Tahun yang bakal dipenuhi dengan cabaran ini, mudah-mudahan disambut dengan rasa tawaduk ke hadrat Allah SWT atas segala nikmat-Nya selama ini.
Syukur ke hadrat-Nya kerana kita masih lagi diizinkan untuk meneruskan kehidupan dan menjalankan tugas harian.
Namun sebagai Muslim yang memahami akan kepentingan hidup sebagai satu ibadah, kita seharusnya lebih mendalami perspektif tentang kedatangan tahun baru ini.
Firman Allah SWT di dalam surah ad-Dzaariyat ayat 50 yang bermaksud:
(Katakanlah Wahai Muhammad kepada mereka): "Maka segeralah kamu kembali kepada Allah (dengan bertaubat dan taat), Sesungguhnya aku diutuskan Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran yang nyata.
Justeru, di dalam Islam kedatangan tahun baru adalah dengan bermuhasabah, merenung akan kelemahan, kekurangan yang telah kita lakukan sebelum ini dan menginsafinya.
Kehadiran tahun baru sepatutnya membawa pengertian yang cukup besar bagi mencetuskan rasa ingin berubah dari satu kekurangan kepada satu kekuatan yang baru.
Bermuhasabah diri adalah satu amalan para anbiya, mursalin dan solihin. Justeru, perkara penting yang harus dijadikan budaya dalam hidup semua manusia ialah menilai diri sendiri.
Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan bermuhasabah?
Muhasabah adalah perilaku menilai dan memperelokkan diri yang terbentuk dalam jiwa seseorang manusia itu menurut kaca mata agama.
Ia juga boleh dimaksudkan sebagai mendidik diri agar sentiasa mencela segala kejahatan yang pernah dilakukan agar tidak menjadi penghalang untuk mendapat keredhaan Allah SWT.
Menurut Ibnu Qudamah:
"Pengertian muhasabah ialah melihat keadaan modal, keadaan keuntungan dan kerugian, agar dapat mengenalpasti sebarang penambahan dan pengurangan. Modalnya dalam konteks agama ialah perkara yang difardhukan, keuntungan ialah perkara sunat dan kerugiannya pula ialah maksiat."
Ibnu Qayyim pula berkata:
"Muhasabah ialah membezakan antara apa yang diperolehinya dan apa yang perlu ditanggungnya. Setelah mengetahui yang demikian, maka dia hendaklah membawa apa yang diperolehinya dan melunaskan apa yang ditanggungnya. Dia seolah-olah seorang musafir yang tidak akan kembali."
Rasulullah SAW sendiri pernah memuji sikap muhasabah di dalam hadis Baginda yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi daripada Syadad bin Aus R.A. iaitu:
"Orang yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta beramal untuk hari selepas kematian sementara orang yang lemah ialah orang yang mengikut hawa nafsunya serta beragan-angan terhadap Allah dengan angan-angan (yang banyak)." - Riwayat at-Tirmizi
Sesiapa yang bermuhasabah tentang dirinya maka mereka tidak akan membiarkan ruang dan masa untuk melakukan perkara-perkara yang batil dan mungkar.
Menyibukkan diri dengan ketaatan akan menghapuskan masa untuk membuat kejahatan.
Mereka akan mencela jiwanya di atas setiap kesalahan dan kekurangan yang dilakukannya terhadap Allah SWT kerana takutnya diri ini kepada kekuasaan-Nya.
Jika inilah keadaannya maka mana mungkin boleh didapati jalan dan ruang untuk membuat kesalahan dan kebatilan.
Memetik kata-kata seorang ulama iaitu as-Sayyid Ahmad ar-Rifaie yang pernah menyatakan di dalam kitabnya Burhan al-Muayyad bahawa:
"Daripada perasaan takut akan timbulnya muhasabah. Daripada muhasabah timbulnya muraqabah. Daripada muraqabah hati akan sentiasa sibuk bersama Allah SWT."
Berkata Syeikh Ahmad Zarruq:
"Lalai dari bermuhasabah diri menyebabkan apa yang dilakukan menjadi silap. Kurang berbincang dengannya boleh membawa kepada sifat redha nafsu atau berpuas hati terhadapnya. Memerangi nafsu boleh menjauhkan daripada melekat pada diri dan tidak bersikap tegas terhadapnya menyebabkannya menjadi pahlawan. Oleh itu lazimlah diri dengan senantiasa bermuhasabah dan berbincang serta beramallah dengan apa yang betul tanpa bertolak ansur terhadap perkara-perkara yang salah."
Allah SWT telah mengingatkan kita tentang penjagaan masa seperti di dalam surah al-Asr ayat 1-3 iaitu:
"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar."
Berdasarkan ayat ini telah menekankan dua prinsip asas iaitu berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran.
Kedua-dua konsep ini boleh dijadikan panduan kita untuk menjana kefahaman bagi memimpin diri untuk meneruskan tahun mendatang.
Sudah semestinya kita menyemai budaya murni yang digariskan oleh Islam seperti amalan nasihat-menasihati, berkata benar dalam setiap tindakan, merancang setiap usaha dengan garis panduan syarak, memastikan cara dan bentuk tindakan selari dengan panduan Islam.
Bahkan segala urusan seharian kita haruslah dipastikan ianya benar-benar suci daripada segala kecelaruan dan keburukan tingkah laku serta perbuatan.
Mulakan tahun baru ini dengan menanamkan semangat menyampaikan sesuatu yang baik dengan penuh kebenaran.
Kebenaran yang hakiki itu kadangkala menuntut kita bersikap yakin dan berani dalam setiap hal.
Hayatilah ungkapan "berkatalah benar sekalipun pahit" untuk menjadi satu semangat kepada kita bila mana berhadapan dalam setiap cabaran dan dugaan.
Namun kata-kata benar yang hendak kita lafazkan haruslah berprinsip dan beretika.
Kita juga hendaklah saling ingat mengingati untuk diri dan orang lain juga atas prinsip kebenaran.
Maka jika timbal balik antara jiwa benar kita dituai, maka harapan untuk mencapai hakikat kebenaran dalam masyarakat boleh tercapai.
Pemahaman dan jiwa yang luhur terhadap tanggungjawab sebagai insan yang dijadikan Allah harus kita martabatkan bukan sahaja untuk diri sendiri malah untuk orang lain.
Kejayaan yang kita ukir sepanjang hidup tidak harus kita raikan sendiri malah ianya mesti diraikan bersama dengan orang lain.
Kita mulai semangat tahun baru ini dengan jiwa tawaduk, berusaha mempertingkatkan kualiti diri untuk mendapat keredhaan Allah SWT.
Dengan bermuhasabah, seseorang itu dapat mengelakkan diri daripada melakukan kesalahan yang sama untuk kali kedua, kerana Muslim yang hebat adalah mereka yang dapat mempertingkatkan kualiti diri mereka dari masa ke semasa.
Ingatlah pesan Saidina Umar al-Khattab:
"Hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung, timbanglah amalanmu sendiri sebelum ia ditimbangkan untukmu, dan bersedialah untuk hari pembentangan amal yang besar, sesungguhnya hisab pada hari kiamat menjadi ringan bagi sesiapa yang melakukan muhasabah diri di dunia ini."
Renungilah firman Allah SWT di dalam surah Ali-Imran ayat 110 yang bermaksud:
"Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada yang mungkar, serta kamu pula beriman kepada Allah. Dan kalaulah Ahli Kitab itu beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka orang yang fasik."
Sumber: e-khutbah JAKIM
No comments:
Post a Comment