Pengikut dan Ex-smgrian

Wednesday, August 19, 2009

Berkahwin boleh mengurangkan risiko nyanyuk

Satu kajian terbaharu yang dilakukan di negara Sweden mendapati bahawa individu yang mempunyai pasangan hidup adalah kurang berisiko untuk menghidap penyakit Alzheimer (nyanyuk) sebanyak 50 peratus dan begitu juga dengan mereka yang mempunyai pasangan hidup pada pertengahan usia. Kajian yang sama juga mendapati seorang yang hidup berseorangan selepas bercerai mempunyai risiko tiga kali ganda bakal menghidapi Alzheimer kelak.

Kajian yang mengambil masa selama 21 tahun itu menekankan kepada risiko tinggi yang berkaitan dengan masalah ingatan dan kognitif bagi individu yang hidup berseorangan, sama ada bujang, bercerai atau kematian pasangan. Kajian terdahulu menunjukkan bahawa pengasingan sosial atau kurang hubungan peribadi boleh meningkatkan risiko nyanyuk dan penurunan mental, dengan pakar Amerika Syarikat tahun lalu mendakwa individu keseorangan lebih berkemungkinan mengalami penyakit otak pada usia tua. Namun, kajian Sweden yang dibentangkan semasa Persidangan Antarabangsa mengenai penyakit Alzheimer di Chicago baru-baru ini membuktikan secara khusus bahawa berkahwin dapat mengurangkan risiko nyanyuk.

Dalam kajian terbaharu, penyelidik yang diketuai Dr. Krister Hakansson dari Institut Karolinska di Stockholm memeriksa rekod seramai 1,449 penduduk pertengahan usia di Finland dan sekali lagi pada tahun 1998, iaitu purata 21 tahun kemudian. Secara keseluruhan, 139 mengalami beberapa bentuk masalah nyanyuk, 82 dengan masalah kognitif sederhana dan 48 menghidap Alzheimer. Pasukan penyelidik mendapati mereka yang tinggal bersama-sama pasangan pada pertengahan usia adalah kurang 50 peratus berisiko untuk nyanyuk apabila usia mereka lanjut berbanding yang tinggal sendirian.

Penemuan tersebut masih sama walaupun selepas pengubahsuaian dibuat bagi faktor yang dikaitkan dengan risiko tinggi penyakit Alzheimer termasuk pendidikan, obesiti, kolesterol, tekanan darah tinggi, pekerjaan, aktiviti fizikal, tabiat merokok, kemurungan, gen, usia dan jantina. Penyelidik mendapati mereka yang kekal membujang sepanjang hayat adalah berisiko dua kali ganda lebih tinggi untuk nyanyuk.

Pasangan bercerai yang membujang selepas berpisah dengan pasangan pada pertengahan usia berisiko tiga kali ganda. Lebih dramatik, mereka yang kehilangan pasangan sebelum pertengahan usia dan kekal membujang berisiko enam kali ganda untuk nyanyuk berbanding mereka yang berkahwin pada pertengahan dan akhir hidup. Dr. Hakansson berkata: "Kajian ini menunjukkan faedah berkahwin, selari dengan hipotesis umum ransangan sosial sebagai faktor pelindung daripada nyanyuk."

Bagaimanapun, Dr. Susanne Sorensen dari persatuan Alzheimer berkata, sesiapa saja boleh mengambil langkah mengurangkan risiko, dengan atau tanpa pasangan seumur hidup. "Orang bujang tidak sepatutnya bimbang - terdapat banyak cara mengurangkan risiko nyanyuk yang tidak membabitkan perkahwinan. Bukti terbaik ialah mengamalkan cara pemakanan Mediterranean, kerap bersenam dan tidak merokok," katanya.

Sumber: Arkib Berita Harian

No comments: