Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, October 31, 2013

Baba Nyonya


Menurut pengasas Persatuan Peranakan Cina Melaka, Koh Kim Bok, pendapat mengenai asal keturunan Baba Nyonya daripada Puteri Hang Li Po adalah tidak benar kerana puteri itu memeluk Islam sedangkan orang Peranakan bukan beragama Islam.

Baba Nyonya terbentuk melalui perkahwinan campur antara pedagang dari China dengan wanita tempatan dari Asia Tenggara sejak abad ke-15 lagi.

Ia berlaku apabila pedagang yang datang ke sini mengikut angin monsun timur laut perlu berada di Melaka selama enam bulan. Kemudian, pulang semula ke China mengikut arah angin barat daya.

Disebabkan tempoh menunggu yang agak lama dan undang-undang China yang tidak membenarkan membawa wanita, maka berlaku perkahwinan campur.

Masyarakat Baba Nyonya memang berasal dan terbentuk di Melaka. Pihak lelaki Baba merupakan orang yang rajin berniaga dan sering merantau menyebabkan anak-anak dijaga oleh ibu dengan didikan dan budaya tempatan.

Sekali gus revolusi budaya terjadi yang dapat dilihat pada makanan dan bahasa selain percampuran darah keturunan yang berbeza.

Bukan itu sahaja, dari segi kepercayaan juga mengikut adat-adat Melayu seperti larangan tidak berada di luar rumah pada waktu senja juga menjadi kepercayaan orang Baba Nyonya.

Loghat yang berbeza pula terjadi akibat percampuran dengan bahasa Hokkien apabila sesetengah perkataan tiada dalam bahasa Melayu. Uniknya, bahasa mereka tiada pertambahan suku kata.

Contoh menarik ialah terma bakul sia. Sia dalam bahasa Hokkien bermaksud bakul tetapi kerana tidak memahaminya, maka timbul nama tersebut.

sumber asal: Artikel Asal keturunan Baba Nyonya tulisan Adlan Jaafar, Kosmo! 15 April 2013

No comments: