Pengikut dan Ex-smgrian

Wednesday, October 30, 2013

Baharuddin Kahar

Baharuddin Kahar ialah seorang penulis, novelis dan sasterawan warga Malaysia.

Beliau dilahirkan pada 24 Disember 1946 di Pekan Lama, Tanjong Rambutan, Perak. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Inggeris Cator Avenue, Ipoh, Perak bermula dari tahun 1953 hingga tamat darjah enam pada tahun 1959.

Kemudian beliau menyambung pelajarannya di Sekolah Menengah Anderson, Ipoh, Perak dan lulus peperiksaan Malaysian Certificate of Education (MCE) pada tahun 1965.

Selain daripada mempunyai bakat dalam bidang penulisan, Baharuddin Kahar juga berbakat dalam bidang muzik dan pernah menjadi pemuzik pada awal tahun 70-an, bagaimanapun beliau lebih menyerlah dalam bidang penulisan.

Kemungkinan besar bakat penulisan tersebut dicungkil sewaktu beliau menjadi pemberita daerah untuk akhbar Berita Harian pada tahun 1973. Namun, minatnya dalam bidang penulisan timbul setelah membaca novel Salina tulisan Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said sewaktu beliau berusia 17 tahun.

Cerpen pertama karya Baharuddin Kahar berjudul Abah Nak Jumpa Abang telah disiarkan di akhbar Utusan Zaman pada 18 April 1971. Selain dari menggunakan nama Baharuddin Kahar, beliau juga menggunakan nama pena B.K. Samiyung.

Pada tahun 1974, Baharuddin Kahar menceburi bidang pendidikan dan menjadi guru Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Tsung Wah (swasta), Kuala Kangsar, Perak. Beliau mengajar di situ sehingga tahun 1984.

Baharuddin Kahar melanjutkan pelajarannya di ILO, Turin, Itali dan Hertlepool, England pada tahun 1985. Beliau kembali ke tanah air pada tahun 1986 dan telah membuka sebuah syarikat penerbitan yang dikenali sebagai Penerbitan SS di Ipoh, Perak.

Syarikat Penerbitan SS telah menerbitkan beberapa buah novel kanak-kanak yang ditulis oleh penulis-penulis seperti Othman Puteh, Hasni Tamrin Halimi, Sallehuddin Hassan dan Baharuddin Kahar sendiri. Bagaimanapun, syarikat tersebut hanya dapat bertahan selama dua tahun sahaja.

Pada tahun 1988 Baharuddin Kahar sekali lagi menuntut ilmu dan kali ini beliau cuba mendalami ilmu agama di Universiti Islam Sumatera Utara, Medan, Indonesia bagaimanapun beliau tidak dapat menghabiskan pengajiannya atas sebab-sebab tertentu.

Baharudin Kahar telah dipilih untuk menerima anugerah Zamalah Sastera daripada akhbar Berita Harian pada tahun 1985. Beliau merupakan orang kedua yang menerima anugerah tersebut selepas Sasterawan Negara Allahyarham Usman Awang.

Novelnya yang berjudul Senjakala telah dipilih sebagai buku teks untuk pengajian sastera peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 1986.

Baharuddin Kahar kini menetap di Segamat, Johor.

sumber: penulisperak.blogpsot.com

No comments: