, dungu dan sebagainya.
Rasulullah SAW bersabda:
"Tiap-tiap daging yang tumbuh dari sesuatu yang haram, maka neraka lebih layak untuknya".
Bagi membentuk anak-anak menjadi insan cemerlang, kedua ibu bapa hendaklah juga terdiri daripada manusia yang cemerlang, bagaimana mungkin ibu bapa yang derhaka, rumahtangga yang porak peranda dapat membentuk keluarga yang sejahtera. Pendidikan dan asuhan yang diberikan oleh ibu bapa adalah asas untuk anak-anak bertapak apabila mereka dewasa kelak. Ibu bapa adalah cermin yang mudah dijadikan tontonan oleh anak-anaknya. Oleh itu dalam mendidik anak-anak supaya beriman kepada Allah dan berakhlak mulia maka ibu bapa juga hendaklah terlebih dahulu memiliki sifat yang mulia ini. Contoh yang baik dari ibu bapa akan menjadi ikutan kepada anak-anak begitu jugalah sebaliknya. Doa yang baik perlu diamalkan ketika ibu mengandung lagi, bagi mendapat insan soleh. Antara doa-doa yang dianjurkan untuk dibaca ketika ibu-ibu sedang mengandung seperti yang terkandung dalam surah al-Furqan ayat 74 yang bermaksud:
"Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang ) yang berdoa' dengan berkata : Wahai tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyukakan hati malihatnya dan jadikanlah kami ikutan bagi orang-orang yang mahu bertakwa".
Pendidikan Aqidah hendaklah disemai sejak kecil lagi selaras dengan tuntutan Islam supaya setiap anak yang baru dilahirkan hendaklah diazankan atau diiqamatkan. Apabila anak-anak mencapai umur mumayyiz hendaklah disuruh melaksanakan sembahyang dan lain-lain ibadat yang difardhukan ke atasnya. Ibu bapa hendaklah sentiasa menggalakkan anak-anak berakhlak dengan akhlak yang mulia (mahmudah) dan melarang dari melakukan sifat-sifat cela (mazmumah).
Jika ibu bapa atau penjaga telah dapat menyempurnakan amanah mendidik dengan sebaik-baiknya, nescaya anak-anak mereka akan menjadi anak yang soleh. Antara tanda-tanda yang dapat dilihat sebagai anak yang soleh ialah:
- Taat kepada Allah SWT dan Rasul SAW dalam ertikata melaksanakan yang diperintah dan meninggalkan segala larangan-Nya, serta tidak menyekutukan Allah baik secara terang mahupun sembunyi.
- Taat dan hormat kepada kedua ibu bapa dengan berbakti kepadanya, mengasihi dan mendoakan kebaikan kepada mereka semasa hidup apa lagi setelah mereka meninggal dunia.
- Memiliki segala sifat-sifat mahmudah serta menjauhi segala sifat-sifat mazmumah. Antaranya seperti sabar, syukur, ikhlas, tawakkal, taubat, taqwa dan sebagainya. Manakala sifat-sifat mazmumah yang perlu dihindari seperti bohong, bakhil, khianat, hasad dengki, riak, takbur, ujub dan lain-lain lagi.
Ketika cuti sekolah, ibu bapa perlu menyusun jadual hidup anak-anak. Tidak bererti apabila sekolah bercuti anak-anak turut bercuti daripada menelaah buku-buku pelajaran. Sebagai ibu bapa yang prihatin, seharusnya kita berusaha memanfaatkan percutian ini bersama anak-anak dengan aktiviti berfaedah seperti membawa anak-anak ke perpustakaan, kem-kem perkhemahan motivasi atau balik ke kampung untuk menziarahi datuk nenek dan juga ahli keluarga.
Ibu bapa juga haruslah beringat bahawa untuk mendapatkan ilmu di zaman moden ini memerlukan wang ringgit bagi menyediakan kelengkapan persekolahan. Anak-anak yang bersekolah memerlukan pakaian, alat tulis, buku-buku teks, yuran dan sebagainya.
Cuba bayangkan bagaimana perasaan anak-anak kita bersekolah dengan keadaan serba kekurangan sedangkan rakan di sebelahnya lengkap dengan semua peralatan dan keperluan. Ini tentu sahaja boleh menimbulkan rasa rendah diri dan menjejaskan prestasi pembelajaran anak-anak. Menyedari keadaan ini pihak kerajaan telah memberikan bonus dan elaun di akhir tahun bagi menampung sebarang kekurangan. Ibu bapa pula hendaklah membelanjakannya bagi kemajuan dan kecemerlangan anak-anak.
Anak-anak adalah amanah Allah, maka menjadi tanggungjawab ibu bapa memastikan anak-anak kita kukuh pegangan akidahnya kerana apabila anak-anak kita kukuh pegangan akidahnya ia dapat menangkis sebarang bentuk ancaman dan tidak mudah terperangkap dengan gerakan ajaran menyeleweng lebih-lebih lagi ajaran yang telah difatwa oleh pihak berkuasa.
Renungi firman Allah SWT di dalam surah al-Tahrim ayat 6 yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman, Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya manusia dan batu (berhala) : neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat-Nya yang keras kasar (layanannya) meraka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan".
sumber: e-khutbah JAKIM
Wednesday, July 13, 2011
Menghargai zaman mudamu
Setiap negara pasti mengharapkan untuk mempunyai rakyat yang mampu menyumbang ke arah kemajuan, kejayaan dan keamanan. Semua itu hanya dapat dicapai dan diperolehi jika rakyat negara itu mempunyai sahsiah dan jati diri yang unggul serta cemerlang, sama ada melalui generasi muda belia atau pun generasi tua.
Kementerian Belia dan Sukan mentakrifkan belia sebagai golongan muda yang berumur antara 15 hingga 25 tahun dan ia selaras dengan takrif yang diberikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) manakala Islam pula mentakrifkan belia sebagai satu fasa umur alam baligh yang menerima tanggungjawab (taklif) atas setiap perbuatan yang dilakukan.
Belia adalah harta yang amat berharga serta tonggak dan kekuatan masa depan negara. Mereka juga adalah pewaris kepimpinan negara dan kesinambungan umat di masa hadapan. Justeru itu adalah perlu golongan belia ini diasuh, dididik dan dibimbing ke jalan yang benar dan diredhai Allah SWT sehingga mampu menjadi generasi yang boleh diharapkan dan dibanggakan iaitu belia yang beriman, berilmu, beramal dan berakhlak mulia. Inilah yang menjadi cita-cita negara kita untuk mempunyai belia yang berkualiti.
Persoalan besar timbul ialah ke manakah hilangnya wawasan belia hari ini? Saban hari kita masih mendengar berita-berita yang tidak baik tentang segelintir belia dan hanya beberapa cebis kisah kejayaan dan kecemerlangan yang telah diraih oleh mereka. Kes-kes salah laku jenayah sivil, jenayah syariah, masalah disiplin dan adab sering dikaitkan dengan belia. Hal ini tentunya mengundang rasa runsing dan gusar di kalangan ibu bapa, masyarakat dan pemimpin negara. Justeru Rasulullah SAW berpesan kepada semua golongan belia agar dapat memanfaatkan umur dan masa muda dengan sebaik-baiknya.
Imam Hakim telah meriwayatkan bahawa Ibnu Abbas r.a. berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
"Rebutlah lima perkara sebelum kamu di datangi oleh lima perkara lain. Masa mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa kayamu sebelum miskin, masa lapangmu sebelum sempit, dan masa hidupmu sebelum mati".
Berdasarkan hadis di atas, jelas bahawa belia yang cemerlang adalah mereka yang memanfaatkan masa dengan betul seperti menuntut ilmu, berbuat kebaikan dan paling penting memantapkan diri dengan iman dan taqwa. Dengan iman dan taqwa, jati diri belia dapat dipertingkatkan dan menjadi mantap. Mereka tidak mudah goyah dan goncang oleh pengaruh anasir-anasir dan gejala-gejala yang merosakkan jiwa, minda, akidah dan akhlak seperti penyalahgunaan dadah, alkohol, zina, lumba haram, ajaran sesat dan sebagainya.
Antara faktor yang dikenalpasti sebagai punca berlaku penyelewengan akidah dan berkembangnya gejala sosial adalah kurang didikan dan penghayatan agama di kalangan belia akibat pengaruh persekitaran. Apa yang penting, belia hendaklah mengisi diri dengan ilmu agama dan pelbagai ilmu serta kemahiran hidup di samping berusaha menjadikan diri sebagai hamba yang soleh, generasi yang berkualiti, umat yang cemerlang berlandaskan ajaran Islam yang sebenar.
Islam telah menggariskan peranan dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan sebagai seorang belia Muslim yang bersifat teguh iman, taat perintah Allah dan Rasul, mengasihi dan menjejaki sunnah Rasul-Nya dalam setiap cara hidup, baik urusan dunia mahupun akhirat.
Selain itu, para belia juga adalah bertanggungjawab mentaati Raja dengan mematuhi titah perintahnya selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Paling penting juga kepatuhan dan ketaatan belia kepada kedua-dua ibu dan bapa.
Firman Allah SWT dalam surah al-Israa' ayat 23 yang bermaksud:
"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan 'ah', dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia".
Dalam hal ini kita juga dituntut untuk berbakti, mengasihi, menghormati serta sentiasa menyenangkan hati kedua ibu bapa dengan memelihara tingkah laku dan tutur kata yang lemah lembut serta bersopan. Sentiasalah berdoa untuk kesejahteraan ibu bapa walaupun setelah mereka meninggal dunia.
Pada masa sama, belia juga berperanan menegakkan syiar agama Islam dengan menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran kerana amalan tersebut boleh menjadi benteng untuk menangkis segala gejala buruk dari merosakkan jiwa dan meracun minda yang akibatnya boleh merosakkan belia dan masa depan negara.
Hakikatnya, belia yang telah memenuhi tanggungjawab mereka adalah belia yang cemerlang dan menjadi harapan negara di masa depan. Mereka menjadi contoh dan ikutan yang baik untuk diteladani demi kecemerlangan ummah. Ketahuilah, belia yang sentiasa melakukan amal ibadat dengan tekun dan ikhlas dijanjikan dengan kedudukan yang tinggi serta tergolong ke dalam tujuh golongan yang mendapat perlindungan di hari kiamat ketika berada di padang Mahsyar kelak.
Imam Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya terdapat tujuh golongan yang dilindungi oleh Allah SWT pada hari kiamat kelak iaitu imam yang adil dan pemuda yang sejak kecil hingga matinya sentiasa beribadat kepada Allah SWT.
Sebagai penutup, hayati dan renungi firman Allah SWT di dalam surah an-Nahl ayat 97 yang bermaksud:
"Sesiapa yang beramal salih, dari lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka sungguh Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan".
sumber: e-khutbah JAKIM
Tuesday, July 12, 2011
Perjanjian Hudaibiah
Pada bulan Zulkaedah tahun keenam Hijrah, Rasulullah S.A.W. membuat keputusan untuk pergi ke Mekah bersama-sama sahabat baginda untuk mengerjakan Umrah.
Keputusan ini dibuat setelah selesai peperangan antara baginda serta para sahabat dengan orang-orang Quraisy.
Tetapi orang-orang Quraisy menolak keputusan ini dengan keras, angkuh dan sombong walaupun mereka mengetahui bahawa Rasulullah S.A.W. ingin pergi ke Mekah hanya untuk mengerjakan umrah dalam keadaan baik, bukannya untuk berperang.
Mereka tidak berhak melarang baginda mengunjungi Baitullah Al-Haram yang telah dijadikan oleh Allah sebagai tempat tumpuan dan tempat yang aman bagi seluruh umat manusia.
Lalu Rasulullah berkumpul di Hudaibiah, iaitu sebuah tempat yang terletak berhampiran dengan bandar Mekah.
Dari sana baginda banyak membuat perundingan dengan orang-orang Quraisy untuk mencari jalan perdamaian dan mengelakkan berlakunya pertumpahan darah.
Rundingan tersebut berakhir dengan menandatangani perdamaian sementara yang dikenali dengan `Perjanjian Hudaibiah' di mana syarat-syaratnya yang terpenting ialah:
- Menghentikan peperangan antara kedua-dua belah pihak selama sepuluh tahun. Dalam tempoh tersebut orang ramai bebas serta aman untuk bermusafir dan berpindah ke mana sahaja yang mereka inginkan.
- Pada tahun tersebut, Rasulullah dan para sahabat baginda hendaklah pulang ke Madinah tanpa mengerjakan Umrah di mana jumlah mereka pada ketika itu menjangkau seramai lebih kurang seribu empat ratus orang.
Mereka hendaklah datang pada tahun berikutnya dan orang-orang Quraisy hendaklah memberi peluang kepada umat Islam untuk mengerjakan Umrah selama tiga hari di Mekah kemudian mereka hendaklah kembali semula ke Madinah.
- Sesiapa yang datang dari Mekah ke Madinah untuk memeluk Islam tanpa mendapat keizinan daripada penjaganya, Rasulullah S.A.W. hendaklah mengembalikannya semula kepada mereka.
Sebaliknya sesiapa sahaja dari kalangan umat Islam yang datang dari Madinah ke Mekah dalam keadaan murtad, dia tidak perlu dikembalikan semula ke Madinah.
- Jika ada kabilah-kabilah yang ingin bergabung dengan salah satu pihak yang membuat `Perjanjian Perdamaian Sementara' itu, ia bolehlah berbuat demikian.
Ekoran daripada syarat ini, Kabilah Khuzaah bergabung dengan Nabi S.A.W. sementara Kabilah Bani Bakar pula bergabung dengan Quraisy.
Secara zahir, perjanjian ini merugikan kepentingan politik umat Islam sehingga banyak menimbulkan bantahan daripada beberapa orang para sahabat yang melihat bahawa tindakan tersebut merupakan suatu penghinaan kepada mereka, seperti Umar bin Al-Khattab r.a.
Tetapi sebenarnya, ia merupakan suatu kemenangan yang jelas kepada umat Islam sebagaimana yang disebut oleh Allah di dalam surah Al-Fath yang diturunkan kepada Rasulullah S.A.W. ketika baginda masih dalam perjalanan pulang dari Hudaibiah.
Hasil perjanjian ini banyak menguntungkan umat Islam dan menjadi perintis ke arah pembukaan Kota Mekah selepas dua tahun berikutnya.
Dari arkib Utusan Malaysia
Berpesan dengan kebenaran
Masa untuk menunaikan haji sudah semakin dekat. Rasulullah s.a.w. bersama para sahabatnya dan beribu-ribu lagi umat Islam telah meninggalkan Madinah untuk ke Tanah Suci Mekah.
Akhirnya mereka tiba di Padang Arafah untuk berkumpul menunaikan ibadah haji.
Umat Islam membanjiri kawasan tersebut, juga di luar kawasannya.
Kemudian, Rasulullah s.a.w. bersiap sedia untuk memberikan ucapannya yang sangat bermakna.
"Wahai umatku! Dengarlah apa yang akan aku sampaikan kepada kamu semua, kerana aku tidak tahu bila aku akan dapat bersama kamu semua lagi.
"Kehidupan kamu adalah suci dan tidak boleh dicabuli oleh orang lain sehingga hari ini. Dan bulan ini adalah bulan yang suci pada semua orang sehinggalah kamu semua akan menemui Penciptamu.
"Ingatlah, kamu akan bertemu dengan Tuhanmu dan kamu akan dituntut oleh-Nya mengenai perbuatanmu semasa kamu masih hidup.
"Wahai kaumku! Kamu mempunyai hak terhadap isteri-isterimu, dan isteri-isterimu mempunyai hak terhadap kamu.
"Jagalah isteri-isteri kamu dengan baik dan kasih sayang, kerana kamu telah diamanahkan oleh Allah untuk menjaga mereka.
"Makan riba adalah diharamkan. Kedudukan orang Arab dengan orang bukan Arab sama sahaja. Kita semua adalah anak Adam dan diciptakan daripada tanah.
"Wahai kaumku! Dengar dan fahamkanlah apa yang akan aku katakan. Ketahuilah bahawa semua umat Islam adalah bersaudara. Peliharalah diri kamu daripada melakukan ketidakadilan.
"Dan hamba-hambamu, berilah mereka makanan sebagaimana kamu makan dan berikanlah mereka pakaian sebagaimana pakaian yang kamu pakai.
"Jika hambamu melakukan suatu kesalahan yang tidak akan dapat kamu maafkan, maka berpisahlah dengan hambamu itu, kerana mereka adalah hamba kepada Allah dan tidak patut kamu berlaku kasar terhadap mereka.
"Aku akan tinggalkan kamu dengan dua perkara. Selagi kamu berpegang kepada perkara-perkara tersebut, nescaya kamu akan selamat di dunia dan di akhirat.
"Salah satu daripada perkara-perkara itu ialah al-Quran, dan yang satu lagi adalah sunah-sunah Rasulullah.
"Wahai umatku! Sudahkah aku menyampaikan risalahku terhadap kamu semua?"
Semua yang hadir di situ menjawab dengan sebulat suara, "Ya, bahawasanya kamu telah melakukannya".
Setelah mendengar jawapan itu, Rasulullah s.a.w. pun tersenyum dan menitiskan air mata sebagai tanda gembira.
Sambil itu baginda mengangkat kedua-dua tangannya dengan menggigil dan berdoa kepada Allah : "Ya Allah ya Tuhanku, sesungguhnya kamu menjadi saksi bahawa aku telah melakukan perintah-Mu."
Huraian kepimpinan
1. Pemimpin Islam hendaklah sentiasa berpesan dengan kebenaran demi sama-sama mendapat rahmat Allah hidup di dunia dan di akhirat.
Pemimpin hendaklah sentiasa menilai kembali kepimpinannya dengan merujuk kepada pendapat dan pandangan umat tentangnya.
Pemimpin seharusnya tidak sekali-kali cuba untuk mengelakkan diri daripada mengingatkan hak umatnya demi kepentingan dirinya sendiri.
2. Sesungguhnya pemimpin Islam hendaklah sentiasa berazam memberikan khidmat yang terbaik kepada masyarakat mengikut tuntutan Islam dan takut kepada pembalasan Allah.
Dari arkib Utusan Malaysia
Al-Quran merentasi zaman
Al-Quran merupakan mukjizat yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW dan kepada umatnya, sehingga tiada sesiapa pun yang mampu mencipta ayat-ayat al-Quran walaupun sepotong ayat yang setanding dengan kehebatan al-Quran.
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 23 yang bermaksud:
"Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Qur'an itu, dan panggillah orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang yang benar".
Al-Qur'an adalah kitab suci yang kekal sifatnya, sangat istimewa dan sesuai untuk semua zaman dan tempat. Ia bukan panduan untuk satu-satu bangsa atau masa-masa tertentu sahaja tetapi merupakan pembawa rahmat seluruh alam sehingga hari kiamat. Manakala perbahasan dan pengajaran yang diketengahkan di dalamnya pula membawa banyak manfaat kepada umat manusia.
Contohnya hasil kajian sains berkaitan biologi manusia (tubuh badan manusia) telah mengesahkan bahawa setiap manusia mempunyai cap jari yang berbeza antara satu sama lain. Sesungguhnya al-Quran telah menyebutkan hal ini lebih awal dari kajian tersebut iaitu sejak 1,429 tahun yang lampau.
Firman Allah SWT dalam surah al-Qiamah ayat 3-4 yang bermaksud:
"Patutkah manusia menyangka bahawa Kami tidak akan dapat mengumpulkan tulang-tulangnya?. Bukan sebagaimana yang disangka itu, bahkan Kami berkuasa menyusun jarinya, (tulang yang lebih halus dari yang lain)".
Demikian juga tentang kajian mengenai deria kulit manusia yang baru diketahui mempunyai sel-sel yang banyak serta paling sensitif. Perkara ini telah digambarkan oleh al-Quran ketika mana orang-orang berdosa diazab dalam neraka kelak, setiap kali kulit-kulit mereka yang terbakar hangus akan diganti dengan kulit lain untuk menggandakan keazaban yang berkekalan.
Marilah bersama-sama kita menjadikan al-Quran sebagai pedoman dan panduan hidup bermula di peringkat individu, keluarga, masyarakat dan negara. Sesungguhnya semua hukum dan peraturan-Nya menjadi penyelamat di dunia dan di akhirat.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Israk ayat 9 yang bermaksud:
"Sesungguhnya al-Qur’an ini memberi petunjuk kejalan yang benar (iaitu ajaran Islam), dan memberikan berita yang menggembirakan kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh bahawa mereka beroleh pahala yang besar".
Di samping itu, menjadi kewajipan kepada ibu bapa merancang program kelas-kelas al-Quran kepada anak-anak secara serius dan bersungguh-sungguh. Adalah malang jika anak-anak diabaikan daripada ilmu al-Quran, sedangkan pelajaran akademik sanggup disediakan kelas-kelas tuisyen. Sebagai umat Islam yang wajib beriman dan mengamalkan ajaran al-Quran perlulah memastikan bahawa masyarakat Islam bebas daripada penyakit buta al-Quran. Sesungguhnya masyarakat yang celik al-Quran akan dilimpahi hidayah keberkatan dan rahmat Allah SWT.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Isra' ayat 82 yang bermaksud:
"Dan Kami turunkan dari ayat al-Qur’an itu penawar dan rahmat bagi orang yang beriman; dan tidak menambahkan orang yang zalim kecuali kerugian".
sumber: e-khutbah JAKIM
Subscribe to:
Posts (Atom)
