Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, October 21, 2013

Kita bukannya 'immortal'

Tinggal kenangan, dari kanan ialah Allahyarham Mohd Nazri, Allahyarham Anuar Shadat, Allahyarham Mohd Zamani, Ahmad Zulhairie dan penulis.

Apabila mendengar lagu My Immortal dendangan Amy Lee, vokalis kumpulan Evanescence, secara tiba-tiba hati aku tersentuh.

Lagu yang dicipta oleh gitaris kumpulan itu sendiri, Ben Moody yang diilhamkan setelah kematian datuknya yang sangat disayanginya.

Lagu itu benar-benar memberikan kesan yang mendalam kerana ia memberitahu kita bahawa kita bukanlah immortal ataupun abadi dalam bentuk fizikal sebaliknya segala kenangan dan pengalaman suka duka yang menjadikannya immortal di dalam fikiran kita.

Lagu itu juga membuat aku sedar bahawa manusia ini sebenarnya fragile, mudah binasa meskipun kelihatannya teguh dan sasa, namun sampai masanya ia tetap akan rosak dan tidak berfungsi lagi. Akhirnya kematian juga yang datang menyapa.

Menyentuh soal mati, aku ingin memetik apa yang telah diungkapkan oleh Saidina Ali RA:

"Bahawa manusia tidur lena, apabila kematian tiba baru dia terjaga dari tidurnya. Demikianlah orang yang tidak mengingati mati itu sentiasa dalam keadaan lalai atau bagaikan orang yang tertidur dia akan terkejut bila kematian datang secara mendadak."

Tahun 2013 bolehlah dikatakan sebagai gloomy year atau tahun yang suram buat ex-SMGRian 1991.

Ini kerana dua bekas pelajar SMGR sesi 1987-1991 pergi menyahut seruan Ilahi secara berturutan. Kita dikejutkan dengan berita pemergian Allahyarham Mohd. Zamani Kamarulzaman pada 26 Julai 2013 dan pada tanggal 17 Oktober 2013 pula kita sekali lagi dikejutkan dengan pemergian Allahyarham Anuar Shadat bin Mohd Kassim.

Namun ini bukanlah kali pertama bekas pelajar SMGR sesi 1987-1991 meninggalkan kita. Kita pernah dikejutkan dengan pemergian Allahyarham Mohd Nazri yang meninggal dunia akibat terlibat dalam kemalangan jalanraya beberapa hari sebelum keputusan SPM dikeluarkan.

Bersyukurlah kerana kita masih lagi diberi kesempatan untuk menikmati kehidupan oleh Allah SWT dengan peringatan supaya kita tidak lalai dengan nikmat tersebut. Kita disarankan untuk melihat kematian sebagai suatu iktibar bagi kita bahawa hidup ini bukanlah selama-lamanya, kematian pasti akan datang tanpa mengira masa.

Namun begitu, kita juga digalakkan untuk menjaga keselamatan diri kita daripada rosak binasa. Menjaga kesihatan, pemakanan, berhati-hati ketika memandu dan melakukan tugas dan menghindari perkara-perkara yang ditegah oleh agama.

Usia 40 diibaratkan sebagai isyarat kuning yang memberitahu kita agar sentiasa bersedia untuk berhenti apabila lampu merah menyala. Dan isyarat tersebut telah pun ditunjukkan kepada penulis sendiri apabila penulis disahkan menghidap mitral valve prolapse iaitu penyakit yang berkaitan dengan injap jantung yang tidak berfungsi dengan normal.

Meskipun masih belum berada di tahap yang kritikal, namun risiko sentiasa ada dan persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan seharusnya dilakukan daripada saat penulis mendapat pengesahan dahulu. Namun oleh kerana kita ini manusia, maka kelalaian itu tetap wujud di dalam diri kita.

Kepada sahabat-sahabat ex-SMGRian 1991 semua, terima kasih kerana sudi meluangkan masa membaca bingkisan yang aku nukilkan di sini. Tujuan aku mewujudkan blog ini adalah sebagai buletin yang pada mulanya aku tujukan khas buat sahabat-sahabat yang pernah bersama di SMGR sepanjang sesi 1987-1991 dahulu, namun kemudian aku jadikan ia terbuka kerana di dalam blog ini bukanlah artikel-artikel yang berbentuk fitnah ataupun gosip-gosip liar, sebaliknya lebih berbentuk ilmiah dengan info-info yang bermanfaat.

Sekian, wassalam.

No comments: