Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, January 4, 2013

Suplemen bukan pengganti diet

Teori yang menyatakan suplemen merupakan pengganti pemakanan yang seimbang sebenarnya tidak boleh diguna pakai.

Pensyarah Jabatan Pemakanan dan Dietik Universiti Perubatan Antarabangsa, Profesor Dr. Fatimah Arshad memberitahu, individu yang tidak sakit atau mengalami masalah kesihatan tidak disarankan mengambil suplemen.

Makanan dalam bentuk asal seperti buah-buahan dan sayur-sayuran yang kaya vitamin C lebih baik berbanding vitamin yang dibekalkan menerusi pil-pil suplemen.

"Bukan vitamin C sahaja yang dapat dierap tubuh badan kita, malah banyak nutrien lain dapat diterima. Suplemen pula spesifik pada satu jenis nutrien sahaja dan bukankah hal itu merugikan?

"Suplemen wajar diambil individu yang mengalami sakit kronik atau mereka yang tidak lalu makan. Tetapi, ia hanya bertindak sebagai pembantu sementara dan selepas seseorang itu kembali sihat, mereka perlu mengambil diet pemakanan yang betul," ujarnya yang menyarankan setiap pengambil suplemen bertemu dengan pakar diet bagi mendapatkan penjadualan pemakanan yang seimbang.

Pengambilan suplemen melebihi dos yang sepatutnya juga boleh menyebabkan masalah kesihatan sekiranya suplemen itu daripada jenis bahan yang tidak larut dalam air.

Seperti yang dijelaskan Fatimah, suplemen larit lemak misalnya, tidak akan disingkirkan daripada badan menerusi perkumuhan (kencing). Ia akan kekal dalam badan dan sekiranya diambil dalam amaun tinggi, boleh menyebabkan keracunan.

"Suplemen larut air seperti vitamin C pula boleh dikeluarkan menerusi perkumuhan, tetapi ia ibarat pembaziran wang terutama mereka yang sebenarnya tidak memerlukan suplemen langsung.

"Penjimatan besar dapat dilakukan sekiranya kita memilih untuk mengambil makanan sebenar yang cukup nutrien berbanding suplemen yang memerlukan belanja tinggi," tambahnya lagi.

-Kosmo!

No comments: