Ihram
Ihram merupakan simbol kepatuhan ummah kepada agamanya.
Dengan berihram seseorang itu perlu menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh Allah SWT selama memakai ihram itu meskipun sebelumnya ia dibenarkan oleh syarak.
Larangan ini bertujuan agar kita menjadi umat yang bertaqwa.
Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 32 yang bermaksud:
"Demikianlah ajaran Allah; dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah, maka termasuklah dia orang yang bertaqwa."
Persoalan besar timbul, kenapa Allah SWT meletakkan sempadan tertentu sebagai pantang larang bagi umat Islam?
Kenapakah perlunya pantang larang dan peraturan kepada kehidupan umat Islam?
Kebebasan tanpa sempadan dan hak asasi manusia yang berpaksikan barat adalah perancangan musuh-musuh Islam di negara ini yang sedang direncanakan untuk menyuburkan fahaman yang bercanggah dengan Islam seperti liberal, menyemai pluralisme agama, menghalalkan LGBT yang akhirnya akan lahirlah generasi di kalangan umat Islam yang mendokong perjuangan mereka dan sanggup menggadaikan agama Islam dan negara.
Perkembangan ini sangatlah merbahaya kerana cukup jelas mempengaruhi umat Islam atas dasar hak asasi manusia.
Kepatuhan
Perbuatan menyokong ideologi-ideologi asing atau isme-isme seperti kapitalisme, komunisme, sosialisme, liberalisme dan menganggap ideologi tersebut lebih baik daripada ajaran Islam boleh membawa kepada syirik.
Syirik adalah perbuatan menyekutukan Allah dalam apa jua bentuk sama ada perkataan, pegangan, perbuatan atau iktiqad iaitu dengan menjadikan sesuatu yang lain iaitu makhluk bernyawa atau tidak sebagai sekutu Allah.
Allah SWT berfirman dalam surah Luqman ayat 13 yang bermaksud:
"Dan tatkala Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: Wahai anakku, janganlah engkau mempersekutukan Allah sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar."
Allah SWT menyatukan umat Islam di dalam ibadah haji dengan berpakaian ihram yang sama, niat yang sama dan perbuatan yang sama.
Kesatuan umat Islam di atas satu akidah tanpa mengira latar belakang dan kedudukan, justeru, mempertahankan kalimah Allah daripada disalahgunakan oleh mana-mana pihak yang tidak dibenarkan oleh syarak hendaklah dipertahankan.
Adalah wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Mempertahankan kesucian Islam dengan tidak membenarkan pihak lain menghinanya adalah sesuatu yang dituntut.
Firman Allah SWT dalam surah al-Ma'idah ayat 72 yang bermaksud:
"Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang yang berlaku zalim."
Ummah
Percubaan menggunakan kalimah Allah di dalam kitab lain selain al-Quran akan menimbulkan kecelaruan di dalam sistem kepercayaan umat Islam.
Islam menafikan dan menolak kepercayaan yang berteraskan kepada Trinity iaitu the Father (Bapa Tuhan), the Son (Anak Tuhan) dan the Holy Spirit (Roh Kudus).
Persoalan besar timbul di sini, mengapa kalimah Allah hendak digunakan di dalam Bible kerana apabila digunakan kalimah Allah secara langsung akan membatalkan konsep Trinity yang diamalkan oleh mereka.
Penggunaannya jelas menjadikan umat Islam keliru, ragu-ragu dan tersilap mengenal identiti Allah serta meruntuhkan akidah ummah.
Marilah sama-sama kita mempertahankan dan memantap akidah kita, keluarga dan masyarakat kita demi masa depan agama, ummah dan negara dengan menolak segala usaha untuk meruntuhkan aqidah, menanam rasa cinta dan kasih sayang kepada Allah SWT dan Rasul-Nya.
Di tangan kitalah letaknya tanggungjawab dan kuasa untuk mempertahankan kesucian agama Islam.
Dalam hal ini, umat Islam memerlukan penghayatan Islam secara menyeluruh.
Berdasarkan maqasid al-syariah, maka menjadi tanggungjawab setiap umat Islam untuk menjaga lima perkara iaitu:
- Agama
- Nyawa
- Akal
- Keturunan
- Harta
Salah satu prinsip penting yang mesti dilaksanakan oleh umat Islam bagi memastikan kedaulatan agama kekal terpelihara ialah dengan menyeru kepada kebaikan dan menghalang kemungkaran.
Allah SWT berfirman di dalam surah al-Hajj ayat 41 yang bermaksud:
"Iaitu mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan perkara yang mungkar. Dan ingatlah bagi Allah jualah kesudahan segala urusan."
Ihram haji mengajar kita mematuhi peraturan dan bersikap insaf diri. Apabila kita insaf dan beramal dengan falsafah ini, maka kita telah sanggup melutut dengan kerendahan batin. Tiada lagi sifat-sifat takbur di hadapan Allah SWT.
Kita sentiasa mengawal diri kita, ahli keluarga kita dan sesama manusia untuk menentukan kecemerlangan agama Islam dan ummah.
Renungilah firman Allah SWT dalam surah az-Zumar ayat 65 yang bermaksud:
"Dan sesungguhnya telah diwahikan kepadamu dan Nabi-nabi sebelummu: Sesungguhnya! Jika engkau mempersekutukan Allah tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang yang rugi."
sumber: e-khutbah JAKIM
No comments:
Post a Comment