Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, July 14, 2011

Membentuk anak-anak menjadi insan cemerlang


Anak-anak merupakan aset yang paling berharga kepada kedua-dua ibu bapa. Mereka merupakan penyeri atau perhiasan dalam sesebuah rumahtangga. Apatah lagi jika anak-anak berkenaan menjadi anak yang soleh dan berbakti kepada keluarga, masyarakat dan negara. Sudah tentu kedua ibu bapanya mendapat nikmat di dunia. Manakala ganjaran pahala di akhirat begitu tinggi dan besar ertinya yang bakal diterima di akhirat kelak.

Sebaliknya, jika anak-anak yang tidak mendengar nasihat ibu bapa, degil, engkar, liar, melakukan dosa dan maksiat kepada Yang Maha Esa, sudah pasti ianya menjadi beban kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Anfal ayat 28 yang bermaksud:

"Ketahuilah bahawa harta benda kami dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar".

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mencorakkan anak-anak seperti mana yang dikehendaki oleh Islam, bukan mengikut corak yang mereka pilih atau sukai. Oleh itu, anak-anak perlu dididik, diasuh dan dijaga dengan sebaik-baiknya supaya hidupnya kelak sentiasa beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.

Proses pendidikan anak-anak bermula di peringkat awal lagi, iaitu semasa masih dalam kandungan. Bermula dari sini proses pertumbuhan janin mengikut cara amalan pemakanan dan doa si ibu bapa. Dalam hal ini juga, Rasulullah SAW amat menekan kepada keutamaan memilih pasangan yang beragama daripada memilih lain-lain kriteria, dalam usaha mempastikan agar zuriat yang bakal dilahirkan nanti adalah anak-anak yang soleh.

Sabda Rasulullah SAW:

"Dari Abu Hurairah r.a. katanya : Nabi s.a.w. bersabda : Kahwini wanita kerana empat perkara : kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya, dan kerana agamanya. Maka utamakan isteri yang beragama pasti tidak akan rugi".

Oleh sebab itu, menjadi faktor utama bahawa ibu bapa yang melahirkan anak, hendaklah ibu yang beriman kepada Allah SWT dalam erti kata lain, ibu yang taat menjalankan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Begitu juga halnya dengan soal pemakanan yang diambil oleh ibu-ibu yang mengandung. Mereka hendaklah makan makanan yang halal, bersih dan berzat kerana ianya boleh mempengaruhi perkembangan dan pembesaran anak-anak sama ada dari aspek fizikalnya mahupun tabiat akhlaknya. Pengambilan makanan dari sumber-sumber yang tidak halal (haram), nescaya akan meninggalkan kesan yang negatif kepada anak-anak yang bakal dilahirkan seperti kecacatan, kerencatan akal fikiran, dungu dan sebagainya.

Rasulullah SAW bersabda:

"Tiap-tiap daging yang tumbuh dari sesuatu yang haram, maka neraka lebih layak untuknya".

Bagi membentuk anak-anak menjadi insan cemerlang, kedua ibu bapa hendaklah juga terdiri daripada manusia yang cemerlang, bagaimana mungkin ibu bapa yang derhaka, rumahtangga yang porak peranda dapat membentuk keluarga yang sejahtera. Pendidikan dan asuhan yang diberikan oleh ibu bapa adalah asas untuk anak-anak bertapak apabila mereka dewasa kelak. Ibu bapa adalah cermin yang mudah dijadikan tontonan oleh anak-anaknya. Oleh itu dalam mendidik anak-anak supaya beriman kepada Allah dan berakhlak mulia maka ibu bapa juga hendaklah terlebih dahulu memiliki sifat yang mulia ini. Contoh yang baik dari ibu bapa akan menjadi ikutan kepada anak-anak begitu jugalah sebaliknya. Doa yang baik perlu diamalkan ketika ibu mengandung lagi, bagi mendapat insan soleh. Antara doa-doa yang dianjurkan untuk dibaca ketika ibu-ibu sedang mengandung seperti yang terkandung dalam surah al-Furqan ayat 74 yang bermaksud:

"Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang ) yang berdoa' dengan berkata : Wahai tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyukakan hati malihatnya dan jadikanlah kami ikutan bagi orang-orang yang mahu bertakwa".

Pendidikan Aqidah hendaklah disemai sejak kecil lagi selaras dengan tuntutan Islam supaya setiap anak yang baru dilahirkan hendaklah diazankan atau diiqamatkan. Apabila anak-anak mencapai umur mumayyiz hendaklah disuruh melaksanakan sembahyang dan lain-lain ibadat yang difardhukan ke atasnya. Ibu bapa hendaklah sentiasa menggalakkan anak-anak berakhlak dengan akhlak yang mulia (mahmudah) dan melarang dari melakukan sifat-sifat cela (mazmumah).

Jika ibu bapa atau penjaga telah dapat menyempurnakan amanah mendidik dengan sebaik-baiknya, nescaya anak-anak mereka akan menjadi anak yang soleh. Antara tanda-tanda yang dapat dilihat sebagai anak yang soleh ialah:
  1. Taat kepada Allah SWT dan Rasul SAW dalam ertikata melaksanakan yang diperintah dan meninggalkan segala larangan-Nya, serta tidak menyekutukan Allah baik secara terang mahupun sembunyi.
  2. Taat dan hormat kepada kedua ibu bapa dengan berbakti kepadanya, mengasihi dan mendoakan kebaikan kepada mereka semasa hidup apa lagi setelah mereka meninggal dunia.
  3. Memiliki segala sifat-sifat mahmudah serta menjauhi segala sifat-sifat mazmumah.  Antaranya seperti sabar, syukur, ikhlas, tawakkal, taubat, taqwa dan sebagainya.  Manakala sifat-sifat mazmumah yang perlu dihindari seperti bohong, bakhil, khianat, hasad dengki, riak, takbur, ujub dan lain-lain lagi.

Ketika cuti sekolah, ibu bapa perlu menyusun jadual hidup anak-anak. Tidak bererti apabila sekolah bercuti anak-anak turut bercuti daripada menelaah buku-buku pelajaran. Sebagai ibu bapa yang prihatin, seharusnya kita berusaha memanfaatkan percutian ini bersama anak-anak dengan aktiviti berfaedah seperti membawa anak-anak ke perpustakaan, kem-kem perkhemahan motivasi atau balik ke kampung untuk menziarahi datuk nenek dan juga ahli keluarga.

Ibu bapa juga haruslah beringat bahawa untuk mendapatkan ilmu di zaman moden ini memerlukan wang ringgit bagi menyediakan kelengkapan persekolahan. Anak-anak yang bersekolah memerlukan pakaian, alat tulis, buku-buku teks, yuran dan sebagainya.

Cuba bayangkan bagaimana perasaan anak-anak kita bersekolah dengan keadaan serba kekurangan sedangkan rakan di sebelahnya lengkap dengan semua peralatan dan keperluan. Ini tentu sahaja boleh menimbulkan rasa rendah diri dan menjejaskan prestasi pembelajaran anak-anak. Menyedari keadaan ini pihak kerajaan telah memberikan bonus dan elaun di akhir tahun bagi menampung sebarang kekurangan. Ibu bapa pula hendaklah membelanjakannya bagi kemajuan dan kecemerlangan anak-anak.

Anak-anak adalah amanah Allah, maka menjadi tanggungjawab ibu bapa memastikan anak-anak kita kukuh pegangan akidahnya kerana apabila anak-anak kita kukuh pegangan akidahnya ia dapat menangkis sebarang bentuk ancaman dan tidak mudah terperangkap dengan gerakan ajaran menyeleweng lebih-lebih lagi ajaran yang telah difatwa oleh pihak berkuasa.

Renungi firman Allah SWT di dalam surah al-Tahrim ayat 6 yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya manusia dan batu (berhala) : neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat-Nya yang keras kasar (layanannya) meraka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan".

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: