Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, August 28, 2009

Sekolah Menengah Agama Al-Hidayah

Sekolah Menengah Agama Al-Hidayah ditubuhkan pada tahun 1949. Pada mulanya ia dikenali dengan nama Madrasah Al-Hidayah Ad-Diniah. Namanya ditukar kepada Sekolah Menengah Agama Rakyat Al-Hidayah sekitar 90-an.

Kini Sekolah Menengah Agama Al-Hidayah telah menjadi Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). Sekolah ini menyediakan pengajian agama serentak dengan pengajian akademik.

Sekolah ini memiliki prasarana pembelajaran seperti kelas, asrama, gelanggang sukan, bengkel kemahiran hidup bersepadu, bilik komputer dan sebagainya.

Antara pengajian agama yang disediakan merangkumi pengajian Feqah, Tafsir, Hadis, Adab Nusus, Insya' dan lain-lain.

Pelajaran akademik mengikut sukatan wajib di dalam KBSM.

Pengajian dari Tingkatan 1 sehingga Tingkatan 6 dan perlu mengambil peperiksaan seperti PMR, SPM, I'dadie, Thanawi dan STAM.

Sumber: Sinar Harian.

Taman Perlindungan Burung Kuala Gula

(Imej dari www.malaysianaturalheritage.com)

Hutan Paya Bakau Matang adalah ekosistem hutan paya bakau yang paling besar di Semenanjung Malaysia.

Hutan ini meliputi kawasan sepanjang 50 kilometer bahagian pantai barat di utara negeri Perak dan 40 kilometer lagi di sepanjang pinggiran sistem sungai dalam lima kawasan muara yang terlindung.

Sewaktu musim penghijrahan burung antara Ogos dan April setiap tahun, terdapat lebih dari 200,000 burung kira-kira 50 spesies dijangka singgah di sini.

Pusat maklumat pelawat yang lengkap disediakan di sini bagi membolehkan pelawat memahami kepentingan memelihara dan menjaga ekosistem hutan paya bakau dan burung yang tinggal atau yang singgah di sini menerusi program pembelajaran serta bahan pameran yang disediakan.

Taman Perlindungan Burung Kuala Gula pernah memenangi anugerah Tarikan Pelancongan Terbaik (Tarikan Semula Jadi) sewaktu majlis Anugerah Pelancongan Malaysia iaitu sebuah majlis gemilang yang menyampaikan anugerah kepada agensi dan pertubuhan menyumbang kepada pembangunan pelancongan di Malaysia.

Sumber: destinasipelancongandimalaysia.blogspot.com

Thursday, August 27, 2009

SEMESTI


Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (SEMESTI) mula dibina pada bulan September 1980. Awal tahun 1984 SEMESTI mula menerima pelajar baru. Pada masa itu pelajarnya berjumlah 425 orang yang terdiri dari pelajar Tingkatan 1 dan 4 serta kelas Pra Universiti, AET (Australian English Test). Dalam tahun 1985 pelajar GCE 'A' Level memulakan pengajian mereka di sekolah ini.

SEMESTI pernah mencapai rekod cemerlang dalam bidang akademik iaitu dalam peperiksaan SPM 1986, SEMESTI mencapai 100% kelulusan (180 calon mendapat Gred 1, 6 calon mendapat Gred 2 dan 5 calon mendapat Gred 3).

Keputusan SPM tahun 1987 sekali lagi SEMESTI mencapai kelulusan 100% (130 calon mendapay Gred 1 dan 3 calon mendapat Gred 2) dan merupakan keputusan kedua terbaik di Malaysia.

Sumber: Sinar Harian

Loghat Perak 26

Seluin

Maksud: selekeh

Contoh ayat: "Apa ke hey kamu ni yob, seluin bebenor aku nengok?"

Ayat moden: "Kenapa kamu ni selekeh sangat?"

Sumber: Sinar Harian

Loghat Perak 25

Tak mandang - tiada, tak nampak

Tak semiak - tidak sihat

Tak sio, tak bulo - tak mahu, enggan

Tenggek - letak atas api (untuk dimasak)

Tengi - hapak

Tengin - bodoh

Teqolap, tekolap - terseliuh, terkehel

Tokek - takok

Tumpo - mati

Sumber: Sinar Harian

Wednesday, August 26, 2009

Jurulatih-jurulatih skuad bola sepak kebangsaan

Allan Harris

Pada bulan Disember tahun 2000, Allan Harris telah dilantik sebagai jurulatih skuad bola sepak Malaysia menggantikan tempat Claude Leroy. Jurulatih dari Perancis, Allan Harris bukan nama yang begitu asing dalam persada bola sepak antarabangsa. Beliau merupakan pembantu kepada Terry Vanables ketika mengendali skuad Barcelona dan baginya mengendalikan skuad bola sepak Malaysia bukanlah suatu tugas yang begitu sukar. Setelah beberapa tahun mengendali skuad kebangsaan Malaysia bukanlah semudah yang beliau sangkakan.

Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) menaruh harapan yang begitu tinggi terhadapnya. Dalam pada itu, beliau menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pemain-pemain yang mempunyai pengalaman bermain di luar negara. Beliau juga ditugaskan untuk mengendali skuad bawah 23 tahun dan segala pembangunan pemain-pemain remaja diletakkan di atas kendalian beliau.

Beliau berjaya membantu skuad Malaysia mendapat pingat perak dalam kejohanan Sukan SEA pada 2001, namun media tempatan begitu jelas mempertikaikan kredibiliti beliau sebagai seorang jurulatih professional. Kritikan tersebut telah membebankan lagi tugas beliau selaku jurulatih skuad bola sepak Malaysia dan akhirnya kontrak beliau telah ditamatkan pada tahun 2004, setelah Malaysia tewas kepada China 0 - 4 dalam kelayakan Piala Dunia 2006.

Beliau sempat memberikan komen terakhirnya kepada wartawan tempatan dengan menyelar pemain-pemain Malaysia yang terlalu sukar untuk dikendalikan kerana mereka seperti tidak tahu untuk menilai kasut yang mana lebih sesuai untuk dipakai ketika bermain di padang-padang tertentu.


Bertalan Bicskei

Selepas Allan Harris meninggalkan pasukan kebangsaan pada tahun 2004, FAM telah mencadangkan seorang pengganti kepada Harris iaitu Bertalan Bicskei, bekas penjaga gol dan jurulatih kebangsaan Hungary pada 1 Julai 2004. Jurulatih seperti Bob Houghton dan Dragoslav Stepanovic telah menjadi calon untuk mengisi tempat selaku ketua jurulatih pasukan Malaysia sebelum FAM akhirnya telah bersetuju mengambil Bicskei.

Bicskei telah membawa pasukan Malaysia meraih tempat ketiga pada Piala Tiger 2004, walaupun mempunyai satu pasukan yang dianggap 'tidak cukup kuat' oleh media tempatan. Media tempatan tidak bersetuju dengan pemilihan Mohd Amri Yahyah dan Muhamad Khalid Jamlus untuk diserapkan ke dalam skuad Malaysia.

Walau bagaimanapun kedua-dua pemain yang dipilih Bicskei ini menunjukkan kemampuan mereka apabila Khalid berjaya menjadi penjaring kedua terbanyak kejohanan di belakang penyerang Indonesia, Ilham Jaya Kesuma manakala Amri menjadi tonggak penting dalam kemenangan Malaysia ke atas Thailand dan Indonesia.

Semasa perlawanan persahabatan menentang Singapura di Pulau Pinang pada 8 Jun 2005, Bicskei telah melempar botol ke padang sebelum menerjah salah seorang pemain Singapura atas alasan cuba melindungi pemainnya dan tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan oleh pengadil.

Pada September 2005, kontrak Bicskei telah ditamatkan FAM. Ini kerana Bicskei cuba mendapatkan lebih banyak perlawanan persahabatan untuk kemajuan pasukan Malaysia, tetapi FAM mempunyai pendapat sendiri.


Norizan Bakar

Norizan Bakar menjadi ketua jurulatih pasukan Malaysia selepas tamatnya kontrak Bertalan Bicskei. Sepanjang menjadi ketua jurulatih Malaysia, Norizan dikecam hebat oleh media tempatan atas kegagalan pada kejohanan yang disertai skuad Malaysia. Bagaimanapun, Norizan sempat membawa Malaysia memenangi pingat gangsa pada Sukan SEA 2005 selepas menewaskan Indonesia 1 - 0 dan ke separuh akhir Piala ASEAN 2007, di mana Malaysia tewas menerusi sepakan penalti oleh Singapura. Jawatan Norizan selaku ketua jurulatih dilucutkan oleh FAM selepas persembahan memalukan skuad Malaysia pada Piala Asia 2007 di mana Malaysia tewas 1 - 5 kepada China, 0 - 5 kepada Uzbekistan dan 0 - 2 kepada Iran.


B. Sathianathan

Selepas pemecatan Norizan Bakar, B. Sathianathan mengambil alih selaku ketua jurulatih. Meskipun mempunyai reputasi hebat selepas membantu skuad bawah 23 Malaysia menjuarai Pesta Bola Merdeka, B. Sathianathan gagal membawa Malaysia beraksi lebih jauh pada kelayakan Piala Dunia setelah tewas 4 - 1 dan seri 0 - 0 dengan Bahrain pada pusingan kelayakan. Pada tahun 2008, Sathianathan membawa Malaysia sekali lagi ke peringkat akhir Pesta Bola Merdeka. Namun Malaysia tumpas menerusi sepakan penalti kepada Vietnam.

Pada kejohanan Piala AFF Suzuki 2008, FAM mensasarkan Malaysia mara ke perlawanan akhir. Malaysia bermula baik apabila menang 3 - 0 dengan pasukan kebangsaan Laos. Malaysia tumpas 2 - 3 kepada Vietnam pada perlawanan kedua kerana kesilapan penjaga gol Mohd Helmi Eliza Elias. Malaysia akhirnya tersingkir apabila tewas 3 - 0 kepada Thailand dan buat kali pertama tersingkir pada peringkat kumpulan sejak 1998.

Status Sathia sebagai jurulatih mula menjadi tanda tanya apabila timbul khabar angin yang mengatakan dia akan digantikan dengan Peter Withe. Bagaimanapun kontrak Sathia dikekalkan dengan bersyarat dia perlu meningkatkan kedudukan Malaysia dalam ranking FIFA.

Pada kejohanan kelayakan Piala Asia 2011, pasukan Malaysia mengalami kekalahan 0 - 5 kepada pasukan Emiriah Arab Bersatu. Kekalahan tersebut menyebabkan penyokong mengkritik FAM dan jurulatih Malaysia, Sathianathan. Lantas Sathianathan mengatakan dia bersedia untuk berundur demi kemajuan pasukan Malaysia. Dia juga mengkritik Liga Malaysia dengan mengatakan Liga Malaysia bukan kejohanan bola sepak yang sebenar. Akhirnya pada Februari 2009, kontrak beliau dan pengurus pasukan Soh Chin Aun ditamatkan FAM.


K. Rajagopal

Semenjak K. Rajagopal dipilih menjadi jurulatih kebangsaan Malaysia pada April lalu, persediaan terarah ke Sukan SEA yang menyaksikan kemenangan ke atas Shanghai Zhong Bang 2 - 1 dalam perlawanan persahabatan di China dan menang 3 - 0 ke atas skuad Bawah 23 Singapura, Young Lions 3 - 0. Pada perlawanan persahabatan dengan pasukan sebaya Indonesia, Malaysia menang 1 - 0 jaringan Mohd. Zaquan Adha Abd. Razak.

Sumber: Sinar Harian

Loghat Perak 24

Ghawe - mengambil habis isi makanan dengan tangan

Ghenik - halus, kecil

Ghoneh - menrosakkan (bunga umpamanya)

Gocoh - tergesa-gesa

Gogok - teguk air terus dari teko

Hingo - bising

Hunte - buat sesuatu dengan bersungguh-sungguh

Kemin - kemas (buatannya)

Kokak - gigit

Laung - panggil

Lebo - lebam kena api, melecur

Lenyo - lembik

Lesyo - pinggan nipis

Ngeligih - menggeletar

Ngeluse - menggaru-garu (gatal)

Pan (opan) - nenek perempuan

Peghonjang - membawa maksud 'tak akan'

Penganan - makanan, kuih

Sange - tudung saji

Selimbo - sembilu

Selogho - bergurau, seloroh

Semawe - pelawa, menjemput

Semedang - sentiasa, kerap kali

Suntin - anting-anting

Sumber: Sinar Harian

Tuesday, August 25, 2009

Penghuni-penghuni di tangan anda


Clostridium Difficile - bakteria yang mengakibatkan bengkak usus.

Staphylococcus - bakteria yang menyebabkan bisul.

Bacillus Species - agen pencemar biasa

Beta Streptococci - bakteria yang menyebabkan sakit tekak.

Influenza A - virus yang menyebabkan pneumonia

Escherichia Coli (E. Coli) - bakteria yang menyebabkan cirit-birit dan jangkitan saluran urinari (saluran kencing).

Oleh itu sentiasalah membasuh tangan anda dengan bersih.

Sumber: Laman web Kementerian Kesihatan Malaysia

Sejarah ringkas pasukan bola sepak kebangsaan

Allahyarham Mokhtar Dahari (kanan), antara legenda bola sepak Malaysia yang masih belum ada penggantinya. (imej dari thesportsmuseum.blogspot.com)

Sebelum terbentuknya Malaysia, pasukan bola sepak Malaysia dikenali sebagai pasukan bola sepak Malaya. Pasukan ini amat digeruni dan antara pasukan terkuat di Asia pada awal 1950-an sehingga 1960-an. Pencapaian terbaik Malaya ialah berjaya memenangi pingat gangsa Sukan Asia 1962 di Jakarta, Indonesia setelah menewaskan Vietnam Selatan 4 - 1. Selepas pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, pasukan ini sehinggalah sekarang dikenali sebagai pasukan bola sepak Malaysia. Kegemilangan pasukan ini berterusan selepas pembentukan Malaysia. Malaysia berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik 1972 di Munich.

Dua tahun kemudian, Malaysia mengulangi pencapaian pada tahun 1962 apabila sekali lagi memenangi pingat gangsa Sukan Asia 1974 di Tehran selepas menewaskan Korea Utara 2 - 1. Kejayaan pasukan Malaysia berterusan apabila layak berturut-turut ke Piala Asia pada tahun 1976 dan 1980.

Selepas itu Malaysia sekali lagi layak ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow tetapi kerajaan Malaysia memboikot Sukan Olimpik 1980 kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan. Ini menyebabkan pasukan bola sepak Malaysia tidak dapat beraksi pada kejohanan tersebut.

Kegemilangan dan kecemerlangan pasukan ini dilihat terhenti pada tahun 1994 kerana berlakunya rasuah terbesar yang melanda bola sepak Malaysia. Ramai tonggak utama pasukan Malaysia yang terlibat sekali gus menghancurkan bola sepak Malaysia.

Kebanyakan peminat mengatakan rasuah yang melanda bola sepak Malaysia merupakan salah satu sebab mengapa Malaysia gagal kembali ke era kegemilangannya pada 70'an sehinggalah penghujung 80'an.

Sumber: Sinar Harian

Sejarah ringkas Jajahan Dinding

Menurut catatan sejarah, daerah/jajahan Dinding adalah sebuah daerah yang berada di bawah pemerintahan Negeri Selat.

Istiadat menandatangani perjanjian penyerahan semula Jajahan Dinding kepada kerajaan Perak diadakan pada 16 Februari 1935 bertempat di hadapan Rest House Lumut.

Bersempena dengan peristiwa itu, jajahan Dinding ditukar namanya kepada Iskandar District dan Tanah Merah (Lumut) pula ditukar namanya kepada Port Iskandar.

Sultan Perak pada ketika itu juga berkenan melantik Raja Shahriman bin Raja Abdul Hamid sebagai Orang Besar Jajahan.

Bagi memperingati peristiwa itu, Masjid Al-Adli dibina di bandar Lumut melambangkan kesyukuran atas penyerahan Jajahan Dinding kepada kerajaan Perak.

Sehingga tahun 1980-an, daerah berkenaan masih dikenali sebagai daerah Dinding. Pada 1 Januari 1982, jajahan dahulunya dikenali dengan panggilan Dinding ditukar menjadi daerah Manjung merangkumi satu unit pentadbiran meliputi mukim Beruas dan Sitiawan.

Sumber: Sinar Harian

Monday, August 24, 2009

Hutan Paya Laut Matang

Hutan Paya Laut Matang (imej dari www.malaysiabest.net)

Hutan Paya Laut Matang berkeluasan 101,877 hektar, mempunyai 198 hutan simpanan kekal yang menempatkan pelbagai spesies flora dan fauna dari ekosistem persisiran pantai dan kawasan hutan paya laut.

Hutan ini mempunyai pelbagai tarikan utama seperti Hutan Simpanan Dara, kawasan proto sejarah di Pulau Kelumpang, Hutan Pelajaran dan Penyelidikan (Eko-Pelajaran), aktiviti menangkap kerang, dapur arang kayu, perkampungan nelayan dan penternakan ikan dalam sangkar.

Di samping itu, pelbagai aktiviti boleh dilakukan seperti memancing, berkhemah dan membuat penyelidikan tentang hutan paya bakau.

Kemudahan-kemudahan yang disediakan:
  • Pentas dan dewan serbaguna
  • Ruang makan
  • Tapak khemah
  • Tapak semaian (penyelidikan)
  • Boardwalk
  • Papan maklumat
  • Penginapan
  • Pengangkutan air
  • Surau
  • Tempat letak kereta
  • Tandas dan bilik mandi
  • Pemandu pelancong
Untuk keterangan lanjut, sila klik sini.

Sumber: laman web Majlis Perbandaran Taiping

Foo Ling Kong

Tokong Foo Ling Kong di Pulau Pangkor (imej dari pangkor.wordpress.com)

Foo Ling Kong terletak di kaki bukit di Kampung Sungai Pinang Kecil, Pulau Pangkor iaitu lima minit perjalanan daripada jeti Sungai Pinang Kecil.

Dahulunya ia adalah sebuah tokong dan ia diubahsuai menjadi sebuah taman yang indah.

Di perkarangan taman tersebut dihiasi dengan landskap yang menarik seperti mini Tembok Besar China, kolam ikan, di mana ia mengandungi berbagai jenis ikan.

Di kawasan ini juga terdapat kandang ular.

Terdapat perkhidmatan teksi pelancong yang membawa pengunjung untuk ke lokasi ini dan mengelilingi Pulau Pangkor.

Teksi tersebut dapat memuatkan seramai 10 penumpang pada setiap perjalanan.

Sumber: Sinar Harian

Persidangan Melayu Pertama 1946

1. Surat perjanjian yang ditandatangani Sultan Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang bererti memberi kuasa penuh kepada King Great Britain dengan menghapuskan kuasa sultan itu dalam negeri masing-masing daripada suatu keadaan raja yang merdeka adalah dibuat tanpa mengikut undang-undang tubuh adat lembaga dan kebiasaan Melayu yang sah. Justeru, ia batal dan tidak wajib ditaati sultan dan rakyat mereka.


2. Surat perjanjian yang dibuat tanpa pengetahuan dan berlawan dengan kemahuan rakyat serta cadangan Kerajaan Baginda King hendak menjalankan kuasa penuh dalam negeri Melayu yang tidak diredai rakyat adalah berlawanan dengan kaedah demokrasi dan ia tidak dapat diterima sekali.


3. Cadangan Kerajaan Baginda King hendak melaksanakan kuasa penuh dalam dalam negeri Melayu itu dan menidakkan kuasa sultan bermakna merampas sama sekali negeri Melayu di dalam Semenanjung Tanah Melayu dan berlawanan dengan semangat dan kehendak Piagam Atlantik.


4. Cadangan Kerajaan Baginda King seperti dicadangkan dalam Kertas Putih dikeluarkan pada Januari 1946 yang antara lain mencadangkan :


a) Mewujudkan satu badan dinamakan Malayan Union bagi menggantikan negeri

Melayu beraja dan merdeka dengan mengeluarkan pulau Singapura tetapi

memasukkan Pulau Pinang dan Melaka dalam badan berkenaan.


b) Menjadikan hak kerakyatan dengan hak sama tanpa mengira bangsa dan agama

akan menghapuskan sama sekali daripada hidupnya :


i. Negeri Islam Melayu yang merdeka iaitu Perak, Selangor, Negeri

Sembilan, Pahang, Johor, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis

yang pendiriannya sudah diakui Kerajaan Baginda King dan dunia.


ii. Bangsa Melayu mempunyai negeri dan raja.


iii. Segala perjanjian yang ada antara Kerajaan Baginda King dan

Sultan-sultan dan dengan perbuatan memecahkan kehormatan

perjanjian menyebabkan bangsa yang bersekutu berjuang dalam

peperangan dahsyat, mengambil hak semula jadi orang Melayu dan

merugikan orang yang selama ini taat setia kepada Baginda King.


5. Persidangan ini menjemput Kerajaan Baginda King untuk memriksa keadaan di Semenanjung Tanah Melayu dan jika diketahui Kerajaan Baginda King, pasti akan menangguhkan cadangan tersebut.


6. Berdasarkan perkara yang dibangkitkan dalam Persidangan Agung ini, Kerajaan Baginda King diminta menarik kembali cadangan itu serta-merta dan kembalikan negeri Melayu tanpa sebarang perubahan daripada keadaan sebelumnya.


Pertubuhan, wakil serta pemerhati rasmi negeri yang hadir pada Kongres Melayu yang Pertama


PERLIS


Persatuan Melayu Perlis

Ketua – Wan Ahmad Wan Daud

Saleh Othman


KEDAH


Persatuan Melayu Kedah

Ketua – Ayob Abdullah

Abdul Hamid Abdullah

Senu Abdul Rahman

Omar Din


SEBERKAS

Ketua – Mohammad Jamnil Binjai

Mas’ud Thaha

Azhari Taib


PULAU PINANG


Kesatuan Melayu Pulau Pinang

Ketua – Ibrahim Mahmood

Abdul Majid Abdul Hamid


Persatuan Melayu Pulau Pinang

Ketua – AM Yusuf Izuddin

Taha Ali

Mohammad Zain Ahmad


Persatuan Melayu Seberang Prai

Ketua – Hashim Awang

Ahmad Abdul Malik

Zakaria Saleh

Mohd Sopiee Sheikh Ibrahim


PERAK


Perikatan Melayu Perak

Ketua – Datuk Panglima Bukit Gantang Abdul Wahab

Raja Kamaruzzaman Raja Mansor (Raja Kecil Tengah)

Zainol Abidin Abas

Ismail Hamzah (Mufti Perak)

Raja Shahad Shah Raja Harun

Sulaiman Darus


Persatuan Melayu Perak

Ketua – Mohd Tahir Setia Raja

Sheikh Hamzah Mu’ti


Persetiaan Muslim Teluk Anson

Ketua – Bahrom Muhaidin

Mohd Shahabuddin Mohd Yusof


Persatuan Melayu Chendering

Ketua – Raja Lop Shahruddin

Othman Mahmuddin


Persekutuan Muhibbah Malim Nawar

Ketua – Ahmad Abdullah


SELANGOR


Persatuan Melayu Selangor

Ketua – Zainal Abidin Ahmad

Mohd Yunus Hamidi

Kamaruddin Idris


Pergerakan Kebangsaan Melayu Selangor

Ketua – Datuk Hamzah Abdullah

Kamaruddin Sulaiman

Mohd Arus Othman

Mohd Sidin


Ikatan Setia Kampung Baru

Ketua – Abdul Hamid Hassan

Kelab Peranakan Penang

Ketua – tidak diketahui


Dewan Perniagaan Melayu Malaya

Ketua – tidak diketahui

Persatuan Penghulu-penghulu Selangor

Ketua – tidak diketahui


Persekutuan Guru-guru Selangor

Ketua – tidak diketahui

Kelab Darul Ihsan, Jeram

Ketua – tidak diketahui


Persatuan Kaum Ibu Selangor

Ketua – tidak diketahui


Persekutuan Bawean Selangor

Ketua – Mohd Said Abdul Rahman

Ahmad Mohammaddin Hassan


Persekutuan Melayu Ulu Selangor

Ketua – Yahya Mohd Sani

Shahrum Abdul Rahman


Persatuan Melayu Daerah Sabak Bernam

Ketua – tidak diketahui


Kaum Darat (Sakai) Selangor

Ketua – tidak diketahui


Persatuan Melayu Jawatan Rendah Selangor

Ketua – tidak diketahui



Kesatuan Melayu Singapura

Ketua – tidak diketahui


NEGERI SEMBILAN


Persekutuan Melayu Negeri Sembilan

Ketua – Tengku Mohammad Tengku Besar Burhanuddin

Tengku Hussain Tengku Yahya

Raja Mohd Noordin Mohd Deli

Sheikh Ahmad Sheikh Mustafa

Puba Othman

Mohd Idris Mohd Sil


MELAKA


Pergerakan Melayu Semenanjung Melaka

Ketua – Mohammad Ali Mohammad

Kesatuan Melayu Melaka

Ketua – Mohammad Mohd Saleh

Mohd Yusuff Harun

Talib Abdul Karim

Jaafar Alang


JOHOR


Pergerakan Melayu Semenanjung Johor, Johor Bahru dan Persatuan Melayu Segamat

Ketua – Datuk Onn Jaafar

Syed Isa Alwi Shahab

Syed Abdul Kadir Mohammad

Syed Alwi Syeikh Al-Hadi

Mohammad Manaf

Wan Ibrahim Hitam


Persekutuan Melayu Kluang

Ketua – Manaf Buyong

Kapten Ahmad Mohammad Don

Abdul Rahman Jaafar

Ismail Hassan

Saadon Zubir

Alwi Jamal


Kesatuan Melayu Johor, Muar

Ketua – Dr. Hamzah Taib

Mohammad Hassan


TERENGGANU


Persatuan Melayu Terengganu

Ketua – Datuk Nara

Ibrahim Mohammad


KELANTAN


Persekutuan Persetiaan Melayu Kelantan

Ketua – Fadhlullah Suhaimi

Mohammad Yusof

Ishak Lutfi Omar


Persatuan Melayu Kelantan

Ketua – Datuk Nik Ahmad Kamil Mahmud

Ahmad Masis Ismail

Ismail Ibrahim


PAHANG


Persatuan Melayu Pahang

Ketua – Mohd Yasin Mohd Saleh

Sharif Daud

Abdul Rahman Talib

Mokhtar Daud

Jaafar Mohd Noor

Yahya Mat Shah


WATANIAH

Ketua – Nordin Ibrahim

Persekutuan Guru-guru Melayu Pahang

Ketua – Abdul Razak Hussain


TANAH MELAYU


Parti Kebangsaan Melayu Malaya

Ketua – Dr. Burhanuddin

Zulkifli Auni

Hashimi Tahir

M. Maza

Haludin Hamzah

Ahmad Boestamam


Sumber: Arkib Berita Harian

Friday, August 21, 2009

Masjid Al-Aqsa

Masjid Al-Aqsa terletak di Baitulmuqaddis Timur. Ia adalah masjid terbesar di kawasan tersebut, sehingga mampu memuatkan 5,000 orang beribadah di dalam dan sekitarnya. Masjid tersebut ditadbir oleh pihak Waqf sejak zaman pendudukan Israel pada tahun 1967.

Nama Masjid Al-Aqsa itu bermakna 'masjid paling jauh'. Ia menjadi sejarah penting dalam perkembangan agama Islam apabila dikaitkan dengan kisah Israk Mikraj, iaitu mengenai perjalanan Nabi Muhammad SAW yang menaiki Buraq dari Masjid Al-Haram di Mekah hingga ke Masjid Al-Aqsa sebelum naik ke langit.

Bangunan Masjid Al-Aqsa yang menjadi sebahagian kompleks bangunan agama di kawasan tersebut dikenali sebagai Gunung Majed (Al-Haram Al-Shariff) dan tapak ibadah suci yang ketiga (Tapak Ibadah Suci) kepada Muslim dan Har ha-Bayit (Kuil Suci) kepada Yahudi.

Pada asalnya, binaan masjid tersebut diperbuat daripada kayu ketika zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khatab, Khalifah Kedua Islam pada 638 Masehi. Kemudian Khalifah Abdul Malik ibni Marwan mengarahkan agar masjid tersebut dibina semula selepas pembinaan Qubbat As-Sakhrah (yang bermaksud Kubah Batu atau Dome of the Rock).

Namun sering kali ramai yang keliru perbezaan antara Masjid Al-Aqsa dan Qubbat As-Sakhrah. Ini kerana tarikan terhadap sebi bina bangunan Qubbat As-Sakhrah yang cantik itu bagi menempatkan sebuah batu besar dikatakan tempat Nabi Muhammad SAW berdiri ketika peristiwa Israk Mikraj. Lokasi Qubbat As-Sakhrah juga tidak begitu jauh daripada Masjid Al-Aqsa. Qubbat As-Sakhrah juga dikenali sebagai Masjid Umar kerana menjadi tempat Saidina Umar Al-Khatab bersolat ketika tiba di Baitulmuqaddis.

Qubbat As-Sakhrah (Dome of the Rock) seringkali disalah anggap sebagai Masjid Al-Aqsa

Namun kawasan suci bagi umat Islam itu sebenarnya bukan sahaja terletak di Masjid Al-Aqsa tetapi juga meliputi Qubbat As-Sakhrah dan kawasan sekitarnya yang terdapat di dalam Al-Haram Al-Shariff. Cuma Masjid Al-Aqsa itu mengambil nama daripada Masjidil Aqsa yang disebut dalam al-Qur'an.

Oleh kerana Masjid Al-Aqsa sebagai peninggalan sejarah yang paling bermakna bagi seluruh umat Islam, maka ia menjadi tanggungjawab daripada mereka untuk membela nasib bumi Baitulmuqaddis daripada kerakusan pihak Yahudi yang ingin menghancurkan sejarah Islam itu.

Istimewanya Baitulmuqaddis sebagai bumi kalangan nabi sehinggakan rakyat Palestin hari ini sanggup bertahan untuk terus tinggal di negara itu biarkan nyawa menjadi galang ganti. Maka kita sebagai umat Islam bertanggungjawab untuk turut sama berjuang dari segala aspek agar Baitulmuqaddis masih dipertahankan.

Menurut sumber Internet, sebuah kumpulan radikal Yahudi di Israel ingin memusnahkan Qubbat As-Sakhrah dan bangunan-bangunan lain di Al-Haram Al-Shariff bagi membina kuil ketiga Yahudi di kawasan terbabit. Keadaan tersebut menimbulkan kemarahan umat Islam, yang kemudiannya membawa kepada konflik dan peperangan.

Baitulmuqaddis adalah lambang ketamadunan Islam yang dibina oleh kegigihan dan keteguhan kalangan pendakwah yang mendidik manusia mengenai ajaran Islam. Ia bermula dengan penguasaan keturunan Nabi Ishak, iaitu Bani Israel sebelum kedatangan Raja Nebuchadnezzar dari Babylon. Seterusnya bumi tersebut kemudian di bawah pemerintahan Empayar Rom dan Byzantium, telah menjadi rebutan pelbagai kuasa besar zaman terdahulu termasuk Zaman Islam, Zaman Perang Salib, Zaman Mandat British dan Zaman Pendudukan Israel.

Paletin menjadi tidak aman sejak kaum Yahudi dengan bantuan kuasa Barat berjaya menubuhkan negara haram Israel pada tahun 1948. Pada tahun 1967, tentera Yahudi berjaya kuasai Baitulmuqaddis Timur, tetapi Masjid Al-Aqsa berjaya dipertahankan umat Islam melalui perjuangan penduduknya. Melalui serangan tersebut, tentera Yahudi berjaya menawan Gaza dan Tebing Barat.

Sumber: Sinar Harian

Muzium Perak

Muzium Perak (imej dari pdttaiping.perak.gov.my)

Muzium Perak adalah institusi muzium tertua di negara ini yang diasaskan Sir Hugh Low pada tahun 1883 yang menempatkan pelbagai koleksi spesimen zoologi, herbarium dan alat budaya masyarakat Melayu.

Pembinaan bangunan muzium dilakukan secara berperingkat di mana fasa pertama dibina pada tahun 1883 dan selesai pembinaannya pada tahun 1886. Fasa seterusnya bermula pada tahun 1889 dengan pembinaan serambi hadapan dan belakang.

Pada tahun 1900, bahagian belakang bangunan asal disambung untuk Balai Pameran dan pembinaan ini siap sepenuhnya pada tahun 1903.

Sumber: Sinar Harian

Kampung Bakar Bata

Peta lokasi Kampung Bakar Bata di daerah Beruas, Perak

Kampung ini terletak di Beruas dan wujud sebelum Perang Dunia Kedua.

Pada ketika itu penduduk kampung terdiri daripada kaum Cina dan semasa mereka tinggal di sini, mereka membina sebuah kilang membuat batu bata.

Sempena dengan wujudnya kilang tersebut dan sebuah gua batu bata, kampung ini dinamakan Kampung Bakar Bata.

Sewaktu pendudukan tentera Jepun di Malaya, ramai kaum Cina menganggotai pasukan Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA) dan menyokong Parti Komunis Malaya (PKM).

Kerajaan mengisytiharkan darurat dan kampung ini dikosongkan. Penduduknya ditempatkan di beberapa buah penempatan baru.

Kepada mereka yang ingin tinggal di kampung ini, penduduk perlu melaporkan diri di Balai Polis Beruas dan polis akan mengiringi mereka sehingga sampai ke kampung itu dengan selamat. Selepas merdeka, kampung ini bergerak seiring dengan kemajuan negara.

Sumber: Sinar Harian

Thursday, August 20, 2009

Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj


Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj lahir pada 8 Februari 1903 di Istana Pelamin, Alor Setar, Kedah. Beliau melibatkan diri dalam UMNO sejak awal penubuhan UMNO pada tahun 1946 dan dipilih menjadi Yang Dipertua UMNO Kedua pada 26 Ogos 1951 apabila Dato' Onn Jaafar melepaskan jawatan tersebut kerana perbezaan pendapat berkenaan isu membukakan keahlian UMNO kepada orang bukan Melayu.

Tunku Abdul Rahman memegang jawatan selama kira-kira 20 tahun sebelum berundur pada Januari 1971. Selain menukar slogan UMNO dari 'Hidup Melayu' kepada 'Merdeka', Tunku juga memulakan kerjasama di antara UMNO dengan Malayan Chinese Association (MCA) dan seterusnya dengan Malayan Indian Congress (MIC) melalui Parti Perikatan. Langkah tersebut diambil bagi memudahkan usaha mencapai kemerdekaan.

Tunku mendapat mandat penuh rakyat setelah berjaya meraih 51 daripada 52 kerusi bagi Majlis Perundangan Persekutuan pada pilihan raya umum Julai 1955, Tunku berjaya mendapatkan kemerdekaan penuh bagi Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

Tunku seterusnya dilantik menjadi Perdana Menteri yang pertama. Selepas merdeka, Tunku melahirkan pula Malaysia pada 16 September 1963 dengan membawa masuk Sabah, Sarawak dan Singapura ke dalam Malaya.

Tunku meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri pada 22 September 1970 dan sebagai Presiden UMNO dalam Perhimpunan Agung parti pada 23 - 24 Januari 1971. Tunku Abdul Rahman mangkat pada 6 Disember 1990.

Sumber: Sinar Harian

Bapa Malaysia

Buku Looking Back karya Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj

Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj berusia 74 tahun ketika Allahyarham menulis kata pengantar untuk 'Looking Back', sebuah buku yang mengandungi koleksi tulisan beliau dalam akhbar The Star. Buku itu, yang diterbitkan pada tahun 1977, kemudian diterjemahkan Jabatan Penerangan sempena 50 tahun negara Merdeka pada tahun 2007 dengan tajuk 'Coretan Kenangan'.

Di dalam buku berkenaan Perdana Menteri Malaysia yang pertama itu berkata, walaupun usia semakin meningkat beliau masih ingat dan menghargai gelaran 'Bapa Malaya' dan kemudian 'Bapa Malaysia' yang diberikan kepadanya sebagai menghormati peranan yang dimainkan beliau semasa kelahiran negara ini.

Tunku berharap buku itu menjadi khazanah yang berguna dan bahan rujukan generasi muda Malaysia mengenai data, fakta dan angka sejarah yang beliau ceritakan dan tulis sendiri. Tunku juga merasakan bahawa ketika itu tiada usaha serius dilakukan untuk menceritakan semula perjalanan kemerdekaan Malaya (kemudiannya Malaysia) kepada generasi muda hari ini.

Tunku juga menarik perhatian mengenai seorang penulis akademik yang bukunya mengenai kemerdekaan Tanah Melayu diedarkan ke sekolah-sekolah namun ia tidak lansung mengaitkan namanya dengan proses dan peristiwa yang membawa kepada kemerdekaan negara.

"Seolah-olah khidmat dan jasa saya itu tidak perlu dikenang," kata Tunku, terasa nada kesal yang cuba diluahkan dalam komennya itu.

Sumber: Sinar Harian

Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Menteri

Papan tanda SMK Tengku Menteri, Changkat Jering, Perak (imej dari perak.kedaikom.net.my)

Mula ditubuhkan pada 11 Januari 1965, sekolah ini menggunakan nama Sekolah Menengah Rendah Changkat Jering. Ketika itu bahasa pengantar sekolah ini ialah Bahasa Melayu dan Inggeris.

Nama sekolah ini ditukar kepada Sekolah Menengah Tengku Menteri pada tahun 1968 sempena mengambil nama gelaran tokoh sejarah terkenal tanah air, Ngah Ibrahim Long Jaafar.

Pada tahun 1991 sekolah ini dipilih menjadi Sekolah Harapan Negara peringkat negeri Perak.

Sekolah ini sekali lagi melakar kejayaan apabila dipilih menjadi johan dalam pertandingan Kebersihan, Keceriaan dan Keindahan (3K) peringkat kebangsaan bagi kategori sekolah menengah luar bandar pada tahun 1993.

1997 menyaksikan sekolah ini terpilih untuk melaksanakan Projek Rintis Sekolah Bestari anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kecemerlangan sekolah ini diteruskan apabila menang kategori Juara-Juara 3K pada tahun 2002 dan Sekolah Harapan Negara tempat ketiga peringkat kebangsaan pada 2004.

Mengambil falsafah, suasana pengajaran dan pembelajaran yang kondusif dan efektif adalah sangat perlu untuk perkembangan potensi intelek, sahsiah dan jasmani pelajar ke arah pencapaian wawasan 2020.

Matlamat sekolah ini pula ialah ingin sentiasa berusaha menghala ke arah kecemerlangan menerusi peningkatan usaha yang berterusan serta mewujudkan suasana persekolahan yang menitikberatkan perkembangan potensi pelajar sesuai dengan konsep pembangunan diri insan secara menyeluruh dan bersepadu.

Berani menghadapi cabaran, berdisiplin dan berakhlak mulia serta bertanggungjawab kepada agama, diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Sumber: Laman web rasmi SMK Tengku Menteri

Pemakanan yang sesuai untuk mencegah H1N1

Wabak Influenza A (H1N1) kini heboh diperkatakan. Berdasarkan kajian Hospital Sultanah Aminah, Johor, orang ramai yang mengalami simptom selsema, batuk, demam, sukar bernafas, pening kepala serta sakit tekak adalah dinasihatkan agar mengamalkan meminum susu, selain makan buah-buahan segar. Kaedah pemakanan itu akan membantu membersihkan atom H1N1.

Orang ramai juga digalakkan memperbanyakkan makan bawang putih dan epal hijau bersama makanan lain (dalam masakan) sebagai antibodi terbaik bagi menangani masalah berkenaan.

Bagi yang tidak dijangkiti wabak berkenaan juga dinasihati agar mengamalkan pemakanan itu untuk membantu membendung penularannya, selain turut mengamalkan penjagaan kebersihan diri sendiri serta persekitarannya.

Sumber: Sinar Harian

Loghat Perak 23

Raban teben

Maksud: tak tentu arah

Contoh ayat: "Apa ke heynye aku nengok kamu ni udah meghaban teben ghopenye,"

Ayat moden: "Apa hal kamu ni? Aku tengok macam tak tentu arah je,"

Sumber: Sinar Harian

Wednesday, August 19, 2009

Sekolah Menengah Kebangsaan Jelapang Jaya

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelapang Jaya dibina bagi menampung keperluan pelajar-pelajar di kawasan persekitaran iaitu Kampung Sungai Tapah, Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan, Manjoi dan Jelapang.

Sekolah ini mula dibina pada 18 Ogos 1998 dan bangunan sekolah ini telah diserahkan kepada Kementerian Pendidikan pada Mac 2001 di bawah penjagaan Lockman Makmun.

Bangunan sekolah ini mengambil reka bentuk bangunan terkini yang memberi banyak kemudahan prasarana bagi pembangunan seseorang insan menghadapi perkembangan dunia globalisasi.

Pada 16 Mei 2001, Rahimah Mohd Sura, telah dilantik sebagai Pengetua SMK Jelapang Jaya. Rahimah berpengalaman sebagai seorang Guru Penolong Kanan HEM dan Penolong Kanan Pentadbiran selama 13 tahun di empat sekolah utama di bandar raya Ipoh iaitu SMK Seri Intan, SMK Fair Park (1988 - 1991), SMK Raja Perempuan (1991 - 1993), SMK Seri Puteri (1993 - 1996) dan SMK St. Michael (1996 - 2001).

Bermula Januari 2009, SMKJJ mengalami perubahan dari segi sesi persekolahan apabila SMKJJ memulakan persekolahan dua sesi, dengan Tingkatan Peralihan, Tingkatan 1 dan Tingkatan 2 ditempatkan pada sesi petang.

Imej sekolah dari www.smkjj.com

Sumber: Sinar Harian

Loghat Perak 22

Intu api

Maksud: hidupkan api

Contoh ayat: "Pegi le intu api tu, kaghang tak masak pulak lemang yang kamu nak bawak balik tu."

Ayat moden: "Pergi hidupkan api tu, nanti tak masak pulak lemang yang kamu nak bawa balik tu."


Ngongket

Maksud: keluar/merayau

Contoh ayat: "Aii....lawa bebeno mike, nak ngongket ke mana?"

Ayat moden: "Aii....lawanya kamu, nak merayau ke mana?"

Sumber: Sinar Harian

INFLUENZA

Apa yang anda perlu tahu dan lakukan sekiranya anda mengalami tanda dan gejala Influenza semasa pandemik.

Pandemik Influenza adalah kejadian wabak Influenza yang menyerang sebahagian besar penduduk dunia. Ia berlaku akibat daripada kemunculan virus Influenza A yang baru yang menyebabkan penduduk dunia tidak mempunyai daya ketahanan badan bagi melawan virus tersebut. Oleh itu, adalah sangat penting untuk mengetahui dan mengenal pasti gejala-gejala penyakit influenza dan juga langkah-langkah untuk mengatasinya.

Ketahui gejala dan tanda influenza

Antara tanda dan gejalanya ialah:
  • Demam kuat melebihi 38'C
  • Sakit tekak
  • Sakit kepala
  • Letih dan lesu
  • Sakit-sakit badan
  • Batuk teruk dan tidak berkahak pada peringkat awal

Ketahui suhu badan yang normal

Suhu badan normal adalah berbeza bergantung kepada tempat bacaan suhu diambil:
  • Mulut - 35.5'C ke 37.5'C (95.9'F ke 99.5'F)
  • Telinga - 35.8'C ke 38'C (96.4'F ke 100.4'F)
  • Ketiak - 34.7'C ke 37.3'C (94.5'F ke 99.1'F)
  • Rektum (dubur) - 36.6'C ke 38'C (97.9'F ke 100.4'F)

Awasi tanda-tanda kecemasan yang boleh mengancam nyawa kanak-kanak
  • Mengalami masalah kesukaran bernafas
  • Bibir bertukar menjadi kebiru-biruan
  • Tidak bermaya atau tidak boleh bergerak
  • Tidak aktif, kurang bertindak balas atau sukar untuk bangun dari tidur
  • Mengalami ketegangan di tengkuk
  • Kelihatan gelisah
  • Mengalami sawan
  • Tidak kencing dalam tempoh 12 jam

Awasi gejala yang boleh mengancam nyawa orang dewasa
  • Mengalami demam yang berpanjangan melebihi 5 hari
  • Sukar bernafas walaupun semasa berehat
  • Bibir bertukar menjadi kebiru-biruan
  • Sakit dada apabila menarik nafas
  • Batuk tanpa kahak
  • Walaupun rasa sudah pulih, tiba-tiba kembali mengalami demam dan sukar bernafas
  • Kelihatan gelisah
  • Tidak sedarkan diri

Tindakan yang perlu anda lakukan sekiranya anda mengalami tanda dan gejala influenza

Sekiranya anda mengalami tanda dan gejala penyakit influenza, anda dinasihatkan:
  • Makan ubat demam seperti paracetamol
  • Banyakkan minum air
  • Berehat secukupnya
  • Elakkan mengambil alkohol dan merokok
  • Jangan mengunjungi tempat awam atau majlis keramaian untuk mengelakkan jangkitan kepada orang lain
  • Tutup hidung dan mulut dengan tisu atau sapu tangan apabila batuk dan bersin
  • Maklumkan pada pihak berkuasa

SEKIRANYA ANDA MENGALAMI MANA-MANA TANDA KECEMASAN DAN GEJALA YANG BOLEH MENGANCAM NYAWA, SEGERALAH KE KAUNTER KHAS DI HOSPITAL YANG TELAH DITETAPKAN

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

Berkahwin boleh mengurangkan risiko nyanyuk

Satu kajian terbaharu yang dilakukan di negara Sweden mendapati bahawa individu yang mempunyai pasangan hidup adalah kurang berisiko untuk menghidap penyakit Alzheimer (nyanyuk) sebanyak 50 peratus dan begitu juga dengan mereka yang mempunyai pasangan hidup pada pertengahan usia. Kajian yang sama juga mendapati seorang yang hidup berseorangan selepas bercerai mempunyai risiko tiga kali ganda bakal menghidapi Alzheimer kelak.

Kajian yang mengambil masa selama 21 tahun itu menekankan kepada risiko tinggi yang berkaitan dengan masalah ingatan dan kognitif bagi individu yang hidup berseorangan, sama ada bujang, bercerai atau kematian pasangan. Kajian terdahulu menunjukkan bahawa pengasingan sosial atau kurang hubungan peribadi boleh meningkatkan risiko nyanyuk dan penurunan mental, dengan pakar Amerika Syarikat tahun lalu mendakwa individu keseorangan lebih berkemungkinan mengalami penyakit otak pada usia tua. Namun, kajian Sweden yang dibentangkan semasa Persidangan Antarabangsa mengenai penyakit Alzheimer di Chicago baru-baru ini membuktikan secara khusus bahawa berkahwin dapat mengurangkan risiko nyanyuk.

Dalam kajian terbaharu, penyelidik yang diketuai Dr. Krister Hakansson dari Institut Karolinska di Stockholm memeriksa rekod seramai 1,449 penduduk pertengahan usia di Finland dan sekali lagi pada tahun 1998, iaitu purata 21 tahun kemudian. Secara keseluruhan, 139 mengalami beberapa bentuk masalah nyanyuk, 82 dengan masalah kognitif sederhana dan 48 menghidap Alzheimer. Pasukan penyelidik mendapati mereka yang tinggal bersama-sama pasangan pada pertengahan usia adalah kurang 50 peratus berisiko untuk nyanyuk apabila usia mereka lanjut berbanding yang tinggal sendirian.

Penemuan tersebut masih sama walaupun selepas pengubahsuaian dibuat bagi faktor yang dikaitkan dengan risiko tinggi penyakit Alzheimer termasuk pendidikan, obesiti, kolesterol, tekanan darah tinggi, pekerjaan, aktiviti fizikal, tabiat merokok, kemurungan, gen, usia dan jantina. Penyelidik mendapati mereka yang kekal membujang sepanjang hayat adalah berisiko dua kali ganda lebih tinggi untuk nyanyuk.

Pasangan bercerai yang membujang selepas berpisah dengan pasangan pada pertengahan usia berisiko tiga kali ganda. Lebih dramatik, mereka yang kehilangan pasangan sebelum pertengahan usia dan kekal membujang berisiko enam kali ganda untuk nyanyuk berbanding mereka yang berkahwin pada pertengahan dan akhir hidup. Dr. Hakansson berkata: "Kajian ini menunjukkan faedah berkahwin, selari dengan hipotesis umum ransangan sosial sebagai faktor pelindung daripada nyanyuk."

Bagaimanapun, Dr. Susanne Sorensen dari persatuan Alzheimer berkata, sesiapa saja boleh mengambil langkah mengurangkan risiko, dengan atau tanpa pasangan seumur hidup. "Orang bujang tidak sepatutnya bimbang - terdapat banyak cara mengurangkan risiko nyanyuk yang tidak membabitkan perkahwinan. Bukti terbaik ialah mengamalkan cara pemakanan Mediterranean, kerap bersenam dan tidak merokok," katanya.

Sumber: Arkib Berita Harian

Tuesday, August 18, 2009

Khalifah Umar bin Abdul Aziz

Nama: Abu Jaafar Umar bin Abdul Aziz bin Marwan bin Hakam

Nama ibu: Laila binti 'Asim bin Umar bin Al-Khatab

Lahir: 61 Hijrah

Tarikh meninggal dunia: 101 Hijrah

Jawatan: Khalifah Keenam Bani Umaiyyah

Tarikh lantikan: Safar 99H (717 Masehi)

Tempoh pemerintahan: Dua tahun lima bulan

Beliau telah menghafaz al-Qur'an sejak kecil lagi. Merantau ke Madinah untuk menimba ilmu pengetahuan.

Beliau telah berguru dengan beberapa tokoh terkemuka seperti Imam Malik bin Anas, Urwah bin Zubair, Abdullah bin Jaafar, Yusuf bin Abdullah dan sebagainya.

Kemudian beliau melanjutkan pelajaran dengan beberapa tokoh terkenal di Mesir.

Beliau telah dipanggil balik ke Damsyik oleh Khalifah Abdul Malik bin Marwan apabila bapanya meninggal dunia dan dikahwinkan dengan puteri Khalifah, Fatimah binti Abdul Malik (sepupunya).

Beliau mempunyai keperibadian yang tinggi, disukai ramai dan warak yang diwarisi dari datuknya, Saidina Umar bin Al-Khatab.

Beliau amat berhati-hati dengan harta terutamanya yang melibatkan harta rakyat. Sesungguhnya kisah Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang menyediakan dua lilin di rumahnya, satu untuk kegunaan urusan negara dan satu lagi untuk kegunaan keluarga sendiri tentunya telah diketahui umum dan tidak perlu diulang-ulang.

Sebagai seorang yang zuhud, kehidupannya ketika menjadi Gabenor Madinah dan Khalifah adalah sama seperti kehidupannya ketika menjadi rakyat biasa.

Harta yang ada termasuk barang perhiasan isterinya diserahkan kepada Baitulmal dan segala perbelanjaan negara berdasarkan konsep jimat-cermat dan berhati-hati atas alasan ia adalah harta rakyat.

Ini terbukti apabila beliau dengan tegasnya menegur dan memecat pegawai yang boros dan segala bentuk jamuan negara tidak dibenarkan menggunakan harta kerajaan.

Sumber: Sinar Harian

Beruas

Pekan Beruas (imej dari sumber terbuka di internet)

Sejarah Beruas dipercayai berasal dari nama sejenis tumbuh-tumbuhan yang banyak terdapat di daerah itu.

Sebelum ini, Beruas dikenali sebagai Belukar Sambang.

Pada zaman dahulu kawasan ini dipenuhi pokok kecil dan rendang.

Penduduk pernah cuba menanam padi di kawasan ini namun tidak menjadi.

Oleh itu, masyarakat setempat menamakan kawasan ini sebagai Belukar Sambang.

Menurut Kamus Dewan, sambang bermaksud tumbuhan renek atau sarang lebah yang kosong.

Menurut sumber, Beruas dibuka oleh seorang anak raja dari Acheh bernama Malik al-Mansur yang diusir keluar dari Istana Acheh kerana perbuatan sumbangnya.

Semasa sampai ke wilayah ini, beliau berehat dengan bersandar kepada sebatang pokok beruas. Beliau kemudian menamakan kawasan ini sebagai Beruas.

Pokok Beruas (imej dari merahsilu.blogspot.com)

Pokok beruas berbentuk seperti pokok manggis malahan buahnya juga menyerupai buah manggis.

Tampok di bahagian bawah buah itu seperti beruas-ruas menyerupai buah manggis dan isinya pula tersusun rapi bagaikan ada ruas-ruas tertentu.

Sumber: Sinar Harian

Loghat Perak 21

Ingke

Maksud: seronok sangat

Contoh ayat: "Kome usah ingke bebenor, ngigo kaghang".

Ayat moden: "Kamu semua jangan seronok sangat, mengigau nanti".



Ngopek

Maksud: menyusu (memberi bayi minum susu ibu)

Contoh ayat: "Anak kamu tu asyik melalak aje, nak ngopek gamaknya".

Ayat moden: "Dari tadi anak kamu asyik menangis saja, hendak menyusu agaknya".

Sumber: Sinar Harian

Monday, August 17, 2009

Majlis Sukan Negeri Perak

Majlis Sukan Negeri Perak ditubuhkan pada 1 November 1989 di bawah Akta Majlis Sukan Negara Malaysia 1971, Perintah Majlis Sukan Negara Malaysia Pindaan Jadual Kedua) 1988 Akta 29. Majlis Sukan Negeri Perak ini berada di bawah pengawasan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (pentadbiran) yang beribu pejabat di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

Pejabat Majlis Sukan Negeri Perak yang pertama telah bertempat di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak. Pengarah Majlis Sukan Negeri Perak yang pertama ialah Mahaiyuddin bin Arshad yang mula bertugas pada 1 November 1989 hingga 30 April 1993. Tempat beliau kemudiannya digantikan oleh Encik Mazelan bin Ahmad Baharin yang mula bertugas pada 1 Julai 1993 dan berakjir pada 31 Disember 1996. Tempat beliau digantikan pula oleh Encik Abdul Puhat bin Mat Nayan yang mula bertugas pada 1 Januari 1997 hingga 31 Oktober 2005. Sebelum pejabat di Bangunan Perak Darul Ridzuan digunakan, Majlis Sukan Negeri Perak telah beroperasi di suatu blok rumah kedai yang disewakan beralamat di No. 4, Medan Istana 5, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, Bandar Ipoh Raya, Perak Darul Ridzuan.

Tanggal 1 Disember 2006, kerusi Pengarah Majlis Sukan Negeri Perak telah disandang oleh Haji Meor Ismail bin Meor Akim. Berikutan dari perubahan kuasa pentadbiran tertinggi Majlis Sukan Negeri Perak, pejabat Majlis Sukan Negeri telah berpindah ke Wisma Majlis Sukan Negeri Perak, Kompleks Sukan MBI sehingga kini.

Sumber: Sinar Harian

Sekolah Kebangsaan Seri Bayu, Manjung

Sekolah Kebangsaan Seri Bayu (imej dari www.skseribayu.edu.my)

Sekolah Kebangsaan Seri Bayu, Manjung merupakan Sekolah Wawasan yang pertama di negeri Perak dan yang kedua di Malaysia. Sekolah Kebangsaan Seri Bayu telah dibina pada tahun 2001 selaras dengan perancangan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mengintegrasikan perpaduan kaum. Sekolah ini mempraktikkan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang terbaik berdasarkan sukatan pelajaran yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Tumpuan kepada kualiti pendidikan menggambarkan usaha sekolah ini bagi memantapkan lagi sektor pendidikan negara.

Sekolah Kebangsaan Seri Bayu menyediakan kemudahan yang terkini, makmal komputer dilengkapi dengan rangkaian internet, tenaga pengajar yang dedikasi dan pengurusan sekolah yang berorientasikan pelanggan.

Sumber: Sinar Harian

Bukit Larut


Pemandangan dari atas Bukit Larut (imej dari environe.blogspot.com)

Bukit Larut atau Bukit Maxwell terletak di Taiping, Perak. Kawasan ini merupakan kawasan tanah tinggi yang paling basah di Malaysia. Hampir setiap hari pada waktu petang, hujan bukit turun di kawasan ini.

Bukit Larut merupakan kawasan rekreasi Tanah Tinggi di Perak. Bukit Larut atau Bukit Maxwell dinamakan sempena Residen British ketika itu iaitu George Maxwell pada tahun 1880.

Suhu pada siang hari ialah di antara 15 hingga 25 darjah celcius dan boleh mencecah 10 darjah celcius pada waktu malam.

Perjalanan ke atas Bukit Larut boleh mengambil masa selama 30 minit melalui jalan sempit dan melalui 72 selekoh berliku tajam di lereng bukit.

Sebelum jalan tar dibina pada tahun 1948, British menggunakan pony back (kuda padi) dan sedan chair (kerusi pengusung) sebagai pengangkutan untuk ke puncak bukit. Perjalanan mengambil masa 30 minit dalam jarak 13 kilometer dengan menaiki Land Rover.

Perjalanan ke puncak bukit pula amat mencabar sekali kerana terpaksa melalui 72 selekoh tajam. Kebanyakan pengunjung warga Inggeris yang datang pernah menyamakan Bukit Larut sebagai Switzerland musim bunga.

Sumber: Sinar Harian

Loghat Perak 20

Koi = kuih

Tepek = lempeng

Cebok = cedok air

Tak sio = tak mahu

Bedaah = menipu

Kopek = buah dada/payudara

Cabuk = buruk

Sumber: Sinar Harian

Loghat Perak 19

Bulor

Maksud: luntur/lusuh

Contoh ayat: "Udah lame benor aku tak makey baju nih......udoh bulor kalanyer".

Ayat moden: "Dah lama aku tak pakai baju ni, dah lusuh warnanya".


Semedang

Maksud ayat: selalu

Contoh ayat: "Kamu ni aku nengok semedang je tak skoloh, monteng ye?"

Ayat moden: "Selalu sangat aku tengok kamu ni tak ke sekolah, ponteng ye?"

Sumber: Sinar Harian

Greentown

Pusat Perdagangan Greentown, Ipoh (imej dari www.skyscrapercity.com)

Kawasan Greentown berdekatan dengan Dewan Bandaraya Ipoh kini menjadi pusat perniagaan dan perdagangan di bandaraya Ipoh. Dengan pembukaan pusat komersil baru iaitu Pusat Perdagangan Greentown, ia telah memberi nafas baru kepada bandaraya Ipoh.

Aktiviti umum di kawasan penempatan komersil baru ini kebanyakannya adalah meliputi restoran-restoran, medan selera, kedai, pejabat, bank-bank, pub, bistro dan kafe.

Sumber: Sinar Harian

Friday, August 14, 2009

Sukan Renang

Renang ternyata dikenali sejak zaman pra-sejarah.

Dari gambar yang dilukis pada zaman batu diketahui adanya gua bagi para perenang di Wadi Sora sebelah barat daya Mesir.

Di Jepun, renang adalah kemampuan yang harus dimiliki oleh seorang Samurai.

Sejarah mencatatkan, pertandingan renang pertama diselanggarakan oleh Kaisar Suigui pada 36 Sebelum Masehi.

Pertandingan renang merebut gelaran Juara dimulakan di Eropah sekitar 1800 dan sebahagian besar menggunakan gaya dada.

Renang gaya bebas pertama kali diperkenalkan oleh Atrhur Trudgen.

Gaya ini kemudian dikombinasikan dengan gaya kaki yang menendang oleh Richard Cavill pada tahun 1902.

Sukan renang pertama kali dipertandingkan dalam Olimpik moden pada tahun 1896 di Athena, Yunani.

Pada Olimpik ini, hanya empat acara yang dipertandingkan daripada enam acara.

Acara berkenaan adalah 100 meter, 500 meter, 1200 meter, bebas dan 100 meter bagi pelaut.

Sumber: Sinar Harian

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)

Perbarisan pelatih-pelatih PLKN (imej dari keruak.com)

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) merupakan kursus latihan wajib bagi mereka yang baru menamatkan pendidikan sekolah menengah di negara ini.

Ia bertujuan untuk pembinaan sahsiah diri bermatlamatkan membina dan mengukuhkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda, memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional dan membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni. Program ini bukan bersifat kerahan tenaga dan tidak mengikut mana-mana model daripada luar kerana dilaksanakan menurut cara Malaysia.

Pada setiap tahun, 18 peratus daripada remaja yang akan berumur 18 tahun pada tahun latihan, dipilih untuk menyertai PLKN ini, namun mereka yang bermasalah tertentu boleh memohon untuk ditangguhkan atau dikecualikan untuk mengikuti program ini.

Untuk maklumat lanjut tentang Program Latihan Khidmat Negara, sila klik sini.

Sumber: Sinar Harian

Highland Park

Highland Park terletak di Jalan Pahang dan antara taman perumahan yang paling awal dibina di bandar Tapah.

Dibina pada awal 1960-an, kawasan ini pada asalnya ladang kelapa dan kemudian ditebus guna.

Menariknya kawasan taman ini dihubungkan dengan sebuah jambatan kecil merentasi Sungai Cheroh.

Taman Anson dan Melor juga berkongsi kawasan yang sama.

Sumber: Sinar Harian

Sitiawan

Pekan Sitiawan (imej dari calvin-myjourney.blogspot.com)

Nama asal Sitiawan adalah Simpang Empat dan merupakan sebuah perkampungan nelayan yang terletak di persisiran Sungai Sitiawan.

Sitiawan mula diberi nama berdasarkan legenda sejarah. Menurut cerita pada masa dahulu terdapat dua ekor gajah yang mahu menyeberangi Sungai Sitiawan tetapi malangnya salah seekor gajah tersebut terbenam ke dalam lumpur.

Melihat keadaan itu, gajah yang satu lagi cuba menolong kawannya tetapi tidak berjaya.

Oleh sebab setia pada kawan, gajah itu menunggu kawannya yang terbenam dalam lumpur. Tetapi malangnya kedua-dua gajah tersebut mati lemas apabila air pasang.

Dari perbuatan setia kawan ini maka nama Sitiawan terbentuk.

Sumber: Sinar Harian