Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, May 9, 2013

Solat


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Amalan yang mula-mula diperhitung daripada seseorang hamba pada hari kiamat ialah solat. Jika solatnya itu baik, maka baiklah seluruh amalannya. Sebaliknya jika solatnya itu buruk, maka buruklah seluruh amalannya." - Hadis Riwayat al-Tobroni.


Pengertian solat

Solat menurut bahasa ialah doa. Pada istilah fiqh ialah tiap-tiap perkataan dan perbuatan yang dimulai dengan takbir dan disudahi dengan salam dengan syarat-syarat tertentu. Solat difardhukan pada malam Mi'raj Nabi SAW iaitu setahun sebelum hijrah.


Kenapa perlu solat?

Firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa ayat 103 yang bermaksud:

"Dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu merupakan kewajipan yang ditentukan pada waktunya ke atas mereka yang beriman."

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Islam itu didirikan di atas lima asas, mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan mengerjakan haji bagi mereka yang berkemampuan." - Hadis Riwayat Imam Bukhari.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Barangsiapa meninggalkan solat fardhu dengan sengaja, maka dia telah terlepas dari jaminan Allah SWT." - Hadis Riwayat Imam Ahmad

Menurut Peter Russell di dalam bukunya The Brain Book, otak manusia beroperasi 7 peratus lebih cepat dan 14 peratus lebih tepat dalam keadaan kepala mereka di bawah (inverted).

Win Wenger pula di dalam bukunya berjudul How to Increase Your Intelligence menyatakan bahawa aktiviti yang membalikkan badan dari atas ke bawah (upside down activities) meningkatkan kadar oksigen di otak, sekali gus secara fizikalnya meningkatkan kemampuan otak itu.

Kedua-dua aktiviti yang dinyatakan di atas menyamai aktiviti sujud di dalam solat. Jika sujud dilakukan dengan betul dan sempurna, ia dapat meningkatkan kemampuan otak seseorang kerana kedua ahli sains di atas telah membuktikannya.


Apa kelebihan solat?

1. Untuk mengingatkan kita kepada Allah. Ini telah dijelaskan oleh Allah SWT dengan firman-Nya di dalam surah Toha ayat 14 yang bermaksud:

"Dan dirikanlah solat untuk mengingatiku."

2. Menguatkan jiwa dan membina jati diri. Ini telah dijelaskan oleh Allah SWT dengan firman-Nya di dalam surah al-Ankabut ayat 45 yang bermaksud:

"Sesungguhnya solat dapat mencegah seseorang dari melakukan perbuatan keji dan mungkar."

3. Sebagai pendidikan awal kanak-kanak. Ini telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya yang bermaksud:

"Perintahkanlah anak-anak kalian mengerjakan solat, apabila mereka telah mencapai usia 7 tahun dan pukullah mereka jika mereka meninggalkannya apabila mereka telah mencapai usia 10 tahun." - Hadis Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan al-Hakim.

4. Menjadi pengurus masa yang baik dan berdisplin. Firman Allah di dalam surah an-Nisa ayat 103 yang bermaksud:

"Sesungguhnya solat adalah satu ketetapan berwaktu yang diwajibkan ke atas mereka yang beriman."

5. Untuk mendapat rahmat Allah. Firman Allah SWT di dalam surah an-Nur ayat 56 yang bermaksud:

"Dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan taatlah kepada Rasul supaya kalian diberi rahmat."

6. Solat adalah perkara pokok dalam ibadah. Ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW di dalam sabda baginda yang bermaksud:

"Kepala segala perkara adalah Islam, tiangnya adalah solat dan puncaknya ialah berjihad di jalan Allah." - Hadis Riwayat Ahmad, at-Tirmizi dan Ibnu Majah.

7. Solat ialah tanda bagi orang yang beriman. Ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW di dalam sabda baginda yang bermaksud:

"Apa yang menghubungkan antara seseorang dengan kekufuran adalah meninggalkan solat." - Hadis Riwayat Imam Ahmad dan Muslim.

8. Solat ialah penghapusan dosa. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Solat lima waktu dan solat Jumaat hingga Jumaat berikutnya adalah penebus dosa antara jarak waktu solat itu, selama dijauhinya dosa besar." - Hadis Riwayat Imam Muslim.

9. Dengan bersolat seseorang dapat mencapai kejayaan dunia dan akhirat. Ini dijelaskan oleh Allah dengan firman-Nya di dalam surah al-Mukminin ayat 1 yang bermaksud:

"Sesungguhnya telah berjayalah orang yang beriman iaitu orang yang khusyu' di dalam solatnya."


Apakah akibatnya kalau solat diabaikan?

Menjadi buta pada hari kiamat. Firman Allah SWT di dalam surah Toha ayat 124 yang bermaksud:

"Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta".

Golongan yang meninggalkan solat juga akan menjadi penghuni neraka serta menerima azab di dalamnya. Firman Allah SWT di dalam surah al-Muddassir ayat 42 - 43 yang bermaksud:

"Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?" Mereka yang bersalah itu menjawab: "Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang."

Juga firman Allah di dalam surah Maryam ayat 59 yang bermaksud:

"Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka)."


Apakah hukumnya bagi mereka yang meninggalkan solat?

Menurut pendapat Ijma' Ulama', menjadi KAFIR mereka yang meninggalkan dan mengingkari kewajipannya. Wajib ke atas pihak yang berkuasa bertindak menyuruhnya bertaubat sekiranya engkar, dijalankan hukuman had ke atasnya dengan dipenggalkan kepalanya dengan pedang.

Manakala menurut Imam Malik, Syafie dan Jumhur Ulama' Salaf dan Khalaf pula, jika solat ditinggalkan kerana malas dan masih beri'tikad wajibya solat tidak menjadi kafir tetapi tergolong dalam golongan fasiq dan berdosa besar.


Apakah syarat diwajibkan solat ke atas seseorang?

Solat menjadi wajib sekiranya seseorang itu:
  1. Islam
  2. Baligh
  3. Berakal
  4. Sampai seruan Islam
  5. Sempurna pancaindera


Apakah pula syarat sah solat?

Solat menjadi sah sekiranya:
  1. Masuk waktu
  2. Suci daripada hadas kecil dan besar
  3. Suci badan, pakaian dan tempat solat daripada najis
  4. Menutup aurat
  5. Menghadap Qiblat 
  6. Mengikut rukun dan tertib ketika bersolat

Apakah pula rukun-rukun solat?

Rukun-rukun solat ialah perkara yang perlu dilakukan sewaktu bersolat. Sekiranya ditinggalkan salah satu daripada rukun-rukun solat ini maka solat menjadi tidak sah. Rukun-rukun tersebut ialah:
  1. Berdiri betul
  2. Niat
  3. Takbiratul Ihram
  4. Membaca surah al-Fatihah
  5. Ruku'
  6. I'tidal
  7. Sujud
  8. Duduk antara dua sujud
  9. Duduk membaca tasyahud akhir
  10. Membaca tasyahud akhir
  11. Salawat ke atas Nabi Muhammad SAW ketika tasyahud akhir
  12. Salam pertama
  13. Tertib

Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Dari Abu Hurairah R.A. katanya, bahawasanya aku mendengar Rasulullah SAW bertanya kepada para sahabatnya, adakah kamu percaya bahawa kekotoran masih melekat pada tubuh seseorang yang mandi lima kali sehari dalam sungai yang mengalir di hadapan rumahnya? Lalu Baginda bersabda; begitulah umpamanya kesan sembahyang yang dikerjakan lima kali sehari. Dengan rahmat Allah ia dapat menghapuskan segala dosa." - Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Saidina Omar R.A. pernah berkata:

"Wahai segala wali negeri, ketahuilah suatu tugas yang penting kamu pasti jalankan dalam pandanganku ialah memelihara solat."

-Jabatan Agama Islam Perak

No comments: