Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, July 30, 2012

Perisai kesihatan anak-anak

Kesihatan bayi dan kanak-kanak boleh terjejas gara-gara kemerosotan imuniti tubuh yang berpunca daripada nutrisi yang tidak mencukupi.

Nutrisi merujuk kepada pemakanan baik yang membina kesihatan tubuh bagi seseorang.

Makanan adalah punca tenaga bagi tubuh badan yang membina dan membaikpulih semua bahagian badan kita daripada rambut, kulit, otot dan kuku juga organ dalaman seperti jantung, ginjal dan hati.

Unsur nutrisi dibahagikan kepada yang utama iaitu protein, lemak dan karbohidrat yang diperlukan dengan jumlah yang banyak diikuti dengan vitamin-vitamin A, B, C, D, E, K dan unsur-unsur lain seperti zat besi, zink, kalsium, selenium dan sebagainya.

Imuniti pula merujuk kepada pertahanan semula jadi yang dijana oleh badan terhadap penyakit.

Pertahanan terhadap penyakit bagi seorang bayi bermula ketika bayi berada di dalam rahim ibu lagi.

Ketika dalam rahim, antibodi daripada darah ibu dibekalkan kepada bayi melalui tali pusat.

Antibodi daripada ibu akan melindungi seseorang itu untuk jangka masa enam bulan pertama hidupnya selepas lahir.

Kemudian bayi tersebut akan mula menjana antibodinya sendiri.

Seorang bayi terdedah kepada berbagai jenis kuman selepas dilahirkan yang berpunca daripada keadaan dan individu di sekelilingnya.

Walaupun dibekalkan antibodi daripada ibunya, bayi akan masih sakit sekiranya pendedahan kuman terlalu banyak contohnya apabila terlalu kerap dicium oleh individu yang kebetulan menghidapi selsema dan batuk.

Imuniti yang dihasilkan oleh badan merupakan tindakbalas terhadap pendedahan yang berterusan seseorang kanak-kanak sepanjang tumbesarannya.

Ssitem imun di dalam badan seseorang sentiasa bekerja keras menghasilkan antibodi untuk setiap jenis kuman yang diterima oleh badan.

Kekuatan kuman tidak sama kerana ada kuman yang lebih kuat sehingga boleh menembusi dan melemahkan sistem pertahanan badan manusia.

Disebabkan itu kanak-kanak sering jatuh sakit dan adakalanya boleh pulih dengan sendiri dan ada masanya memerlukan bantuan ubat.

Saintis telah mencipta dan menghasilkan ribuan jenis ubatan untuk melawan kuman-kuman yang merbahaya, dalam masa yang sama berjuta-juta kuman baharu muncul.

Salah satu penghasilan perubatan moden yang telah menyelamatkan nyawa berjuta kanak-kanak dan melindungi mereka daripada kecacatan ialah vaksin.

Proses imunisasi adalah satu kaedah memasukkan suatu komponen kuman yang diketahui ke dalam badan manusia untuk merangsang sistem imun manusia menjana antibodi yang spesifik kepada kuman tersebut tanpa menyebabkan penyakit kepada penerima.

Apabila antibodi telah terhasil secukupnya, maka individu tersebut akan terlindung daripada penyakit itu hampir 100 peratus.

Seorang kanak-kanak yang menerima nutrisi yang seimbang akan membesar dengan baik serta menghasilkan antibodi yang mencukupi untuk melindungi dirinya daripada penyakit.

Seorang kanak-kanak memerlukan nutrisi lengkap dengan pemakanan serta kasih sayang untuk menjadikannya sihat secara keseluruhan.

Susu ibu merupakan nutrisi terbaik untuk seorang bayi yang baru dilahirkan sehingga umurnya lima hingga enam bulan yang kemudiannya akan memerlukan makanan tambahan.

Makanan tambahan selain susu ibu ialah dari unsur beras atau gandum yang ditambah dengan sumber lain seperti daging, sayuran dan buah-buahan menjadi lebih utama daripada susu.

Sepanjang tumbesaran kanak-kanak, keperluan pemakanannya berbeza dan bertambah. Pada enam bulan pertama, susu ibu atau susu formula sudah cukup untuk membina dan menambahkan berat bayi.

Susu mengandungi jumlah protein, lemak, karbohidrat yang tinggi serta vitamin dan elemen lain yang lengkap.

Keperluan makanan seorang kanak-kanak bertambah bukan hanya untuk perkembangan fizikal tetapi juga untuk tumbesaran otak dan organ dalaman.

Jumlah keperluan kalori, protein, lemak, vitamin serta elemen lain telah dikira secara sintifik bagi setiap individu dengan perbezaan umur dan saiz badan.

Susu formula dihasilkan untuk menyumbang kepada keperluan pemakanan lengkap seorang kanak-kanak yang membesar.

Nutrisi yang lengkap menjadikan seorang kanak-kanak itu mencapai status keupayaan mental dan fizikal yang baik.

Apabila nutrisi berkurangan, peluang kanak-kanak berbeza daripada kanak-kanak lain juga keupayaan mental dan fizikal yang datangnya daripada kegigihan, semangat, asas agama dan keluarga yang baik.

Terdapat empat tonggak dalam memelihara kesihatan kanak-kanak iaitu:
  • nutrisi
  • persekitaran
  • ubat-ubatan
  • imunisasi

Persekitaran juga merupakan faktor penting yang mempengaruhi tahap kesihatan kanak-kanak yang sedang membesar.

Persekitaran yang mempunyai ramai orang menyebabkan jangkitan virus berterusan dan berubah-ubah menjadi punca kanak-kanak mendapat jangkitan kuman walaupun mendapat nutrisi yang lengkap.

Untuk mengatasi masalah tersebut, ibu bapa perlu berani merawat anak-anak mereka sendiri pada tahap awal penyakit. Dengan rawatan awal, anak-anak berpeluang untuk pulih lebih cepat.

Ibu bapa juga perlu mempunyai stok ubatan mudah seperti ubat demam, selsema dan cirit-birit.

Imunisasi perlu diberikan kepada kanak-kanak untuk melindungi mereka daripada penyakit berjangkit yang boleh menyebabkan kematian atau kecacatan kekal.

Sekiranya kanak-kanak tidak diberikan imunisasi maka mereka akan mudah dijangkiti pelbagai penyakit dan kemungkinan akan mengancam nyawa anak kecil lain yang belum sempat mengambil imunisasi.

Penghasilan antibodi secara semula jadi telah dibuktikan tidak cukup untuk penyakit tertentu dan menjadi punca sejenis vaksin itu dihasilkan.

Dipetik dari artikel asal Nutrisi ibu perisai kesihatan si kecil tulisan Nurul Izza Rosly, Kosmo! 2 Disember 2011.

No comments: