Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, June 3, 2014

Rahsia Isra' Mikraj


Saban tahun kita melewati dan diperingatkan tentang peristiwa besar dalam sejarah umat Islam iaitu peristiwa Isra' dan Mikraj.

Dalam peristiwa ini, dengan kehendak dan kekuasaan Allah SWT, nabi besar Muhammad SAW diperjalankan dari Masjidil Haram di Makkah al-Mukarramah ke Masjidil Aqsa di Palestin kemudian bertemu Allah SWT dalam satu misi yang mengandungi tarbiyah dan pengajaran yang amat bermanfaat kepada seluruh manusia sepanjang zaman.

Kebenaran peristiwa ini tidak dapat disangkal lagi apabila ianya dirakamkan di dalam al-Quran surah al-Isra' yang membuktikan keagungan Allah SWT dan ketinggian kedudukan Nabi Muhammad SAW.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Isra' ayat 1 yang bermaksud:

"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."



Menghadap Allah

Kebaikan dan faedah yang diperoleh oleh umat Islam dengan tujuan pengisytiharan Isra' dan Mikraj itu ialah terpisahnya kaum yang lemah imannya, kaum yang diselubungi syak wasangka dan dipengaruhi oleh perasaan teragak-agak daripada kaum yang teguh kukuh imannya untuk menghadapi cabaran yang lebih besar di hadapan mereka.

Dalam peristiwa Isra’ Mikraj ini malaikat Jibril mengiringi nabi Muhammad SAW hingga ke langit ketujuh sahaja dan baginda bersendirian naik ke Sidratul Muntaha mengadap Allah SWT.

Tujuh lapis langit yang sering disebut dalam al-Quran bukanlah lapisan awan biru yang menutupi di atas bumi kita ini.

Menurut ulama’ lapisan tujuh langit itu adalah merujuk kepada lapisan yang merangkumi cekerawala, bintang-bintang, planet-planet dan kumpulan-kumpulan gas yang berada di angkasa lepas.

Di Sidratul Muntaha ini Rasulullah SAW dapat melihat Allah SWT.

Menurut ahli tafsir seperti Ibnu Kathir, menyatakan Nabi Muhammad SAW melihat Allah SWT secara mata hati dan menerima perintah melaksanakan ibadah solat fardhu 5 waktu sehari semalam secara terus dari Allah SWT.

Inilah rahsia terbesar Allah SWT memanggil mengadap Rasulullah SAW di Sidratul Muntaha.

Manakala perintah melakukan ibadah-ibadah wajib yang lain disampaikan Allah SWT melalui malaikat Jibril.



Solat

Berdasarkan rahsia Isra’ Mikraj ini jelas bahawa solat fardhu lima waktu adalah tuntutan utama yang Allah fardhukan kepada umat Islam.

Solat fardhu menjadi ibu segala amal ibadah, wajib dilaksanakan samada semasa sihat atau sakit, menjadi tonggak kekuatan agama, menggugurkan segala dosa dan menyelamatkan dari azab kubur.

Selain itu kualiti solat ini juga akan menentukan kualiti pelaksanaan ibadah-ibadah yang lain.

Terdapat perkaitan yang kuat bahawa jika seseorang itu lemah melaksanakan solat, maka ibadah yang lain pun mempunyai tahap yang sama.

Berdasarkan perkaitan inilah maka amalan solat adalah amalan yang dapat mencegah berlakunya kemungkaran kepada seseorang itu.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Ankabut Ayat 45 yang bermaksud:

"Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan."

Jika solat itu dibuat secara lalai maka ia boleh mendatangkan musibah dan memberi kesan buruk terhadap kelakuan seseorang.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Maa’un, ayat 4-5 yang bermaksud:

"Maka kecelakaan besar bagi orang yang Sembahyang. (Iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya."

Inilah masanya untuk kita sedar, bermuhasabah dan merenung kembali kualiti solat kita.

Adakah kita ini termasuk dalam golongan yang lalai?

Apakah yang dimaksudkan dengan lalai di sini?

Mereka ialah golongan yang melakukan solat namun tidak menyedari bilangan rakaatnya, malas melakukan solat sehingga bertangguh-tangguh kerana mengutamakan pekerjaan lain, terburu-buru melakukan solat dan tidak merasai nikmat melakukan solat di awal waktu.

Memandangkan solat ini adalah tuntutan utama, maka pelaksanaan solat hendaklah dilaksanakan secara khusyuk mengikut peraturan tertentu.

Solat yang hakiki pasti akan melindungi seseorang daripada melakukan perbuatan berdosa.

Solat yang hakiki dan berkualiti adalah solat yang dilakukan secara khusyuk.



Khusyuk

Sedarlah kita daripada tipu daya musuh dan juga syaitan, ingatlah bahawa kehidupan kita pada hari ini perlu kepada keseimbangan yang berteraskan kepada hubungan dengan Allah SWT, agar kita tidak leka dan terpedaya dengan arus nikmat dunia yang boleh melalaikan.

Usahlah ada antara kita yang sanggup menjual agamanya hanya untuk mendapatkan habuan di dunia semata-mata.

Sebanyak mana tumpuan diberikan kepada solat maka sebanyak itu kita mengharapkan hubungan kita dengan Allah bertambah baik dan seterusnya kehidupan kita dijauhi daripada perbuatan keji dan mungkar.

Menurut Imam al-Ghazali, antara amalan untuk membentuk solat yang baik dan khusyuk ialah, memastikan sumber rezeki diperolehi, dimakan dan diminum itu adalah halal, mendirikan solat seolah-olah akan menghadapi kematian esok hari, mendirikan solat pada awal waktu, memahami pengertian bacaan dalam solat, mengambil wudhu’ dengan sempurna, memakai pakaian bersih, serta memiliki sifat malu kepada Allah SWT jika perlaksanaan solat itu tidak sempurna.

Akhlak yang kurang baik yang dideritai oleh segolongan umat Islam kini berpunca daripada solatnya tidak khusyuk menyebabkan mereka masih melakukan perbuatan keji.

Mereka ini melakukan solat tetapi masih juga melakukan perbuatan yang berdosa.



Gejala sosial

Saat ini, serangan gejala sosial dalam pelbagai bentuk di negara ini menghendaki kita umat Islam dan para da’ie sekalian mestilah bekerja dengan lebih gigih lagi dengan menyusun strategi-strategi dakwah mengikut situasi semasa.

Isu-isu seperti pelacuran,rogol pembuangan bayi, dadah, arak dan yang terkini lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT) semakin menjadi-jadi dan sangat membimbangkan.

Keadaan ini diburukkan pula dengan wujudnya segelintir umat Islam yang hilang integriti, jati diri dan tersasar dari landasan yang sebenar.

Pelaksanaan solat yang khusyuk berupaya menjadi benteng, mengukuhkan kekuatan akidah dan akhlak anak-anak kita dalam menghadapi serangan gejala sosial ini.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Perbezaan antara manusia dan perbezaan antara syirik dan kufur ialah meninggalkan solat." - Hadis Riwayat Muslim

Fahamilah bahawa, jalinan dan hubungan sesama insan, yang dilaksanakan dalam kehidupan tidak berpada hanya dengan pengetahuan, bahkan memerlukan pedoman dan panduan dari Allah SWT.

Renungilah firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa' ayat 142 yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang munafik itu melakukan tipu daya terhadap Allah, dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka. Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka riak kepada manusia, dan mereka pula tidak mengingati Allah melainkan sedikit sekali."

Sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: