Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, December 3, 2012

Kewajipan membayar hutang menurut Islam

Budaya berhutang sudah menjadi amalan dalam kehidupan masyarakat kita. Perkara ini berpunca dari sikap kita yang suka berbelanja melebihi kemampuan kewangan semasa. Biarpun tidak mempunyai wang, namun keinginan membeli masih ingin ditunaikan.

Jika dahulu hanya golongan miskin yang biasa dikaitkan dengan hutang namun, hari ini golongan berada dan sederhana juga terbabit dengan hutang.

Orang miskin berhutang untuk memenuhi keperluan hidup yang terdesak, sedangkan golongan kaya berhutang untuk bermewah-mewahan bagi mengumpul harta seperti membuat pinjaman untuk membeli saham dan sebagainya.

Berdasarkan kepada laporan daripada Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, seramai 38,357 orang menjadi muflis akibat berhutang dengan menggunakan kad kredit.

Begitu juga dengan laporan daripada Jabatan Insolvensi baru-baru ini bahawa 25% daripada 116,379 kes yang direkodkan semenjak tahun 2005 adalah merupakan mereka yang tidak mampu membayar hutang sewa beli kenderaan dan sebanyak 15,229 kes tidak mampu membayar pinjaman peribadi yang menjadi punca kebankrapan rakyat di negara ini.

Ramai daripada kalangan umat Islam pada hari ini boros di dalam berbelanja dan tidak mengamalkan gaya hidup berhemah. Ada yang bergaji kurang daripada RM2,000 tetapi berbelanja melebihi kadar pendapatannya.

Gaya hidup berhemah berkait rapat dengan sifat berjimat cermat dan tidak membazir. Islam melarang dan menegah umatnya daripada membazir kerana ianya perbuatan keji. Islam menyifatkan pembelanjaan boros dan pembaziran adalah perbuatan yang keji kerana ia tidak memberi faedah kepada masyarakat dan menjauhkan lagi jurang golongan kaya dan miskin.

Jika dasar berhemah ini diambil kira, maka hak-hak serta kebajikan fakir-fakir miskin dapat ditunaikan sepanjang masa. Sesungguhnya orang yang membazir adalah saudara syaitan dan syaitan amat suka kepada orang yang boros dan berbelanja mengikut kehendak nafsu.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Israk ayat 27 yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya."

Ibn Mas'ud dan Ibn Abbas RA mentafsirkan ayat ini bahawa pembaziran itu bermaksud perbelanjaan atau menggunakan harta benda bukan pada tempatnya yang sebenar. Begitu juga dengan pandangan Imam Syafie bahawa pembaziran itu ialah membelanjakan harta benda bukan pada jalannya.

Dalam Islam, hutang merupakan suatu amanah besar yang wajib dilunaskan. Ia bagi memenuhi tuntutan dan menjamin hak sesama manusia. Kegagalan menyempurnakan hutang bermakna menafikan hak sesama manusia yang pastinya mengundang kemurkaan Allah SWT.

Berdasarkan kepada ayat 23 hingga 39 surah al-Isra' yang bermaksud:

"jika seseorang tidak membayar hutang, tiba-tiba ia meninggal dunia maka langit dan bumi tidak akan menerima rohnya walaupun roh itu milik seorang yang berjihad."

Dalam sirah Rasulullah SAW pernah Baginda duduk semasa jenazah diletakkan di hadapan Baginda untuk disembahyangkan. Baginda SAW mengangkat kepalanya ke langit, kemudian menundukkan pandangannya dan meletakkan tangannya di atas kening dan bersabda:

"Subhanallah... subhanallah, betapa beratnya yang diturunkan.” Seorang sahabat Ibn Jahsh berkata, “Kami memperhatikan keadaan Rasulullah itu tetapi kami diam, sehinggalah keesokan harinya saya bertanya kepada Baginda, “Apakah keberatan yang diturunkan itu?”Rasulullah lalu menjawab, “Hutang! Demi Tuhan yang jiwaku berada di tangan-Nya, jikalau seseorang terbunuh di jalan Allah, kemudian hidup, kemudian terbunuh, kemudian hidup, kemudian terbunuh, sedangkan ia mempunyai hutang, maka dia tidak akan masuk syurga sehingga dia menunaikan hutangnya." - (Riwayat an-Nasai)

Sabda Rasulullah SAW:

"Kurangkanlah dirimu daripada melakukan dosa, maka akan mudahlah bagimu ketika hendak mati. Kurangkanlah dirimu daripada berhutang nescaya kamu akan hidup bebas." - (Riwayat al-Baihaqi)

Amalan berhutang tidak sepatutnya dijadikan budaya dalam masyarakat kerana akan timbul banyak keburukan. Apa yang jelas, pengurusan wang secara bijak memberi kesinambungan hidup kita bagi tujuan hayatan tayyibah (kehidupan yang baik) serta bebas dari cengkaman hutang. Langkah mengurus kewangan secara berkesan dapat membimbing kita ke arah matlamat yang diidamkan dan membuktikan penghargaan kita terhadap sumber kewangan yang sedia ada selain menjamin keselamatan diri daripada kefakiran dan kekufuran.

Agama Islam telah menetapkan beberapa peringkat keperluan bagi umatnya:
  1. al-Dharuriat iaitu keperluan yang mendesak
  2. al-Hajiaat iaitu keperluan yang dihajati
  3. al-Thasiniat iaitu keperluan yang lebih baik
  4. al-Kamaliat iaitu keperluan yang lebih lengkap

Namun begitu, dalam mengurus kehidupan kita, Islam mewajibkan kita mengatur perbelanjaan kepada perkara-perkara asas dan keperluan yang benar-benar mendesak iaitu al-Dharuriat seperti makanan dan minuman, tempat tinggal, pakaian dan pelajaran.

Menurut Imam as-Syatibi bahawa:

"al-Dharuriat adalah sesuatu yang harus dilakukan agar mendapat kemaslahatan di dunia dan akhirat, jika al-Dharuriat ini tidak dilaksanakan maka kemaslahatan itupun tidak akan ada tetapi yang akan timbul adalah kerosakan, kesengsaraan dan kerugian yang besar."

Dalam hal ini juga Prof. Dr. Yusuf Qardhawi ada mengatakan bahawa:

"Sebahagian umat Islam kini kerap mendahulukan perkara yang kurang penting berbanding perkara yang penting. Perkara penting adalah urusan-urusan wajib yang termaktub dalam syariat Islam. Antara perkara tersebut ada yang besar, penting dan utama dan ada pula yang kecil, ringan, kurang penting dan kurang utama iaitu asasi, cabang (furu’), dan rukun."


Sikap suka berhutang memberi petunjuk bahawa masih ada segelintir yang gagal mengawal keinginan nafsu dalam urusan kewangan. Allah SWT pernah mengingatkan kita tentang kitaran hidup, ada masa kita senang dan ada masanya kita susah. Apabila kita dalam keadaan senang, kita diminta berjimat cermat dan mengingati keadaan golongan yang kurang dari kita.

Sebagai umat Islam kita dituntut agar mensyukuri segala pemberian dari Allah SWT. Kita hendaklah mengurus segala perbelanjaan untuk keperluan hidup dengan sebaik-baiknya setiap masa. Sekiranya kita mengabaikan perkara tersebut dikhuatiri kesan daripada kelalaian kita menguruskan perbelanjaan hidup yang boleh menyebabkan kita meninggalkan generasi yang mundur di kemudian hari serta menyebabkan negara kita berada dalam mundur dan terkebelakang.

Sedarkah kita, kemewahan yang kita kecapi ini adalah juga menjadi hak orang lain dan negara. Sekiranya kita membayar hutang sebagainya, sudah pasti hasil pungutan itu dapat digunakan untuk memenuhi keperluan asas seperti makanan, pakaian dan rumah golongan fakir dan miskin, pembiayaan jentera pentadbiran negara, menyedia dan melengkapkan infrastruktur kemudahan awam seperti jalan raya, hospital, masjid, sekolah dan seumpamanya.

Memulihara sesuatu situasi selepas rakyat ditimpa bencana seperti banjir, ribut taufan, gempa bumi dan tanah runtuh juga sebagai keperluan jihad fisabilillah.

Menurut Imam Muslim Rasulullah SAW bersabda:

"Sesiapa yang mempunyai lebihan kenderaan, maka hendaklah ia memberi kepada orang yang tiada kenderaan. Sesiapa yang mempunyai lebihan dari bekalan makanan, maka hendaklah ia memberi kepada orang yang tiada bekalan."

Sebagai manusia yang beriman dan berintegriti marilah sama-sama kita mengamalkan sikap berjimat cermat serta menjauhi sifat suka berhutang agar mendapat keberkatan dari Allah SWT.

Malahan dengan mengamalkan sikap berjimat cermat ia akan menjadikan kehidupan masa hadapan lebih terjamin. Kita juga akan terselamat dari muflis akibat hutang dan berbelanja berlebihan menurut hawa nafsu serta kita juga akan mempunyai simpanan yang dapat menjamin hidup kita di saat menghadapi kesusahan.

Renungilah firman Allah SWT dalam surah al-Furqaan ayat 67 yang bermaksud:

"Dan mereka yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan perbelanjaan mereka adalah betul sederhana."

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: