Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, July 12, 2011

Perjanjian Hudaibiah


Pada bulan Zulkaedah tahun keenam Hijrah, Rasulullah S.A.W. membuat keputusan untuk pergi ke Mekah bersama-sama sahabat baginda untuk mengerjakan Umrah.

Keputusan ini dibuat setelah selesai peperangan antara baginda serta para sahabat dengan orang-orang Quraisy.

Tetapi orang-orang Quraisy menolak keputusan ini dengan keras, angkuh dan sombong walaupun mereka mengetahui bahawa Rasulullah S.A.W. ingin pergi ke Mekah hanya untuk mengerjakan umrah dalam keadaan baik, bukannya untuk berperang.

Mereka tidak berhak melarang baginda mengunjungi Baitullah Al-Haram yang telah dijadikan oleh Allah sebagai tempat tumpuan dan tempat yang aman bagi seluruh umat manusia.

Lalu Rasulullah berkumpul di Hudaibiah, iaitu sebuah tempat yang terletak berhampiran dengan bandar Mekah.

Dari sana baginda banyak membuat perundingan dengan orang-orang Quraisy untuk mencari jalan perdamaian dan mengelakkan berlakunya pertumpahan darah.

Rundingan tersebut berakhir dengan menandatangani perdamaian sementara yang dikenali dengan `Perjanjian Hudaibiah' di mana syarat-syaratnya yang terpenting ialah:

- Menghentikan peperangan antara kedua-dua belah pihak selama sepuluh tahun. Dalam tempoh tersebut orang ramai bebas serta aman untuk bermusafir dan berpindah ke mana sahaja yang mereka inginkan.

- Pada tahun tersebut, Rasulullah dan para sahabat baginda hendaklah pulang ke Madinah tanpa mengerjakan Umrah di mana jumlah mereka pada ketika itu menjangkau seramai lebih kurang seribu empat ratus orang.

Mereka hendaklah datang pada tahun berikutnya dan orang-orang Quraisy hendaklah memberi peluang kepada umat Islam untuk mengerjakan Umrah selama tiga hari di Mekah kemudian mereka hendaklah kembali semula ke Madinah.

- Sesiapa yang datang dari Mekah ke Madinah untuk memeluk Islam tanpa mendapat keizinan daripada penjaganya, Rasulullah S.A.W. hendaklah mengembalikannya semula kepada mereka.

Sebaliknya sesiapa sahaja dari kalangan umat Islam yang datang dari Madinah ke Mekah dalam keadaan murtad, dia tidak perlu dikembalikan semula ke Madinah.

- Jika ada kabilah-kabilah yang ingin bergabung dengan salah satu pihak yang membuat `Perjanjian Perdamaian Sementara' itu, ia bolehlah berbuat demikian.

Ekoran daripada syarat ini, Kabilah Khuzaah bergabung dengan Nabi S.A.W. sementara Kabilah Bani Bakar pula bergabung dengan Quraisy.

Secara zahir, perjanjian ini merugikan kepentingan politik umat Islam sehingga banyak menimbulkan bantahan daripada beberapa orang para sahabat yang melihat bahawa tindakan tersebut merupakan suatu penghinaan kepada mereka, seperti Umar bin Al-Khattab r.a.

Tetapi sebenarnya, ia merupakan suatu kemenangan yang jelas kepada umat Islam sebagaimana yang disebut oleh Allah di dalam surah Al-Fath yang diturunkan kepada Rasulullah S.A.W. ketika baginda masih dalam perjalanan pulang dari Hudaibiah.

Hasil perjanjian ini banyak menguntungkan umat Islam dan menjadi perintis ke arah pembukaan Kota Mekah selepas dua tahun berikutnya.

Dari arkib Utusan Malaysia

No comments: