Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, November 11, 2013

Seni tawar-menawar harga


Apabila membeli sesuatu produk atau berurusan untuk mendapatkan sesuatu perkhidmatan, tawar-menawar harga sudah menjadi satu kelaziman di negara ini.

Tidak kira di gerai tepi jalan atau kedai-kedai besar, jika dibenar menawar harga, pasti kita tidak akan melepaskan peluang tersebut. Malah, terdapat kedai atau butik yang sengaja meletakkan harga tinggi untuk memberi ruang kepada pelanggan menawarkan harga terendah.

Bagaimanapun, beberapa kriteria atau pendekatan perlu diikuti bagi membolehkan anda mendapatkan harga yang diingini.


1. Bersikap ramah mesra dan sopan.

Apabila anda bertekad untuk membeli sesuatu produk di sebuah kedai, pastikan anda menjalin hubungan yang baik. Berikan senyuman, bertanya khabar dan kemudian tanya pendapat tentang barangan yang hendak dibeli. Bandingkan harga dan produk tersebut dengan pengeluar lain. Kemudian dengan nada ramah, buat tawaran. Pendekatan mesra mampu memberikan persekitaran positif sekali gus membantu anda mendapatkan harga yang diingini.

2. Kaji harga di tempat lain.

Jangan terburu-buru dalam menawar harga. Jika harga sesuatu pakaian dilabel sebagai RM100 dan harga di beberapa kedai adalah sekitar RM70 hingga RM85, cuba tawar-menawar dalam lingkungan yang sama. Permintaan yang jauh tersangat murah atau tidak logik boleh membuatkan peniaga marah dan terus tidak memberi anda peluang langsung untuk tawar-menawar.

3. Pilihan di tangan anda.

Jika anda berasa dianiaya dengan tawaran harga yang tinggi, peniaga enggan mengurangkan harga atau anda tidak berpuas hati dengan khidmat yang diberikan, berjalan keluar dari kedai tersebut. Ini kerana selaku pembeli anda mempunyai hak untuk membeli atau tidak. Lebih-lebih lagi jika harga yang ditawarkan tidak rasional. Kadangkala peniaga akan menyedari kesilapannya menawar harga tinggi dan bersedia menawarkan harga baharu sebaik anda bertindak untuk keluar.

4. Minta penambah nilai.

Sekiranya peniaga tersebut enggan menurunkan harga atau tidak banyak memberi ruang kepada anda, selaku pelanggan buatlah penyesuaian. Apa yang dimaksudkan adalah jika anda tidak diberi diskaun atau diskaun tersebut sangat kecil, cuba tanya tentang aksesori tambahan, hadiah dan lanjutan jaminan. Lazimnya, ia boleh diaplikasi untuk barangan berharga mahal seperti perabot, barangan elektrik, kenderaan dan khidmat mewah.

5. Jangan buat perbandingan melampau.

Apabila anda sudah memutuskan untuk membeli barangan di kedai tertentu, tawarlah harga yang difikir berpatutan tanpa melukakan hati peniaga. Jangan sekali-kali mengeluarkan kata-kata seperti, "kedai sana sangat murah, kedai ini menipu laa" atau "barangan kedai ini buruk tapi mahal."  Elak menggunakan kata-kata kesat semasa tawar- menawar harga.

-Kosmo!

No comments: