Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, February 20, 2014

Maria Hertogh

Natrah bersama suaminya Mansor Adabi

Maria Hertogh ialah seorang gadis Belanda yang pernah menetap bersama keluarga Melayu di Tanah Melayu pada era Perang Dunia Kedua.

Maria merupakan anak kepada Sarjan Adrianus Petus Hertogh, seorang anggota tentera Belanda manakala ibunya bernama Adeline Hunter berketurunan Scotland tetapi dilahirkan di pulau Jawa.

Datuk Maria di sebelah ibunya ialah seorang lelaki Scotland bernama Hunter yang telah berkahwin dengan seorang pelakon bangsawan di pulau Jawa bernama Nor Louise.

Nor Louise menganggotai kumpulan bangsawan Bolero Opera Party. Nor Louise kemudiannya berpisah dengan Hunter dan berkahwin pula dengan seorang pelakon bangsawan bernama Radin Ismail. Ketika itu anak perempuan mereka iaitu Adeline baru berusia lima tahun.

Adeline kemudiannya dipelihara oleh sebuah keluarga Muslim dan mereka memberi pendidikan Islam kepadanya sehinggalah Adeline meningkat remaja berusia 15 tahun. Bagaimanapun Adeline kemudiannya menganut agama Kristian secara sukarela kerana berkahwin dengan Adrianus.

Setelah berkahwin dengan Sarjan Adrianus Petus Hertogh, Adeline melahirkan seorang bayi perempuan yang diberi nama Maria Hertogh. Apabila Perang Dunia Kedua meletus dan Jepun menakluki rantau Asia Tenggara, Sarjan Adrianus Petus Hertogh telah ditangkap oleh tentera Jepun.

Penangkapan Sarjan Adrianus Petus Hertogh telah membawa kesengsaraan kepada Adeline bersama anaknya Maria dan Adeline akhirnya nekad menyerahkan Maria kepada seorang perempuan Melayu bernama Aminah untuk dijaga. Pada waktu itu, Maria belum lagi mencapai usia enam tahun.

Aminah telah meninggalkan Indonesia pada tahun 1947 dan menetap di Kemaman, Terengganu. Sewaktu berada di bawah jagaan Aminah, Maria telah dibesarkan sebagai seorang Melayu dan diberi pendidikan Islam serta boleh membaca al-Quran. Maria juga diberikan nama Islam iaitu Natrah.

Ibu bapa Maria telah membuat permohonan kepada Konsulat Belanda di Singapura pada tahun 1949 untuk membawa balik Maria ke pangkuan mereka. Mereka juga menawarkan wang sebanyak RM500 kepada Aminah sebagai ehsannya memelihara Maria sewaktu perang.

Aminah bersama Maria kemudiannya berpindah pula ke Singapura pada tahun 1956. Konsulat Belanda telah membuat tuntutan melalui Mahkamah Tinggi Singapura agar Maria diserahkan kembali kepada ibu bapa kandungnya.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan Singapura telah memutuskan bahawa Maria kekal berada di bawah peliharaan Aminah. Maria kemudiannya dikahwinkan dengan seorang pemuda Melayu yang berasal dari Kelantan bernama Mansor Adabi. Perkahwinan ini menyulitkan lagi proses tuntutan ibu bapa kandung Maria.

Bagaimanapun, disebabkan usia Maria sewaktu berkahwin masih di bawah umur iaitu 14 tahun, Maria hanya boleh bersatu dengan suaminya apabila mencecah usia 21 tahun.

Perkahwinan Maria dan Mansor juga telah mencetuskan kontroversi apabila ia disiarkan di dalam Akhbar Majlis di Kuala Lumpur. Akhbar tersebut menyifatkan bahawa isu perkahwinan Maria dan Mansor telah mencetuskan isu agama dan nasional, bukan lagi di antara ibu angkatnya dan keluarga kandung Maria.

Pada 2 Disember 1950, Mahkamah telah memutuskan bahawa perkahwinan antara Maria dan Mansor tidak sah. Maria membuat pengakuan bahawa dirinya telah memeluk Islam dan menggunakan nama Natrah.

Maria @ Natrah kemudian ditahan polis dan dibawa ke Convent Good Shepherd di Jalan Thompson, Singapura. Di tempat ini hanya ibu Maria sahaja yang dibenarkan menemuinya.

Berita tentang Maria @ Natrah terus menjadi isu utama di akhbar-akhbar. Akhbar Straits Times telah menyiarkan gambar Maria melutut di hadapan patung Virgin Mary yang telah menjadi kontroversi dan mencetuskan bantahan di kalangan penganut agama Islam di Singapura. Bantahan tersebut akhirnya menjadi rusuhan yang berlaku selama tiga hari iaitu bermula pada 11, 12 dan 13 Disember.

Rusuhan tersebut telah mengakibatkan 18 orang terbunuh, 177 orang cedera dan hampir 200 buah kereta dibakar.

Maria berjaya dibawa ke Holland oleh ibunya pada 12 Disember. Dikhabarkan bahawa Maria tidak dapat menyesuaikan dirinya di sana dan sentiasa mengerjakan solat lima waktu.

Maria kemudiannya ditunangkan dengan seorang lelaki Belanda bernama Johan Gerardus Wolkenfeld dan mereka akhirnya berkahwin. Mereka dikurniakan 13 orang anak, tiga daripada anak mereka meninggal sewaktu kecil.

Maria dan suaminya sering berselisihan faham dan selalu bertengkar sehinggakan Maria pernah ditahan atas tuduhan cuba membunuh suaminya. Namun atas sebab kekurangan bukti, Maria telah dibebaskan. Mereka akhirnya bercerai.

Pada Disember 1979 Maria telah berkahwin dengan Tom Ballermans bagaimanapun perkahwinan mereka hanya dapat bertahan sehingga tahun 1984. Maria kemudiannya berkahwin pula dengan Ben Pichel pada tahun 1984 dan berhijrah ke Amerika Syarikat.

Pada tahun 1998, Maria pernah melawat Kemaman dan bertemu dengan kakak angkatnya iaitu Kamariah. Itu merupakan pertemuan pertama mereka setelah berpisah hampir 48 tahun. Itu juga merupakan pertemuan terakhir mereka kerana Kamariah kemudiannya meninggal dunia akibat penyakit leukemia.

Maria Hertogh ataupun pernah dikenali sebagai Natrah binti Maarof akhirnya menghembus nafas terakhir pada 8 Julai 2009 di kediamannya di Belanda akibat penyakit leukemia, penyakit yang juga telah meragut nyawa kakak angkatnya. Maria meninggal sewaktu berusia 72 tahun.

Bekas suami Maria iaitu Mansor Adabi yang terpisah dengannya akhirnya mengahwini seorang gadis Melayu bernama Zaiton Juhari. Beliau aktif di dalam Malayan Law Journal sejak tahun 1961 dan menjadi Pengarah Urusan jurnal itu sehingga tahun 1987.

Mansor Adabi meninggal dunia pada 15 Oktober 1988 di Singapura.


sumber: Artikel Mengimbas tragedi kehidupan Maria tulisan Tan Sri Mazlan Nordin, Utusan Malaysia 2 Ogos 2009, artikel Fenomena Natrah dalam psikologi bangsa tulisan Zin Mahmud, Utusan Malaysia 12 Julai 2009, wikipedia, Bernama

No comments: