Pengikut dan Ex-smgrian

Wednesday, April 24, 2013

Meminta pertolongan makhluk


Diriwayatkan oleh al-Tirmizi daripada Ibnu Abbas R.A. berkata, Rasulullah SAW bersabda:

"Apabila kamu meminta, pintalah kepada Allah dan apabila kamu meminta tolong pohonlah kepada Allah."

Ramai di kalangan umat Islam yang tersalah dalam memahami hadis di atas. Justeru, mereka menganggap memohon dan meminta pertolongan kepada selain Allah adalah perbuatan syirik. Dengan fahaman dan anggapan itu, akan menafikan penggunaan sebab-sebab dan meminta pertolongan dengan sebab-sebab tersebut serta meruntuhkan nas-nas yang banyak mengenai perkara ini.

Hakikatnya, hadis ini tidak bermaksud menegah atau melarang daripada memohon atau meminta tolong daripada selain Allah, sebagaimana yang difahami daripada zahir lafaz hadis ini.

Yang dimaksudkan ialah melarang daripada lalai bahawa walau bagaimana kebaikan yang dimiliki oleh sebab-sebab itu, ia tetap berasal daripada Allah.

Bahkan, hadis ini juga mengandungi suruhan supaya beringat, bahawa apa pun juga nikmat (kebaikan) yang dimiliki atau dikuasai oleh makhluk, ia adalah daripada Allah dan diperoleh dengan pertolongan Allah.

Maknanya di sini, apabila kita hendak memohon pertolongan kepada seseorang di mana ia sudah pasti kita lakukan dalam kehidupan seharian, maka hendaklah menjadikan segala pergantungan dan pegangan kita hanya kepada Allah.

Yang demikian, sebagaimana yang disebut selepas sabdaan Baginda SAW:

"Ketahuilah bahawa sekiranya kesemua umat ini bersatu untuk memberikan kamu suatu manfaat, nescaya mereka tidak dapat memberikan kamu suatu manfaat pun melainkan apa yang telah dicatat oleh Allah untuk kamu. Sekiranya mereka berhimpun untuk memudaratkan kamu, nescaya mereka tidak dapat memudaratkan kamu melainkan apa yang telah dicatat oleh Allah untuk kamu."

Maka, Rasulullah SAW menthabitkan manfaat dan mudarat bagi mereka sebagaimana yang kita lihat sesuai dengan apa yang telah dicatat oleh Allah.

Meminta pertolongan dengan makhluk juga terdapat di dalam al-Quran dan juga sunnah (rujuk al-Baqarah: 45).

Al-Quran juga telah menceritakan hamba yang soleh, Zulqarnain yang meminta pertolongan kepada manusia sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Kahfi ayat 95.

Hal ini turut dinyatakan dalam galakan Rasulullah SAW agar orang mukmin saling membantu memenuhi hajat dan keperluan saudaranya, memudahkan kesusahan orang lain dan membantu melepaskan suatu bebanan.

Bahkan, ia terdapat dalam peringatannya daripada melalaikan amalan tersebut. Hal-hal seperti ini banyak terdapat di dalam sunnah.

Rasulullah SAW juga bersabda:

"Sesungguhnya Allah mempunyai makhluk yang Dia mencipta mereka untuk menunaikan keperluan orang lain; ramai manusia yang datang kepadanya membawa hajat-hajat mereka. Mereka adalah orang yang aman daripada azab Allah."

Perhatikanlah sabda ramai manusia yang datang kepadanya membawa hajat-hajat mereka. Rasulullah SAW tidak menggolongkan orang ini di dalam golongan orang yang melakukan kesyirikan, bahkan juga bukan daripada golongan yang melakukan dosa atau maksiat.

-Dicuplik dari ruangan Agama Mega, Utusan Malaysia 17 Julai 2012.

No comments: