Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, November 14, 2013

Datin Halimahton Abdul Majid, Datuk Siti Rahmah Kassim, Ibu Zain dan Tun Fatimah Hashim

Imej penubuhan UMNO di Istana Besar Johor, selain daripada kaum lelaki, kaum wanita juga memainkan peranan yang besar dalam politik negara

Calon wakil rakyat wanita pertama dalam sejarah Tanah Melayu ialah Halimahton Abdul Majid yang menjadi Ahli Parlimen Hulu Selangor menerusi pilihan raya sebelum merdeka pada tahun 1955.

Beliau dipilih menjadi calon dalam pilihan raya Majlis Kerajaan Tempatan dan seterusnya memenangi kerusi berkenaan.

Halimahton pernah menjadi Ketua Kaum Ibu UMNO/Wanita UMNO Negeri Sembilan pada tahun 1949 dan terpilih sebagai ahli Majlis Perundangan Persekutuan pada 1955 di Rembau, Negeri Sembilan.

Beliau pernah berucap membantah pembentukan Malayan Union.

Mempunyai latar belakang seorang aristokrat, suaminya, Mohamad Baba dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaya ke Pakistan pada 27 September 1962.

Selepas kejayaan Halimahton dalam politik tanah air, kerajaan telah memberi peluang kepada lebih ramai kaum wanita untuk menceburi politik.

Datuk Siti Rahmah Kassim telah dipilih untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Terentang di Negeri Sembilan.

Siti Rahmah yang ketika itu berusia 33 tahun merupakan wakil rakyat wanita pertama yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum pertama negara pada tahun 1959 selepas kemerdekaan.

Beliau menguasai kerusi tersebut selama dua penggal berturut-turut sebelum bersara sebagai wakil rakyat pada tahun 1964.

Kesinambungan politik dua tokoh itu disambung oleh Tan Sri Zainun Munshi Sulaiman atau lebih dikenali sebagai Ibu Zain dan Tun Fatimah Hashim.

Zainun bertanding di kerusi Parlimen Pontian Selatan di Johor manakala Fatimah bertanding di Parlimen Jitra-Padang Terap di Kedah dan memenangi kerusi berkenaan.

Ibu Zain mula aktif dalam bidang politik selepas dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Johor mewakili parti UMNO pada tahun 1948.

Berbeza dengan kebanyakan ahli politik yang lain, Ibu Zain lebih suka bercakap soal pendidikan dan beliau dipilih sebagai wakil rakyat bagi kawasan Pontian Selatan dalam Pilihan Raya Umum tahun 1959.

Seiringan dengan Ibu Zain, Fatimah juga tidak kurang hebat apabila memenangi kerusi Parlimen Jitra-Padang Terap dalam tiga kali pilihan raya umum dan dilantik sebagai Menteri Kebajikan Am menjadikan beliau wanita pertama Malaysia menjawat menteri penuh.

Beliau memulakan kerjaya politiknya dengan menyertai UMNO pada tahun 1947 ketika berusia 21 tahun dan menganggotai Pergerakan Kaum Ibu UMNO cawangan Kampung Nong Chik, Johor dengan memegang jawatan Bendahari.

Kemudiannya beliau menjadi Setaiusaha Kaum Ibu Cawangan Johor Bahru dan Pergerakan Kaum Ibu UMNO yang kini dikenali dengan nama Wanita UMNO.

Walaupun berasal dari Muar, Johor, disebabkan mengikut suaminya berpindah ke Kedah, dia diberi peluang untuk bertanding di kawasan Jitra-Padang Terap.

sumber: Artikel Kuasa tangan yang menghayun buaian tulisan Siti Kamilah Mustapha, Kosmo!, 23 April 2013.

-Kosmo!

No comments: