Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, August 4, 2014

Mencegah jenayah mengislah ummah


Syariat

Kesejahteraan ummah sama ada dari segi rohani dan jasmani di dunia mahupun di akhirat merupakan objektif utama agama Islam.

Bagi mencapai matlamat ini, agama Islam telah menyusun satu sistem yang lengkap untuk dipatuhi oleh setiap manusia.

Sistem ini bermula dari permulaan kejadian manusia, semasa kehidupannya dan selepas kematiannya.

Pada semua peringkat ini jasad dan roh manusia itu dilengkapi dengan syariat Islam yang jelas lagi teratur.

Namun perlu diingat bahawa agama Islam juga telah mengatur kehidupan manusia kepada yang wajib dan sunat, yang harus dan yang haram.

Islam juga menggariskan hal-hal yang berkaitan dengan dunia dan akhirat, dosa dan pahala serta penilaian dan pembalasan kepada manusia di atas apa yang dilakukannya.

Berdasarkan kepada sistem kehidupan ini, umat Islam perlu mematuhi segala peraturan hidup berlandaskan syariat dengan bersama-sama melaksanakan segala tuntutan dan mencegah segala perbuatan yang menyalahi peraturan kehidupan sama ada secara zahir atau batin bagi mencapai matlamat kesejahteraan hidup dunia dan akhirat.

Maka bagi mengislahkan ummah ini, sebagai umat Islam yang beriman kita hendaklah kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dengan meletakkan persoalan mencegah segala kemungkaran ataupun jenayah adalah tanggungjawab bersama.

Inilah masanya, semua umat Islam sama ada mereka itu dari kalangan mereka yang berkuasa atau rakyat jelata mesti bangkit atas dasar tanggungjawab untuk membanteras sebarang kemungkaran yang sedang berlaku dalam masyarakat hari ini tanpa mengira fahaman dan pengaruh ideologi tertentu kerana ini tanggungjawab kita.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Barangsiapa di antara kamu melihat berlakunya kemungkaran, maka hendaklah diubah dengan tangannya (kuasanya) dan sekiranya ia tidak mampu, maka hendaklah dengan lidahnya, dan sekiranya dia tidak mampu maka hendaklah diubah dengan hatinya (benci dengan hati), dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman." - Hadis Riwayat Muslim


Mutakhir ini hampir setiap hari dilaporkan oleh media massa akan pelbagai gejala kemungkaran dan jenayah melanda masyarakat negara kita.

Perlakuan buruk ini melibatkan semua golongan sama ada golongan remaja dan dewasa. Di antara beberapa gejala yang amat membimbangkan kita ialah seperti kes pembunuhan, rompakan, pembuangan bayi, penderaan kanak-kanak, kes bersedudukan sehingga melahirkan zuriat tanpa nikah, kes dadah, arak, rogol dan sebagainya.

Terdapat kes tersebut yang melibatkan masyarakat Melayu yang beragama Islam yang berlaku di sekeliling kita.

Bayangkanlah, tindakan penjenayah dalam membuat kerosakan dan kezaliman di negara ini mengakibatkan banyak kerugian termasuklah harta benda, kehilangan nyawa dan kemusnahan alam sekitar.

Dalam hal ini Abu Hurairah RA telah meriwayatkan sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Demi di mana diriku di bawah kekuasaan-Nya, maka akan datang kepada manusia suatu zaman di mana seorang pembunuh tidak tahu sebab mengapa ia menjadi seorang pembunuh dan manakala orang yang dibunuh pula tidak tahu sebab mengapa ia dibunuh." - Hadis Riwayat Muslim

Dalam Islam, perlakuan jenayah diklasifikasikan sebagai perbuatan zalim dan kejam. Jenayah-jenayah ini jelas melanggar syariat dan hukum Allah SWT serta menggugat keselamatan orang lain.

Ingatlah Allah SWT sangat membenci mereka yang melakukan kezaliman.

Firman Allah SWT di dalam surah Hud ayat 113 yang bermaksud:

"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim, maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan."

Persoalan besar timbul di sini ialah kenapa gejala kemungkaran dan jenayah ini berlaku? Adakah ia menggambarkan bahawa agama Islam itu sendiri gagal mendidik umatnya atau sikap masyarakat Islam yang lupa tentang syariat Islam dan tanggungjawab dalam konteks amal makruf dan nahi mungkar untuk membendung segala jenayah sebagai satu tanggungjawab bersama.

Percayalah bahawa isu jenayah merupakan isu yang melanda kehidupan manusia sepanjang zaman. porak-peranda kehidupan masyarakat adalah berpunca daripada wujudnya golongan rosak akhlak yang membelakangkan agama, syariat Islam dan adab dengan mengutamakan hawa nafsu.

Namun, gejala jenayah mungkar tidak dapat diatasi selagi masyarakat mengamalkan sikap keakuan dengan mementingkan diri sendiri tanpa memperdulikan apa yang berlaku di sekelilingnya.

Oleh itu, tatacara hidup Islam yang sebenarnya adalah bersaudara, saling bantu-membantu, faham-memahami antara satu sama lain sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Seorang mukmin terhadap seorang mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan di mana sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain." - Hadis Riwayat Muslim

Sebagai umat Islam kita perlu sedar bahawa syariat Islam yang diturunkan oleh Allah SWT adalah kunci segala kehidupan bagi mengislahkan ummah.

Syariat Islam bertujuan untuk mengatur dan mengawal kehidupan manusia supaya bebas dari sebarang unsur-unsur kemungkaran dan jenayah yang boleh membawa kepada kemusnahan.

Oleh itu, dalam syariat Islam kedudukan manusia sama sahaja, perbezaan warna kulit, pangkat dan darjat tidaklah mempunyai apa-apa keistimewaan, yang salah tetap salah, begitu juga yang benar tetap benar, kerana ianya berpaksikan kepada keadilan yang nyata.

Ketahuilah bahawa syariat itulah sebenarnya agama, yang meliputi hukum-hakam yang berkaitan dengan kehidupan manusia.

Menegakkan, melaksanakan dan berusaha ke arahnya adalah tanggungjawab kita semua, bukan hanya tertanggung ke atas pihak tertentu sahaja.

Ingatlah, Islam itu agama kita, bumi bertuah ini tanah air kita. Tiada gunanya kita menjadi bangsa yang telah merdeka jika kita gagal dan takut untuk mempertahankan hak dan maruah kita sendiri.

Maka, sanggupkah kita biarkan agama kita terus ternoda, terus dipersenda dan terus dipermainkan?

Siapa lagi yang akan mempertahankan kesucian Islam di tanah air ini jikalau bukan kita sendiri yang mempertahankannya?

Justeru, sebagai umat Islam kita wajib mendokong tanpa berbelah bagi segala usaha bagi meletakkan syariat Islam sebagai dasar negara dan pendinding kepada segala unsur-unsur kemungkaran dan jenayah yang melanda masyarakat ketika ini.

Kita juga hendaklah melakukan penghijrahan minda ke arah menyedari dan menginsafi bahawa kewajipan untuk memelihara agama (hifz ad-deen) andalah tanggungjawab bersama.

Sebagai umat Islam kita juga dituntut untuk mengenali agenda penghakis kedaulatan agama Islam dengan mengenali unsur-unsur yang cuba menghakis kesucian agama Islam dan sebagainya.

Tariklah nafas keimanan dan sedarlah sebelum terlambat. Saat ini agama kita sedang diserang, akidah kita sedang digugat, maruah kita sedang dicabar.

Bayangkanlah, apakah lagi keburukan yang akan melanda kita jika umat Islam terus berpecah belah dan tidak bersatu untuk mempertahankannya?

Bagaimana pula dengan akidah anak-anak kita di masa hadapan?

Malulah kita kepada Allah SWT jika kita sebagai umat yang ramai gagal menjalankan tanggungjawab untuk mempertahankan kedaulatan agama kita.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang mafhumnya:

"Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan beberapa kewajiban, maka janganlah engkau abaikan. Allah SWT juga telah menentukan peraturan hukum, maka jangan engkau melanggarnya. Allah SWT juga telah mengharamkan beberapa perkara, maka jangan engkau melakukannya. Dan Allah SWT juga ada mendiamkan sesuatu perkara kerana kasih sayangnya kepada kamu dan bukan kerana lupa, maka janganlah engkau menimbul-nimbulkannya." - Hadis Riwayat Dar al-Qutni.

Sama-sama kita mengislahkan ummah dengan berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar dengan meletakkan syariat Islam sebagai tirai besi kepada setiap unsur kemungkaran dan jenayah.

Yakinlah bahawa syariat Islam yang adil ini dapat menjamin kebaikan kepada individu, masyarakat dan negara.

Marilah sama-sama kita mengambil tanggungjawab dalam membanteras segala unsur kemungkaran yang melanda umat Islam pada hari ini.

Ingatlah, jika umat Islam masih leka dan terus dibuai mimpi yag indah tanpa menyedari barah dan virus yang sedang meratah mangsanya, pasti rosaklah minda, hilanglah jati diri dan terpesongnya persepsi yang akhirnya akan melenyapkan kuasa dan maruah.

Syukurlah kepada Allah SWT kerana diciptakan dalam keadaan yang cukup sempurna sehingga disebabkan kesempurnaan ini, martabat kita diangkat.

Ingatlah, kesempurnaan ini tidak membawa apa-apa erti jika kita gagal menggunakan akal dan hati dalam mematuhi segala syariat Allah SWT.

Renungilah firman Allah SWT dalam surah at-Tahrim ayat 6 yang bermaksud:

"Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu api Neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; Penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan."

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: