Pengikut dan Ex-smgrian

Wednesday, February 19, 2014

Sejarah pembangunan bandaraya Ipoh 2


Perkhidmatan bas diambil alih oleh C.F.F. Wearne & Co. pada tahun 1913. Perkhidmatan bas ini menggantikan perkhidmatan bas yang diusahakan oleh anak tempatan iaitu Yeop Abdul Rani Idris pada tahun 1910 bagaimanapun dihentikan pada tahun 1912. C.F.F. Wearne & Co. ialah sebuah syarikat pengangkutan awam yang beribu pejabat di Singapura.

Pada tahun 1914 Hospital Ipoh dipindahkan ke Jalan Anderson (Jalan Raja Musa Aziz) dan bangunan baharu Anglo Chinese School siap dibina.

Kinta District Board pula ditubuhkan pada tahun 1916 begitu juga bangunan Town Hall dan Posts and Telegraphs yang siap dibina pada tahun yang sama.

Stesen keretapi baharu siap dibina pada tahun 1917.

Pada tahun 1920 sebuah petempatan yang diberi nama Green Town dibuka untuk anggota-anggota kerajaan.

Bekalan elektrik mula dibekalkan kepada penduduk pada tahun 1923 oleh Pengkalen Tin Company. Bangunan baharu St. Michael's Institution juga siap dibina pada tahun yang sama di Jalan Clayton (Jalan S.P. Seenivasagam).

Pada tahun 1924 Jalan Chamberlain (Jalan C.M. Yusuf) telah dibuka.

Pelombong Foo Choong Nyit telah membina sebuah rumah agam yang mempunyai 10 buah bilik (10 room mansion) di Jalan Douglas pada tahun 1926.

Pada tahun 1927 Anglo Chinese Girls' School di Kampar Road telah dirasmikan oleh Sir Hugh Clifford.

Pada bulan September 1927 pameran Ipoh Town Plan telah diadakan yang merupakan pelan perancangan bandar yang pertama di Malaya. Ipoh Town Plan diterima dan diluluskan pada tahun 1928.

Bangunan Mahkamah Tinggi Ipoh siap dibina pada tahun 1928. Pada tahun ini juga kerja-kerja meluruskan saluran Sungai Kinta di Ipoh dimulakan menggunakan tenaga buruh.

Pada tahun 1929 sebuah bangunan dikenali sebagai Han Chin Pet Soo iaitu sebuah rumah kelab pelombong timah kaum Hakka telah dibina di Treacher Street (Jalan Bijih Timah).

Bekalan air untuk Ipoh, Tanjong Rambutan, Chemor dan beberapa pusat di Lembah Kinta disalurkan dari timur laut pekan Tambun yang berpunca di Rizab Hutan Simpan Kinta. Ia siap dibina pada tahun 1930.

Pada tahun 1931 sebuah pasar baharu dibina di Laxamana Road. Sekolah Menengah Anderson yang dipindahkan ke Jalan Anderson juga dibuka pada tahun yang sama. Sebuah bank iaitu Mercantile Bank of India telah dibina di Station Road (Jalan Dato' Maharaja Lela) manakala bangunan Hongkong and Shanghai Bank pula telah dibina di Hale Street (Jalan Bandaraya).

Pada tahun 1931 juga sebuah villa yang dikenali sebagai Foong Seong Villa telah dibina di Jalan Laxamana. Kerja-kerja meluruskan Sungai Kinta siap pada tahun 1931.

Sebuah Dewan Masonic siap dibina di Maxwell Road (Jalan Tun Abdul Razak) pada tahun 1933. Dewan ini pernah menjadi penempatan sementara bagi pelajar-pelajar Sekolah Menengah Anderson apabila bangunan sekolah tersebut di Jalan Douglas telah penuh manakala bangunan di Jalan Anderson belum siap sepenuhnya.

Bangunan hotel dan kelab malam Celestial Cabaret di Laxamana Road

Juga pada tahun 1933 sebuah bazar yang dikenali sebagai Lam Looking Bazaar yang mempunyai hotel dan sebuah kelab malam dikenali sebagai Celestial Cabaret siap dibina di Laxamana Road.

Tiger Lane (Jalan Sultan Azlan Shah) juga mula dibuka pada tahun 1933.

Ipoh Airfield mula dibuka pada tahun 1934. Pada tahun ini juga lampu isyarat pertama di Malaya mula dipasang iaitu di persimpangan Tambun Road/Hugh Low Street dan Gopeng Road/Brewster Road.

Yuk Choy High School siap dibina pada tahun 1938 di Jalan Kuala Kangsar. Pada tahun ini lampu jalan jenis wap sodium dipasang di sepanjang Tambun Road. Lampu jalan ini ialah yang pertama dipasang di Malaya.

Chinese Maternity Hospital siap dibina di Kampar Road pada tahun 1939.

Pada 15 Disember 1941, Ipoh telah dibom oleh kapal terbang perang Jepun.

Pada 23 Disember 1941 pula, angkatan tentera Jepun telah berarak masuk ke pekan Ipoh.

Pada tahun 1942, pihak Jepun telah memindahkan ibu negeri Perak dari Taiping ke Ipoh.

Bangunan Information and Reading Room of the Ipoh Branch of the Public Relations (Hong Leong Bank) telah dibuka di Brewster Road (Jalan Sultan Idris Shah) pada tahun 1948.

Pada tahun 1951 Perpustakaan Perak telah dibuka di Club Road (Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab). Kini ia dikenali sebagai Perpustakaan Tun Abdul Razak.

Pada tahun 1951 juga sebuah sekolah iaitu Raja Perempuan Primary School dibuka di sebuah rumah agam lama di Chung Thye Pin Road untuk pelajar Melayu sekolah aliran Inggeris.

Kompleks Geological Survey Department (Jabatan Kajian Geologi) pertama di Malaya dibina di Tiger Lane (Jalan Sultan Azlan Shah) pada tahun 1957.

Pada tahun 1961 Pihak Berkuasa Tempatan telah memasang meter tempat letak kereta yang pertama di Malaya iaitu di Shaik Adam Road.

Pada tahun 1962 pula sebuah tempat letak kereta bertingkat yang pertama di Malaya telah dibina. Kos pembinaannya berharga RM100,000.00. Pada tahun ini juga Pihak Berkuasa Tempatan telah mengendalikan perpustaan awam. Pada 31 Mei 1962 Pihak Berkuasa Tempatan dinaik taraf menjadi Majlis Perbandaran Ipoh.

Pada 27 Mei 1988, Pihak Berkuasa Tempatan pertama di Malaysia dinaik taraf sebagai sebuah bandaraya di bawah Akta Kerajaan Tempatan, 1976, Akta 171.

sumber: Majlis Bandaraya Ipoh

No comments: