Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, October 8, 2013

Menzahirkan patriotisme


Menurut Kamus Dewan, 'negara' didefinisikan sebagai suatu masyarakat yang menduduki kawasan tertentu dan diperintah oleh sesebuah kerajaan serta mempunyai ciri-ciri seperti berikut:
  • Sempadan
  • Penduduk tetap
  • Kerajaan
  • Kedaulatan

Berdasarkan kepada prinsip kenegaraan bahawa kedaulatan ialah kuasa sesebuah negara untuk membuat undang-undang dan menguatkuasakan undang-undang dengan menggunakan segala kuasa yang ada.

Dengan itu ia memperlihatkan kepada kita bahawa aspek undang-undang dengan kedaulatan tidak boleh dipisahkan sama sekali.

Malaysia adalah negara berdaulat dan rakyatnya amat bertuah. Maka menjadi kewajipan kita sebagai rakyat memelihara kedaulatan negara ini daripada segala ancaman sama ada dalam bentuk dalaman mahupun luaran.

Janganlah ada di kalangan kita yang bersikap mementingkan diri sendiri sehingga keharmonian dan kedaulatan negara kita terancam, retak dan hancur.

Allah telah memberi peringatan kepada kita melalui firman-Nya di dalam surah al-Anaam ayat 123 yang bermaksud:

"Dan demikianlah Kami adakan dalam tiap-tiap negeri orang besar yang jahat supaya mereka melakukan tipu daya di negeri itu, padahal tiadalah mereka memperdayakan selain dari dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya."

Dalam menjaga kedaulatan negara ianya sangat berkait dengan nilai patriotisme dan sejauh mana tanggungjawab kita dalam mempertahan, memelihara dan menjaga maruah tanah air kekal dan selamat.


Patriotisme merupakan satu semangat dan gagasan dalam mendidik dan memberi kefahaman kepada umat manusia agar mencintai kehidupan dan tanah air.

Agama Islam sebenarnya telah menggariskan dengan jelas tentang patriotisme khususnya berhubung kait dengan kepentingan untuk mempertahankan keselamatan dan maruah negara.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Anfal ayat 60 yang bermaksud:

"Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya."

Semangat patriotisme kepada negara ini menuntut kita agar patuh dan taat kepada pemimpin secara menyeluruh.

Berasaskan kepada dalil-dalil yang jelas daripada al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW, para ulama telah bersepakat mengatakan bahawa taat kepada pemerintah adalah fardhu kepada setiap Muslim manakala menderhaka merupakan satu dosa besar.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Tiga golongan Allah SWT tidak menegurnya pada hari kiamat, tidak melihat kepada mereka, tidak membersih dosa mereka dan mereka menerima azab yang pedih, seorang yang mengaku setia kepada pemerintah, ia berbuat demikian kerana keduniaan, jika diberi ia tunaikan kesetiaanya tetapi jika tidak diberi, ia menderhaka." - Hadis Riwayat al-Bukhari.

Menurut pandangan Ibnu Hajar al-Makky al-Haitamy, seorang ulama yang terkenal bahawa:

"Yang dimaksudkan dengan dosa-dosa besar antaranya ialah mensyirikkan Allah SWT, membunuh manusia dan membatalkan kesetiaan kepada pemerintah."

Imam Nawawi dalam kitabnya Syarh Sahih Muslim menyatakan:

"Menderhaka kepada pemerintah dan memerangi mereka, maka hukumnya haram."

Termasuk dalam perbuatan derhaka ialah membantah tanpa mengikut saluran yang sah apa-apa keputusan pemerintah yang dibuat secara sah berasaskan kuasa yang diberikan kepada mereka dalam menjalankan urusan pentadbiran negara.


Sikap tidak kasih kepada negara, memporak perandakan negara, memusnahkan perpaduan kaum dan mementingkan kepentingan diri akan menghancurkan kedaulatan bangsa dan negara.

Mereka ini diibarat kata pepatah seperti Gunting Dalam Lipatan yang membahayakan keselamatan rakyat dan negara.

Umat Islam yang patriotik menjadi cita-cita negara untuk membentuk tamadun Islam yang dihormati dan disegani oleh masyarakat dunia.

Rebutlah peluang yang ada ini selagi mana kita mempunyai kekuatan dan kuasa.

Imam Ghazali Rahimahullah pernah berpesan di dalam kitab Ihya Ulumuddin bahawa:

"Dunia ini tempat bercucuk tanam bagi bekalan akhirat. Dan tidak sempurna agama melainkan seiring dengan dunia. Kekuasaan politik dan agama adalah pasangan berkembar. Agama itu tiang utama, sementara kekuasaan itu adalah penjagaannya. Sesuatu yang tiada tiang, maka ia akan runtuh dan sesuatu yang tiada penjaga akan musnah dan hilang."

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Rebutlah lima perkara sebelum kamu didatangi oleh lima perkara lain. Masa mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa kayamu sebelum miskin, masa lapangmu sebelum sempit, dan masa hidupmu sebelum mati."

Allah SWT juga berfirman di dalam surah al-A'raf ayat 96 yang bermaksud:

"Dan Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan."

sumber: e-khutbah JAKIM


No comments: