Pengikut dan Ex-smgrian

Wednesday, August 26, 2009

Jurulatih-jurulatih skuad bola sepak kebangsaan

Allan Harris

Pada bulan Disember tahun 2000, Allan Harris telah dilantik sebagai jurulatih skuad bola sepak Malaysia menggantikan tempat Claude Leroy. Jurulatih dari Perancis, Allan Harris bukan nama yang begitu asing dalam persada bola sepak antarabangsa. Beliau merupakan pembantu kepada Terry Vanables ketika mengendali skuad Barcelona dan baginya mengendalikan skuad bola sepak Malaysia bukanlah suatu tugas yang begitu sukar. Setelah beberapa tahun mengendali skuad kebangsaan Malaysia bukanlah semudah yang beliau sangkakan.

Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) menaruh harapan yang begitu tinggi terhadapnya. Dalam pada itu, beliau menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pemain-pemain yang mempunyai pengalaman bermain di luar negara. Beliau juga ditugaskan untuk mengendali skuad bawah 23 tahun dan segala pembangunan pemain-pemain remaja diletakkan di atas kendalian beliau.

Beliau berjaya membantu skuad Malaysia mendapat pingat perak dalam kejohanan Sukan SEA pada 2001, namun media tempatan begitu jelas mempertikaikan kredibiliti beliau sebagai seorang jurulatih professional. Kritikan tersebut telah membebankan lagi tugas beliau selaku jurulatih skuad bola sepak Malaysia dan akhirnya kontrak beliau telah ditamatkan pada tahun 2004, setelah Malaysia tewas kepada China 0 - 4 dalam kelayakan Piala Dunia 2006.

Beliau sempat memberikan komen terakhirnya kepada wartawan tempatan dengan menyelar pemain-pemain Malaysia yang terlalu sukar untuk dikendalikan kerana mereka seperti tidak tahu untuk menilai kasut yang mana lebih sesuai untuk dipakai ketika bermain di padang-padang tertentu.


Bertalan Bicskei

Selepas Allan Harris meninggalkan pasukan kebangsaan pada tahun 2004, FAM telah mencadangkan seorang pengganti kepada Harris iaitu Bertalan Bicskei, bekas penjaga gol dan jurulatih kebangsaan Hungary pada 1 Julai 2004. Jurulatih seperti Bob Houghton dan Dragoslav Stepanovic telah menjadi calon untuk mengisi tempat selaku ketua jurulatih pasukan Malaysia sebelum FAM akhirnya telah bersetuju mengambil Bicskei.

Bicskei telah membawa pasukan Malaysia meraih tempat ketiga pada Piala Tiger 2004, walaupun mempunyai satu pasukan yang dianggap 'tidak cukup kuat' oleh media tempatan. Media tempatan tidak bersetuju dengan pemilihan Mohd Amri Yahyah dan Muhamad Khalid Jamlus untuk diserapkan ke dalam skuad Malaysia.

Walau bagaimanapun kedua-dua pemain yang dipilih Bicskei ini menunjukkan kemampuan mereka apabila Khalid berjaya menjadi penjaring kedua terbanyak kejohanan di belakang penyerang Indonesia, Ilham Jaya Kesuma manakala Amri menjadi tonggak penting dalam kemenangan Malaysia ke atas Thailand dan Indonesia.

Semasa perlawanan persahabatan menentang Singapura di Pulau Pinang pada 8 Jun 2005, Bicskei telah melempar botol ke padang sebelum menerjah salah seorang pemain Singapura atas alasan cuba melindungi pemainnya dan tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan oleh pengadil.

Pada September 2005, kontrak Bicskei telah ditamatkan FAM. Ini kerana Bicskei cuba mendapatkan lebih banyak perlawanan persahabatan untuk kemajuan pasukan Malaysia, tetapi FAM mempunyai pendapat sendiri.


Norizan Bakar

Norizan Bakar menjadi ketua jurulatih pasukan Malaysia selepas tamatnya kontrak Bertalan Bicskei. Sepanjang menjadi ketua jurulatih Malaysia, Norizan dikecam hebat oleh media tempatan atas kegagalan pada kejohanan yang disertai skuad Malaysia. Bagaimanapun, Norizan sempat membawa Malaysia memenangi pingat gangsa pada Sukan SEA 2005 selepas menewaskan Indonesia 1 - 0 dan ke separuh akhir Piala ASEAN 2007, di mana Malaysia tewas menerusi sepakan penalti oleh Singapura. Jawatan Norizan selaku ketua jurulatih dilucutkan oleh FAM selepas persembahan memalukan skuad Malaysia pada Piala Asia 2007 di mana Malaysia tewas 1 - 5 kepada China, 0 - 5 kepada Uzbekistan dan 0 - 2 kepada Iran.


B. Sathianathan

Selepas pemecatan Norizan Bakar, B. Sathianathan mengambil alih selaku ketua jurulatih. Meskipun mempunyai reputasi hebat selepas membantu skuad bawah 23 Malaysia menjuarai Pesta Bola Merdeka, B. Sathianathan gagal membawa Malaysia beraksi lebih jauh pada kelayakan Piala Dunia setelah tewas 4 - 1 dan seri 0 - 0 dengan Bahrain pada pusingan kelayakan. Pada tahun 2008, Sathianathan membawa Malaysia sekali lagi ke peringkat akhir Pesta Bola Merdeka. Namun Malaysia tumpas menerusi sepakan penalti kepada Vietnam.

Pada kejohanan Piala AFF Suzuki 2008, FAM mensasarkan Malaysia mara ke perlawanan akhir. Malaysia bermula baik apabila menang 3 - 0 dengan pasukan kebangsaan Laos. Malaysia tumpas 2 - 3 kepada Vietnam pada perlawanan kedua kerana kesilapan penjaga gol Mohd Helmi Eliza Elias. Malaysia akhirnya tersingkir apabila tewas 3 - 0 kepada Thailand dan buat kali pertama tersingkir pada peringkat kumpulan sejak 1998.

Status Sathia sebagai jurulatih mula menjadi tanda tanya apabila timbul khabar angin yang mengatakan dia akan digantikan dengan Peter Withe. Bagaimanapun kontrak Sathia dikekalkan dengan bersyarat dia perlu meningkatkan kedudukan Malaysia dalam ranking FIFA.

Pada kejohanan kelayakan Piala Asia 2011, pasukan Malaysia mengalami kekalahan 0 - 5 kepada pasukan Emiriah Arab Bersatu. Kekalahan tersebut menyebabkan penyokong mengkritik FAM dan jurulatih Malaysia, Sathianathan. Lantas Sathianathan mengatakan dia bersedia untuk berundur demi kemajuan pasukan Malaysia. Dia juga mengkritik Liga Malaysia dengan mengatakan Liga Malaysia bukan kejohanan bola sepak yang sebenar. Akhirnya pada Februari 2009, kontrak beliau dan pengurus pasukan Soh Chin Aun ditamatkan FAM.


K. Rajagopal

Semenjak K. Rajagopal dipilih menjadi jurulatih kebangsaan Malaysia pada April lalu, persediaan terarah ke Sukan SEA yang menyaksikan kemenangan ke atas Shanghai Zhong Bang 2 - 1 dalam perlawanan persahabatan di China dan menang 3 - 0 ke atas skuad Bawah 23 Singapura, Young Lions 3 - 0. Pada perlawanan persahabatan dengan pasukan sebaya Indonesia, Malaysia menang 1 - 0 jaringan Mohd. Zaquan Adha Abd. Razak.

Sumber: Sinar Harian

No comments: