Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, August 1, 2014

Ujian di sebalik Ramadan

Ramadan bagi mereka yang beriman pastinya menjadi satu kemenangan yang besar kerana sepanjang bulan yang mulia ini kita diuji untuk mendisiplinkan diri, memberikan suatu pengisian yang sangat bermakna dalam menjalani kehidupan yang berkualiti.

Namun sewajarnya pemergian bulan yang mulia ini menandakan peningkatan usia dan bertambah dekatnya hujung kehidupan kita di alam fana ini.

Persoalan besar timbul di sini ialah apakah pertambahan usia seiring dengan peningkatan pahala atau sebaliknya?

Apakah di penghujung usia yang teramat singkat ini amalan dan kebaktian kita semakin berganda atau semakin meredup?

Imam Malek RA pernah menangis ketika hendak berbuka puasa.

Ketika ditanya oleh murid beliau kenapa beliau menangis?

Jawabnya:

"Aku sedih melihatkan makanan yang banyak. ini kerana terkenangkan Rasulullah SAW, Baginda berbuka dengan makanan yang sedikit tetapi ibadah Baginda banyak, sedangkan aku berbuka dengan makanan yang banyak namun ibadatku begitu sedikit sekali."

Sepanjang bulan Ramadan kita diuji dari pelbagai sudut sama ada dari segi keimanan dan ketaatan kepada perintah Allah SWT.

Kita diuji dari segi kekuatan fizikal dan mental bahkan kita juga diuji dari segi kerohanian dan jiwa.

Kita dikerah untuk merebut segala peluang yang diberikan dengan melakukan amalan-amalan sama ada dalam bentuk fardhu ataupun sunat.

Imam al-Ghazali RA di dalam karyanya Ihya Ulumuddin telah membahagikan ibadah puasa seseorang itu kepada tiga tingkatan iaitu:
  1. Tingkatan Paling Rendah (awam)
  2. Tingkatan Pertengahan (khawas)
  3. Tingkatan Tertinggi (khowasul khawas)

Tingkatan Paling Rendah (awam) ialah puasa yang hanya menahan diri daripada lapar, dahaga dan perkara yang membatalkan puasa.

Tingkatan Pertangahan (khawas) pula ialah puasa khusus iaitu menahan diri daripada lapar, dahaga, perkara yang membatalkan puasa dan perkara maksiat dan dosa.

Tingkatan Tertinggi (khowasul khawas) ialah puasa khusus dan istimewa iaitu berpuasa dengan penuh ikhlas dan menjaga hati daripada dikotori dengan sifat mazmumah.

Justeru mereka yang berjaya melalui ujian ini insya Allah akan mencapai tujuan sebenar tuntutan puasa iaitu membina ketaatan kepada Allah SWT.




Zakat fitrah

Bagi melengkapkan ujian kita di bulan Ramadan yang mulia, maka kita sebagai umat Islam dituntut untuk melaksanakan zakat fitrah.

Secara ringkasnya, zakat fitrah ialah zakat badan yang diwajibkan kerana berakhirnya bulan Ramadan dan dikeluarkan mengikut peraturannya.

Kewajipan yang dilaksanakan di bulan Ramadan ini bertujuan membersih dan menyucikan jiwa mereka yang berpuasa daripada perkara yang sia-sia dan seterusnya bayaran fitrah tersebut dapat digunakan untuk membantu fakir dan miskin membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidil Fitri.

Firman Allah SWT di dalam surah al-A'la ayat 14 dan 15 yang bermaksud:

"Sesungguhnya berjayalah orang yang berusaha membersihkan dirinya (dengan amal yang salih). Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya, serta mengerjakan sembahyang."

Dan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Rasulullah SAW telah menentukan Zakat fitrah, satu gantang dari buah tamar, atau satu gantang dari syair atas tiap-tiap seorang hamba atau merdeka, lelaki atau perempuan, kanak-kanak atau orang dewasa dari kalangan umat Islam." - Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

Persoalan besar timbul di sini adakah kita diharuskan mengeluarkan zakat fitrah dengan wang ringgit?

Secara ringkasnya, harus mengeluarkan zakat fitrah itu dengan wang yang senilai dengan harga satu gantang makanan asas jika ianya lebih memberi manfaat kepada fakir miskin.

Pandangan ini mengikut mazhab Hanafi dan disokong oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam Fiqh Zakatnya.

Islam mensyariatkan zakat fitrah agar setiap orang yang berpuasa dapat menghayati watak sebenar manusia yang mahu kembali kepada fitrah.

Apabila berpuasa, maka umat Islam dididik untuk menghayati erti kesusahan, kelaparan dan menginsafi kehidupan dan zakat fitrah seolah-olah menjadi kemuncak kepada menghayati kesusahan dan serti kelaparan itu.

Ramadan wajib dilunasi dengan memberikan sedikit kekayaan yang dimiliki kepada orang miskin yang hakikatnya sentiasa merasai keperitan hidup.

Sebab itulah, orang yang berpuasa dengan sepenuh hati, mereka akan benar-benar memahami kewajipan zakat fitrah ini dan akan segera menunaikannya, demi mendapat ganjaran besar di sisi Allah SWT.





Ujian

Ramadan 1435/2014 begitu menguji jiwa dan raga umat Islam dan secara amnya kepada seluruh rakyat Malaysia.

Pada bulan Ramadan kali ini kita diuji dengan satu peristiwa yang tidak diduga apabila pesawat komersial Boeing milik syarikat Malaysian Airlines System (MAS) iaitu penerbangan MH17 telah terhempas di kawasan timur Ukraine oleh perbuatan yang tidak berhati perut, tidak bertamadun, bersifat ganas lagi tidak bertanggungjawab.

Akibat dari peristiwa tragis ini keseluruhan penumpang dan anak kapal terkorban.

Segala ketentuan yang berlaku adalah qada' dan qadar Allah SWT yang mempunyai pelbagai hikmah di sebaliknya.

Sesungguhnya setiap yang hidup itu akan mati, walaupun di mana kita berada sama ada di darat, laut ataupun di udara.

Kita mendoakan agar roh mereka ini ditempatkan di kalangan mereka yang beriman.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa' ayat 78 yang bermaksud:

"Di mana sahaja kamu berada, pasti mati mendatangi kamu, sekalipun kamu bersembunyi di atas mahligai atau benteng yang paling kuat."

Di waktu yang sama juga rakyat Gaza dan Palestin diuji dengan serangan bertalu-talu oleh tentera Zionis Israel.

Rakyat Gaza dan Palestin berhujankan peluru dan bermandikan darah sehingga ratusan yang terkorban.

Sesungguhnya perbuatan ini adalah perbuatan yang zalim dan tidak bertamadun.

Justeru, sebagai umat Islam marilah sama-sama berganding bahu, bersatu padu, merapatkan saf, mengeratkan perpaduan di kalangan kita agar apa jua usaha mereka ini untuk menggugat umat Islam dan keamanan negara dapat digagalkan.

Renungilah firman Allah SWT di dalam surah al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud:

"Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat."


sumber: e-khutbah JAKIM



No comments: