Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, July 26, 2011

AIDS mengancam kesejahteraan manusia


Allah SWT telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik rupa dan sifat. Allah SWT juga telah memuliakan manusia berbanding makhluk-makhlukNya yang lain. Anugerah kemuliaan ini tidak lain adalah kerana manusia mempunyai kemampuan menguasai kebijaksanaan dengan akal fikiran. Dengan akal fikiran manusia mampu membezakan antara yang hak dan yang batil.

Apabila akal fikiran manusia sentiasa dimanfaat dengan baik serta diasah sehingga mencapai tahap kematangan, maka akan bertambahlah kematangan dan pengalaman dalam hidup. Seterusnya bertambahlah nilai keimanan dalam diri seseorang serta menjadikan mereka lebih dekat dan takut dengan Allah SWT.

Allah SWT berfirman di dalam surah al-Fathir ayat 28 yang bermaksud:

"Dan demikian pula diantara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut kepada Allah (melanggar perintah-Nya) dari kalangan hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Pengampun."

Maka atas dasar inilah Islam sentiasa menggesa setiap umatnya agar mencari ilmu dan menjaga akal fikiran serta berusaha menjadi insan yang berguna untuk diri, keluarga, masyarakat dan negara.


MANUSIA SEBAGAI PEMIKUL AMANAH ALLAH

Berdasarkan kemuliaan manusia berbanding dengan makhluk-makhluk Allah yang lain maka telah diberi kepada manusia sifat khusus iaitu tanggungjawab memikul amanah Allah yang tidak tertanggung oleh makhluk-makhluk lain.

Walaupun makhluk itu besar dan gagah berbanding manusia seperti matahari, bulan, bintang, bukit-bukau, haiwan dan sebagainya namun makhluk-makhluk ini hanya besar pada bentuknya sahaja tetapi kecil pada kebolehan dan kesanggupan untuk menjadi makhluk Allah yang terbaik bagi memikul amanahNya.

Kerana itu Allah SWT telah membekalkan manusia dengan akal fikiran semenjak manusia dilahirkan lagi. Sekiranya akal ini dikembangkan, maka dengannya manusia akan dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk dalam tindakan atau yang benar dan yang salah dalam keyakinan.

Kemudian Allah telah menurunkan kepada manusia petunjukNya yang berisi ketegasan tentang baik dan buruk atau apa yang benar dan yang salah seperti FirmanNya dalam surah al-Insan ayat 3 yang bermaksud:

"(kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka) sesungguhnya kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadanya) sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun ia berlaku kufur (dengan menginkari kebenaran atau menderhaka)."


AIDS PENYAKIT YANG BELUM ADA PENAWAR

Bagaimanapun keistimewaan dan kemuliaan akal fikiran manusia yang dikurniakan oleh Allah demi kesejahteraan hidup manusia telah pun dicemari dan dirosakkan. Perkara yang dimaksudkan ialah penyakit AIDS yang kini menjadi penyakit sejagat yang belum ada ubat dan penawarnya.

AIDS atau akronim untuk Acquired Immune Deficiency Syndrome, dalam bahasa Melayunya Sindrom Kurang Daya Menahan Penyakit adalah disebabkan oleh sejenis virus yang dikenali sebagai Human Immunodeficiency Virus atau ringkasnya HIV yang menyebabkan kegagalan sistem tubuh untuk melawan penyakit kerana HIV telah memusnahkan sel yang bertanggungjawab melawan penyakit disebabkan oleh kuman, bakteria, virus dan lain-lain.

Penyakit AIDS mula dikesan sejak tahun 80'an dan berbagai usaha telah dilakukan untuk mencegah dan mengubati penyakit ini namun masalah ini masih membelenggu kitaran hidup masyarakat di seluruh dunia dan juga negara kita. Masalah AIDS ibarat duri dalam daging kerana sentiasa menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat mahupun penggubal polisi negara.

Secara kasarnya AIDS telah membunuh lebih 25 juta orang sejak ia mula dikesan pada tahun 1981. Mengikut statistik kematian akibat Aids untuk tahun 2007 yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak 305 kematian dicatatkan di negeri bersempadan Kelantan dan diikuti Johor dengan 197 kematian. Manakala Selangor dengan 173 kematian.

Jumlah yang menghidap HIV/Aids di tiga buah negeri itu juga merupakan angka yang tertinggi bagi tahun yang sama. Selangor mencatatkan jumlah tertinggi penghidap baru untuk tahun 2007 dengan 897 kes diikuti Kelantan dengan 722 kes dan Johor dengan 719 kes.

Berdasarkan fakta yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia itu, ianya cukup menakutkan kita. Di antara punca merebaknya penyakit AIDS ialah melalui saluran yang sememangnya diharamkan oleh Allah SWT. AIDS juga mendapat nama jolokan yang baru iaitu sindrom Angkara Iblis Dadah Seks. Nama jolokan ini diberikan kerana AIDS sinonim dengan aktiviti yang diharamkan seperti seks bebas, homoseksual, lesbian dan penagihan dadah secara perkongsian jarum suntikan yang telah tercemar dengan kuman HIV. Meskipun ada juga kes seseorang itu dijangkiti kuman HIV secara tidak disengajakan namun punca utama AIDS merebak adalah kerana aktiviti yang dilarang itu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menetapkan tarikh 1 Disember setiap tahun sebagai Hari AIDS Sedunia sejak tahun 1988. Hari AIDS Sedunia merupakan satu kempen untuk meningkatkan kesedaran berkaitan penyakit AIDS atau bahaya HIV. Melalui kempen ini pesakit-pesakit HIV dan orang awam dapat mengetahui tentang bahaya penyakit AIDS dan juga HIV.

Malaysia juga turut sama berusaha menangani wabak AIDS bersama-sama negara lain dengan memberi komitmen di peringkat serantau dan dunia dalam konteks pencegahan dan kawalan HIV.

Kementerian Kesihatan Malaysia telah menjalankan aktiviti saringan HIV di kalangan penagih dadah yang bakal berkahwin dan yang telah berumahtangga. Saringan ini dijalankan untuk mencegah jangkitan HIV daripada disebarkan kepada pasangan mereka seperti isteri dan anak-anak. Ujian darah kepada bakal pengantin dan ujian HIV tanpa nama dijalankan di klinik kesihatan kerajaan secara percuma.

Sebaik-baiknya kita menginsafi diri sejauh mana kita telah menjalankan amanah Allah menjaga diri, keluarga dan mereka yang berada di bawah jagaan kita agar mereka selamat dari penyalahgunaan dadah dan perkara-perkara mungkar yang boleh menjerumus diri ke lembah kehinaan dan azab siksaan api neraka Allah SWT.

Usaha untuk membendung masalah AIDS adalah tidak wajar dibebankan kepada pihak tertentu dan disalahkan pihak tertentu. Setiap ahli masyarakat bermula daripada individu, keluarga, masyarakat dan negara hendaklah menghayati ajaran Islam yang merupakan sistem hidup yang lengkap mengatur hidup manusia.

Jangan terpedaya dengan hasutan dunia dan hawa nafsu sehingga kita merasakan tidak berdosa melakukan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah kerana hanya orang yang beriman dan mempunyai akidah yang betul sahajalah dapat menjiwai ajaran Islam dan menghayatinya dalam kehidupan mereka.

Allah SWT berfirman di dalam surah an-Nur ayat 51 yang bermaksud:

"Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada kitab Allah dan Rasul-Nya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu diantara mereka, hanyalah mereka berkata : " kami dengar dan kami taat" dan mereka itulah yang beroleh kejayaan."


PERKARA-PERKARA YANG BOLEH MENCEGAH AIDS

Di antara perkara-perkara yang boleh mencegah dan mengawal diri, keluarga dan masyarakat kita dari terjebak dan terjerumus dengan gejala dadah serta perkara-perkara mungkar yang mengundang kepada penyakit AIDS:
  1. Anak-anak hendaklah dididik dengan didikan agama yang sempurna.  Tanamkan penghayatan akidah dalam hati dan jiwa mereka di samping sentiasa mengawasi dan memastikan mereka tidak mengabaikan kewajipan ibadah kepada Allah SWT.
  2. Ibu bapa hendaklah menjadi contoh terbaik kepada anak-anak dan sentiasa memberi tunjuk ajar yang terbaik kerana anak-anak merupakan amanah dari Allah SWT.
  3. Jauhkan anak-anak dan keluarga kita daripada sebarang bentuk hiburan yang melalaikan dan pastikan mereka sentiasa menutup aurat serta jangan biarkan mereka bergaul bebas sesama lelaki dan perempuan yang boleh mendekatkan kepada zina.
  4. Kerjasama semua pihak amat penting dalam membendung wabak AIDS terutama kempen mencegah HIV dan AIDS.
  5. Para pendidik, ketua-ketua dan para pemimpin masyarakat dari sekecil-kecilnya hinggalah sebesar-besarnya, hendaklah sama-sama mendidik generasi dan umat Islam dengan penghayatan roh Islam yang sebenar dengan sentiasa memberi contoh tauladan yang baik.

Sebagai penutup, renungi dan hayati firman Allah SWT di dalam surah al-Taubah ayat 71 yang bermaksud:

"Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain, mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberikan zakat serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana)."

sumber: e-khutbah JAKIM, Kementerian Kesihatan Malaysia

No comments: