Sheikh Idris al-Marbawi, ulama yang terkenal bukan sahaja di Nusantara malahan di Mesir dan Mekah. |
Sejarah perkembangan Islam telah membuktikan bahawa apabila hubungan antara ulama' dan umara' menjadi erat dan kental, maka sesebuah kerajaan itu pasti bertambah kuat, nasib ummah akan terbela, negara akan bertambah maju dan aman damai.
Siapakah ulama' dan umara' yang sebenarnya dan apakah bidang tugas mereka?
Di saat ini, masih ramai masyarakat yang keliru dengan istilah dan juga peranan ulama' dan umara'.
Sesiapa sahaja boleh mengakui dirinya sebagai ulama'.
Secara ringkasnya, ulama' ialah mereka yang arif tentang hukum-hakam Allah SWT berbanding orang lain, manakala umara' pula ialah mereka yang mempunyai mandat dan kuasa untuk membuat orang lain mematuhinya.
Malah para ulama' sendiri pernah menduduki barisan kepimpinan yang memimpin negara dengan adil dan saksama sebagaimana yang berlaku di zaman kesultanan Melaka dan Aceh pada suatu masa dahulu.
Golongan ini sentiasa menjadi perhatian masyarakat dan amat berpengaruh.
Kerana itulah ketika Islam mula bertapak di Tanah Melayu, alim ulama' diangkat kedudukannya dengan diberi pengiktirafan oleh pemerintah sebagai penasihat kepada Sultan atau Raja.
Pengiktirafan yang sebegitu tinggi ini sebenarnya bertepatan dengan prinsip Islam yang menjunjung kedudukan ulama' dan selaras dengan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA yang bermaksud:
"Sesungguhnya perumpamaan orang-orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk dan menerangi di dalam kegelapan sama ada di daratan mahupun di lautan, apabila ia terbenam atau hilang dikhuatiri akan hilang arah tujuan."
Hasan al-Banna, ulama dan ahli politik, pengasas gerakan Ikhwanul Muslimin |
Alhamdulillah, kesinambungan pengiktirafan dan penghormatan kepada golongan ulama' ini sedikitpun tidak pernah dilupakan malah terus dimartabatkan oleh pemerintah negara dengan mengangkat golongan ini ke kedudukan yang sewajarnya dan telah mewujudkan pelbagai jawatan, skim dan platform supaya ulama' boleh terus berbakti pada agama dan negara.
Tanpa ulama' semua orang akan menjadi jahil dan akan bertindak mengikut hawa nafsu semata-mata dan tanpa pemerintah, masyarakat menjadi kacau bilau. Malah, ajaran Islam dan syariah tidak akan dapat dilaksanakan dengan sempurnanya.
Imam al-Baihaqi meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya:
"Sesungguhnya penguasa atau pemerintah yang adil itu adalah bayangan Allah di bumi yang menjadi tempat berlindung bagi setiap orang yang dizalimi."
Menjelaskan betapa besar peranan sebagai umara' ini, Khalifah Umar ibnu al-Khattab pernah memberi nasihat dan peringatan kepada Abu Musa al-Asy'ari, Gabenor Mesir ketika itu bahawa:
"Penguasa yang paling berbahagia ialah mereka yang rakyatnya merasa bahagia hidup di bawah pemerintahannya. Sementara penguasa yang paling celaka pula ialah mereka yang rakyatnya merasa celaka hidup dibawah pemerintahannya. Ingat jangan hidup bermewahan kerana para pegawai kamu akan meniru kamu. Bandingkan diri kamu sama seperti binatang ternakan. Apabila binatang itu dibawa ke padang rumput yang menghijau ia akan makan banyak sehingga menjadi gemuk. Kegemukannya itu akan menjadi sebab kepada kebinasaannya kerana ia akan disembelih untuk dimakan."
Manakala Maulana Iqbal pernah bermadah di dalam syairnya:
"Bangsa itu lahir daripada tangan penyair (ulama), manakala jatuh bangun mereka itu berpunca daripada tangan politikus (umara)."
Imam al-Ghazali ketika mengulas peranan ulama' dan umara' pada zamannya pula menyatakan bahawa:
"Adalah menjadi kebiasaan bagi ulama’ untuk melakukan kerja amar makruf dan nahi munkar tanpa mengira sangat tentang kekejaman pemerintah. Mereka percaya bahawa Allah akan menjaga mereka. Mereka rela menjadi syahid kalau ditakdirkan begitu oleh Allah. Oleh kerana mereka itu ikhlas, bersikap jujur dan menyumbangkan tenaga semata-mata untuk menegakkan ilmu, maka orang ramai mudah menerima nasihatnya. Tetapi sekarang lidah para ulama’ telah menjadi kelu kerana diikat oleh kepentingan. Kalaupun mereka bercakap, tidak akan berjaya kerana pembawaan hidup mereka sendiri berbeza dengan apa yang dicakapkan. Sesungguhnya rakyat rosak kerana pemerintah dan pemerintah rosak kerana ulama’. Sementara ulama’ pula rosak kerana tamak harta dan pangkat."
Bayangkan, apakah kesannya pada agama Islam dan masyarakat jika wujudnya golongan ulama' yang meletakkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan agama dan ummah.
Di saat ini, masyarakat dan pemerintah sangat memerlukan ulama' yang sentiasa teguh pendirian berpaksikan al-Quran dan hadis dan meletakkan tanggungjawabnya pada agama dan masyarakat melebihi kepentingan peribadi dan politik.
Merekalah yang berada di barisan hadapan yang menentukan kejayaan atau kejatuhan sesebuah ummah itu.
Lihatlah sebagai contoh kejayaan negara kita pada hari ini, dengan tertubuhnya institusi dan isntrumen berdasarkan Islam seperti Universiti Islam, Bank Islam, Pusat Rawatan Islam dan lain-lain lagi adalah hasil pemikiran ulama' yang ingin melihat sesebuah negara itu dibangunkan.
Sebaliknya, apabila dua golongan ini bermusuhan, maka pemerintahan menjadi lemah, ummah tidak terbela, negara kucar kacir dan akan ditimpa kehancuran.
Menurut hadis yang diriwayatkan daripada Abu Naim bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Ada dua kelompok manusia, jika kedua-duanya baik, maka masyarakat akan jadi baik, dan jika kedua-duanya rosak, maka masyarakat akan rosak, mereka itu ialah ulama’ dan umara’."
Bagaimana kaedah untuk membina hubungan ulama' dan umara'?
Memperkasakan kaedah nasihat dan saling hormat-menghormati merupakan sebagai satu cara untuk mengeratkan lagi hubungan antara ulama' dan umara'.
Setiap ulama' mestilah berintegriti, bersifat ikhlas, jujur, jati diri, berpandangan luas serta tidak fanatik di dalam setiap tindakannya dan hendaklah memberi nasihat dan teguran berlandaskan kepada kebenaran tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak atau fahaman tertentu.
Begitu juga dengan umara', mereka mestilah bersikap terbuka dalam menerima nasihat dan pandangan serta mampu membina kerjasama yang baik dengan mana-mana pihak.
Inilah masanya, golongan ulama' dan umara' mesti bersatu hati atas dasar kepentingan Islam dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain demi untuk masa depan agama dan bangsa walaupun berbeza pandangan ataupun fahaman.
Seorang ulama' terkenal, Muhammad bin Nasr ketika menjelaskan maksud nasihat untuk para pemerintah ialah supaya mereka menjadi baik, mendapat petunjuk dan berlaku adil, menyukai umat bersatu di bawah pemerintahannya dan tidak berpecah belah.
Dengan memperkasakan kaedah ini ia akan meletakkan peranan ulama' di tempat yang sepatutnya, mereka akan dihormati dan akan memartabatkan kedudukan ulama' dalam sistem pemerintahan negara.
Imam al-Turtusyi di dalam kitabnya Siraj al-Muluk berkata:
"Manusia yang paling utama taat kepada pemerintah dan menasihatinya ialah ahli agama dan mereka yang mendapat nikmat serta golongan yang bermaruah kerana agama tidak boleh tegak tanpa kuasa pemerintah."
Dan Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Sesungguhnya asas hubungan dalam agama adalah nasihat, iaitu bagi mentaati Allah dan rasul-Nya bagi menolong para pemerintah umat Islam dan rakyat amnya." - Hadis Riwayat Muslim.
Seorang ulama' tidak boleh berdiam diri dalam memperjuangkan hak-hak kepentingan Islam dan menyelesaikan masalah ummah.
Suara ulama' sentiasa ditunggu-tunggu dan diperhatikan oleh masyarakat Islam yang cintakan agamanya.
Para ulama' akan membina jambatan dengan pelbagai pihak dalam masyarakat tanpa mengambil kira tahap kedudukan dan kecenderungan pemikiran mereka.
Para ulama' juga tidak akan sama sekali memisah dan memencil diri di dalam dunia yang berasingan dan haruslah berada dalam realiti masyarakat yang nyata.
Hubungan ulama' dan umara' ibarat aur dengan tebing dan perkongsian bijak mereka akan membawa rahmat kepada negara dan ummah.
Firman Allah SWT dalam surah Faathir ayat 28 yang bermaksud:
"Sebenarnya yang takut kepada Allah dari kalangan hamba-Nya hanyalah ulama’ (orang yang berilmu)."
Tanggungjawab membangunkan negara bukan hanya terletak pada pemerintah semata-mata tetapi perlu penglibatan semua pihak lebih-lebih lagi golongan ulama' yang semestinya memberi kefahaman dan kesedaran kepada masyarakat.
Inilah kunci utama pembangunan ummah yang menjadi prinsip asas kejayaan generasi sahabat dalam menegakkan syariat Islam.
Ulama' berani menyatakan kebenaran sekalipun pahit dan mampu memberi penyelesaian terhadap permasalahan ummah hari ini.
Penglibatan ulama' pasti mampu untuk menyelamatkan umat Islam negara dari terus berpecah-belah yang akhirnya akan merugikan umat Islam itu sendiri.
Langkah pemerintah menjemput ulama' dalam membincangkan isu-isu negara dari masa ke masa adalah selari dengan tuntutan Islam.
Allah SWT berfirman dalam surah Hud ayat 15-16 yang bermaksud:
"Sesiapa yang berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya, maka Kami penuhi usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan daripadanya. Mereka tidak beroleh di akhirat kelak selain daripada neraka, dan gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batallah apa yang mereka telah kerjakan)."
Sumber: e-khutbah JAKIM
No comments:
Post a Comment