Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, August 1, 2014

Aidil Fitri: Kembali kepada fitrah


Aidil Fitri ialah hari di mana kita menzahirkan rasa kesyukuran dan kegembiraan setelah berjaya menyempurnakan ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan.

Kita telah dilatih untuk melaksanakan ibadah-ibadah fardu dan sunat seperti solat Tarawih, tadarrus al-Quran, berqiamullail, bersahur, memperbanyakkan sedekah dan sebagainya sepanjang Ramadan, diharapkan telah dapat mengembalikan kita kepada fitrah atau keadaan asal yang suci, bersih dan terpelihara daripada segala dosa.

Maka, beruntunglah mereka yang telah mengisi Ramadan dengan pelbagai ibadah dan sebaliknya rugilah mereka yang telah mensia-siakan Ramadan sehingga ia berlalu begitu sahaja.

Secara ringkasnya, kembali kepada fitrah bermaksud kembali kepada asal kejadian iaitu kesucian jiwa yang sentiasa tunduk dan patuh kepada Allah SWT.

Dalam Islam terdapat konsep bahawa setiap orang dilahirkan dalam keadaan fitrah.

Fitrah dalam hal ini bererti seseorang itu dilahirkan dalam keadaan suci dan tidak memiliki dosa.

Seseorang yang kembali kepada fitrahnya, mempunyai makna ia mencari kesucian dan keyakinannya yang hakiki sebagaimana pada saat ia dilahirkan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Setiap anak dilahirkan dalam keadaan suci. Kedua orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani, atau Majusi." - Hadis Riwayat Bukhari.

Dengan kembalinya kita kepada fitrah ini, ia sewajarnya menjadi satu kayu pengukur atau yardstick untuk kita memulakan langkah baharu dan mengekalkan diri agar terus hidup sebagai lembaran kain putih yang suci dan bersih.

Ia juga seharusnya menguatkan iltizam untuk memenuhi syarat kehidupan sebagai mukmin sejati yang dijadikan sebagai khalifah di muka bumi bertujuan untuk mengabdikan diri kepada-Nya dan mengakhiri kehidupan sebagai seorang insan kamil.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Rum ayat 30 yang bermaksud:

"Maka hadapkanlah dirimu ke arah agama yang jauh dari kesesatan; Fitrah Allah yang menciptakan manusia untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui."

Maka dengan yang demikian, kita akan meraikan Aidil Fitri dengan amalan yang sewajarnya dan bukan dengan cara yang memusnahkan sama sekali maksud serta nilai fitrah yang ada pada diri kita ini.

Janganlah kita rosakkan pahala Ramadan dengan dosa pada Aidil Fitri.

Justeru, Aidil Fitri hendaklah dihiasi dengan segala nilai, akhlak serta adab berpandukan Sunnah Rasulullah SAW.




Fitrah

Bagi mengekalkan kesucian fitrah, maka sebagai umat Islam kita hendaklah:

Pertama: mengukuhkan ketauhidan kepada Allah SWT.
Pengukuhan tauhid pada hari yang mulia ini dimulai dengan melaksanakan takbir, tahmid dan tasbih sebagai tanda mengagongkan Allah SWT. Ia adalah pernyataan ikrar dan taat kepada Allah, kepada syariat-Nya, kepada seluruh perintah dan larangan-Nya, yang kita berjanji akan mematuhi. Untuk lebih menghayati kalimah agung ini adalah lebih baik kita fahami maknanya seperti berikut:

"Allah Maha Besar, Allah Maha Hebat, Allah Maha Agung. Tidak ada Tuhan selain Allah yang Maha Agung itu dan bagi-Nyalah segala puji-pujian. Maha Besar Allah, Maha Terpuji Allah, Maha Suci Allah, baik di waktu pagi atau di waktu petang, baik di waktu yang silam atau sekarang dan di masa-masa yang akan datang."

"Tidak ada Tuhan selain Allah, Dia menepati segala janji-Nya, membantu hamba-hamba-Nya yang berjuang menegakkan kebesaran dan kebenaran kalimah-Nya, Maha kuat tentera dan pasukan-Nya, sanggup Dia menaklukkan seluruh tentera dan mana-mana pasukan pun. Tidak ada yang kita sembah selain hanya Allah. Kita ikhlaskan diri menganut agama ini hanya kerana Allah, kerana Dia semata-mata, sekalipun akan mengakibatkan benci dan irihati orang-orang kafir."

"Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya. Ya Allah, limpahkan jua selawat dan salam atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW, keluarga sahabat dan pengikutnya yang sudah berjuang menegakkan kalimah-Mu, beribadat menyembah-Mu, sebagai obor yang menerangi agama, memberi petunjuk dan pimpinan yang cemerlang."


Kedua: Menguatkan komitmen ubudiyah.
Sebulan di madrasah Ramadan mendidik kita untuk memberi sepenuhnya komitmen dalam membina ubudiyah yang sejati kepada Allah SWT. Bagi mereka yang menguatkan ubudiyah dan mengharungi dengan penuh ketaatan sebenarnya telah menempah tiket al-Rayyan untuk menuju ke satu destinasi yang menjadi idaman setiap insan mukmin. Daripada Sahl bin Said RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya di dalam syurga itu ada satu pintu yang dinamakan al-Rayyan, orang yang berpuasa akan masuk melaluinya pada hari kiamat, tidak akan masuk seorang pun selain daripada mereka (yang berpuasa), apabila telah masuk orang yang berpuasa, pintu ini akan ditutup, maka tidak dapat masuk seorang pun yang lain melalui pintu ini." - Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim.


Ketiga: Memelihara akhlak terpuji. Ketika kita di bulan Ramadan kita bukan sahaja menahan diri dari makan dan minum, malahan kita diajar menjaga segala akhlak sama ada dari segi tutur bicara, tingkah laku dan menjaga perasaan hati dari segala perkara mazmumah. Amalan wajib dan sunat yang padat dalam bulan Ramadan telah memberi tumpuan latih tubi pembersihan hati, pembersihan dalaman, mendisiplinkan anggota badan, mengukuhkan akhlak mulia dan mencegah penyakit.




Tanggungjawab

Pada hari ini sekali lagi fitrah umat Islam diracuni dan digugat dengan pelbagai cara sama ada dari segi akidah, ibadah, akhlak dan sebagainya.

Kita digugat dengan ancaman akidah sama ada melalui penyebaran ajaran sesat, anti Hadis, aliran pemikiran dan ideologi moden seperti kapitalisme, materialisme, fahaman liberalisme, pluralisme, sekularisme dan komunisme serta unsur-unsur negatif yang mempengaruhi umat Islam telah melanda dengan mudahnya.

Bukan itu sahaja, kita juga digemparkan dengan budaya kebebasan melampau seperti pesta seks, gejala gay, lesbian, seks bebas dan sebagainya.

Kita juga dikejutkan dengan beberapa gejala sosial dan keruntuhan moral yang amat membimbangkan seperti isu gelandangan, kes penderhakaan anak-anak terhadap ibu bapa, pembunuhan, rompakan, pembuangan bayi, penderaan kanak-kanak, kes bersekedudukan sehingga melahirkan zuriat tanpa nikah, kes dadah, arak, rogol dan sebagainya.

Persoalan besar timbul ialah apakah yang menyebabkan gejala negatif seumpama ini terus berlaku?

Jawapannya ialah kerana kualiti keimanan umat Islam yang lemah dan kekaburan kita di dalam menegakkan prinsip-prinsip asas agama yang menjadi tunjang kehidupan seseorang Muslim.

Dengan ini kita terpesong daripada cara hidup yang sebenar dan fitrah umat Islam.

Kita juga jangan lupa bahawa syaitan dan sekutunya telah berjanji kepada Allah SWT untuk terus menyesatkan mereka yang beriman.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa ayat 119 yang bermaksud:

"Dan sungguh, aku akan menyesatkan mereka, dan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan menyuruh mereka membelah telinga binatang ternak; dan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang dita'ati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata."

Agama Islam sangat mengambil berat dalam memperbetulkan fitrah umatnya agar selari dengan akidah, ibadah dan akhlak umat Islam.

Oleh itu, kita hendaklah melakukan penghijrahan minda dengan menyedari bahawa kewajipan untuk memelihara agama (hifz ad-deen) adalah tanggungjawab bersama.

Tariklah nafas perjuangan dan renungkanlah ke dalam diri kita, bertanyalah secara jujur kepada hati kita, sejauh manakah kita mengambil berat tentang agama kita?

Adakah selama ini kita telah berusaha untuk mempertahankan kesucian Islam?

Pernahkah kita terfikir tentang masa depan umat Islam?

Relakah kita melihat umat Islam semakin berpecah, semakin lemah hingga akhirnya umat Islam hilang maruah dan juga ditindas?

Maka sedarlah sebagai umat Islam kita dituntut untuk mengenali agenda penghakis kedaulatan agama Islam dengan membanteras unsur-unsur yang cuba menghakis kesucian agama Islam dan sebagainya.

Inilah perjuangan yang perlu kita dukung dan laksanakan dengan penuh keyakinan tanpa mengira umur, kedudukan dan fahaman politik kita.

Tatacara hidup Islam yang sebenarnya adalah bersaudara, saling bantu-membantu, faham-memahami antara satu sama lain sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Bandingan hubungan persaudaraan dan silaturahim seorang mukmin terhadap seorang mukmin yang lain bagaikan sebuah bangunan di mana sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain." - Hadis Riwayat Muslim




Puasa

Sesungguhnya kedatangan Syawal bukan bermakna terhenti segala amal kebajikan dalam tempoh sebulan Ramadan yang lalu dan mengurangkan amal ibadah serta kesungguhan kita dalam mematuhi tuntutan Allah SWT.

Sebaliknya terus beristiqamah dengan ibadah-ibadah wajib dan sunat yang telah dilaksanakan sebelum ini.

Berdasarkan pengalaman dan apa yang kita rasai atau hayati sendiri ternyata ibadah puasa memberi impak kesihatan yang tinggi dan faedah kebaikan yang banyak kepada manusia.

Kejayaan melaksanakan ibadah puasa itu sewajarnya memberi inspirasi dan celik akal kepada umat Islam bahawa segala ibadah kita kepada Allah SWT boleh dilaksanakan sepenuhnya jika kita bertaqwa dan mempunyai keinginan yang tinggi untuk mematuhi perintah Allah.

Ternyata perintah wajib berpuasa ini menjadi penanda aras bahawa perintah Allah sebenarnya tersirat hikmah, tidak menzalimi manusia, tidak memudaratkan manusia, tidak menjatuhkan maruah manusia, tidak memalukan manusia tetapi hakikatnya membawa kesejahteraan kepada manusia sendiri, masyarakat dan negara.

Sebagaimana Allah SWT berfirman dalam surah ar-Rahman ayat 60 yang bermaksud:

"Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik melainkan balasan yang baik juga?"




Prihatin

Ketika kita sedang bergembira menyambut Aidil Fitri ini, kita perlu insaf dan sedar bahawa terdapat saudara mara, kaum kerabat, jiran, sahabat-kenalan dan saudara seagama kita yang menyambut Aidil Fitri dalam keadaan sukar, bersendirian, daif dan sebagainya.

Mereka ini terdiri daripada orang miskin, anak-anak yang terbiar, golongan gelandangan, orang kelainan upaya (OKU) dan mereka yang berada di pusat-pusat serenti, penjara, rumah orang tua, rumah anak yatim, rumah kebajikan dan sebagainya.

Justeru, marilah sama-sama kita menghidupkan suasana Aidil Fitri ini dengan amalan ziarah-menziarahi, kunjung-mengunjungi dan menghubungkan silaturrahim terutama sekali terhadap kedua ibu bapa kita dengan memohon kemaafan atas kesalahan, perbuatan zalim dan perbuatan dosa yang telah dilakukan sama ada yang disedari ataupun yang tidak disedari.

Dengan demikian jiwa kita dapat merasai ketenangan dan kebahagiaan yang sejati.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Sesiapa yang menghilangkan kesusahan orang mukmin daripada kesusahan dunia nescaya Allah akan menghilangkan kesusahannya pada hari Kiamat dan siapa yang memberi kemudahan kepada orang susah nescaya Allah akan memberi kemudahan kepadanya di dunia dan akhirat, sesiapa yang menutup keaiban orang Islam nescaya Allah akan menutup keaibannya di dunia dan di akhirat dan Allah sentiasa menolong hamba-Nya selama hamba-Nya menolong saudaranya dan siapa yang menuntut ilmu nescaya Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga dan tidak berkumpul sesuatu kaum dalam masjid dalam keadaan membaca al-Quran dan mengulangkaji sesama mereka melainkan mereka akan mendapat ketenangan dan dilimpahkan rahmat ke atas mereka dan dilimpahi oleh para Malaikat dan Allah sentiasa mengingati-Nya dan siapa yang menangguhkan amalannya tidak akan disegerakan oleh keturunannya." - Hadis Riwayat Ahmad

Ketika kita bergembira dengan Aidil Fitri ini, dunia digegarkan dengan kekejaman manusia yang tidak bertamadun iaitu rejim Israel terhadap umat Islam di Palestin.

Kezaliman dan keganasan yang telah dilakukan oleh mereka telah menyaksikan pembunuhan dan pertumpahan darah yang tidak pernah mengenal mangsa sama ada bayi, kanak-kanak, remaja, lelaki, wanita atau orang biasa.

Mereka akan membunuh tanpa rasa belas kasihan.

Sesungguhnya perbuatan ini adalah zalim, tidak berperikemanusiaan dan tidak bertamadun.

Cuba bayangkan, mereka menyambut hari raya dengan suasana letupan bom, bedilan meriam, percikan senapang dan hujanan peluru.

Sudah pasti kesengsaraan dan penderitaan yang dialami oleh mereka.

Rasakan suasana hibanya kematian, kesakitan dan keperitan yang dialami oleh mereka.

Justeru, marilah kita mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan ini dan memberi sokongan dan bantuan sepenuhnya dengan apa cara kepada umat Islam di Palestin.

Sewajarnya kita sama-sama bangkit bersatu hati tanpa membezakan latar belakang, ekonomi, miskin atau kaya, berbeza latar belakang fahaman atau politik.

Berilah sokongan berterusan kepada umat Islam di Palestin dan jangan biarkan tangisan Gaza ini berpanjangan.




Muhasabah

Selari dengan keberkatan Ramadan dan takbir keinsafan yang memberi ruang besar untuk kembali kepada fitrah ini, marilah kita memulihkan dan mengukuhkan hubungan sesama kita dengan mengamalkan sikap bersederhana dalam apa jua tindakan, tidak melampau, saling bermaafan, mendoakan dan mengeratkan hubungan silaturahim.

Buanglah yang keruh ambillah yang jernih.

Amalan ibadah kita tidak akan diterima oleh Allah SWT sekiranya kita hanya mementingkan diri sendiri dan tidak menghormati hak-hak orang lain.

Marilah kita cairkan keegoan dan lembutkanlah hati kita untuk penyatuan.

Demi Islam dan masa depan ummah, gugurkanlah segala api dendam dan permusuhan kerana tiada gunanya persengketaan yang akhirnya pasti membawa kehancuran.

Ambillah kesempatan pada Syawal yang mulia ini untuk sama-sama kita mewujudkan perpaduan antara kita, mudah-mudahan dengan cara ini hidup kita sentiasa berada dalam keberkatan dan negara kita sentiasa dalam suasana harmoni dan aman damai.

Renungilah firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 9 yang bermaksud:

"Dan jika dua puak dari orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah keduanya dengan adil, dan berlaku adillah kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil."





Aidil Fitri

Sesungguhnya Aidil Fitri yang disyariatkan oleh Islam adalah untuk memperbaharui kehidupan kita sebagaimana yang digariskan bagi orang yang beriman dengan-Nya, iaitu kehidupan yang berteraskan fitrah umat Islam seperti akidah, ibadah dan akhlak.

Merayakan Aidil Fitri ialah merayakan hari kemenangan dalam melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadan dan berjaya melaksanakannya dengan sempurna.

Para ulama menegaskan bahawa mereka yang bersabar dan istiqamah mengekalkan amalan soleh selepas Ramadan membuktikan penerimaan Allah SWT terhadap amalannya.

Justeru ibadah ini perlulah diteruskan pula di bulan Syawal dengan melakukan puasa sunat selama enam hari sama ada secara berturut-turut atau berselang-seli.

Rasulullah SAW bersabda dalam hadisnya yang bermaksud:

"Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, dan kemudian diikuti pula dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka seolah-olah dia telah berpuasa selama setahun." - Hadis Riwayat Muslim.

Aidil Fitri juga hari perdamaian kerana pada hari ini dinyatakan perdamaian hidup dalam rumah tangga, hubungan kaum kerabat dan sanak saudara.

Seluruh umat Islam sama ada dalam lingkungan desa mahupun kota, wajah berseri-seri, hati riang ria, tangan bersalam-salaman mengucapkan salam Aidil Fitri serta ampun dan maaf sebagai tanda keakraban dan silaturahim.




Bersyukur

Aidil Fitri bermakna kita kembali kepada fitrah.

Melalui zakat fitrah dan zakat harta yang telah kita bayar di bulan Ramadan telah memberi keceriaan dan keriangan kepada golongan fakir miskin untuk sama-sama menyambut hari kemenangan ini.

Keberkatan Ramadan juga mengingatkan kita bahawa perpaduan yang ditetapkan Islam adalah melangkaui sempadan negara dan benua.

Di mana jua umat Islam berada mereka adalah sama, kita sama dari segi makan minum, kita sama dari segi peraturan, halal dan haram dan kita juga sama dari sudut akidah.

Namun kehidupan umat Islam teristimewa daripada umat lain kerana dengan adanya iman kepada Allah SWT.

Kita perlu insaf kerana terdapat saudara-saudara kita di luar negara hidup dalam keadaan sukar sepanjang hayat, membesar dalam keadaan perang, generasi silih berganti terus hidup menderita terutama saudara-saudara kita di Palestin, Syria, Selatan Thai, pelarian Muslim Rohingya dan lain-lain umat Islam yang sedang mengalami musibah.

Cuba rasakan betapa hebatnya penderitaan dan kesengsaraan yang dialami oleh mereka dan seandainya diri kita berada di tempat mereka, bandingkan pula dengan keadaan kehidupan kita di sini.

Jadikanlah ia sebagai pengajaran dan juga teladan kerana kadangkala kita ini terlupa untuk melafazkan kesyukuran.

Terdapat umat Islam yang menjadi penduduk minoriti di beberapa buah negara terutama di rantau ini juga menghadapi keperitan hidup.

Cuba bayangkan bagaimana umat Islam di negara yang mengalami peperangan dan kehidupan yang sukar menjalani puasa dan sambutan Aidil Fitri dan ibadah-ibadah yang lain.

Adakah mereka itu boleh melaksanakan ibadah solat dengan aman di masjid atau surau?

Adakah mereka boleh belajar, menulis, membaca dan mengajar al-Quran dalam keadaan selesa dan aman?

Sudah tentu tidak sempurna dan tidak selesa sepertimana kita dan generasi kita sedang menikmatinya masa kini.

Bersyukurlah di atas segala nikmat Allah SWT yang telah dianugerahkan oleh-Nya kepada kita.

Marilah kita bersama-sama membantu saudara seagama yang hidup daif dan menderita.

Keberkatan Ramadan mengingatkan kita supaya menghulurkan bantuan yang diadakan dari masa ke masa melalui masjid-masjid, akhbar-akhbar dan sebagainya, mudah-mudahan rezeki kita ditambah, umur kita dipanjangkan Allah SWT untuk meneruskan keimanan dan ketaqwaan kepada-Nya serta kasih sayang di kalangan masyarakat dapat ditingkatkan.

Renungilah firman Allah SWT di dalam surah al-Ahzab ayat 56 yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah SWT dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya."

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: