Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, July 26, 2012

Sekolah Menengah Anderson

Sekolah Anderson dinamakan bersempena Pesuruhjaya Tinggi British ketika itu iaitu Sir John Anderson. Sekolah ini dibuka secara rasmi pada 6 Februari 1909.

Sekolah ini ditubuhkan atas kesukaran masyarakat Melayu ketika itu untuk menghantar anak-anak mereka bersekolah di sekolah berpendidikan Inggeris. Pilihan yang ada ketika itu hanyalah Maktab Melayu Kuala Kangsar (Malay College) dan sekolah-sekolah mubaligh seperti Anglo Chinese School.

Bangunan pertama Sekolah Anderson dibina di Jalan Douglas, Ipoh. Ia direka oleh jurubina tempatan iaitu C.H. La Brooy. Kini bangunan tersebut dijadikan Pejabat Agama Perak.

Guru Besar Sekolah Anderson yang pertama ialah Lt. Col. J. H Tyte yang merupakan bekas Guru Besar Sekolah Victoria (Victoria Institution) Kuala Lumpur. Beliau dibantu oleh E. C. Smith sebagai guru Penolong Kanan.

Pada awalnya sekolah tersebut hanya mempunyai 52 murid lelaki dan enam bilik darjah. Sejak dari mula lagi Sekolah Anderson telah menitikberatkan akan aktiviti sukan. Lt. Col. J. H Tyte yang telah mewakili Selangor dalam sukan bola sepak dan hoki memperkenalkan sukan tersebut di Sekolah Anderson.

Pada tahun 1917, R.E. Smith yang menjadi Guru Besar ketika itu memperkenalkan sistem rumah dalam permainan dan warna sekolah (biru dan putih). Selain hoki dan bola sepak, sukan kriket dan menunggang kuda juga telah diperkenalkan di sekolah itu.

Sehingga tahun 1921, kelayakan paling tinggi di Sekolah Anderson ialah sehingga Tahun Tujuh (menyamai Tingkatan Tiga pada masa sekarang). Pada tahun itu juga kelas-kelas untuk menduduki Sijil Cambridge (Cambridge Certificate) telah ditambah.

Juga pada tahun 1921, sebuah bangunan asrama untuk pelajar-pelajar lelaki telah dibina di Ipoh untuk membolehkan mereka yang tinggal di luar bandar untuk bersekolah di situ. Bagaimanapun, ia tidak mencukupi kerana permintaan bagi anak-anak orang Melayu untuk mendapatkan pendidikan Inggeris ketika itu agak tinggi.

Kemudian pada tahun 1924, di bawah kepimpinan C.F.C. Ayre, empat orang pelajar telah dilatih untuk menduduki Peperiksaan Matrikulasi London (London Matriculation Examination). Mereka telah lulus dengan cemerlang dan berpeluang untuk mengikuti pengajian undang-undang di London.

Cogan kata sekolah yang diperkenalkan pada tahun 1931 iaitu To Strive, To Seek, To Find and Not To Yield ditujukan kepada C.F.C Ayre manakala edisi pertama majalah tahunan sekolah telah dicetak pada tahun 1933 di bawah seliaan C.F.C. Ayre.

Bangunan baru Sekolah Anderson yang masih digunakan sekarang dibina pada tahun 1931. Bagaimanapun kelas-kelas pengajian rendah untuk Darjah Dua diadakan di Jalan Maxwell sehinggalah ia diserapkan ke Sekolah Anderson pada tahun 1937.

Setelah sekolah tersebut ditutup selama 44 bulan akibat pendudukan Jepun di Tanah Melayu, ia dibuka semula pada 24 September 1945. Sekolah itu terus berkembang maju dan mencipta rekod baru pada tahun 1952 dengan 37 daripada 74 calon mendapat Kelas Pertama (Fisrt Class) dalam Peperiksaan Sijil Persekolahan Cambridge (Cambridge School Certificate Examination).

Pada tahun 1956 sekolah tersebut menjadi institusi akademik terbesar di Kinta apabila ia merekodkan jumlah pelajar seramai 2,144 orang. Sekolah itu juga menyediakan tempat secara percuma untuk pelajar-pelajar lelaki Melayu yang berhasrat untuk menyambung pelajaran setelah lulus Darjah Empat di sekolah vernakular.

Setelah menyambut Jubli Emasnya pada tahun 1959, sekolah itu telah diperluaskan merangkumi sebuah kelas sains, lima buah makmal dengan dua daripadanya dikhususkan untuk subjek Sains Fizik dan Kehidupan, sebuah bilik tetamu, sebuah perpustakaan baharu, trek olahraga baharu yang lebih besar dan kelas-kelas Tingkatan Enam untuk kedua-dua aliran iaitu Sains dan Kemanusiaan.

Pendidikan rendah dan menengah kemudian diasingkan pada tahun 1958. Sekolah rendah dikenali sebagai Sekolah Rendah Lebuh Cator atau Cator Avenue Primary School manakala sekolah Anderson menjadi sekolah menengah dikenali sebagai Sekolah Menengah Anderson.

Dengan pemilihan Tan Seng Chye menggantikan M. Ogle sebagai Pengetua pada tahun 1965, bermakna tugas mentadbir sekolah itu kini telah diserahkan kepada penduduk tempatan. Sekolah itu terus diperbesarkan secara fizikal dan pertambahan populasi pelajarnya.

Antara tahun 1969 dan 1979 dewan sekolah tersebut telah dinaik taraf, sebuah kantin baharu telah dibina dan juga asrama baharu. Antara tahun 1979 dan 1999 pula tiga buah blok baharu telah diperolehi secara eksklusif untuk pelajar Tingkatan Enam, sebuah bilik komputer telah ditambah dan sebuah bilik yang selamat telah dibina untuk menyimpan kertas soalan bagi peperiksaan awam yang disediakan oleh Jabatan Pelajaran Negeri. Kuarters Pengetua yang lama telah diubahsuai menjadi muzium pendidikan pada tahun 1999.

Antara bekas pelajar Sekolah Menengah Anderson ialah:

Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob, bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Dato Seri DiRaja Mohammad Tajol Rosli, bekas Menteri Besar Perak.

Datuk Dr Abdullah Fadzil Che Wan, bekas Ahli Parlimen Bukit Gantang, Perak.

Ahmad Boestamam, pejuang kemerdekaan dan salah seorang pengasas Parti Kesatuan Melayu Muda (KMM).

DYAM Raja Jaafar Bin Raja Muda Musa, Raja Dihilir Perak.

Chan Sek Keong - Ketua Hakim Singapura pada bulan Mei 1992.

Datuk Mohammad Nor Khalid (Lat), kartunis Malaysia.

Datuk Seri S. Samy Vellu, Bekas Presiden MIC dan juga bekas Menteri Kerja Raya.

Dr. Wong Jeh Shyan, CEO CommerceNet Singapura.

Dr. Wong Jun Shyan, Pakar Mata dan Pengarah Perubatan di ISEC, Pusat Pakar Mata Antarabangsa, Kuala Lumpur.


*Nota kaki: Ayahku, Sallehuddin bin Hassan juga adalah bekas pelajar Sekolah Menengah Anderson. Meskipun beliau hanyalah seorang Guru Besar yang telah bersara, namun beliau kerap kali melahirkan kebanggaannya sebagai salah seorang bekas Andersonian seperti juga aku yang berbangga menjadi ex-SMGRian.

No comments: