Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, June 2, 2014

Penjagaan alam sekitar tanggungjawab bersama


Kerosakan

Islam melarang umatnya dari melakukan sebarang bentuk kerosakan di atas muka bumi. Ini termasuk kerosakan jiwa, harta benda dan alam sekitar.

Bahkan umat Islam wajib mencontohi akhlak junjungan besar Nabi Muhammad SAW dalam memastikan hubungan dengan alam terus terpelihara.

Berdasarkan sifat rahmat yang dibawa oleh Baginda SAW adalah untuk sekalian alam, maka apa sahaja kehidupan di atas alam ini wajib diberikan hak kehidupannya mengikut sunatullah.

Manusia yang bijak mengguna akal fikiran akan bertambah mulia martabat mereka sekiranya dapat memanfaatkan khazanah alam dengan baik.

Firman Allah SWT di dalam surah Sajdah ayat 4 yang bermaksud:

"Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada diantara keduanya dalam enam masa, kemudian ia bersemayan diatas Arasy, kamu tidak akan beroleh sebarang penolong dan pemberi syafa'at selain dari Allah, oleh itu tidakkah kamu mahu insaf dan mengambil iktibar ( untuk mencapai keredhaan-Nya)."

Namun persoalan besar timbul ialah tindakan segelintir manusia yang tidak bersyukur dengan ghairah mengeluarkan kekayaan dari perut bumi dan kerakusan menambah harta kekayaan sewenang-wenangnya sehingga merosakkan ekosistemnya, memberi kesan jangka panjang yang menyebabkan bencana yang tidak dijangka berlaku seperti meningkatnya paras air laut, banjir besar, gempa bumi, glasier semakin mencair di Antartika dan perubahan cuaca tidak menentu.

Kesemua ini memberi kesan buruk terhadap kehidupan sama ada dari sudut pertanian, nelayan dan penduduk.

Mengambil contoh apa yang berlaku baru-baru ini apabila ibu kota dilanda banjir yang mengakibatkan kemusnahan dan kerosakan harta benda yang banyak, begitu juga berlaku pembuangan sisa-sisa toksik atau air tercemar yang tidak dirawat oleh kilang-kilang industri, melakukan pembakaran secara terbuka dan sebagainya, yang mana gambaran-gambaran ini menyebabkan berlakunya pencemaran, maka barulah kita sedar bahawa alam sekitar yang dikurniakan kepada kita ini perlu dipelihara.

Allah SWT menjelaskan di dalam surah ar-Rum ayat 41 yang bermaksud:

"Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia, timbulnya yang demikian kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali ( insaf dan bertaubat )."


Peringatan

Perubahan alam sekitar yang kadangkala hujan dan panas ini lebih merupakan satu ujian dan teguran daripada Allah SWT.

Kita hendaklah merasa takut kepada Allah SWT iaitu takut kepada kemurkaan, seksaan dan azab-Nya. Rasa takut ini boleh menyerap ke dalam jiwa jika kita menyedari betapa azab Allah di akhirat sungguh dahsyat.

Bayangkanlah, dengan hanya satu gigitan nyamuk sahaja sudah mampu untuk membunuh manusia dewasa yang sihat walafiat.

Apatah lagi dengan api neraka Allah, sudah pastilah kita tidak akan mampu menahan azab siksa-Nya.

Ini jelas membuktikan bahawa betapa kerdil dan lemahnya diri kita ini berbanding kekuasaan dan kehebatan Allah SWT.

Antara gambaran yang pernah diceritakan oleh Rasulullah SAW ialah mengenai betapa dahsyatnya kepanasan neraka berbanding kepanasan dunia.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Abu Hurairah RA:

"Api yang kamu semua nyalakannya di dunia ini hanyalah satu juzuk daripada tujuh puluh juzuk api neraka jahannam. Para sahabat berkata: “Ya Rasulullah, api dunia ini sahaja sudah sangat panas”. Baginda bersabda: Memang, api neraka itu lebih panas lagi dengan enam puluh sembilan kali ganda panasnya, di mana setiap juzuk itu menyamai suhu panas api di dunia ini."

Dengan memiliki rasa takut kepada Allah SWT kita akan memperolehi keberuntungan yang besar sebagaimana firman Allah SWT dalam surah an-Nuur ayat 52 yang bermaksud:

"Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, dan takut melanggar perintah Allah, serta menjaga dirinya, maka merekalah yang beroleh kemenangan."

Justeru, bagaimanakah caranya untuk kita menimbulkan perasaan takut kepada Allah SWT itu?

Terdapat beberapa cara yang boleh kita lakukan untuk berbuat demikian antaranya ialah:
  1. Mengambil iktibar daripada kisah-kisah yang telah diceritakan dalam al-Quran dan al-Hadith tentang perbuatan yang mendatangkan kemurkaan Allah SWT yang dilakukan orang yang terdahulu, yang ingkar dan tidak patuh kepada perintah-Nya baik yang diterima semasa di dunia mahupun ketika di akhirat kelak.
  2. Untuk menimbulkan perasaan takut kepada Allah, kita hendaklah menyedari dan membayangkan betapa seksa dan pedihnya azab Allah di akhirat sehingga tidak dapat digambarkan betapa kedahsyatannya.

Apabila seseorang itu takut kepada Allah SWT, dirinya akan sentiasa merasa malu dengan Allah, sentiasa rasa diperhatikan dan tindakannya pasti mengikut batasan syariat yang akhirnya pasti melahirkan kebaikan untuk umat manusia dan alam ini.


Tanggungjawab

Menyedari bencana alam sebagai hak mutlak Allah SWT yang tidak diduga, maka kesedaran tentang peranan dan tanggungjawab semua pihak dalam mengurus dan mengurangkan kesan bencana alam perlu dilakukan.

Di Malaysia, Jabatan Alam Sekitar adalah agensi kerajaan yang bertanggungjawab terhadap pemuliharaan alam sekitar.

Fungsi utamanya adalah untuk mencegah, menghapus, mengawal dan membaiki alam sekeliling agar senantiasa terpelihara melalui penguatkuasaan dan program kesedaran serta pendidikan kepada masyarakat.

Namun segala usaha tersebut perlulah diperkukuhkan melalui sokongan dan kerjasama padu semua pihak.

Menjadi kewajipan semua pihak memastikan alam sekitar dipelihara dengan selamat. Inilah masanya semua umat Islam mesti sedar dan perlu memastikan sebarang rancangan pembangunan dan kegiatan sosio ekonomi masyarakat mestilah tidak merosakkan ekologi alam sekitar.

Elakkanlah daripada menarah bukit, melakukan pembalakan haram, pembakaran terbuka dan pembuangan sampah yang tidak terkawal.

Berusahalah untuk menghindari diri dan tempat tinggal dari sebarang bencana dengan menunai segala perintah Allah SWT dan meninggalkan tegahan-Nya, kerana sesungguhnya bencana adalah sebahagian daripada balasan dan ujian dari Allah SWT.

Renungilah firman Allah SWT di dalam surah al-Araf ayat 97-98 yang bermaksud:

"Patutkah penduduk negeri-negeri itu merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur? Atau patutkah penduduk negeri itu merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka leka bermain-main?"

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: