Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, July 27, 2012

1001 keistimewaan serai

Menurut legenda purba orang Melayu, serai pernah dianggap sebagai herba yang suci.

Dalam perubatan Melayu lama, ia boleh digunakan sebagai ubat sapu malah pahlawan Melayu percaya, jika ubat tersebut disertakan dengan doa khas, ia akan menghalang pedang pihak lawan daripada menembusi kulit mereka.

Serai juga mampu menghindarkan seseorang itu daripada keresahan, sakit kepala, demam dan bermasalah tidur malam dan sebagainya.

Kebanyakan daripada kita mengetahui bahawa serai merupakan perasa tambahan dalam menyediakan masakan Thai.

Ia mampu memberi keseimbangan rasa pedas cili dan rasa lemak santan kelapa di dalam sup tom kha gai.

Tumbuhan ini berasal dari India dan kemudian dibawa ke Asia Tenggara lalu menjadi ramuan ruji dalam masakan Indonesia, Malaysia, Thailand, Kemboja, Laos dan Vietnam.

Ia juga menyeberangi lautan Caribbean yang menggunakan lemon bagi mengimbangi rasa dalam masakan.

Penggunaan serai dalam masakan sangat mudah. Ia boleh digunakan segar, kering mahupun dalam bentuk serbuk selain pelengkap apabila menyediakan hidangan daging lembu, ikan, ayam dan makanan laut.

Serai yang dipotong dan dimasukkan ke dalam periuk dengan air yang mendidih untuk dibuat teh mampu membantu penghadaman, melegakan senggugut, mengurangkan tekanan dan membantu tidur malam yang lena.

Ada juga yang berpendapat minyak serai yang disapu pada kulit mampu menjadi penghalau nyamuk semula jadi dan turut digunakan di dalam lilin serta kemenyan untuk menghalau pepijat.

Selain itu, serai juga boleh digunakan bagi tujuan antikulat dan antiseptik. Malah, serai yang diikat dan diletakkan di dalam tab mandi dapat memberikan pengalaman aromaterapi yang menenangkan.


Khasiat serai:
  • Membantu pencernaan
  • Mengurangkan kebimbangan, tekanan dan kekejangan
  • Bertindak sebagai antibakteria, antikulat dan antiseptik semula jadi
  • Mengurangkan demam dan perut kembung
  • Menangkis serangan nyamuk

-Kosmo!

No comments: