Pengikut dan Ex-smgrian
Tuesday, July 12, 2011
Berpesan dengan kebenaran
Masa untuk menunaikan haji sudah semakin dekat. Rasulullah s.a.w. bersama para sahabatnya dan beribu-ribu lagi umat Islam telah meninggalkan Madinah untuk ke Tanah Suci Mekah.
Akhirnya mereka tiba di Padang Arafah untuk berkumpul menunaikan ibadah haji.
Umat Islam membanjiri kawasan tersebut, juga di luar kawasannya.
Kemudian, Rasulullah s.a.w. bersiap sedia untuk memberikan ucapannya yang sangat bermakna.
"Wahai umatku! Dengarlah apa yang akan aku sampaikan kepada kamu semua, kerana aku tidak tahu bila aku akan dapat bersama kamu semua lagi.
"Kehidupan kamu adalah suci dan tidak boleh dicabuli oleh orang lain sehingga hari ini. Dan bulan ini adalah bulan yang suci pada semua orang sehinggalah kamu semua akan menemui Penciptamu.
"Ingatlah, kamu akan bertemu dengan Tuhanmu dan kamu akan dituntut oleh-Nya mengenai perbuatanmu semasa kamu masih hidup.
"Wahai kaumku! Kamu mempunyai hak terhadap isteri-isterimu, dan isteri-isterimu mempunyai hak terhadap kamu.
"Jagalah isteri-isteri kamu dengan baik dan kasih sayang, kerana kamu telah diamanahkan oleh Allah untuk menjaga mereka.
"Makan riba adalah diharamkan. Kedudukan orang Arab dengan orang bukan Arab sama sahaja. Kita semua adalah anak Adam dan diciptakan daripada tanah.
"Wahai kaumku! Dengar dan fahamkanlah apa yang akan aku katakan. Ketahuilah bahawa semua umat Islam adalah bersaudara. Peliharalah diri kamu daripada melakukan ketidakadilan.
"Dan hamba-hambamu, berilah mereka makanan sebagaimana kamu makan dan berikanlah mereka pakaian sebagaimana pakaian yang kamu pakai.
"Jika hambamu melakukan suatu kesalahan yang tidak akan dapat kamu maafkan, maka berpisahlah dengan hambamu itu, kerana mereka adalah hamba kepada Allah dan tidak patut kamu berlaku kasar terhadap mereka.
"Aku akan tinggalkan kamu dengan dua perkara. Selagi kamu berpegang kepada perkara-perkara tersebut, nescaya kamu akan selamat di dunia dan di akhirat.
"Salah satu daripada perkara-perkara itu ialah al-Quran, dan yang satu lagi adalah sunah-sunah Rasulullah.
"Wahai umatku! Sudahkah aku menyampaikan risalahku terhadap kamu semua?"
Semua yang hadir di situ menjawab dengan sebulat suara, "Ya, bahawasanya kamu telah melakukannya".
Setelah mendengar jawapan itu, Rasulullah s.a.w. pun tersenyum dan menitiskan air mata sebagai tanda gembira.
Sambil itu baginda mengangkat kedua-dua tangannya dengan menggigil dan berdoa kepada Allah : "Ya Allah ya Tuhanku, sesungguhnya kamu menjadi saksi bahawa aku telah melakukan perintah-Mu."
Huraian kepimpinan
1. Pemimpin Islam hendaklah sentiasa berpesan dengan kebenaran demi sama-sama mendapat rahmat Allah hidup di dunia dan di akhirat.
Pemimpin hendaklah sentiasa menilai kembali kepimpinannya dengan merujuk kepada pendapat dan pandangan umat tentangnya.
Pemimpin seharusnya tidak sekali-kali cuba untuk mengelakkan diri daripada mengingatkan hak umatnya demi kepentingan dirinya sendiri.
2. Sesungguhnya pemimpin Islam hendaklah sentiasa berazam memberikan khidmat yang terbaik kepada masyarakat mengikut tuntutan Islam dan takut kepada pembalasan Allah.
Dari arkib Utusan Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment