Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, July 22, 2011

Islam Agama Perdamaian


Ajaran Islam yang ditegakkan oleh Nabi Muhammad SAW untuk kesejahteraan sekalian alam. Sejarah telah membuktikan bahawa kehidupan manusia sebelum diutuskan Baginda SAW atau lebih dikenali dengan zaman Jahiliah adalah dalam keadaan yang penuh dengan pelbagai kezaliman seperti pembunuhan, permusuhan dan keganasan. Sistem politik, ekonomi dan sosial masyarakat didapati tidak berfungsi dengan baik. Golongan lemah sentiasa ditindas dan golongan yang kuat terus menjadi kuat dan berkuasa. Peperangan dan pembunuhan berlaku secara berleluasa di sana-sini. Anak-anak dibunuh dengan kejam tanpa perikemanusiaan, golongan wanita dipermainkan dan diperalatkan.

Apabila tertegaknya Islam, kedamaian, kesejahteraan, kebahagiaan, keharmonian dan keamanan dalam masyarakat dapat dikembalikan. Persaudaraan dapat dibina, wanita-wanita telah diberikan kedudukan dan golongan lemah juga telah terbela. Inilah janji Allah yang terkandung dalam firman-Nya dalam surah al-Anbiyaa ayati 107 yang bermaksud:

"Dan tiadalah kami mengutuskan kamu, melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam."

Misi inilah yang telah disebarkan oleh junjungan Nabi Muhammad SAW semasa menyampaikan misi dakwah kepada Hercules Maharaja Rom seperti mana yang terkandung di dalam suratnya yang berbunyi "أَسْلِمْ تَسْلَمْ" iaitu yang bermaksud terimalah Islam nescaya kamu selamat dan sejahtera.

Islam adalah agama berteraskan konsep penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah SWT berpandukan ajaran al-Quran dan as-Sunnah. Dasar utama yang diperjuangkan oleh Islam ialah mewujudkan kedamaian dan kesejahteraan kepada semua. Keganasan, permusuhan, pembunuhan dan perpecahan bukanlah dari ajaran Islam. Pengertian kalimah Islam itu sendiri sudah membawa makna penyerahan, kedamaian dan kesejahteraan abadi untuk sekalian alam.

Perkataan Islam berasal dari bahasa Arab "أَسْلَمَ يُسْلِمُ إِسْلاَمًا" yang bermaksud tunduk, patuh dan juga selamat, sejahtera serta damai. Nama Islam itu sendiri adalah diberi oleh Allah SWT, berbeza dengan agama-agama yang lain seperti Kristian, Yahudi dan Buddha yang merujuk kepada individu, kaum atau pengasas ajaran tersebut. Sedangkan agama Islam adalah agama yang merujuk kepada nama yang diberikan oleh Allah SWT sepertimana FirmanNya dalam surah Ali Imran ayat 85 yang bermaksud:

"Dan sesiapa yang mencari Agama selain Agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang yang rugi."

Al-Quran menjelaskan kepada kita bahawa para Rasul dan Islam yang diperjuangkan tidak pernah sunyi daripada tentangan dan serangan musuh-musuhnya. Kitab-kitab suci termasuk al-Quran diingkari serta diperburukkan dengan pelbagai label. Demikian juga dengan para RasulNya yang difitnah dengan pelbagai tuduhan seperti tukang sihir, tukang tilik, orang gila, pemecah masyarakat dan sebagainya. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT dengan FirmanNya dalam surah al-An'am ayat 112 yang bermaksud:

"Dan demikianlah kami jadikan bagi tiap-tiap jin itu musuh dari syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengah yang lain kata-kata dusta yang indah-indah untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika dikehendaki Tuhanmu, tentulah mereka tidak melakukannya. Maka biarkan mereka dan apa yang mereka ada-adakan itu."

Demikian juga Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 120 yang bermaksud:

"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu)."

Jika demikian penegasan Allah SWT, maka tidak hairanlah apa yang berlaku sekarang ini di mana kesucian Islam difitnah oleh musuh-musuh Islam dari pelbagai sudut. Fitnah dan pembohongan jahat sekarang ini telah dilakukan pula oleh seorang Ahli Parlimen Belanda melalui filem ciptaannya 'FITNA' yang memutarbelitkan beberapa ayat al-Quran yang dakwanya Islam menganjurkan keganasan.

Filem tersebut benar-benar fitnah dan propaganda jahat untuk memperburuk-burukkan Islam dan memporak-perandakan ummah. Begitu juga dengan seorang paderi Kristian di Amerika Syarikat yang mendakwa al-Quran sebagai pencetus kepada keganasan dan merancang untuk membakar al-Quran sempena memperingati kejadian 11 September 2001.

Adalah satu hakikat bahawa perpecahan ummah akan membuka peluang kepada musuh-musuh Islam untuk mengambil kesempatan melemahkan ummah dan Islam. Munculnya beberapa fitnah dan serangan terhadap Islam mutakhir ini adalah kerana runtuhnya perpaduan ummah. Oleh kerana itulah Allah SWT melarang keras terhadap segala elemen perpecahan. Ini selaran dengan amaran Allah SWT di dalam surah Ali Imran ayat 103 yang bermaksud:

"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (Agama Islam), dan janganlah kamu bercerai berai."

Justeru itu, semua pihak di negara kita tanpa mengira fahaman hendaklah bersatu padu atas satu matlamat perjuangan, iaitu memelihara agama dan negara dari dicerobohi oleh musuh dari dalam dan luar negara.

Firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 60 yang bermaksud:

"Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap bersedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya."

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: