Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, July 31, 2014

Pahlawan Negara: Negara Aman Tanahair Terpelihara


Sambutan Hari Pahlawan pada 31 Julai setiap tahun merupakan tarikh keramat cukup melakar pengertian kepada kita sebagai anak bangsa yang cintakan agama, bangsa dan negara.

Pahlawan negara sama ada daripada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis di Raja Malaysia (PDRM) dan lain-lain agensi keselamatan serta individu yang secara bersama mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.

Bersama-sama kita menghargai jasa dan pengorbanan besar yang telah disumbangkan oleh mereka yang bergelar pahlawan bagi mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 112 yang bermaksud:

"Dan (berhubung dengan hal yang kufur ingkar) Allah memberikan satu misalan; Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan."

Bulan Ramadan yang mulia tidak menghalang umatnya untuk berjuang di jalan Allah.

Sejarah membuktikan bulan suci ini penuh dengan kemenangan yang besar yang mampu diraih, bukannya bulan untuk bermalas-malas dan lemah akan tetapi bulan untuk berjuang bagi mencapai kemenangan.

Lihatlah pahatan sejarah peperangan yang berlaku dalam bulan Ramadan seperti Perang Badar yang berlaku pada 17 Ramadan tahun kedua Hijrah.

Peperangan ini merupakan kemenangan pertama yang menentukan kedudukan keimanan umat Islam dalam menghadapi kekuatan kemusyrikan dan kebatilan musuh.

Begitu juga dengan peristiwa Fathu Makkah yang mana Rasulullah SAW keluar dari Madinah pada 10 Ramadan bagi pembebasan kota Makkah tanpa pertumpahan darah.

Penaklukan Andalus, Sepanyol yang dipimpin oleh Tariq bin Ziyad berlaku pada 28 Ramadan tahun 92 Hijrah.

Demikianlah juga peperangan lain yang lebih bermakna bagi umat Islam, berlaku dalam bulan Ramadan al-Mubarak.

Walaupun peperangan adalah satu pertempuran sengit dan perbuatan terkutuk tetapi ada peperangan yang terpuji iaitu peperangan di jalan Allah atau peperangan fisabilillah.

Peperangan di jalan Allah itu ialah peperangan mempertahankan diri dari pengusiran, mempertahankan diri dari penganiayaan dan mempertahankan diri dengan berjuang kerana Allah SWT.

Oleh sebab itu, mereka yang berperang di jalan Allah dianggap sebagai pahlawan Allah yang sejati dan akan mendapat ganjaran pahala dari Allah SWT.

Namun persoalan besar timbul di sini ialah apakah faktor yang menyumbang kepada peperangan di jalan Allah ini?

Secara ringkasnya, ianya sangat berkait dengan nilai keimanan, sifat jati diri, perasaan kasih, kesetiaan dan pengorbanan kepada agama, tanah air dan negara secara menyeluruh.





Sejarah

Sejarah Islam telah membuktikan, kekuatan tentera Islam adalah berpunca dari kekuatan iman dan ikhlas berjuang kerana Allah SWT serta ketaatan kepada kepimpinan mereka.

Renungilah kegigihan tentera Islam sejak kerajaan Umaiyyah, Abasiyyah dan Uthmaniah Turki untuk menawan kota Konstantinopel (Istanbul).

Kehebatan Sultan Muhammad al-Fateh yang menjadi Sultan Kerajaan Uthmaniah Turki amat wajar dicontohi.

Baginda memerintah selama 30 tahun.

Baginda seorang yang beriman, tawaduk, bijak, pintar dan kreatif telah berjaya memimpin tentera Islam menawan Kota Konstantinopel daripada kerajaan Rom.

Kejatuhan kota itu membuka laluan dan menjadi pintu masuk penyebaran Islam di Eropah.

Antara kata-kata keramat baginda ketika melancarkan percubaan akhir pada hari ke-53 kepungan untuk menawan Kota Konstantinopel ialah:

"Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah, sesiapa yang mahu syahid, ikutilah aku."

Menurut riwayat, baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat sunat rawatib dan solat tahajjud dan segala ibadah yang lain.

Dengan itu, mereka mampu bertahan dalam apa juga keadaan, tidak mudah mengaku kalah walau ditawarkan pelbagai habuan sebagai balasan mempertaruhkan agama, bangsa serta negara.

Kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1511 kepada Portugis berpunca daripada perpecahan dan pengkhianatan di kalangan orang Melayu sendiri di mana mereka hilang jati diri, lemah iman serta sanggup bersekongkol dengan pihak musuh.

Betapa deritanya mereka yang hidup semasa zaman penjajahan di tanah air.

Bukankah ketika itu bangsa kita ditindas, agama kita dihina dan maruah kita dicerca?

Pernahkah kita menghitung dan mengenang, berapa ramaikah nyawa pejuang kita yang telah gugur hanya semata-mata mahu membebaskan tanahair ini daripada penjajah?

Ratusan tahun kita dijajah hinggalah sinar kemerdekaan berjaya diperolehi pada 1957.

Tiada langsung ruang pembelaan bagi bangsa dan agama ketika itu melainkan hanya penindasan.

Inilah masanya untuk kita sedar, untuk kita ingat, kerana jika kita lupa sejarah, tidak mustahil sejarah yang sama mungkin berulang kembali.

Relakah kita dijajah semula?

Terus berfikir secara matang, jadikanlah sejarah bangsa kita sebagai teladan, perkasakanlah perpaduan ummah melalui persaudaraan sesama Islam.

Teruskanlah perjuangan yang telah ditinggalkan oleh datuk nenek moyang kita agar kesinambungan ini dapat menjamin keselamatan dan keamanan negara terpelihara.

Renungilah firman Allah SWT di dalam surah at-Taubah ayat 20 yang bermaksud:

"(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang Berjaya."

Sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: