Pengikut dan Ex-smgrian

Wednesday, April 9, 2014

Memperkasa ekonomi ummah


Di Malaysia, perangkaan menunjukkan bahawa setakat ini umat Islam yang mewakili lebih kurang 60 peratus penduduk hanya menguasai lebih kurang 20 peratus sahaja daripada ekonomi.

Walaupun ianya menunjukkan satu peningkatan dibanding dengan peratusan tahun sebelumnya namun, penguasaan kita masih rendah berbanding kaum yang lain.

Sebagai umat Islam kita masih belum boleh berpuas hati dan berbangga sepenuhnya dengan pencapaian ekonomi dan perlu sentiasa diingatkan tentang kedudukan ekonomi semasa.

Usaha untuk memajukan ekonomi negara adalah usaha keagamaan kerana Islam bukan sekadar agama rabbaniah akan tetapi ia merupakan the way of life yakni mencakupi setiap bidang kehidupan seperti sains, teknologi, pendidikan, pembangunan infrastruktur, kejuruteraan, pertanian, ekonomi dan lain-lain.

Dalam al-Quran dinyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW diutuskan sebagai rahmat bagi semesta alam dengan memberi tumpuan kepada usaha menyusun diri, masyarakat dan negara semoga memperoleh kemajuan dalam pelbagai aspek kehidupan sehingga wujudnya sebuah masyarakat yang berperadaban tinggi.

Dalam usaha untuk melonjakkan imej, maruah dan harga diri umat Islam sebagai pembawa rahmat ini, maka Islam menggalakkan umatnya bekerja bersungguh-sungguh secara berkesan untuk meningkatkan kekuatan ekonomi dan kekayaan.

Firman Allah SWT dalam surah al-Qasas ayat 77 yang bermaksud:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia, dan berbuat baiklah (kepada hamba2 Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah), dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan."

Ketika menekankan perkara yang sama Rasulullah SAW bersabda:

"Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan ia melakukan dengan tekun(memperbaiki dan mempertingkatkannya)." - Riwayat al-Baihaqi.


Pemerkasaan Ekonomi Bumiputra

Dalam usaha mencapai niat suci dan murni ini, pihak pemerintah telah melancarkan strategi Pemerkasaan Ekonomi Bumiputra yang merangkumi lima fokus utama:
  1. Mendaya modal insan bumiputra
  2. Memantapkan pemilikan ekuiti dalam sektor korporat
  3. Memperkukuh pemilikan aset bukan kewangan bumiputra
  4. Memperhebat keusahawanan dan perniagaan bumiputra
  5. Memantapkan ekosistem penyampaian perkhidmatan.

Kebijaksanaan dan keikhlasan kepimpinan negara melaksana tindakan tersebut adalah jalan terbaik untuk membela masyarakat serta umat Islam, pada masa yang sama semua rakyat di negara ini akan mendapat manfaat dan hidup secara aman serta mendapat pelbagai peluang secara saksama untuk berjaya dan berkongsi kemakmuran negara.

Pemerkasaan Ekonomi Bumiputra merupakan satu cabaran kepada orang Islam supaya mengubah sikap dari bekerja sekadar cukup makan kepada berusaha bagi mendapatkan pendapatan yang lebih tinggi agar mereka dapat berada di arus perdana ekonomi negara.

Perubahan ke arah kemajuan dan kebaikan adalah sesuatu yang dituntut oleh Islam, ia merupakan suatu pendekatan yang tidak memberi kesan sampingan, bersifat bersepadu dan menyeluruh sama ada dari segi pentadbiran, sosial, ekonomi, muamalat dan semua bidang kehidupan manusia.

Sesungguhnya perubahan yang dianjurkan oleh Islam kepada manusia adalah bersepadu di antara urusan Tuhan dengan urusan insan, ibadah dengan kerja, ganjaran material dan pahala serta dunia dan akhirat.

Kita dapat melihat bahawa pihak pemerintah begitu serius dan komited dalam membangunkan negara untuk masa depan rakyat.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk berusaha bersungguh-sungguh tanpa mengenal erti penat dan jemu untuk mengambil peluang yang disediakan oleh pihak pemerintah bagi memajukan diri seterusnya mempertahankan survival umat Islam di tanah air tercinta.

Dalam menyusun dan mengendali kegiatan ekonomi, ianya dilaksanakan berdasarkan semangat Islam yang berpandukan panduan prinsip al-adl wal ihsan iaitu menghayati semangat keadilan dan muafakat.

Dalam membicarakan konsep keadilan sosial, istilah jaminan sosial perlu dahulu difahami di mana dalam sesebuah masyarakat, kesemua keperluan asas kehidupan untuk individu dan masyarakat dipenuhi di peringkat minima.

Pendekatan Islam amat menitik berat soal kebajikan dalam semua perkara, dengan mengharamkan segala bentuk penyelewengan atau perkara-perkara yang menzalimi dan merugikan pihak-pihak tertentu.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa' ayat 29 yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu."


Berjaya di dunia dan akhirat

Kita juga perlu mengambil contoh sifat-sifat usahawan Islam yang berjaya seperti Abdul Rahman bin Auf, Zubair ibnu A'wwam, Talhah bin Ubaidillah dan ramai lagi.

Mereka bukan sahaja menjadi usahawan yang berjaya tetapi mereka turut memainkan peranan penting dalam penyebaran dan pengembangan dakwah Islam.

Kebijaksanaan mereka mengenal pasti peluang ekonomi dengan disertai amalan etika dan keperibadian para sahabat tersebut perlu dicontohi oleh pentadbir, peniaga dan pengusaha pada hari ini.

Malangnya terdapat segelintir umat Islam yang memandang remeh dan menganggap bahawa usaha memaju dan mengukuhkan ekonomi Islam tidak penting dan bukan satu lapangan yang dituntut serta tidak ada hubungkait dengan agama.

Golongan ini hanya fokus kepada akhirat dan menganggap usaha untuk meningkatkan ekonomi teruatamanya melalui perniagaan hanyalah perbuatan sia-sia dan keduniaan semata-mata.

Ini merupakan satu tanggapan dan pemahaman yang salah dan boleh melemahkan ummah kerana Islam adalah suatu agama yang mementingkan kepada kehidupan dunia.

Kehidupan di alam akhirat adalah penerusan daripada alam dunia. Tidak akan adanya akhirat jika tidak adanya dunia. Justeru urusan keduniaan hendaklah disusun menepati ajaran al-Quran dan al-Hadith.

Kesan yang diusahakan mengikut acuan syariah dan tadbir urus berdasarkan perundangan Allah SWT akan mendapat keberkatan dan limpahan rezeki dan kurniaan dari Allah SWT begitu juga sebaliknya.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Isra' ayat 30 yang bermaksud:

"Sesungguhnya Tuhanmulah yang meluaskan rezeki bagi siapa yang Ia kehendaki, dan menyempitkannya. Sesungguhnya Ia Maha Mendalam Pengetahuan-Nya, lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya."


Berjihad memajukan ekonomi negara

Umat yang bertaqwa dan maju yang mana mereka bebas dari kemiskinan akan menjadi umat yang kuat, bangsa yang disegani, dihormati dan mempunyai harga tinggi.

Berjihad memajukan ekonomi negara dengan mengambil peluang dan merebut kesempatan yang disediakan dalam Pemerkasaan Ekonomi Bumiputra.

Jika kita masih lagi gagal mengambil peluang keemasan ini maka sudah pasti orang lain akan memperolehi manfaat dan kita akan terus tinggal di belakang serta dipandang hina di tanah tumpah darah sendiri.

Renungilah firman Allah SWT dalam surah an-Najm ayat 39-41 yang bermaksud:

"Dan bahawa sesungguhnya tidak ada bagi seseorang melainkan apa yang diusahakannya. Dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan kepada-Nya pada hari kiamat kelak. Kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna."

sumber: e-khutbah JAKIM


No comments: