Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, July 27, 2012

Ramadhan, jihad melawan nafsu

Walaupun peperangan adalah perbuatan terkutuk namun ada peperangan yang terpuji iaitu peperangan di jalan Allah atau peperangan fisabilillah sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj ayat 39 yang bermaksud:

"Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan)."

Jadi peperangan di jalan Allah itu ialah peperangan mempertahankan diri dari pengusiran, mempertahankan diri dari penganiayaan dan mempertahankan diri dengan jihad kerana Allah SWT. Oleh sebab itu mereka yang berperang di jalan Allah dianggap sebagai pahlawan Allah dan jika mereka mati dianggap sebagai mati syahid.

Namun, persoalan besar timbul ialah bagaimanakah cara kita untuk meraih ganjaran yang hebat itu? Jihad melawan nafsu merupakan kunci kepada segala peperangan.

Firman Allah SWT di dalam surah Yusuf ayat 53 yang bermaksud:

"Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Pada bulan Ramadhan yang mulia ini Rasulullah SAW mengajar kita untuk meninggalkan suatu peperangan, suatu perjuangan atau suatu jihad yang kecil untuk dilatih melakukan suatu perjuangan atau jihad yang besar iaitu jihad melawan nafsu.

Jihad nafsu bermaksud mengawal diri bagi melakukan ketaatan kepada Allah SWT. Melawan hawa nafsu atau mujahadatun nafsi sememangnya sangat sukar bagi kita kerana tanpa kesedaran dan kemahuan yang sungguh-sungguh kita pasti dikalahkan kerana ianya telah dipengaruhi oleh syaitan laknatullah.

Namun, berdasarkan hadis dan jaminan oleh Rasulullah SAW bahawa pada bulan yang mulia inilah segala musuh manusia telah dirantai oleh Allah SWT dan kita sebagai umat Islam diberi peluang seluas-luasnya untuk beribadah kepada Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Apabila masuk bulan Ramadhan terbukalah pintu-pintu rahmat dan terkuncilah segala pintu neraka dan terbelenggulah syaitan daripada merasuk mangsanya." - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Berjihad melawan nafsu adalah tanda-tanda mereka yang cinta kepada Allah SWT. Tanda-tanda lain membuktikan kita cinta kepada Allah ialah:
  1. Selalu menyebut-nyebut nama Allah dengan membaca al-Quran ataupun berzikir
  2. Rindu kepada Allah, rindu kepada hari dan saat kita akan melihatnya
  3. Mencontohi tingkahlaku dan ajaran Rasul-Nya
  4. Bermanja-manja dengan-Nya ketika sedang bersendirian terutama ketika sepertiga malam yang terakhir.

Pertembungan kepentingan antara kehendak gelojak hawa nafsu manusia sentiasa menimbulkan konflik dalam diri manusia. Pertembungan ini akan menentukan hala tuju dan status fitrah kehidupan kita.

Nafsu jahat dan liar itu dikatakan sifat mazmumah di antaranya ialah sum'ah, riya', ujub, cinta dunia, gila pangkat, gila harta, banyak bicara, hasad, dengki, ego, dendam, buruk sangka, mementingkan diri sendiri, pemarah, tamak, serakah, bakhil, sombong dan lain-lain lagi.

Sifat-sifat ini melekat pada hati seperti daki melekat pada badan. Kalau kita tidak mengikis dan membuangnya maka ianya akan semakin kuat dan menebal pada hati kita. Tetapi untuk membuangnya, maka seseorang itu memerlukan penglibatan diri dalam perjuangan, kesabaran serta berjihad.

Sebagai orang Islam, salah satu perjuangan hebat yang perlu diamalkan oleh kita ialah puasa wajib Ramadhan. Puasa adalah ibadah yang sukar dan menjadi perjuangan secara senyap melawan hawa nafsu. Perjuangan ini juga adalah rahsia antara seeorang hamba dengan Tuhannya kerana gerak geri amalan puasa tidak dapat dinilai oleh orang lain. Ketika berpuasa kita bukan sahaja menahan diri dari keinginan makan dan minum tetapi seluruh anggota badan kita seperti mulut, mata, hati dan kemaluan juga hendaklah turut berpuasa.

Kita juga dituntut memperbanyakkan amal ibadah. Amalan wajib dan sunat yang padat dalam bulan Ramadhan ini memberi tumpuan latih tubi pembersihan hati, pembersihan dalaman, mendisiplinkan anggota badan, mengukuhkan akhlak mulia dan mencegah penyakit.

Oleh sebab itu terdapat dua penanda aras atau pengukuran nilai prestasi puasa iaitu apakah puasa Ramadhan kita semata-mata menahan lapar, atau kita berpuasa dan pada masa yang sama mengambil berat aspek pembersihan jiwa dan akhlak kita.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala nescaya diampunkan baginya segala dosa yang terdahulu." - (Hadis Riwayat Bukhari)

Walaupun Ramadhan kelihatan seperti memberi kesukaran dan ujian berat kepada umat Islam tetapi ia adalah anugerah Allah kepada hamba-hamba-Nya yang hanya datang setahun sekali dan merupakan satu jihad deripada seorang hamba kepada Tuhannya.

Renungilah firman Allah SWT di dalam surah at-Taubah ayat 20 yang bermaksud:

"(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya."

Dan juga firman Allah SWT di dalam surah Faatir ayat 10 yang bermaksud:

"Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah ia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan. Kepada Allah lah naiknya segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan), dan amal yang soleh pula di angkatnya naik (sebagai amal yang makbul - yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya). Dan sebaliknya: orang-orang yang merancangkan kejahatan (untuk mendapat kemuliaan), adalah bagi mereka azab seksa yang berat; dan rancangan jahat mereka (kalau berkesan) akan rosak binasa."

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: