Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, February 3, 2014

Mustahaknya ilmu mengurus sistem


ISLAM adalah agama yang tidak saja memberikan manusia asas kepercayaan (system of belief) tetapi juga sebagai Suatu Cara Hidup (A way of Life). Sistem kekhalifahan dalam al-Quran sangat luas maksudnya. Ia tidak saja merujuk kepada daya kepimpinan diri tetapi juga keluarga, masyarakat dan negara.

ALLAH tidak saja mencipta manusia sebagai khalifahnya di muka bumi tetapi mencipta rahmah dan nikmah yang banyak untuk manfaat manusia juga. ALLAH ciptakan udara dan air, pohon-pohon dan gunung-ganang bermaksud mengajak manusia berfikir tentang-Nya dan hikmah diciptakan alam ini.

ALLAH ciptakan sumber-sumber dalam perut bumi seperti minyak, gas, air bawah tanah, uranium, thorium dan banyak lagi bagi sumber tenaga dan minuman. Semuanya ini adalah khazanah ALLAH yang perlu dimanfaatkan dengan ilmu.

Di sinilah pentingnya ilmu mengurus sistem kerana sumber rahmah dan nikmah itu adalah baik untuk perjalanan sistem. Sejarah silam yang mampu membangun tamadun umat Islam tidak saja memberi fokus dalam bidang diniah atau ilmu mengurus diri tetapi juga ilmu mengurus sistem yang sifatnya ketamadunan.

Antara faktor menyebabkan tamadun Andalusia lahir ialah terjadinya sinergi dan integrasi antara ilmu mengurus diri dan sistem di kalangan ilmuwannya.

Ibnu Sina

Ibn Sina tidak saja hafaz al-Quran pada umur yang awal tetapi memahami inti sari al-Quran, menguasai ilmu-ilmu lain seperti muzik, mantik falsafah dan sains, menguasai pelbagai bahasa, ilmu perubatan dan menghasilkan ratusan kitab sains dan perubatan yang tinggi nilainya.

Abu Qasim az Zahrawi juga hafiz al-Quran waktu umur yang awal, memahami inti sari al-Quran, menekuni ilmu sains dan perubatan serta pakar dalam ilmu bedah atau surgeri.

Beliau menghasilkan banyak peralatan ilmu bedah yang digunakan di Eropah dan tempat-tempat lain di dunia.

Contoh di atas memberikan asas bagaimana fokus ilmuwan Islam tidak saja dalam bidang diniah atau agama, tetapi menjadikan Islam sebagai landasan bagaimana sistem diurus. Kekuatan ini menyebabkan lahir tamadun Islam yang mampu menjadi contoh dan sumber ikutan orang lain.

Tetapi faktor diniah harus mampu diterjemahkan supaya perkembangan faktor sains dan teknologi menjadi usaha penting dengan dipedoman oleh al-Quran dan as-Sunnah.


Etika dan nilai yang berasaskan al-Quran menjadikan manusia lebih manusiawi dalam aplikasi. Ia bakal mengangkat akal-budi insan.

Kalau tidak aplikasinya bercorak nafsu-nafsi yang bakal membentuk watak haiwani. Pertimbangan aplikasi sains dan teknologi yang mengambil pertimbangan ALLAH menyebabkan kecenderungan salah guna tidak berlaku.

Usaha pengklonan umpamanya semakin maju kini. Tetapi ia memerlukan etika yang baik supaya ia tidak bercanggah dengan pedoman asas al-Quran iaitu faktor aplikasi dan penggunaan yang boleh memberi kesan terhadap faktor kesejahteraan manusia mengikut acuan yang fitrah.

Justeru, amat penting umat Islam menguasai bidang ilmu mengurus sistem yang sifatnya dalam acuan fitrah dan mendukung risalah mensejahterakan umat manusia.

Hikmah kejadian dan ciptaan ALLAH hendaklah dikaji sebaik mungkin supaya ia tidak tergelincir dari maksud memahami kebesaran ALLAH itu sendiri dan meyakini kewujudan dan upaya penciptaanNya.


Sudan sebagai sebuah negara yang kaya dengan sumber alamnya tidak memberi fokus kepada penampilan ilmu mengurus sistem dalam sistem madrasahnya. Kekayaan di perut buminya diteroka dan menjadi bahan eksploitasi oleh pihak luar dan akhirnya menjadikan Sudan negara tidak membangun.

Peristiwa Dharfor yang menyayat hati tidak sewajarnya berlaku sekiranya kurikulum dalam sistem pendidikan mengambil pertimbangan menekuni penghasilan ilmu mengurus sistem yang memberi fokus kepada pengkhususan ilmu kejuruteraan petroleum, gas, air bawah tanah, uranium dan thorium supaya sumber tenaga galian dan pertanian ini dapat membangunkan Sudan menjadi sebuah negara yang maju.

ALLAH kurniakan hampir di semua negara-negara umat Islam dengan kekayaan sumber-sumber yang sama. Sekiranya ilmu mengurus sistem dalam sistem pendidikan dibangunkan seiring dengan ilmu diniah manifestasinya akan menghasilkan sumber daya atau modal insan yang lebih seimbang dan menyeluruh dan holistik sifatnya. Ia bakal menjadikan umat Islam maju dan tampil memimpin zaman dan perubahan lebih bermakna.

Oleh Prof. Datuk Dr. Sidek Baba, Sinar Harian 27 Jun 2013

No comments: