Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, May 30, 2014

Pergi tak kembali


Sebagai orang Islam yang berpegang kepada al-Quran dan hadis, kita mempercayai bahawa kehidupan, kematian dan kehidupan selepas mati adalah peringkat kewujudan yang wajib dilalui oleh setiap manusia.

Dalam peringkat kehidupan kita di dunia, jarang umur manusia melebihi 100 tahun tetapi puratanya mencapai umur antara 60 hingga 80 tahun.

Umur pendek atau panjang tidak menjadi persoalan kerana akhirnya manusia pasti mati.

Bagaimana sihat seseorang, bagaimana megah kuasa dan kayanya, namun manusia pasti mati dan meninggalkan dunia fana ini.

Malah para nabi dan rasul iaitu manusia yang paling dekat dan menjadi kekasih Allah SWT juga tidak dapat lari dari kematian, menghadapi alam barzakh dan hari penghakiman di Padang Mahsyar.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa' ayat 78 yang bermaksud:

"Di mana sahaja kamu berada, pasti mati mendatangi kamu, sekalipun kamu bersembunyi di atas mahligai atau benteng yang paling kuat."

Setiap manusia pasti mati kerana mati bermakna manusia kembali kepada asal kejadiannya.

Manusia berasal dari tanah, maka pastilah akan kembali menjadi tanah.

Persoalan mati adalah suatu kejadian yang paling hebat, suatu kejadian yang tidak dapat dielakkan.

Bila seseorang manusia itu mati, ia dikatakan sebagai kiamat kecil yang berlaku pada diri manusia kerana jasadnya menjadi busuk, dimakan cacing, tulang belulang menjadi hancur lebur kembali menjadi tanah dan roh telah keluar dari badan manusia.

Rohlah yang menyebabkan kita hidup, boleh mendengar, melihat, berakal, merasai dan berfikir.

Kubur atau alam barzakh adalah sebagai tempat permulaan alam akhirat. Sebagaimana kesukaran manusia menghadapi keperitan saat nazak kematian, maka jenazah juga sekali lagi menghadapi kesukaran siksaan kubur di alam barzakh.

Sebaik sahaja ahli keluarga dan sahabat handai selesai mengebumikan dan dalam perjalanan pulang ke rumah, dua malaikat iaitu Munkar dan Nakir datang menghampiri dan mendudukkan jenazah.

Bagi jenazah yang beriman dan berbekalkan amal soleh serta ketaqwaan yang unggul, maka alam barzakh adalah suatu rehat yang damai tetapi bagi jenazah yang ingkar, sarat dengan beban dosa kerana melanggar perintah Allah SWT, maka alam barzakh adalah episod ngeri yang dipenuhi gelombang azab sengsara hingga datangnya hari kiamat. Mereka akan berkeadaan seperti orang yang lemas dalam air yang meraung meminta pertolongan.

Pada akhir zaman ini, semakin kurang atau amat sedikit dari kalangan manusia yang bercakap tentang kematian, alam barzakh dan Mahsyar, kerana manusia sedang sibuk dengan pembangunan kerjaya dan kelazatan kehidupan dunia.

Akhirnya mereka akan terkejut besar apabila malaikat Izrael datang dan mencabut nyawa.

Saidina Ali RA pernah berkata:

"Bahawa manusia tidur lena, apabila kematian tiba baru dia terjaga dari tidurnya. Demikianlah orang yang tidak mengingati mati itu sentiasa dalam keadaan lalai atau bagaikan orang yang tertidur dia akan terkejut bila kematian datang secara mendadak."

Kesibukan mencari keseronokan dan kelazatan dunia merupakan penyumbang terbesar kelalaian manusia mengingati mati dan membuat persediaan menghadapi kematian.

Sebagai contoh, mereka yang terjebak dengan gejala sosial seperti penagih dadah sanggup melakukan apa saja termasuk mengambil ubat-ubatan jalanan yang mengandungi dadah dan bahan-bahan terlarang yang tidak diluluskan oleh Kementerian Kesihatan bagi menambahkan lagi nikmat keseronokan.

Perbuatan ini seolah-olah menggali lubang kubur mereka sendiri. Mereka ini akan menanggung siksaan hidup dengan penyakit-penyakit kronik yang akhirnya membawa kepada kehancuran dan kematian.

Berdasarkan kajian yang dibuat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), terdapat kelompok ajaran sesat yang tidak menerima hakikat kematian pemimpin mereka.

Mereka sering mendakwa keajaiban pemimpin yang kadangkala lebih hebat dari Rasulullah SAW dan Khulafa' al-Rasyidin.

Kumpulan ajaran sesat ini mendakwa bahawa pemimpin mereka tidak akan mati sampai bila-bila, hanya sekadar ghaib. Sebelum ini mereka mendakwa pemimpin mereka sering bertemu dan berbincang dengan Rasulullah SAW dalam keadaan sedar untuk menerima arahan baru dari Rasulullah SAW.

Ketaksuban kepada pemimpin dengan mendewa serta memujanya menjadi salah satu ciri ajaran sesat. Pendewaan ini berterusan sehingga kematian pemimpin tersebut. Pernah berlaku di luar negara terdapat mayat pemimpin diawet untuk dikekalkan jasadnya seterusnya didewakan dan dipuja.

Firman Allah SWT di dalam surah Ali Imran ayat 185 yang bermaksud:

"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Maka sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan tiadalah kehidupan di dunia ini melainkan kesenangan yang memperdayakan."

Menghadapi kematian pemimpin yang disayangi sememangnya amat perit dan sukar diterima. Kita perlu mencontohi sikap waras Abu Bakar RA ketika berhadapan dengan kewafatan Rasulullah SAW. Beliau memujuk Umar al-Khattab RA yang masih terkejut dengan pemergian Rasulullah SAW seraya berkata:

"Ketahuilah, sesiapa yang menyembah Muhammad SAW, maka sesungguhnya Muhammad telah wafat. Sesiapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah sentiasa hidup tidak akan mati."

Persoalan tentang perkara ghaib misalnya mengenai kematian, alam barzakh, hari kiamat, syurga, neraka dan sebagainya adalah hak Allah SWT yang sama sekali tidak boleh dicerobohi oleh manusia atau malaikat.

Islam menetapkan dasar akidah dan perkara ghaib adalah bersandarkan kepada dalil al-Quran dan hadis-hadis sahih.

Dasar akidah yang bersumber qiyas, ilham manusia atau ramalan kosong seperti yang diamalkan oleh penegak ajaran sesat adalah ditolak.

Para nabi dan malaikat yang mulia hanya dapat mengetahui sesetengah perkara ghaib setakat yang diizinkan oleh Allah SWT sahaja.

Firman Allah SWT dalam surah al-Jinn ayat 26 - 27 yang bermaksud:

"Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Ia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapa pun. Melainkan kepada sesiapa yang di redhai-Nya dari Rasul-Nya maka Ia mengadakan di hadapan dan di belakang mereka malaikat yang menjaganya."

Kematian merupakan perjalanan hidup yang tidak akan kembali lagi ke dunia yang fana ini.

Kita sering bercakap tentang kematian rakan dan sahabat kita yang telah kembali menyahut seruan Ilahi. Bagaimanapun, adakah kematian rakan-rakan kita itu telah menimbulkan keinsafan dan kesedaran untuk kita membuat persiapan serta menyediakan bekalan yang mencukupi menghadapi kematian yang pasti itu.

Ingatlah dan sedarlah bahawa alam barzakh sentiasa menanti-nanti kehadiran kita dan sentiasa membuka pintunya untuk kita.

Tanpa mengira di mana kita berada atau bila masanya kematian pasti mendatangi dan menjemput diri kita cuma persoalannya, adakah kita sudah bersedia menghadapi kematian ini?

Sebagai renungan marilah sama-sama kita menghayati firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 144 yang bermaksud:

"Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul. Apakah kalau ia pula mati atau terbunuh, kamu berbalik ke belakang (murtad)? Dan sesiapa yang berbalik ke belakang maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu)."

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: