Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, May 10, 2013

Asal penggunaan perkataan ringgit


Pada akhir abad ke-18, ketika perdagangan menggunakan duit syiling perak diperkenalkan oleh Sepanyol di Kepulauan Melayu, penduduk tempatan ketika itu menggelarkan duit tersebut sebagai ringgit.

Duit syiling perak yang ditempa di Mexico itu dikenali sebagai Carolus Dollar dan Pillar Dollar. Bahagian tepinya bergerigi.

Ketika itu, penggunaan mata wang yang diperbuat daripada perak dan emas diterima pakai di semua tempat tanpa mengira jenis negara asal mata wang.

Menurut sumber dari Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (MAG), masyarakat tempatan memanggil duit syiling perak sebagai ringgit merujuk kepada permukaan bergerigi di bahagian tepi.

Pada peringkat awal pengedaran mata wang di negara kita, simbol dollar ($) digunakan untuk ringgit sebelum ditukar RM (Ringgit Malaysia) pada tahun 1993. Di Brunei, nilai mata wangnya dikenali dengan nama yang sama dalam bahasa Melayu.

Gelaran ringgit bagi kebanyakan dolar perdagangan diterima oleh penduduk tempatan. Nama panggilan merujuk pada reka corak yang terdapat di paparan hadapan duit syiling. Antara nama yang diberikan ialah ringgit patung dan ringgit meriam.

Dolar perdagangan perak dari Mexico dikenali sebagai ringgit burung manakala yen Jepun yang dikeluarkan pada tahun 1875 dikenali di Terengganu sebagai ringgit muda bagi membezakan duit keluaran awal Sepanyol.

Dolar perdagangan perak keluaran British yang dikeluarkan pada tahun 1895 dikenali sebagai ringgit tongkat dan perkataan ringgit dalam tulisan jawi dipaparkan pada bahagian belakang.

Mata wang pertama Malaysia dikeluarkan pada tahun 1967, ia dikenali sebagai dolar Malaysia tetapi ringgit digunakan secara rasmi pada tahun 1975.

Bank Negara Malaysia (BNM) ditubuhkan pada Januari 1959 dengan nama Bank Negara Tanah Melayu tetapi mula mengeluarkan mata wang pertama pada tahun 1967.

Sehingga tempoh itu, wang yang berada dalam peredaran dikeluarkan oleh Lembaga Suruhanjaya Mata Wang Malaya dan British Borneo sehingga 12 Jun tahun yang sama.

sumber: Artikel Wang Kertas Siri Keempat oleh Adlan Jaafar, Kosmo! 24 Julai 2012

No comments: