Pengikut dan Ex-smgrian

Wednesday, February 5, 2014

Beberapa fakta menarik tentang sejarah Melayu


Fakta-fakta ini dipetik daripada buku Malays/Muslims in Singapore 1918-1965 terbitan Pelanduk Publications dan Association of Muslim Professionals (AMP) Singapura.

Pada zaman pentadbiran British, pihak British telah menggunakan takrif 'Melayu' untuk meluluskan Malay Land Reservation Act pada tahun 1913 iaitu Melayu bererti beragama Islam, berbahasa Melayu dan mengamalkan adat Melayu.

Keturunan India Islam yang berkahwin dengan wanita Melayu dipanggil Jawi peranakan atau ringkasnya Jawi Pekan. Istilah "Jawi" digunakan oleh orang-orang Arab pada masa dulu mengenai orang Melayu.

Presiden Pertama Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan di Ipoh pada tahun 1945 ialah Mokhtharuddin Lasso, seorang komunis dari Sumatera.

Singapura menjadi pusat kegiatan- kegiatan sastera dan kewartawanan Melayu. Ia juga menjadi pusat industri filem Melayu.

Perkataan Malay digunakan oleh orang-orang Eropah mulai abad ke-16.

Orang Laut memainkan peranan penting kerana kehandalan mereka mengharungi lautan dan ketangkasan sebagai pejuang. Ertinya jika seseorang raja memperoleh sokongan taat setia Orang Laut, maka mereka akan mempertahankan kawasan-kawasan dagangan raja berkenaan. Ini berlaku sejak empayar Srivijaya.

Pada abad ke-17 dan berikutnya, orang-orang Bugis menjual orang-orang yang mereka tawan dalam serbuan demi serbuan di Pulau Sunda, Mindanao, Sulu dan Broneo untuk bekerja di ladang-ladang di Malaya, Sumatera dan Jawa. Penjualan hamba abdi itu begitu menguntungkan hingga orang Bugis sendiri ditawan dan dijual sebagai hamba abdi. Lelaki, wanita dan kanak-kanak tiba di Singapura dengan kapal.

Peniaga-peniaga Arab pula melaksanakan peranan penting sejak abad ke-14. Majoriti ialah dari Handhramout. Peniaga Arab di Singapura menguasai urusan menunaikan haji.

Kemunculan bangsawan telah melahirkan pelakon-pelakon lelaki dan wanita di Singapura dan di Tanah Melayu kemudiannya di Indonesia. Lantas bagi kali pertama alat-alat muzik Barat seperti piano, biola, dan gendang menjadi alat-alat hiburan.

Antara tuan-tuan punya bangsawan ialah Arab Peranakan, China, Filipina, Ceylon dan Serani. Turut mengambil sebahagian dalam pementasan bangsawan ialah ahli-ahli muzik Filipina.

Dato' Onn ialah pelopor nasionalisme Melayu yang berlindung di Singapura pada tahun 1927 setelah dibuang negeri dari Johor oleh Sultan Johor kerana pelbagai kritikannya. Beliau meneruskan kritik mengenai pelbagai aspek raja-raja Melayu dan golongan aristokrat dalam akhbar Warta Malaya.

Akhbar tersebut dibiayai ialah Syed Hussein Alsagoff dan keluarganya di Singapura. Mereka kemudian membiayai akhbar Lembaga Melayu pada tahun 1934.

sumber: Artikel Catatan mengenai sejarah Melayu oleh Tan Sri Mazlan Nordin, Utusan Malaysia 9 Ogos 2009.

No comments: