Perpaduan
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya pertama-tama amalan yang kita lakukan pada hari ini (iduladha) ialah supaya kita solat kemudian kembali ke rumah lalu kita menyembelih korban, maka barangsiapa yang mengerjakan sedemikian ia telah mengikut sunnahku. Adapun orang yang menyembelih sebelum melakukan solat, maka itu hanyalah merupakan daging yang hendak dipergunakan untuk keluarganya sahaja, tidak termasuk amalan ibadah penyembelihan korban." - Hadis Riwayat Muslim dan Bukhari.
Aidiladha yang kita rayakan melambangkan perpaduan hakiki umat Islam yang menerima keesaan Allah SWT sebagai Tuhan, Rasulullah SAW sebagai satu-satunya pemimpin dan ikutan, al-Quran sebagai pedoman dan jihad serta pengorbanan sebagai satu dorongan.
Namun, persoalan besar timbul pada hari ini, sejauh manakah kita benar-benar menghayati setiap ibadah yang disyariatkan kepada kita atau ia hanya sekadar suatu amalan yang diwarisi turun temurun dari ibu bapa dan nenek moyang kita?
Inilah persoalan-persoalan yang perlu difahami dengan sejelas-jelasnya agar ibadah yang dilakukan tidak hanya secara ibadah dan budaya tanpa memahami hakikat pensyariatan sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT.
Pengabdian diri kepada Allah SWT mestilah diterjemahkan melalui perlaksanaan syariat Allah yang terkandung dalam al-Quran dan as-Sunnah.
Perlu kita insafi bahawa timbulnya pelbagai isu dan permasalahan dalam masyarakat seperti gejala sosial, keruntuhan moral, jenayah rompakan, rogol, bunuh, penagihan dadah, kes-kes rasuah, pecah amanah, murtad dan sebagainya adalah kerana belum menyeluruhnya penghayatan kita kepada tuntutan-tuntutan syariat Allah SWT.
Hal ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 85 yang bermaksud:
"Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain?. Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu selain dari kehinaan ketika hidup di dunia; dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat, dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan."
Ibadah haji yang sedang dilaksanakan pada saat Aidiladha perlulah dihayati dengan sedalam-dalamnya supaya kita dapat menjiwai roh atau semangat Aidiladha yang kita sambut.
Umat Islam hari ini dengan laungan kalimah yang sama, pakaian ihram serba putih, dengan niat yang satu, tidak mengira apa bangsa dan keturunan adalah melambangkan kesamaan antara kita sebagai hamba Allah SWT.
Ianya juga merupakan perhimpunan tahunan yang disyariatkan oleh Allah dalam bentuk yang amat berkesan iaitu mengikat perpaduan melalui pegangan akidah dan bukannya melalui fahaman bangsa dan material.
Aidiladha yang dirayakan ini jika benar-benar dihayati pasti dapat memupuk semangat perpaduan sesama kita sebagai umat Islam, menjaga hubungan persaudaraan, sanggup berkorban, bersatu hati, menghindari sikap mementingkan diri sendiri demi perpaduan ummah.
Prinsip-prinsip yang membentuk perpaduan inilah yang perlu difahami dan dijunjungi oleh setiap individu Muslim.
Umat Islam yang longgar atau mengenepikan prinsip-prinsip yang membentuk perpaduan sebenarnya akan membuka ruang dan peluang kepada musuh-musuh Islam menerobos untuk melemahkan serta menghancurkan Islam dan umatnya.
Bukti nyata gerakan mereka telah pun dizahirkan di hadapan kita melalui jarum NGO, parti politik dan media baharu yang digerakkan oleh mereka.
Mereka dengan beraninya menghina, mencabar dan mempersendakan umat Islam dari pelbagai sudut termasuklah mahu menggunakan kalimah Allah, mempertikaikan bacaan al-Quran di masjid dan membantah laungan Azan dengan pembesar suara.
Fenomena ini makin menjadi-jadi disebabkan perpecahan umat Islam. Oleh itu, perpaduan adalah agenda ummah yang penting mesti diperjuangkan jika kita mahu mengembalikan kekuatan ummah.
Pengorbanan
Begitu juga ibadah sembelihan yang disyariatkan pada Aidiladha dan juga hari-hari tasyriq perlulah dihayati dengan sebenar-benarnya.
Aidiladha dengan pensyariatan ibadah korban adalah isyarat yang jelas daripada Allah mengenai keperluan berkorban tenaga, masa dan harta benda demi agama Allah SWT.
Tanpa pengorbanan agama, fikiran dan harta benda, tidak mungkin syariat Allah SWT dapat ditegakkan.
Renungkanlah sejarah pengorbanan agung Nabi Ibrahim AS yang sanggup menyembelih Nabi Ismail AS, kepatuhan seorang isteri bernama Hajar kepada suaminya Nabi Ibrahim AS untuk tinggal keseorangan di tanah gersang Mekah.
Demikian juga kerelaan seorang anak iaitu Nabi Ismail AS untuk disembelih oleh bapanya, semata-mata kerana perintah Allah SWT.
Inilah sikap dan prinsip yang sewajarnya dimiliki oleh umat Islam hari ini.
Yakinlah bahawa umat Islam perlu bersedia untuk berkorban apa sahaja demi tertegaknya akidah tauhid dan terlaksananya syariat Allah SWT.
Inilah intipati pengajaran daripada pengorbanan agung yang diterokai oleh Nabi Ibrahim AS, isteri dan anaknya alahimussolatuwassalam.
Firman Allah SWT dalam surah as-Saafaat ayat 103-108 yang bermaksud:
"Setelah keduanya berserah diri, dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah. Serta Kami menyerunya: Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi itu. Demikianlah sebenarnya kami membalas orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Dan Kami kekalkan baginya nama yang harum dalam kalangan orang yang datang kemudian."
Cabaran
Kedudukan umat Islam semakin dicabar oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan pihak yang tiada kaitan dengan Islam.
Cahaya kebenaran Islam sentiasa cuba dipadamkan oleh mereka dengan pelbagai cara demi memesongkan manusia daripada menerima kebenaran Islam.
Pelbagai fahaman, ideologi moden seperti kapitalisme, materialisme, liberalisme, pluralisme dan komunisme serta unsur-unsur negatif yang mempengaruhi umat Islam telah melanda dengan mudahnya.
Kita juga digemparkan dengan isu murtad dan cubaan memurtadkan umat Islam.
Kita dihimpit dengan budaya songsang seperti black metal, budaya punk, gejala gay, seks bebas dan sebagainya.
Akhir-akhir ini kita juga dikejutkan dengan gerakan golongan yang berfahaman Syiah.
Fahaman Syiah ini semakin meruncing apabila ada dari kalangan mereka yang berpendidikan tinggi dan berlatar belakangkan agama serta mempunyai pengaruh politik telah memainkan peranan untuk menyebarkan fahaman ini secara serius terutama kepada golongan muda dan para pelajar di universiti serta menular kepada masyarakat awam.
Banyak penyelewengan yang telah dilakukan oleh golongan ini yang menyentuh sama ada dari sudut akidah, syariah dan kepentingan umum.
Gerakan mereka berlaku terutamanya dengan penyebaran kitab-kitab utama Syiah ke seluruh pelusuk tempat di negara kita.
Inilah antara beberapa siri cabaran yang terpaksa dihadapi oleh umat Islam yang memerlukan kekuatan iman, ketinggian ilmu dan kesatuan fikrah.
Hendaklah sentiasa berwaspada serta bersedia mempertahankan kesucian akidah Islam daripada sebarang bentuk penyelewengan dan pencemaran yang boleh menggugat akidah umat Islam, perpaduan ummah dan keharmonian hidup yang selama ini berpegang teguh dengan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Semua gejala keruntuhan akidah ini sebenarnya telah menjatuhkan kemuliaan dan darjat manusia. Akibat yang lebih buruk ialah azab siksa yang pedih di akhirat yang menanti golongan yang ingkar lagi kufur.
Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 72 yang bermaksud:
"Sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam. Padahal al-Masih sendiri berkata: Wahai Bani Israil!. Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang yang berlaku zalim."
Janganlah kita membiarkan mana-mana pihak bertindak sesuka hati memesong akidah dan menghina Islam. Sedarlah tentang ancaman yang sedang berlaku saat ini dan marilah kita bergandingan dan terus mempertahankan kesucian Islam ini sesuai dengan semangat cinta kepada Allah SWT berdasarkan peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim AS, Nabi Ismail AS dan Hajar.
Insaflah bahawa ibadah haji dan korban mengingatkan kita agar jangan lupa bahawa kita berada dalam satu perpaduan kemanusiaan dan jangan pula kita hancur menjadi mangsa korban kepada musuh-musuh Islam.
Ingatlah, musuh Islam sentiasa bersatu demi kepentingan dan agenda mereka. Namun, bagaimana pula dengan umat Islam apabila agama dan bangsa kita sedang diserang? Adakah kita semakin bersatu atau semakin berpecah?
Adakah kita sanggup menggadaikan agama Islam hanya kerana fahaman politik dan kepentingan peribadi?
Bersatu
Gunakan kesempatan hari raya yang mulia untuk membina keutuhan tali persaudaraan di antara kita dengan amalan ziarah-menziarahi dan bermaaf-maafan.
Buang yang keruh, ambillah yang jernih, lebih-lebih lagi dalam menangani isu yang membabitkan agama dan masa depan umat Islam, maka sewajarnya kita sama-sama bangkit bersatu hati tanpa mempedulikan perbezaan latar belakang, ekonomi, miskin atau kaya, berbeza latar belakang fahaman atau politik.
Kita ketepikan segala perbezaan-perbezaan tersebut. Inilah masanya kita bergandingan dalam satu barisan atas nama agama Allah dan bertindak mengikut kemampuan masing-masing agar kesucian Islam terus terpelihara dan dipertahankan.
Pengorbanan yang sebenarnya adalah pengorbanan yang berasaskan perpaduan. Inilah pengorbanan yang mesti dilakukan oleh setiap dari kita, demi membela dan menyelamatkan Islam dan umatnya.
Kesemua ini menuntut pengorbanan jiwa raga dan harta benda berlandaskan ketaqwaan dan keikhlasan. Tanpa dua elemen ini, maka tidak tercapai matlamat pengorbanan seperti mana yang dituntut oleh Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 3 yang bermaksud:
"Daging dan darah binatang korban itu tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketaqwaan kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang itu bagimu supaya kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya kepadamu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang berusaha supaya baik amalnya."
Marilah kita menghayati tuntutan-tuntutan syarak yang terkandung dalam amalan ibadah haji dan ibadah korban yang berpaksikan hubungan kita yang erat dengan Allah SWT dan hubungan kita sesama kita.
Aidiladha yang dirayakan tanpa perpaduan hakiki antara kita tidak akan memberi apa-apa makna dan kesan kepada kehidupan sama ada di dunia dan akhirat.
Semoga semangat pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang suci, Nabi Ismail AS yang berani dan bondanya Hajar yang begitu tabah hati, mampu menyuntik semangat kepada kita semua.
Hayati dan renungilah firman Allah SWT dalam surah al-Kauthar ayat 1-3 yang bermaksud:
"Sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu(wahai Muhammad) kebaikan-kebaikan yang banyak (di dunia dan akhirat). Oleh itu kerjakanlah sembahyang kerana tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya)."
Bantuan
Sesungguhnya di sekeliling kita masih terdapat golongan yang kurang bernasib baik dan memerlukan bantuan. Sebahagian daripada bantuan itu adalah mengagihkan daging korban.
Pengagihan daging korban dapat membantu meringankan beban, mempertingkatkan kualiti hidup dan mengeratkan silaturahim umat Islam itu sendiri.
Selain daging korban, umat Islam juga boleh menghantar sumbangan yang pelbagai bentuk, tanda kasih sayang sesama kita.
Walaupun harga sebahagian binatang korban itu semakin meningkat, namun ia tidak menjadi penghalang bagi yang mampu kerana ganjaran pahalanya yang besar.
Setiap pengorbanan yang kita lakukan hendaklah disertakan dengan niat dan amalan yang ikhlas.
Seandainya ibadat korban yang kita lakukan dicemari dengan sifat riak, takbur dan menunjuk-nunjuk, maka akan tertutuplah rahmat Allah SWT dan sia-sialah amalan yang kita lakukan.
Usaha yang telah dijalankan oleh pihak-pihak tertentu seperti masjid-masjid, surau-surau, NGO dan pertubuhan Islam lain yang menjalankan program ibadah korban di negara-negara yang mempunyai penganut Islam minoriti seperti Kemboja, Mindanao dan Vietnam adalah menyahut seruan ini.
Paling penting adalah mereka yang mengorbankan harta dan binatang ternakan bagi tujuan suci ini.
Sumbangan umat Islam yang menghidupkan ibadah korban sama ada di peringkat kampung, taman perumahan mahu pun di luar negara adalah amat dihargai.
Inilah yang akan menaikkan imej izzah umat Islam di negara Malaysia yang kita cintai di mata dunia serta akan mendapat pahala ganjaran daripada Allah SWT.
sumber: e-khutbah JAKIM
No comments:
Post a Comment